أهلا وسهلا ومرحبا بكم
Kandungan Blog
Rabu, 24 September 2014
Jatidiri DiBina Kemenangan Islam DiJana
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 27-28 surah al-Hajj :
وَأَذِّن فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ ﴿٢٧﴾ لِّيَشْهَدُوا مَنَافِعَ لَهُمْ وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّـهِ فِي أَيَّامٍ مَّعْلُومَاتٍ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُم مِّن بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ ۖ فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ
Maksudnya : Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh. “Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.
Kini kita berada pada bulan Zulkaedah yang merupakan bulan ke-2 terakhir dalam taqwim Hijrah. Pada bulan ini ramai di kalangan umat Islam dari seluruh dunia termasuk ibubapa, adik-beradik, sanak saudara mahu pun sahabat handai kita telah dan akan bertolak menuju ke tanah suci Mekah bagi menunaikan Fardhu haji. Kita doakan semoga para jemaah haji diberikan keselamatan sepanjang menunaikan ibadat di Mekah dan dianugerahkan dengan ganjaran haji mabrur yang diidamkan.
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُأَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: العُمْرَةُ إِلَى العُمْرَةِ كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا، وَالحَجُّ المَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلَّا الجَنَّةَ – مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ.
Maksudnya : Antara umrah kepada umrah lainnya itu akan menghapuskan dosa di antara keduanya. Dan haji mabrur tidak ada balasannya melainkan Syurga.
Semoga pertemuan dan berkumpulnya sebahagian besar umat Islam dari seluruh dunia dibumi Mekah mampu menanam seterusnya membangkitkan semangat untuk bersatu atas dasar Islam dalam membebaskan kita daripada belenggu penjajahan hawa nafsu dan system ciptaan manusia kepada tunduk patuh kepada Allah dengan melaksanakan system Islam dalam seluruh aspek kehidupan. Jadikan bilangan yang ramai yang bermanfaat dengan membuang penyakit al-Wahnu iaitu takut kepada mati dan terlalu cinta kepada dunia
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 27 surah al-Fathu :
لَّقَدْ صَدَقَ اللَّـهُ رَسُولَهُ الرُّؤْيَا بِالْحَقِّ ۖ لَتَدْخُلُنَّ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ إِن شَاءَ اللَّـهُ آمِنِينَ مُحَلِّقِينَ رُءُوسَكُمْ وَمُقَصِّرِينَ لَا تَخَافُونَ ۖ فَعَلِمَ مَا لَمْ تَعْلَمُوا فَجَعَلَ مِن دُونِ ذَٰلِكَ فَتْحًا قَرِيبًا
Maksudnya : Demi sesungguhnya! Allah tetap menyatakan benar RasulNya dalam perkara mimpi itu dengan kenyataan yang sebenar; iaitu sesungguhnya kamu tetap akan memasuki Masjid Al-Haraam – insya Allah (pada masa yang ditentukanNya) – dalam keadaan aman (menyempurnakan ibadat umrah kamu) dengan mencukur kepala kamu, dan kalau (tidak pun) menggunting sedikit rambutnya, serta kamu tidak merasa takut (akan pengkhianatan musuh sehingga kamu keluar balik dari situ). (Allah mengangguhkan berlakunya kenyataan itu) kerana Ia mengetahui (adanya feadah dalam penangguhan itu) yang kamu tidak mengetahuinya; maka Ia menyediakan sebelum (terlaksananya mimpi) itu, satu kemenangan yang dekat (masa berlakunya).
