أهلا وسهلا ومرحبا بكم
Kandungan Blog
Jumaat, 19 April 2013
Kepimpinan Islam DiPilih Kezaliman Jahiliah DiSisih
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 58 Surah an-Nisa’:
إِنَّ اللَّـهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ إِنَّ اللَّـهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِ ۗ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا
Maksudnya : Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.
Kepimpinan dan pembinaan tamadun merupakan suatu yang berkait rapat antara satu sama lain. Bila kita membaca sejarah sesuatu kerajaan maka topik utama perbincangan banyak berkisar tentang pemimpin, corak pemerintahan dan kejayaan atau kegagalannya dalam membina tamadun. Oleh itu Islam begitu mengambil berat tentang masalah kepimpinan dan cara pembinaan tamadun agar selari dengan kehendak syarak. Islam bukan hanya mahu tamadun kebendaan sahaja ditegakkan sedangkan tamadun rohani dipinggirkan. Umat Islam sentiasa diperingatkan tentang ikatan antara kebahagiaan dunia akhirat, dosa pahala, Syurga Neraka agar kita sentiasa memastikan setiap tindakan kita termasuk dalam memilih pemimpin dan pembinaan tamadun mesti mengikut kehendak wahyu bukan tunduk kepada hawa nafsu. Dunia diberi oleh Allah kepada sesiapa yang mencintai Allah dan memusuhiNya sedangkan agama hanya dianugerahkan kepada hamba Allah yang mencintai Allah. Oleh itu kita sedar bahawa tujuan kita memilih pemimpin bukan untuk mendapat habuan dunia semata-mata sebaliknya kita memilih pemimpin dari kalangan orang yang mampu membangunkan Tamadun dunia dan rohani berdasarkan agama. Tidak ada pemimpin yang mampu membina Tamadun Kebendaan dan Rohani secara serentak berdasarkan agama melainkan orang yang kenal Allah dan mencintai Allah. Antara contohnya ialah pemimpin yang mengatakan judi adalah haram maka kedai judi tidak diberikan lesen untuk beroperasi agar rakyat terjaga daripada keruntuhan akhlak. Kita tidak tertipu dengan pemimpin yang hanya berbangga kerana membuka perbankan Islam sedangkan dia sendiri begitu seronok dengan sistem riba. Kita wajib memilih pemimpin yang sentiasa berusaha dalam memberi kefahaman kepada rakyat tentang pentingnya solat 5 waktu sehingga banyak program tarbiah dilaksanakan agar rakyat betul-betul menjaga solat. Kita wajib menolak pemimpin yang hanya tahu mengeluh apabila lahirnya ramai anak zina, keruntuhan akhlak akibat hiburan melampau sedangkan pintu zina diberi lesen samada kelab malam, rancangan tv, program hiburan melampu sehingga tak cukup artis tempat maka berjuta wang dibazirkan untuk menjemput artis luar negara. Bijak mengundi bawa bahagia, Silap mengundi bawa derita dunia akhirat
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 19 surah at-Taubah :
أَجَعَلْتُمْ سِقَايَةَ الْحَاجِّ وَعِمَارَةَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ كَمَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَجَاهَدَ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ ۚ لَا يَسْتَوُونَ عِندَ اللَّـهِ ۗ وَاللَّـهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ
Maksudnya : Adakah kamu sifatkan hanya perbuatan memberi minum kepada orang-orang yang mengerjakan Haji, dan (hanya perbuatan) memakmurkan Masjid Al-Haraam itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta berjihad pada jalan Allah? Mereka (yang bersifat demikian) tidak sama di sisi Allah, dan Allah tidak memberikan hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim.
Islam begitu mengambil berat tentang Syiar dan pelaksaan syariat di mana pada zaman nabi s.a.w ada sahabat yang berbangga kerana keluarganya diamanah untuk memegang anak kunci Ka’abah, ada sahabat yang lain berbangga kerana keluarga mereka berperanan besar dalam memberi minum jemaah haji lalu Sayyidina Ali bangkit menerangkan bahawa beliau antara orang yang paling awal beriman kepada Allah dan rasulNya dan banyak berjuang pada jalan Allah. Oleh itu kita bukan sahaja digalakkan untuk membina masjid tetapi apa yang paling penting dalam memperkasakan pengajian agama sehingga rakyat jelata berilmu dan semakin jinak dengan masjid. Jangan pula seronok memberitahu dunia bahawa mereka adalah golongan yang membina masjid sedangkan tangan yang sama memberi lesen untuk judi, kelab malam, kilang dan kedai arak yang berleluasa, hiburan melampau serta tempat dan aktiviti maksiat yang lain. Kita tidak mahu hanya menjadi jaguh di kaca tv dan dada akhbar dalam mempertahankan kalimah Allah sedangkan membiarkan pemimpin yang sedia ada memberi kelulusan untuk membawa masuk Bible dari Indonesia yang bertulis kalimah Allah untuk diedarkan. Kita tidak mahu manusia yang menghina hukum Allah terus membiak sehingga banyak bala Allah merebak termasuk jenayah dan video fitnah liwat dan zina dibiarkan tersebar tanpa tindakan sewajarnya.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Imam Muslim meriwayat dari Abu Hurairah ra, bahwasanya Rasulullah saw bersabda:
مَنْ خَرَجَ مِنْ الطَّاعَةِ وَفَارَقَ الْجَمَاعَةَ فَمَاتَ مَاتَ مِيتَةً جَاهِلِيَّةً وَمَنْ قَاتَلَ تَحْتَ رَايَةٍ عِمِّيَّةٍ يَغْضَبُ لِعَصَبَةٍ أَوْ يَدْعُو إِلَى عَصَبَةٍ أَوْ يَنْصُرُ عَصَبَةً فَقُتِلَ فَقِتْلَةٌ جَاهِلِيَّةٌ وَمَنْ خَرَجَ عَلَى أُمَّتِي يَضْرِبُ بَرَّهَا وَفَاجِرَهَا وَلَا يَتَحَاشَى مِنْ مُؤْمِنِهَا وَلَا يَفِي لِذِي عَهْدٍ عَهْدَهُ فَلَيْسَ مِنِّي وَلَسْتُ مِنْهُ
Maksudnya : “Barangsiapa keluar dari ketaatan dan memecah belah Jama’ah, lalu dia mati, maka matinya (seperti) mati jahiliyyah. Dan barangsiapa berperang di bawah panji Assobiyah, marah kerana Assobiyah, atau menyeru kepada Assobiyah, atau menolong kerabat (dalam kezaliman), kemudian dia terbunuh, maka matinya adalah mati jahiliyyah. Dan siapa saja memerangi umatku, membunuh orang yang baik maupun orang yang buruk dari umatku, dan tidak memperhatikan orang-orang mukminnya, tidak pula memperhatikan orang yang membuat perjanjian, maka ia bukan termasuk golonganku, dan aku bukan termasuk golongannya
Rakyat ditakutkan melalui tv, radio, akhbar dan media massa yang lain bahawa bangsa Melayu akan hilang kehebatan dan kuasa jika pemimpin sekarang diubah. Sebagai rakyat yang bijak dan cerdik sepastinya kita tidak mudah tertipu dengan laungan yang tersasar daripada hakikat yang sebenar ini. Laungan kebangsaan sempit ini begitu merbahaya jika kita termakan racunnya yang berbisa sehingga Rasulullah s.a.w memberi amaran keras tentang bahaya Assobiyah. Ibnu Khaldun di dalam Al-Muqaddimah menyatakan bahawa semangat dan kekuatan bangsa boleh membantu menaikkan sesuatu bangsa kepada kemajuan dengan syarat ia mesti berteraskan Islam. Tetapi dalam masa yang sama apabila semangat kebangsaan atau kekitaan ini mula dilonggarkan daripada Islam maka ia akan menghancurkan bangsa tersebut. Ia terjadi apabila pemimpin mula merasakan kekuatannya adalah hasil sokongan yang tidak berbelah bahagi atas nama mereka sebangsa walau apa pun yang dilakukan. Akhirnya pemimpin tersebut mula terpesong dan mementingkan diri sendiri sehingga segala kemewahan negara pada mulanya dinikmati oleh seluruh bangsanya mula diperkecilkan kepada mereka yang menyokongnya sahaja sehingga mengabai dan menzalimi mereka yang sebangsa tetapi tidak memberi sokongan kepadanya di atas sebab tertentu. Disebabkan perasaan tamak terus menguasai diri menyebabkan pemimpin itu mula memperkecilkan lagi pembahagian hak dan kemewahan kepada keluarga terdekat dan mereka yang menjadi pendokong kuat kepadanya walau pun bukan dari bangsanya. Tindakannya ini akhirnya menimbulkan perasaan dendam di kalangan bangsanya sendiri terutama penyokongnya yang selama ini begitu setia kepadanya akibat daripada kezaliman yang dilakukan.
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Kita mesti yakin bahawa mulianya sesuatu bangsa kerana berpegang kepada Islam dan hina serta mundurnya suatu bangsa kerana membuang Islam daripada kehidupan mereka. Ingatlah kita kepada kata-kata Sayyidina Umar yang masyhur ketika beliau berjaya membebaskan Baitul Maqdis yang berbunyi :
نَحْنُ قَوْمٌ أَعَزَّنَا اللهُ بِاللإسْلامِ فَمَهْمَا نبَتْغَيِ العِزَّةَ بِغَيْرِمَا أَعَزَّنَا اللهُ أَذَلَّنَا اللهُ
Maksudnya : Kita adalah suatu kaum yang dimuliakan oleh Allah dengan Islam. Selama mana kita mencari kemuliaan dengan sesuatu yang bukan apa yang telah dimuliakan kita dengannya iaitu Islam maka kita akan dihina oleh Allah
Bangsa Melayu akan kembali perkasa dan kuat apabila kita berani membuat perubahan termasuk dalam memilih pemimpin. Kita jangan lupa kepada jenayah golongan yang mengaku memperjuangkan hak Melayu sedangkan banyak tanah rezab Melayu digadai kepada orang asing termasuk saki baki tanah milik Keretapi Tanah Melayu KTM di Singapura. Pengkhianat kepada tulisan jawi yang menyebabkan ramai yang buta al-Quran dan agama. Pengkhianat kepada pusat pengajian agama termasuk serangan besar-besaran terhadap sekolah agama rakyat SAR yang mengorbankan puluhan ribu pelajar. Menyusahkan pelajar untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Azhar sehingga banyak kolej Islam ditutup dan ribuan pensyarah dan pelajar menjadi mangsa. Mengkhianat bahasa Malaysia dengan pelaksanaan pembelajaran matapelajaran matematik dan sains dalam bahasa inggeris yang mengorbankan ratusan ribu anak Melayu. Ibarat kata Ibnu Khaldun bangsa yang paling bangsat ialah bangsa yang bergantung kepada bahasa penjajahnya sendiri untuk maju. Kita rakyat Kelantan yang majoritinya orang melayu dinafikan hak Royalti minya lebih 12 bilion disamping pembangunan yang lain oleh golongan yang mendakwa mereka pejuang bangsa Melayu. Jangan kerana atas alasan Melayu menyebabkan kita terus membiarkan pembaziran wang rakyat seperti kos bil elektrik dan air kediaman Perdana Menteri mencecah RM10 juta setahun manakala kos selenggara RM49 juta setahun. Jangan kerana terhutang budi dengan duit RM100, RM500 dan sebagainya menyebabkan kita terus membiarkan masalah rasuah, pecah amanah yang mendekatkan Negara kita menjadi muflis. Jangan kerana nama Melayu menyebabkan kita rela syarikat kapal terbang MAS terpaksa membeli minyak daripada Syarikat arak Filiphina di mana salah seorang ahli pengarahnya orang Melayu. Islamkan Melayu nescaya kita bahagia dunia akhirat, jangan melayukan Islam sehingga kita menderita dunia akhirat.
Firman Allah dalam ayat 41 Surah al-Hajj:
الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّـهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ
Maksudnya : Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Jumaat, 12 April 2013
Pemimpin Adil Bawa Bahagia Pemimpin Zalim Bawa Derita
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 41 Surah al-Hajj:
الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّـهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ
Maksudnya : Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan
Kedatangan nabi Muhammad s.a.w sebagai nabi akhir zaman yang bukan sahaja sebagai seorang ahli ibadat yang tawadhu’, pendakwah yang cekal, ketua keluarga yang penyayang, ahli masyarakat yang sopan, ketua tentera yang bijak malah sebagai pemimpin negara yang hebat. Jangan sekali-kali memisahkan cara hidup nabi dalam setiap kehidupan dengan hanya melihat nabi sebagai pendakwah yang tidak berpolitik atau hanya memakmurkan masjid tidak terlibat dalam mengurus negara. Kewafatan nabi bukan bererti berakhirnya dakwah Islam sebagaimana permusuhan terhadap Islam terus berlangsung hingga hari qiamat. Jahiliah yang pernah dibanteras oleh nabi akan kembali subur semula akibat gagalnya sistem Islam dilaksanakan atas muka bumi ini. Tugas nabi yang mulia ini diteruskan oleh khulafa’ ar-Rasyidin selepas kewafatan baginda bagi memastikan suasana yang baik dan teratur tidak kembali menjadi buruk dan berterabur. Sesuai dengan maksud khalifah itu sendiri iaitu kepimpinan dalam mengurus dunia berdasarkan agama ke arah menjamin kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Antara tugas besar kepimpinan Islam ialah memastikan rakyat jelata sentiasa mengambil berat tentang kewajipan solat 5 waktu, pembayaran zakat dan agihan yang adil kepada rakyat dalam memastikan hubungan manusia dengan Allah dan hubungan manusia sesama manusia berjalan dengan baik bagi menjamin keberkatan dan ketenangan hidup ditambah dengan memperkasa tugas amar makruf nahi mungkar dalam setiap aspek kehidupan supaya cara hidup rakyat berpandu kepada wahyu bukannya hanyut dengan godaan nafsu
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 247 surah al-Baqarah :
وَقَالَ لَهُمْ نَبِيُّهُمْ إِنَّ اللَّـهَ قَدْ بَعَثَ لَكُمْ طَالُوتَ مَلِكًا ۚ قَالُوا أَنَّىٰ يَكُونُ لَهُ الْمُلْكُ عَلَيْنَا وَنَحْنُ أَحَقُّ بِالْمُلْكِ مِنْهُ وَلَمْ يُؤْتَ سَعَةً مِّنَ الْمَالِ ۚ قَالَ إِنَّ اللَّـهَ اصْطَفَاهُ عَلَيْكُمْ وَزَادَهُ بَسْطَةً فِي الْعِلْمِ وَالْجِسْمِ ۖ وَاللَّـهُ يُؤْتِي مُلْكَهُ مَن يَشَاءُ ۚ وَاللَّـهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ
Maksudnya : Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka: "Bahawasanya Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu. Mereka menjawab: "Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan ia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan?" Nabi mereka berkata:" Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan". Dan (ingatlah), Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas (rahmatNya dan pengurniaanNya), lagi meliputi ilmuNya.
Tugas sebagai pemimpin bukanlah suatu lambang kebanggaan sebaliknya ia adalah amanah yang besar dalam membentuk corak pemerintahan samada tunduk kepada Allah atau menyalahiNya, mendapat berkat atau laknat, bermatlamat dunia atau akhirat. Al-Quran dan hadis nabi banyak memberitahu kepada kita bagaimana pemimpin yang adil mengikut syariat akan mendapat balasan Syurga manakala pemimpin zalim akan dibakar dalam Neraka. Malah pemimpin yang adil antara 7 golongan yang bakal dipayungi di bawah bayangan Arasy pada hari akhirat dan juga antara golongan yang dimakbulkan doa oleh Allah.
Menyedari tentang kewajipan dan tanggungjawab pemimpin yang begitu besar ini maka kita sebagai rakyat jelata mesti memilih kepimpinan sebagaimana yang diajar oleh wahyu bukannya mengikut selera wahyu. Kisah perlantikan Talut sebagai pemimpin dalam berdepan dengan kezaliman Jalut antaranya mengajar kita tentang 2 ciri utama pemimpin iaitu berilmu dan beramal dengan ajaran syarak disamping memiliki kemampuan untuk melaksanakan tugas yang dipikul serta mampu memberi keyakinan kepada rakyat dengan penampilan akhlak yang baik.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 8 surah Al-Maidah :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّـهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ ۖ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا ۚ اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۖ وَاتَّقُوا اللَّـهَ ۚ إِنَّ اللَّـهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.
Kisah ini juga memberi peringatan agar kita jangan terpedaya dalam memilih pemimpin hanya berdasarkan keturunan dan kekayaan semata-mata kerana ia tidak menjamin kebahagiaan hidup dunia apatah lagi di akhirat nanti. Ingat pesanan berharga daripada Khalifah Umar bin Abdul Aziz : Jika pemimpin kaya maka rakyat akan miskin tetapi bila pemimpin miskin maka rakyat akan kaya. Ini adalah kerana pemimpin yang kaya sentiasa sibuk untuk menambah kekayaan sehingga lupa rakyat yang susah sedangkan pemimpin yang miskin sentiasa berfikir tentang kebajikan rakyatnya yang susah." Begitu juga Ibnu Khaldun di dalam al-Muqaddimah telah menggariskan beberapa sebab atau punca yang menyebabkan keruntuhan sesebuah kerajaan antaranya ialah masalah wang atau aktiviti mega yang berbentuk mewah bukan untuk keperluan rakyat sehingga wujudnya pembaziran, pecah amanah, salah kuasa, rasuah yang menyebabkan rakyat memikul bebanan cukai dan kos sara hidup yang tinggi ketika pemimpin terus hidup mewah. Kepincangan dalam menguruskan kekayaan Negara cuba ditutup dengan pemberian habuan yang sedikit kepada rakyat dengan membiarkan masalah rasuah, pecah amanah, pembaziran serta hasil mahsul Negara dibahagi sesama kroni sahaja sehingga yang kaya semakin kaya yang miskin papa kedana. Kita begitu bimbang apabila hutang dalam Negara kita makin membesar akibat pembaziran, pecah amanah, rasuah yang kadarnya sentiasa meningkat dari tahun ke tahun yang mendekatkan Negara menjadi muflis
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 19 surah at-Taubah :
أَجَعَلْتُمْ سِقَايَةَ الْحَاجِّ وَعِمَارَةَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ كَمَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَجَاهَدَ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ ۚ لَا يَسْتَوُونَ عِندَ اللَّـهِ ۗ وَاللَّـهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ
Maksudnya : Adakah kamu sifatkan hanya perbuatan memberi minum kepada orang-orang yang mengerjakan Haji, dan (hanya perbuatan) memakmurkan Masjid Al-Haraam itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta berjihad pada jalan Allah? Mereka (yang bersifat demikian) tidak sama di sisi Allah, dan Allah tidak memberikan hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim.
Al-Quran turut menyatakan bagaimana betapa pentingnya dalam menghidupkan syiar dan syariat dalam negara agar keberkatan hidup dunia dicapai, kebahagiaan akhirat digapai. Oleh itu kita bukan sahaja digalakkan untuk membina masjid tetapi apa yang paling penting dalam memperkasakan pengajian agama sehingga rakyat jelata berilmu dan semakin jinak dengan masjid. Jangan pula seronok memberitahu dunia bahawa mereka adalah golongan yang membina masjid sedangkan dalam masa yang sama tangan yang sama memberi lesen untuk judi, kelab malam, kilang dan kedai arak yang berleluasa, hiburan melampau serta tempat dan aktiviti maksiat yang lain. Kita tidak mahu rakyat terus hanyut dengan hiburan melampau, ketagihan arak, judi, penzinaan akibat lesen yang diberi. Sepatutnya dengan melihat pelbagai kerosakan akhlak yang membawa kepada peningkatan jenayah dalam negara maka pelbagai aktiviti tarbiah dipertingkat manakala lesen tempat maksiat dikawal bukan semakin disuburkan semata-mata mahu mengaut keuntungan dunia sehingga maruah rakyat dikorbankan. Sampai bilakah kita mahu dikenali sebagai negara pengguna arak antara yang terbesar di dunia dan pengutip hasil judi yang terus menjadi antara sumber utama negara. Oleh itu buatlah perubahan terbaik dalam memilih pemimpin demi mencapai keberkatan hidup di dunia dan kebahagiaan hidup di akhirat. Jangan menyalahkan orang lain jika kerosakan dalam negara terus berlaku akibat kesalahan kita sendiri dalam memilih pemimpin. Ingatlah bahawa atas setiap kita adanya amanah mengikut jawatan yang kita pikul dan amanah ini pasti akan ditanya diakhirat kelak termasuk dalam masalah memilih pemimpin. Bijak memilih bahagia, Salah memilih menderita.
Firman Allah dalam ayat 41 Surah ar-Ruum:
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
Maksudnya : Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Jumaat, 5 April 2013
7 Dosa Besar DiJauhi Negara DiBerkati
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 65 surah az-Zumar :
وَلَقَدْ أُوحِيَ إِلَيْكَ وَإِلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكَ لَئِنْ أَشْرَكْتَ لَيَحْبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ
Maksudnya : Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (wahai nabi Muhammad) dan kepada Nabi-nabi yang terdahulu daripadamu: "Demi sesungguhnya! jika engkau (dan pengikut-pengikutmu) mempersekutukan (sesuatu yang lain dengan Allah) tentulah akan gugur amalmu, dan engkau akan tetap menjadi dari orang-orang yang rugi.
Umat Islam sentiasa diperingatkan oleh agama berkenaan dosa pahala, Syurga Neraka, dunia akhirat agar kita tidak lalai sehingga melampaui syariat. Sesuai dengan sistem agama yang meliputi seluruh aspek kehidupan termasuk ibadat khusus, politik, ekonomi, sosial dan sebagainya maka berjayalah umat yang meletakkan Islam sebagai cara hidup dan betapa ruginya umat yang hanya menjadikan agama hanya berguna pada perkara yang selari dengan kehendak nafsunya dengan menolak system agama yang bercanggah dengan nafsu serakahnya. Jadikanlah diri kita sebagai warga akhirat yang menjadikan dunia hanya sebagai tempat persinggahan dalam mengumpul sebanyak mungkin bekalan akhirat. Jangan sama sekali jadikan diri kita sebagai warga dunia yang menjadikan dunia yang sementara ini sebagai matlamat hidup sehingga mengenepikan akhirat. Nabi Muhammad s.a.w sentiasa memperingatkan kita bahawa dunia adalah tempat untuk beramal manakala akhirat nanti adalah tempat untuk kita menerima pembalasan samada Syurga yang penuh nikmat atau Neraka yang penuh azab. Oleh itu marilah kita sama-sama meningkat amal soleh disamping menjauhi dosa derhaka terhadap Allah terutama 7 dosa besar sebagaimana yang diungkapkan oleh nabi s.a.w dalam suatu hadis yang diriwayatkan oleh imam Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah RH:
قال الرسول : اجْتَنِبُوا السَّبْعَ المُوْبِقَاتِ ؟ قَالُوا يَارَسُوْلَ اللهِ وَ مَا هُنَّ ؟ قَالَ الشِرْكُ بِاللهِ وَ السِّحْرُ وَ قَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللهُ إِلاَّ بِالْحَقِّ وَ أَكْلُ الرِّبَا وَ أَكْلُ ماَلِ الْيَتِيْمِ وَ التَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ وَ قَذْفُ الْمحْصَنَاتِ الْغَافِلاتِ الْمُؤْمِنَاتِ
Maksudnya : Jauhilah 7 perkara yang membinasakan. Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah! Apakah 7 perkara tersebut?. Baginda menjawab: “Syirik kepada Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan untuk dibunuh kecuali dengan haq (benar), makan riba, makan harta anak yatim, lari dari pertempuran dan menuduh zina terhadap wanita beriman yang terhormat serta menjaga kehormatan
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 43 surah al-Furqan :
أَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَـٰهَهُ هَوَاهُ أَفَأَنتَ تَكُونُ عَلَيْهِ وَكِيلًا
Maksudnya : Nampakkah (wahai nabi Muhammad) keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhan yang dipuja lagi ditaati? Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya jangan sesat?.
Dosa paling besar yang wajib kita jauhi ialah dosa syirik mempersekutukan Allah. Biasanya kita mudah nampak apabila manusia yang syirik pada Allah dalam menyembah patung berhala, matahari, pokok dan sebagainya yang dianggap sebagai tuhan. Apa yang jelas masih diteruskan oleh pemimpin walau pun telah difatwakan haram oleh Majlis Fatwa ialah penghormatan kepada Tugu Pahlawan. Begitu juga sikap memperkecilkan sistem Islam dengan penggubalan undang-undang yang bercanggah dengan Islam disamping membiarkan suara-suara sumbang dari kalangan umat Islam sendiri yang memperlekehkan undang-undang Islam dalam masalah hukum Hudud, penutupan aurat, pergaulan bebas dan sebagainya akibat dirasuk dengan fahaman sesat sekulerisme yang memisahkan antara agama dan urusan mentadbir dunia. Oleh itu kita wajib bersyukur kepada Allah atas nikmat iman dan Islam yang wajib dijaga termasuk kita yakin bahawa Allah sahaja yang Maha Memberi rezeki di mana makhluk termasuk pemimpin hanya sebagai suatu cara untuk menyampaikan rezeki yang telah ditentukan oleh Allah. Menjadi suatu kesalahan besar jika terlalu terhutang budi kepada orang yang berbuat baik kepada kita termasuk ibubapa sehingga kita mengikut suruhan yang bercanggah daripada syariat Islam. Ingatlah alasan terakhir Firaun bila tidak mampu melawan kekuatan hujah nabi Musa a.s. iaitu mengungkit jasa beliau yang menjaga dan memberi makan minum nabi Musa semenjak dari kecil lagi namun dengan tegas ditolak oleh Musa a.s bahawa baginda tidak akan menyokong syirik dan kezaliman serta memperingatkan Firaun bahawa Pemberi rezeki yang sebenar adalah Allah
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Dosa besar yang kedua ialah amalan sihir di mana tidak dapat dinafikan ada ramai di kalangan umat Islam sendiri yang terlibat dengan amalan ini termasuk masalah mencari kedudukan dalam politik kepartian sehingga negara pernah digegarkan dengan pembunuhan wakil rakyat oleh bomoh. Dosa besar yang ketiga ialah membunuh orang tanpa sebenar di mana kita melihat akhir-akhir ini pembunuhan yang berlaku dalam negara semakin meningkat. Ia disebabkan daripada sifat tercela yang merasuk jiwa seperti hasad dengki, gagal mengawal kemarahan, gila harta dan pangkat disamping mabuk arak dan ketagihan dadah. Imam Hasan al-Basri berkata : “ 4 perkara di mana sesiapa yang memilikinya maka Allah memeliharanya daripada syaitan dan mengharamkannya daripada azab Neraka iaitu sesiapa yang mampu menahan diri ketika dalam keghairahan, ketakutan, syahwat dan kemarahan”
Firman Allah dalam ayat 93 surah an-Nisa’ :
وَمَن يَقْتُلْ مُؤْمِنًا مُّتَعَمِّدًا فَجَزَاؤُهُ جَهَنَّمُ خَالِدًا فِيهَا وَغَضِبَ اللَّـهُ عَلَيْهِ وَلَعَنَهُ وَأَعَدَّ لَهُ عَذَابًا عَظِيمًا
Maksudnya : Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal ia di dalamnya, dan Allah murka kepadanya, dan melakanatkannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 278 – 279 surah al-Baqarah :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّـهَ وَذَرُوا مَا بَقِيَ مِنَ الرِّبَا إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ فَإِن لَّمْ تَفْعَلُوا فَأْذَنُوا بِحَرْبٍ مِّنَ اللَّـهِ وَرَسُولِهِ ۖ وَإِن تُبْتُمْ فَلَكُمْ رُءُوسُ أَمْوَالِكُمْ لَا تَظْلِمُونَ وَلَا تُظْلَمُونَ
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman. Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.
Dosa besar yang keempat ialah makan riba di mana kita di Kelantan Alhamdulillah tindakan bijak kerajaan negeri untuk mengeluarkan simpanannya dari bank riba menyebabkan semua bank bertindak mengadakan kaunter perbankan Islam. Sedangkan kesungguhan di peringkat negara terhadap haramnya riba masih dingin di mana banyak amalan riba bukan sahaja diteruskan malah disuburkan lagi sedangkan dunia sedang menyaksikan sistem riba antara sebab utama ekonomi dunia semakin hancur dan banyak negara menjadi muflis. Akibat teralu seronok dengan janji syaitan bahawa riba menguntungkan menyebabkan amaran Allah yang mengisytiharkan perang terhadap amalan riba dipandang sepi.
Dosa besar yang kelima ialah makan harta yatim dengan cara yang bercanggah dengan syariat. Islam begitu memuliakan anak yatim dan golongan yang menjaga kebajikan mereka disamping memberi amaran keras kepada sesiapa yang mengkhianati anak yatim. Firman Allah dalam ayat 34 surah al-Isra’ :
وَلَا تَقْرَبُوا مَالَ الْيَتِيمِ إِلَّا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ حَتَّىٰ يَبْلُغَ أَشُدَّهُ ۚ وَأَوْفُوا بِالْعَهْدِ ۖ إِنَّ الْعَهْدَ كَانَ مَسْئُولًا
Maksudnya : Dan janganlah kamu menghampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya), sehingga dia baligh (dewasa serta layak mengurus hartanya dengan sendiri); dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya.
Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,
Dosa besar yang keenam ialah lari daripada medan perjuangan. Kita sebelum ini menyaksikan bagaimana pencerobohan terhadap bumi Palestin, Iraq dan sebagainya yang menuntut jihad peperangan terhadap musuh Islam. Manakala dalam masa sebulan lebih ini kita didedahkan dengan pencerobohan di Lahad Datu yang telah mengorbankan ramai polis dan tentera. Kita doakan semoga ia diselesaikan dengan baik dan segera disamping mimbar Jumaat pada hari ini mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga perwira kita. Kita juga mesti memperkasakan amar makruf nahi mungkar dan jangan lari daripada tugas penting ini termasuk dalam masalah kepimpinan di mana ketika merenungi suatu hadis daripada Imam al-Bukhari meriwayatkan dengan sanadnya hingga sampai kepada Zubair Adi. Beliau berkata, “Kami datang kepada Anas Malik, kemudian kami mengadu kepadanya mengenai kezaliman yang dilakukan Hajjaj Yusuf Thaqafiy. Dia menjawab, “Sabarlah, kerana setiap zaman yang berjalan yang kemudiannya lebih buruk daripada sebelumnya. Hingga kamu bertemu Rabb kamu. Saya mendengar hadis ini daripada Nabi SAW.”
Menurut Ibnu Masud, “Hadis ini tidaklah bererti pemerintah hari esok lebih buruk daripada pemerintah hari ini, juga bukan bererti tahun akan datang lebih buruk daripada tahun ini.
“Maknanya, ulama kamu dan ahli fiqah ramai yang meninggal dunia sehingga kamu tidak menemui pengganti mereka, akhirnya datanglah orang yang tidak berilmu memberikan fatwa dalam agama berdasarkan akal mereka.”
Dalam riwayat lain, beliau mengatakan, “Akhirnya orang yang tidak berilmu itu menelanjangkan Islam dan menghancurkannya.”
Oleh itu kita jangan lari daripada perjuangan dalam memilih pemimpin yang mampu memandu kita kepada kebahagiaan hidup dunia akhirat agar kemakmuran dan keberkatan Negara terus dikecapi
Dosa besar yang ketujuh ialah menuduh orang yang beriman dan soleh terlibat dengan perbuatan terkutuk seperti zina dan liwat. Pada hari ini sekali lagi tuduhan liwat dan zina terhadap seseorang melalui video dan sebagainya dimainkan tanpa rasa takut kepada Allah akibat daripada hukuman Islam diketepikan. Ingatlah amaran Allah dalam ayat 4 surah an-Nuur :
وَالَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاءَ فَاجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً وَلَا تَقْبَلُوا لَهُمْ شَهَادَةً أَبَدًا ۚ وَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ
Maksudnya : Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan 4 orang saksi, maka sebatlah mereka 80 kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik;
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Kepimpinan Islam DiDaulat Keadilan DiMartabat
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 46-47 surah al-Kahfi :
الْمَالُ وَالْبَنُونَ زِينَةُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ وَالْبَاقِيَاتُ الصَّالِحَاتُ خَيْرٌ عِندَ رَبِّكَ ثَوَابًا وَخَيْرٌ أَمَلًا ﴿٤٦﴾ وَيَوْمَ نُسَيِّرُ الْجِبَالَ وَتَرَى الْأَرْضَ بَارِزَةً وَحَشَرْنَاهُمْ فَلَمْ نُغَادِرْ مِنْهُمْ أَحَدًا
Maksudnya : Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan. Dan (ingatkanlah) hari Kami bongkar dan terbangkan gunung-ganang dan engkau akan melihat (seluruh) muka bumi terdedah nyata; dan Kami himpunkan mereka (di padang Mahsyar) sehingga Kami tidak akan tinggalkan seorangpun dari mereka
Kita sedang berada pada hari Jumaat yang merupakan penghulu segala hari yang mempunyai begitu banyak kelebihan di sisi Allah. Jadikanlah kita antara hamba Allah yang sentiasa memperbanyakkan amalan soleh disamping memohon keampunan kepada Allah serta tidak mensia-siakan kedatangan hari Jumaat dengan memperbanyakkan doa untuk kebahagiaan dunia dan akhirat kita. Sesuai dengan peringatan junjungan besar nabi Muhammad s.a.w bahawa qiamat akan berlaku pada hari Jumaat juga maka kita sentiasa bersiap dengan bekalan akhirat dengan tidak hanyut dengan tipuan dunia. Renungi nasihat Abu Hazim Salamah bin Dinar kepada Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik tentang sebab ramai manusia takut kepada mati kerana kita telah memewahkan rumah di dunia dan meruntuhkan rumah kita di akhirat. Maka sepastinya kita takut berpindah dari rumah yang mewah ke rumah yang runtuh. Pesanan beliau lagi : “Barang-barang akhirat pada saat ini sedang murah. Pada suatu hari nanti, barang-barang itu akan menjadi sangat mahal sehingga tidak mampu dibeli.” Benarlah bahawa barang-barang akhirat menjadi mahal apabila nyawa telah berada di halkum. Pada saat itu, pintu taubat dan pintu amalan telah ditutup sehingga bersedekah semua hartanya sekalipun, Allah tidak akan menerimanya lagi. Oleh itu hidup di dunia adalah suatu kesempatan untuk membina mahligai selesa di akhirat. Jangan asyik sibuk membina dan menghias cantik rumah dunia yang bakal ditinggal sebagai pusaka. Sebelum meninggal dunia, marilah kita berusaha untuk memastikan ada mahligai indah yang bakal didiami di syurga nanti.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 13-14 surah al-Kahfi :
نَّحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُم بِالْحَقِّ ۚ إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى ﴿١٣﴾ وَرَبَطْنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ إِذْ قَامُوا فَقَالُوا رَبُّنَا رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ لَن نَّدْعُوَ مِن دُونِهِ إِلَـٰهًا ۖ لَّقَدْ قُلْنَا إِذًا شَطَطًا
Maksudnya : Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk. Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: "Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran."
Antara amalan sunat sempena berada pada malam atau hari Jumaat dengan membaca surah al-Kahfi di mana antara fadhilatnya akan dikurniakan cahaya, dijauhi gangguan syaitan, selamat daripada fitnah Dajjal dan pelbagai kelebihan yang lain. Surah al-Kahfi banyak memuatkan kisah-kisah teladan sebagai pedoman yang berharga kepada kita termasuk kisah sekumpulan pemuda yang ditidurkan oleh Allah ratusan tahun di dalam gua ketika mempertahankan keimanan mereka. Sebagaimana kita sentiasa diingatkan tentang kisah nabi Muhammad s.a.w yang dijaga daripada kesesatan semenjak dari kecil lagi sehingga baginda walaupun hidup dalam suasana jahiliah yang menyembah berhala namun baginda bukan sahaja tidak turut serta dalam menyembah berhala malah begitu benci kepada berhala. Begitulah juga yang berlaku kepada pemuda al-Kahfi yang sanggup mempertahankan iman walau pun terpaksa berdepan dengan cabaran. Suasana jahiliah moden pada hari ini menuntut kesungguhan dan istiqamah ibubapa dalam mendidik anak-anak agar tidak terpesong dengan ajaran sesat dan terheret dengan budaya hidup yang bercanggah dengan agama termasuk pemikiran bahawa ikut agama amat menyusahkan, hiburan melampau sehingga terlibat pula dengan arak dan dadah, pakaian yang mendedah aurat serta pergaulan bebas yang membuka pintu zina dan pelbagai penyakit sosial yang lain. Oleh itu sempena berada pada hari Jumaat yang mulia ini marilah kita sama-sama muhasabah menghitung diri tentang kita dan anak isteri kita. Adakah kita dan anak kita begitu jinak dengan masjid atau pun lebih seronok di tempat hiburan. Adakah kita dan anak kita lebih mengenali dan mencintai nabi Muhammad s.a.w, para sahabat, ulama’ daripada artis, ahli sukan dan lain-lain. Adakah rumah kita lebih banyak kedengaran bacaan al-Quran atau dipenuhi bunyi nyanyian. Adakah di dalam jadual harian kita dan anak kita masa untuk belajar ilmu agama atau asyik melayan rancangan tv sahaja. Adakah rak di rumah kita dipenuhi buku agama atau komik dan majalah hiburan. Jika lebih banyak racun yang kita guna dalam kehidupan seharian maka semakin banyak penyakit yang bakal kita hidapi. Ibadat yang kita semai pahala dan keberkatan yang kita bakal tuai. Jika maksiat jadi cara hidup maka dosa dan bala Allah yang kita jemput.
Hargailah nikmat iman dan Islam yang merupakan nikmat terbesar yang dianugerahkan oleh Allah. Imam Syafie pernah berwasiat: “Iman mempunyai bentengnya bagi menghalang segala serangan yang cuba merobohkannya. Oleh itu, bagi menguatkan benteng iman, perlulah dibaja keimanan dengan 5 perkara iaitu [1] yakin, [2] ikhlas, [3] mengerjakan amalan sunat, [4] istiqamah beramal dan [5] bertatasusila ataupun berdisiplin dalam mengerjakan ibadah.”
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 39-40 surah al-Hijr :
قَالَ رَبِّ بِمَا أَغْوَيْتَنِي لَأُزَيِّنَنَّ لَهُمْ فِي الْأَرْضِ وَلَأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ ﴿٣٩﴾ إِلَّا عِبَادَكَ مِنْهُمُ الْمُخْلَصِينَ
Maksudnya: Iblis berkata: " Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada nabi Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka kesemuanya, (39) "Kecuali di antara zuriat-zuriat nabi Adam itu hamba-hambaMu yang dibersihkan dari sebarang syirik".
Kisah ashabul Kahfi turut memberi pengajaran besar dalam masalah kepimpinan di mana pemimpin yang tunduk dan patuh kepada Allah sahaja yang mesti menjadi pilihan walau pun terpaksa menghadapi pelbagai tekanan dan penderitaan. Jangan akibat terhutang budi dengan bantuan yang sedikit menyebabkan kita lupa masalah penyelewengan, pecah amanah, rasuah yang begitu banyak. Adakah cerdik bila terlalu berterima kasih kepada pemimpin yang memberi wang yang memang milik kita sehingga terus menghalalkan salahguna terhadap hasil mahsul negara sehingga Negara bakal muflis jika penyelewengan ini terus dibiarkan berlaku. Kita jangan mudah tertipu termasuk dalam masalah kalimah Allah di mana pemimpin yang ada sekarang adalah dalang utama dalam menghalalkan Bible yang ada kalimah Allah untuk disebarkan dan digunapakai dengan menuduh orang lain membuatnya. Sampai bila kita mahu terus membaca masalah zina dan pembuangan bayi terus bertambah sedangkan pemimpin yang membuka banyak pintu zina termasuk lesen kelab malam dan hiburan melampau sehingga tidak cukup dengan artis dalam Negara maka dijemput pula artis luar Negara dengan belanja jutaan ringgit. Sampai bila kita mahu menonton peningkatan ketagihan arak dan judi sedangkan pemimpin seronok mengutip hasil cukai arak dan judi yang menjadi sumber pendapatan negara. Jangan hanya pandai menuding bahawa kerosakan berlaku kerana pemimpin yang memberi lesen kepada punca masalah sedangkan kita terus memilih pemimpin jenis ini akibat terlalu gila dengan habuan yang sedikit sehingga agama diketepikan dalam pemilihan pemimpin. Oleh itu contohilah Ashabul Kahfi dalam memilih pemimpin sehingga apabila mereka kembali jaga daripada tidur, pemimpin dan masyarakat yang kufur telah diganti dengan pemimpin dan masyarakat yang beriman. Kita jangan terus tidur dalam jaga sehingga tertukar antara kepimpinan yang amanah dan adil yang taat kepada Allah dalam mengurus dunia berdasarkan agama dengan pemimpin yang mendakwa cinta kepada Islam sedangkan banyak tindakan dilakukan merugikan Islam dan umatnya. Memilih pemimpin yang banyak ingatkan Allah dan akhirat maka rakyat di bawah lebih banyak memikirkan kebahagiaan dunia akhirat. Memilih pemimpin yang cinta dunia maka rakyat di bawah lebih banyak membicarakan kesenangan dunia sehingga meminggirkan akhirat. Manusia mengikut agama pemimpin mereka. Bijak memilih pemimpin berdasarkan agama maka bahagia dunia akhirat. Bodoh dalam memilih pemimpin berdasarkan keseronokan dunia menyebabkan derita dunia akhirat.
Firman Allah dalam ayat 166-167 surah al-Baqarah :
إِذْ تَبَرَّأَ الَّذِينَ اتُّبِعُوا مِنَ الَّذِينَ اتَّبَعُوا وَرَأَوُا الْعَذَابَ وَتَقَطَّعَتْ بِهِمُ الْأَسْبَابُ ﴿١٦٦﴾ وَقَالَ الَّذِينَ اتَّبَعُوا لَوْ أَنَّ لَنَا كَرَّةً فَنَتَبَرَّأَ مِنْهُمْ كَمَا تَبَرَّءُوا مِنَّا ۗ كَذَٰلِكَ يُرِيهِمُ اللَّـهُ أَعْمَالَهُمْ حَسَرَاتٍ عَلَيْهِمْ ۖ وَمَا هُم بِخَارِجِينَ مِنَ النَّارِ
Maksdnya : Ketika orang-orang yang diikuti (pemimpin) itu berlepas diri daripada mereka yang mengikutinya dan mereka melihat siksa dan (ketika) segala hubungan antara mereka terputus sama sekali. Dan berkatalah para pengikut : Sekiranya kami dapat kembali (ke dunia) sudah pasti kami akan berlepas diri daripada mereka (pemimpin) sebagaimana mereka (pemimpin) berlepas diri daripada kami. Demikianlah Allah memperlihatkan kepada mereka amal perbuatan mereka yang menjadi kesesalan bagi mereka dan mereka tidak sekali-kali akan dikeluarkan daripada api neraka.”
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Langgan:
Catatan (Atom)