أهلا وسهلا ومرحبا بكم
Kandungan Blog
Jumaat, 13 April 2012
Nasihat Subur Umat Makmur
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam 71 surah at-Taubah :
وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّـهَ وَرَسُولَهُ ۚ أُولَـٰئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّـهُ ۗ إِنَّ اللَّـهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Maksudnya : Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana
Islam merupakan agama yang bersesuaian dengan fitrah kejadian manusia. Oleh itu setiap arahan dan larangan Allah adalah untuk kebaikan dan kebahagiaan hidup kita di dunia dan akhirat. Bagi memastikan kelangsungan kepada kebaikan dalam diri, keluarga seterusnya masyarakat dan negara maka budaya nasihat dan menyuruh berbuat kebaikan serta mencegah daripada kemungkaran mesti disubur dan dihidupkan. Sebagaimana pesan Sayyidina Umar al-Khattab : "Tidak ada kebaikan yang dapat diharapkan dari umat yang enggan untuk saling menasihati dan umat yang tidak mahu menerima nasihat. Semoga Allah merahmati seseorang yang menasihati dari kekeliruan."
Kita diasuh bagaimana kehidupan dunia berkait rapat dengan kehidupan akhirat yang menanamkan rasa insaf bahawa setiap amalan kita di dunia pasti akan dihisab dan ditimbang di padang Mahsyar nanti. Kefahaman ini menyebabkan kita lahir sebagai manusia yang bersyukur dan bersabar yang sentiasa ingat kepada Allah samada ketika kaya dan papa, senang dan susah, sihat dan sakit, lapang dan sakit. Kita tidak akan dijangkiti oleh penyakit merbahaya yang dihidapi oleh manusia yang menolak agama dengan menjadikan dunia sebagai matlamat hidup sehingga setiap tindakan mereka mesti mendapat hasil yang segera sehingga ramai yang membunuh diri apabila gagal dalam peperiksaan, rumahtangga, perniagaan, kerjaya dan sebagainya kerana merasakan kehidupan mereka telah ranap dan hancur.
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Masyarakat yang mengabaikan budaya nasihat pasti hancur dan rugi di dunia dan akhirat. Sebab itu banyak ayat al-Quran dan hadis nabi yang memperingatkan kita tentang perkara penting ini untuk kebaikan kita semua antaranya :
عَنْ أَبِي رُقَيَّةَ تَمِيْمِ بْنِ أَوْسٍ الدَّارِي أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: الدِّیْنُ النَّصِيْحَةُ.
قُلْنَا: لِمَنْ؟ قَالَ: لِلَّهِ، وَلِكِتَابِهِ، وَلِرَسُوْلِهِ، وَلِأَئِمَّةِ المُسْلِمِيْنَ، وَعَامَّتِهِمْ - رواه مسلم.
Maksudnya : Agama itu adalah nasihat. Kami berkata: Untuk siapa? Baginda bersabda: Untuk Allah, untuk kitabNya, untuk RasulNya, untuk para pemerintah muslimin dan untuk umat lslam seluruhnya
Ulama’ menerangkan bagaimana nasihat pertama untuk Allah iaitu mengimaniNya tanpa syirik dengan sesuatu, ikhlas dalam mengerjakan ibadah kerana Allah disamping mentaati segala perintahNya serta menjauhi laranganNya dalam setiap aspek kehidupan. Kita begitu bimbang dengan gejala murtad akibat umat Islam sendiri jahil tentang agamanya sendiri sehingga mudah terikut dengan pegangan sesat seperti masalah hanya percaya kepada perkara yang logik dan nyata sehingga menolak adanya Allah atas alasan tidak nampak dan perkara ghaib yang lain. Begitu juga golongan yang menganggap hak asasi manusia lebih besar daripada hak Allah sehingga mempertikai masalah arahan menutup aurat, pergaulan bebas, hukum Hudud dengan menganggap bahawa agama adalah hak peribadi bukan untuk dilaksana dalam memaksa orang lain untuk tunduk kepadanya. Akhirnya cara hidup songsang cuba dihalalkan sehingga masyarakat Melayu sendiri terlibat dengan penukaran jantina di mana antara yang terbaru kes seorang lelaki kecewa apabila mendapati dia berkahwin dengan isteri yang asalnya lelaki.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 114 surah al-An’am :
أَفَغَيْرَ اللَّـهِ أَبْتَغِي حَكَمًا وَهُوَ الَّذِي أَنزَلَ إِلَيْكُمُ الْكِتَابَ مُفَصَّلًا ۚ وَالَّذِينَ آتَيْنَاهُمُ الْكِتَابَ يَعْلَمُونَ أَنَّهُ مُنَزَّلٌ مِّن رَّبِّكَ بِالْحَقِّ ۖ فَلَا تَكُونَنَّ مِنَ الْمُمْتَرِينَ
Maksudnya : (Katakanlah wahai Muhammad): "Patutkah aku (terpedaya dengan kata-kata dusta Syaitan-syaitan itu sehingga aku) hendak mencari hakim selain dari Allah, padahal Dia lah yang menurunkan kepada kamu kitab Al-Quran yang jelas nyata kandungannya satu persatu (tentang yang benar dan yang salah)?" Dan orang-orang yang Kami berikan kitab, mengetahui bahawa Al-Quran itu adalah diturunkan dari Tuhanmu dengan sebenar-benarnya. Oleh itu, jangan sekali-kali engkau menjadi (salah seorang) dari golongan yang ragu-ragu
Manakala maksud nasihat untuk Kitab Allah ialah beriman bahawa ia diturunkan oleh Allah kepada nabi Muhammad s.a.w, berusaha memperelokkan bacaan dan memahami isi kandungnya seterusnya melaksanakan sistem al-Quran dalam setiap aspek kehidupan. Kita begitu bimbang apabila kadar buta al-Quran semakin ramai apatah lagi yang memahami dan mengamalkannya. Umat Islam sendiri meninggal ilmu fardhu ‘ain yang penting atas alasan memenuhi tuntutan fardhu Kifayah sehingga kekeliruan terhadap hukum hakam Islam semakin parah. Ilmu fardhu ‘ain begitu penting dalam melahir ahli ibadat yang diterima, keluarga yang bahagia, ahli perniagaan yang berjaya, pekerja yang amanah dan pemimpin yang adil. Benarlah kata cucu nabi iaitu Sayyidina Hussein : “Aku merasa hairan pada sekelompok manusia yang hanya sibuk memikirkan apa yang harus dimakan, namun sama sekali tidak berfikir ilmu apakah yang sepatutnya dimiliki.”
Akibat mengenepikan hukum al-Quran maka kita dapati masalah sosial seperti penzinaan dan buang anak semakin meningkat, jenayah seperti culik, bunuh dan curi terus bertambah, pecah amanah seperti rasuah dan penyalahgunaan kuasa semakin bercambah. Kita merasa gerun mendengar ucapan pemimpin bagaimana pihak keselamatan negara sepatutnya lebih terkehadapan daripada penjenayah dalam menguasai teknologi yang menggambarkan penjenayah lebih hebat. Itu belum lagi dikira dengan desakan agar kerajan membuat siasatan yang telus tentang penjenayah menguasai pihak keselamatan sehingga boleh mengatur banyak perkara di mana ia jelas membahayakan negara. Oleh itu sudah tiba saat dan ketikanya, waktu dan masanya untuk kita sama-sama kembali berhukum dengan hukum al-Quran agar tidak berulang hukuman seperti bekas imam dihukum penjara setahun kerana melempar selipar terhadap hakim sedangkan 3 gadis Melayu yang menjual maruah dengan terlibat dalam tarian tiang hanya didenda RM25 sahaja.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 36 surah al-Ahzab :
وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَن يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُّبِينًا
Maksudnya : Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata
Nasihat ketiga untuk Rasulullah s.a.w iaitu membenarkan kenabiannya, mengikut ajarannya, kasih dan cinta kepadanya, mengagungkan sunnahnya, berakhlak dengan akhlaknya serta bersungguh melaksanakan ajarannya dalam kehidupan disamping mempertahankan nabi dari dicaci dan dihina. Kita merasa marah dan sedih dengan tindakan biadap 2 pemuda warga Tunisia yang menghina Nabi Muhammad di dalam Facebook dengan menyiarkan lakaran nabi berbogel di mana keduanya dijatuhkan hukuman penjara 7 tahun oleh kerajaan Tunisia.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 117 surah Huud :
وَمَا كَانَ رَبُّكَ لِيُهْلِكَ الْقُرَىٰ بِظُلْمٍ وَأَهْلُهَا مُصْلِحُونَ
Maksudnya : Dan Tuhanmu tidak sekali-kali hendak membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman penduduknya, selagi mereka sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri
Nasihat keempat untuk pemimpin umat Islam iaitu melibatkan pemimpin dan Ulama’ di mana kedua-duanya berkait rapat dalam memastikan kemajuan dan keadilan dalam negara. Sekiranya pemimpin menjalankan amanah maka kewajipan rakyat di bawah untuk taat sebaliknya bila mereka melakukan kezaliman maka kita wajib menegurnya agar kezaliman dapat dihindar. Sebagaimana pesanan Khalifah Umar Abdul Aziz : “Mana-mana saja pegawai yang menjauhi kebenaran dan tidak beramal dengan al-Quran dan al-Sunnah, tidak perlu kalian mentaatinya. Urusannya saya serahkan kepada kalian sehingga kebenaran dikembalikan dan dia pun tercela”.
Antara golongan yang paling hadapan untuk menasihati pemimpin ialah golongan Ulama’. Sebaliknya jika ulama’ mengambil sikap berdiam diri tidak memperbetul kesalahan pemimpin atau yang teruk banyak bertindak sebagai golongan yang sentiasa mempertahankan kedudukan pemimpin selaras misi dan visi golongan tertentu tanpa menghiraukan Haq dan Batil sehingga mereka hanya sekadar bertindak sebagai pelembut kepada masyarakat yang cuba mempertikai tindakan dan kezaliman pemimpin. Oleh itu kedudukan Ulama’ wajib diperkasakan dengan diberi kuasa sehingga fatwa yang dikeluarkan tidak lagi dipermainkan oleh pemimpin apatah lagi rakyat jelata
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 6 surah at-Tahrim :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَّا يَعْصُونَ اللَّـهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan
Nasihat kelima ialah untuk masyarakat umum bermula dengan pemimpin yang wajib memastikan rakyat berilmu dengan ilmu Islam agar mereka faham dan melaksanakan cara hidup Islam dalam negara. Negara sepatutnya bersungguh dalam memberi pendidikan cara percuma kepada rakyat bukannya mencari pelbagai helah untuk melahirkan graduan berhutang. Pemimpin sibuk memburu siswazah yang berhutang sedangkan dengan mudah melupuskan ratusan juta hutang kroni. Sebanyak 22 negara seluruh dunia yang memberi pendidikan percuma kepada rakyat bukannya 3 sebagaimana dakwaan pemimpin. Kita tidak mahu akibat kedekut untuk melahirkan rakyat berilmu menyebabkan belanja untuk menanggung kos banduan di penjara dan pusat serenti semakin meningkat dan inilah yang bakal menambah masalah dalam negara. Negara tidak bankrap bila harta negara digunakan untuk kebaikan rakyat sebaliknya negara bakal muflis akibat pembaziran dan pecah amanah dalam mengurus harta rakyat.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Langgan:
Catatan (Atom)