Bulan Zulkaedah pernah mencatat beberapa peristiwa besar dan bersejarah antaranya telah berlangsungnya Perjanjian Hudaibiah pada tahun 6 Hijrah antara kaum muslimin pimpinan Rasulullah s.a.w dengan kaum Quraisy. Peristiwa ini berlaku apabila umat Islam yang ingin menunaikan ibadat haji telah dihalang oleh kafir Quraisy. Mereka merasa begitu gerun melihat betapa ramainya jumlah umat Islam walau pun kedatangan mereka ke Mekah bertujuan untuk menunaikan ibadat haji bukannya untuk berperang. Akhirnya Rasulullah s.a.w telah menghantar Sayyidina Uthman bin ‘Affan ke Mekah untuk berbincang dengan pihak Quraisy bagi membolehkan umat Islam mengerjakan haji pada tahun itu. Pemergian Sayyidina Uthman yang agak lama tanpa sebarang berita menyebabkan timbulnya cerita bahawa beliau telah dibunuh yang membawa kepada berlangsungnya Bai’ah ar-Ridhuan di bawah sebatang pokok di Hudaibiah bagi menyatakan kesanggupan mereka untuk membela Islam walau pun terpaksa menumpahkan darah. Ketika kaum muslimin sedang berbai’ah, tiba-tiba munculnya Sayyidina Uthman di mana beliau turut sama dalam berbai’ah. Kuffar Quraisy yang mendengar tentang bai’ah yang dilakukan ini mula merasa gerun dan takut lalu mereka segera menghantar wakil bagi mengadakan perdamaian antara mereka dengan umat Islam. Melalui Perjanjian Hudaibiah inilah walau pun dari segi zahir ramai melihat tidak menguntungkan Islam tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila ia menjadi pemangkin sehingga berlangsungnya Pembukaan Kota Mekah 2 tahun selepas itu iaitu tahun 8 Hijrah akibat perlanggaran terhadap perjanjian oleh kuffar. Tugas dakwah dan peperangan selepas Pembukaan Kota Mekah berlangsung di luar semenanjung Tanah Arab setelah tanah haram ini berjaya dibersihkan daripada golongan kafir
Sidang Jumaat yang dikasihi,
Firman Allah dalam ayat 56-58 surah al- Anfal :
الَّذِينَ عَاهَدتَّ مِنْهُمْ ثُمَّ يَنقُضُونَ عَهْدَهُمْ فِي كُلِّ مَرَّةٍ وَهُمْ لَا يَتَّقُونَ ﴿٥٦﴾ فَإِمَّا تَثْقَفَنَّهُمْ فِي الْحَرْبِ فَشَرِّدْ بِهِم مَّنْ خَلْفَهُمْ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ ﴿٥٧﴾ وَإِمَّا تَخَافَنَّ مِن قَوْمٍ خِيَانَةً فَانبِذْ إِلَيْهِمْ عَلَىٰ سَوَاءٍ ۚ إِنَّ اللَّـهَ لَا يُحِبُّ الْخَائِنِينَ
Maksudnya : (Iaitu) orang-orang yang engkau telah mengikat perjanjian setia dengan mereka, kemudian mereka mencabuli perjanjian setianya pada tiap-tiap kali, sedang mereka tidak mahu memelihara dirinya (dari keaiban mencabuli perjanjian itu). Oleh itu, jika engkau menemui mereka dalam peperangan maka hancurkanlah mereka (supaya dengan itu) orang-orang yang di belakang mereka (gerun gentar); mudah-mudahan orang-orang itu pula beringat (insaf). Dan jika engkau mengetahui adanya perbuatan khianat dari sesuatu kaum (yang mengikat perjanjian setia denganmu) maka campakkanlah (perjanjian itu) kepada mereka dengan cara terus terang dan adil. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang khianat.
Pada hari ini kita dapat lihat dan rasa sendiri bagaimana banyak perjanjian dengan musuh Islam telah berlangsung di mana antara yang terbaru adalah gencatan senjata jangka panjang antara Gaza-Israel setelah serangan ganas hampir 2 bulan berlaku yang telah mengorbankan lebih 2 ribu kanak-kanak, orang tua dan orang awam yang tidak berdosa. Sekurang-kurangnya 2.5 juta butir peluru dan puluhan ribu roket digunakan oleh tentera zionis Israel semasa menyerang Semenanjung Gaza sejak 7 Julai lalu. Jumlah ini adalah 2 kali ganda jumlah yang digunakan dalam serangan ke atas Gaza pada 2012 di mana kos untuk semua itu dianggar USD1 bilion namun digagalkan oleh Allah untuk menghancurkan pejuang Islam di Gaza. Malah zionis Yahudi terpaksa tunduk kepada banyak syarat HAMAS termasuk pembebasan tahanan Palestin, pembukaan sempadan bagi memudahkan pelbagai saluran kemanusiaan dan permintaan Gaza untuk pelabuhan laut. Mitos bahawa keangkuhan zionis Yahudi tidak mampu dikalahkan akhirnya dirobek oleh semangat jihad yang tinggi daripada pejuang Islam dengan sokongan rakyat Palestin dan umat Islam seluruh dunia. Kekalahan moral zionis Yahudi dalam peperangan itu turut menjejaskan ekonomi mereka. Begitu juga kadar kelahiran yang lebih tinggi daripada jumlah kematian di Gaza juga antara tanda bantuan daripada Allah. Sempena berada pada hari Jumaat yang mulia marilah kita sama-sama berdoa untuk kemenangan lebih besar terutama dalam memerdekakan Masjid al-Aqsa daripada cengkaman zionis Yahudi disamping bantuan dalam membina semula bumi Gaza
Bila menyentuh berkenaan perjanjian maka terus berlakunya penjajahan baru yang dulunya dinamakan globalisasi tetapi kini bergerak atas nama tertentu seperti yang bakal dipersetujui oleh pemimpin Negara walau pun banyak bantahan dibuat iaitu Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TTPA). Ramai menyatakan kebimbangan dengan penjajahan baru ini menyebabkan lebih banyak pengangguran, peniaga tempatan bakal gulung tikar malah hasil Negara akan disedut tanpa batasan kerana kapitalis lebih berkuasa daripada undang-undang Negara malah boleh menggugat isu akhlak dan agama. Ini belum dikira dengan jumlah hutang Negara yang terus meningkat yang dibimbang akan muflis seperti Argentina dan Negara lain.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Kemenangan dan kemerdekaan hakiki tidak mampu kita capai kecuali dengan memenuhi syaratnya. Proses tarbiah ke arah melahirkan umat yang mempunyai jatidiri mesti diberi perhatian yang tinggi kerana kekuatan kubu yang dibina tidak menjamin keselamatan sesebuah Negara daripada penjajahan sekiranya pemimpin dan rakyatnya boleh dijual beli melalui amalan rasuah, pecah amanah dan sikap negatif yang lain. Kita juga mesti tahu tentang musuh dan cara mereka menguasai kita termasuk Syaitan. Syaitan banyak merosakkan kita dengan 3 jalan iaitu [1] mencari kepuasan hati dengan cara yang bercanggah daripada Islam seperti sanggup mengkhianati orang lain asalkan dapat apa yang dihajati seperti berlakunya seludup barang akibat pecah amanah malah kebocoran kertas peperiksaan UPSR semalam sehingga menyusahkan pelbagai pihak akibat memenuhi kata hati tanpa menghiraukan orang lain, [2] mencari ketenangan dengan jalan maksiat di mana bila orang hatinya jauh daripada mengingati Allah, tidak berpegang dengan panduan hidup yang dibekalkan kepadanya menerusi al-Quran dan jauh daripada mengamalkan panduan ditinggalkan Rasulullah SAW. Ini mengakibatkan hati menjadi kosong dan sunyi, yang hanya memudahkan ia dipengaruhi oleh bisikan syaitan. Kesunyian dan kekosongan menyebabkan seseorang itu akan mencari-cari keseronokan atau hiburan dengan harapan untuk mengisi kehampaan akibat kesunyiannya. Ada yang mengambil dadah, minum arak dan perkara negatif yang lain dan [3] Syaitan menghasut untuk menjadi kaya dengan jalan bakhil sehingga mereka mempercayai sikap kedekut dan bakhil itulah yang menyebabkan mereka dapat mengumpulkan harta sebanyak-banyaknya. Sepatutnya seseorang Muslim tidak terlalu sayang kepada harta benda dan tidak terikat untuk membelanjakannya kepada perkara kebaikan. Kita perlu fahami setiap pemberian yang dikeluarkan untuk jalan kebaikan akan diganti oleh Allah dengan ganjaran yang lebih hebat. Allah SWT memerintahkan kita bukan mencari harta semata-mata tetapi juga mencari keberkatan. Antara 3 tanda keberkatan harta iaitu harta itu membawa kepada kebaikan, semakin berharta semakin tenang hatinya, harta itu mencukupkannya dan banyaknya menggembirakan seseorang. Jika harta itu sering memberi kerunsingan hati dan selalu merasa tidak cukup, periksalah semula akan jalan masuknya harta itu dan bagaimana kita membelanjakannya. Berhati-hatilah dengan harapan yang kita pertaruhkan dalam hidup ini sama ada berlandaskan iman atau bisikan syaitan
Firman Allah dalam ayat 268 surah al-Baqarah :
الشَّيْطَانُ يَعِدُكُمُ الْفَقْرَ وَيَأْمُرُكُم بِالْفَحْشَاءِ ۖ وَاللَّـهُ يَعِدُكُم مَّغْفِرَةً مِّنْهُ وَفَضْلًا ۗ وَاللَّـهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ ﴿٢٦٨﴾
Maksudnya : Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma), dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut); sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripadaNya serta kelebihan kurniaNya. Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmatNya, lagi sentiasa Meliputi PengetahuanNya.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Langgan:
Catatan (Atom)