أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Rabu, 30 April 2008

97. BEZA ANTARA UMAT ISLAM SILAM DAN SEKARANG

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 103 surah Ali ‘Imran :
واعتصموا بحبل الله جميعا ولا تفرقوا واذكروا نعمت الله عليكم إذ كنتم أعداء فألف بين قلوبكم فأصبحتم بنعمته إخوانا وكنتم على شفا حفرة من النار فأنقذكم منها كذلك يبين الله لكم آيته لعلكم تهتدون.
Maksudnya : Dan berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah (Islam) dan janganlah kamu bercerai berai. Dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu(masa jahiliah) bermusuh-musuhan maka Allah menyatukan hati-hati kamu lalu menjadi kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang yang bersaudara. Dan kamu telah berada di tepi jurang neraka lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatNya kepadamu agar kamu memdapat petunjuk.
Saban hari umat Islam menangggung pelbagai ujian akibat kebanyakan kita meninggalkan ajaran Islam yang menyeluruh daripada dilaksana dalam negara. Umat Islam terus dihantui dengan penjajahan baru serta menjadi sasaran kepada keganasan nafsu kuffar yang terus memerangi Islam dan umatnya sehingga hari qiamat. Umat Islam terus menunggu sinar kebahagiaan dan kemenangan setelah sekian lama tertindas termasuk dalam negara sendiri. Umat Islam begitu berhajat kepada kekuatan yang memungkinkan mereka bukan sahaja dapat bersaing dengan kuffar malah kembali menjadi umat yang mulia sebagaimana yang pernah dikecapi oleh generasi kemenangan sebelum ini yang menjadikan Islam sebagai cara hidup. Setelah menyoroti dan memikirkan secara mendalam tentang umat Islam silam yang diberikan kemenangan oleh Allah maka kita dapati bahawa di sana mempunyai beberapa syarat tertentu yang perlu dipenuhi terlebih dahulu sebelum dianugerahkan kemuliaan hidup dan kemenangan yang diidamkan. Antaranya umat Islam mestilah berpegang teguh dengan tali Allah iaitu Islam agar setiap tindak tanduk mereka sentiasa terikat dengan peraturan Allah serta tidak melampaui batas yang telah ditetapkan oleh syarak. Jika binatang ternakan dapat dikawal pergerakannya dengan tali pengikat agar tidak meragut tumbuhan milik orang lain maka manusia mestilah diikat dengan tali Allah agar tidak menzalimi dan melanggar hak manusia yang lain. Jika binatang ternakan sukar dikawal apabila tali ikatannya terputus maka begitulah juga dengan manusia yang terputus ikatan kehambaan dengan Allah maka dirinya semakin hampir kepada jurang neraka akibat tidak terkawal lagi segala kelakuannya sehingga sanggup melawan perundangan Allah yang Maha Adil lagi Maha Bijaksana. Oleh itu sebagai seorang yang mengaku secara bersungguh bahawa kita beriman kepada Allah dan sanggup tunduk dan patuh kepada seluruh arahanNya maka semestinya kita mengukuhkan ikatan tali kehambaan dengan Allah agar bertambah kukuh dan teguh. Allah Tuhan yang Maha Penyayang telah menyediakan perundangan tertentu dalam menjaga agar tali ikatan mereka yang beriman dengan Allah sentiasa terjaga agar tidak putus. Tidak cukup sekadar menjaga diri daripada melakukan maksiat dengan iman dihati semata-mata sebaliknya mestilah disertakan dengan perundangan yang bertujuan menggerun dan menambahkan lagi keimanan manusia agar tidak melakukan perkara yang ditegah oleh Allah. Adalah suatu perkara yang salah apabila ada pemimpin yang mempertahankan pusat judi dalam negara dengan alasan bahawa tempat-tempat dan perkara-perkara yang tidak baik adalah ujian kepada orang yang imannya tebal di mana bagi mereka yang imannya kuat maka mereka tidak akan terlibat dan pergi ke tempat tersebut. Kenyataan ini tidak lebih daripada membiarkan sahaja tempat maksiat bertaburan atas dasar iman rakyat dalam negara ini begitu kuat dan tidak perlu kepada perundangan untuk mencegahnya. Bagaimana mahu mengawal nafsu jika ruang dan tempat untuk memenuhi kehendaknya terbuka luas di depan mata.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Umat Islam yang dianugerahkan kemenangan juga mesti memenuhi syarat persaudaraan berdasarkan Islam agar perpecahan berdasarkan bangsa dan ideologi ciptaan manusia yang sesat dapat dihindarkan. Selagi umat Islam berpecah atas dasar kebangsaan atau pun menerima sekulerisme sebagai agama anutan samada dalam keadaan sedar atau tidak maka selama itulah umat Islam akan ditimpa bala daripada Allah. Kita mestilah kembali bersatu atas dasar Islam sehingga penderitaan saudara kita yang lain turut dirasai bersama sebagaimana yang dikehendaki oleh Rasulullah s.a.w dalam sabdanya :
مَثَلُ المُؤْمِنِيْنَ فِى تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ كَمَثَلِ الجَسَدِ الوَاحِدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالحُمَّى
Maksudnya : Perumpamaan orang-orang beriman dalam erti kasih sayang, belas kasihan dan bertimbang rasa sesama mereka seperti tubuh yang satu iaitu apabila mana-mana anggota badan berasa sakit maka seluruh tubuh yang lain turut berjaga malam dan menanggung kesakitan
Umat Islam silam yang dianugerahkan kemenangan oleh Allah telah menjadikan setiap saudaranya yang lain seumpama dirinya sendiri di mana apa yang dia kasih untuk dirasai oleh dirinya maka begitulah yang dilakukan terhadap saudaranya dan apa yang dibenci dilakukan terhadap dirinya maka begitulah dia berusaha untuk menghindari daripada melakukannya terhadap saudaranya. Mereka bersatu bagaikan sebatang tubuh di mana jika ada satu anggota yang sakit maka anggota lain turut merasa sakit yang menyebabkan mereka bersungguh untuk bersatu dalam menghilangkan rasa sakit tersebut. Tindakan dan kesatuan mereka yang kuat atas dasar Islam telah mendatangkan pertolongan dan kemenangan yang besar daripada Allah. Sedangkan keadaan persaudaraan umat Islam pada hari ini tidak lebih dari dua tubuh yang berbeza di mana kita mampu bersedih dan bersimpati terhadap penderitaan saudara seagama seperti di Palestin, Iraq, Afghanistan, Kashmir, India, Selatan Filiphina, Acheh dan sebagainya tetapi kita tidak turut bersatu untuk bersama merasai kesakitan yang dialami. Akhirnya setiap kali selepas berlakunya sesuatu peperangan atau bila media massa kurang memberi perhatian terhadap peristiwa yang berlaku maka umat Islam turut berhenti daripada berbincang mengenai penderitaan saudara seagamanya yang terus ditindas hingga ke hari ini.
Malah apa yang lebih malang apabila kebanyakan pemimpin negara umat Islam lebih berani menuduh dan memenjarakan rakyat yang bangun menentang kezalimannya atas tuduhan pengganas daripada para pemimpin bangkit untuk bersatu dalam menghentikan keganasan kuffar. Malah pusat pengajian agama dan masjid yang hidup dengan budaya ilmu sanggup diroboh dan diperangi habis-habisan atas alasan punca kemunduran dan memecah belahkan umat berbanding tempat maksiat. Renungilah firman Allah dalam ayat 58 surah al-Ahzab :
والذين يؤذون المؤمنين والمؤمنات بغير ما اكتسبوا فقد احتملوا بهتانا واثما مبينا
Maksudnya : Dan mereka yang menyakiti orang mukmin dan mukminat tanpa kesalahan yang mereka buat maka mereka telah memikul sesuatu pendustaan dan dosa yang nyata

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Antara sikap umat Islam silam yang dianugerahkan kemenangan oleh Allah ialah mereka mendahului kasih dan ketaatan mereka kepada Allah dan rasulNya daripada kasih mereka terhadap manusia yang lain termasuk keluarga sendiri. Umat Islam silam bersatu dalam melaksanakan perintah Allah tanpa soalan yang bermacam dan dalih yang memualkan tidak seperti kebanyakan umat Islam hari ini. Umat Islam silam berusaha bersungguh-sungguh melaksanakan setiap perintah Allah mengikut kemampuan yang ada bukannya berdasarkan kemahuan nafsu yang bergelora. Umat Islam silam memartabatkan seluruh ajaran Islam dalam kehidupan berdasarkan apa yang wahyu minta bukannya mengikut apa yang nafsu pinta. Umat Islam silam gembira apabila berjaya melaksanakan hukuman Allah dalam negara agar dapat mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat sedangkan adanya umat Islam hari ini yang begitu gembira jika dapat memberi pelbagai alasan dan amaran agar hukum Allah tidak dilaksanakan dalam negara kerana terpesona dengan hasutan dunia. Betapa malangnya apabila ada umat Islam yang begitu bangga kerana dapat membawa kes saman terhadap enakmen hudud Kelantan atas alasan ia bercanggah dengan perundangan negara bukannya disebabkan ia bertentangan dengan hukum Allah. Betapa malangnya ada umat Islam yang lantang mahu mengharam akhbar dan membakar bangunan akhbar yang didakwa menghina pemimpin sedangkan mereka ini senyap ketika hukum Allah dan nabi Muhammad s.a.w dihina oleh pemimpin dan akhbar. Umat Islam silam sanggup mati bersama dengan pemimpin yang mempertahankan Islam sedangkan umat Islam hari ini ramai yang lebih sanggup mati bersama pemimpin yang melawan Islam. Ingatlah bahawa kita adalah hamba Allah yang sepatutnya bersungguh melaksanakan perintahNya dan menjauhi tegahanNya. Oleh itu untuk menjauhi bala Allah bukan cukup setakat menyediakan kelengkapan moden yang canggih tetapi kita mesti menyediakan diri dengan pencegah bala iaitu dengan kembali kepada seluruh ajaran Islam dalam setiap aspek kehidupan agar nikmat Allah turun mencurah-curah bukannya bala Allah yang menyerang semakin bertambah
Firman Allah dalam ayat 16 surah al-Isra’ :
وإذا أردنا أن نهلك قرية أمرنا مترفيها ففسقوا فيها فحق عليها القول فدمرنــها تدميرا
Maksudnya : Dan jika Kami ( Allah ) hendak membinasakan suatu negeri maka Kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah dalam negeri supaya mentaati Allah tetapi mereka melakukan penderhakaan di dalam negeri itu maka sudah sepatutnya berlaku ketentuan Kami. Kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: