أهلا وسهلا ومرحبا بكم
Kandungan Blog
Jumaat, 25 Mei 2018
Ramadhan DiHayati Negara DiBerkati
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah !Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa.Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 185 surah al-Baqarah :
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ ۖوَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۗ يُرِيدُ اللَّـهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّـهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ ﴿١٨٥﴾
Maksudnya : bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur
Alhamdulillah rasa syukur kita sama-sama panjatkan ke hadhrat Allah atas nikmat Ramadhan di mana kini telah masuk hari ke-9 kita berpuasa Ramadhan bagi tahun 1439H. Ramadhan yang juga disebut sebagai penghulu segala bulan kerana terhimpun di dalamnya pelbagai amal ibadat ditambah lagi dengan penggandaan pahala terutama ada pada salah satu malamnya lailatul Qadar yang kelebihan beramal padanya lebih baik daripada seribu bulan. Ramadhan adalah bulan puasa dan juga bulan al-Quran di mana amat rugi sekiranya ada juga umat yang lalai daripada berpuasa dan juga tidak mahu rapat dengan al-Quran atas pelbagai alas an yang tidak munasabah. Masa banyak dihabiskan untuk tidur, tengok tv, baca akhbar dan layan whatsap tetapi sentiasa beri alasan tiada masa untuk baca al-Quran. Bulan Ramadhan ialah bulan kesabaran atas melaksanakan amal ibadat dan menjauhi dosa maksiat. Bulan Ramadhan adalah bulan kerahmatan, keberkatan dan bulan kemenangan di mana kita bakal menjadi hamba Allah yang berjaya dengan syarat sentiasa bersemangat dan istiqamah dalam berbuat amal ibadat dan tidak terheret dengan godaan hawa nafsu untuk bergelumang dengan dosa maksiat. Bulan Ramadhan juga ialah bulan kasih sayang yang menanam sifat pemurah untuk suka bersedekah apabila dengan berpuasa akan melahirkan kesedaran yang mendalam bagaimana nasib saudara kita yang lain yang sedang kebuluran dan tidak cukup makan sedangkan ramai di kalangan kita banyak melakukan pembaziran terutama di bulan Ramadhan. Bulan Ramadhan ialah bulan pesta ibadat bukan pesta makan. Apa yang penting ialah bulan Ramadhan bulan keampunan untuk sama-sama kita berlumba dan bersungguh dalam bertaubat atas dosa yang dilakukan dalam keadaan sedar atau tidak. Jangan malu untuk bertaubat sebaliknya takutlah azab Allah akibat malas bertaubat
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ ، وَمَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ – رواه البخاري ومسلم
Maksudnya : Sesiapa berpuasa Ramadhan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, akan diampuni dosanya yang telah lalu, dan barangsiapa menghidupkan lailatul qadar penuh keimanan dan mengharapkan pahala, akan diampuni dosanya yang telah lalu
Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 40-41 surah an-Nazi’at :
وَأَمَّا مَنْ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِ وَنَهَى النَّفْسَ عَنِ الْهَوَىٰ﴿٤٠﴾ فَإِنَّ الْجَنَّةَ هِيَ الْمَأْوَىٰ ﴿٤١﴾
Maksudnya : Adapun orang yang takutkan keadaan semasa ia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta ia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu, Maka sesungguhnya Syurgalah tempat kediamannya
Taqwa adalah matlamat utama kewajipan puasa hanya akan terhasil apabila kita mampu menundukkan nafsu syahwat untuk tunduk patuh kepada Allah dalam setiap perkara, tempat dan masa. Syeikh Ibn Ata’illah dalam kitab Al-Hikam berkata: “Bagaimana akan terang hati seseorang yang segala gambaran dunia itu terpahat dalam cermin hatinya? Atau bagaimanakah dia akan mengembara menuju kepada Allah padahal dia terbelenggu oleh nafsu syahwatnya?.
Melawan nafsu perlu kepada Mujahadah di mana seorang mujahid ialah seorang yang berjihad melawan hawa nafsunya kerana Allah. Seorang yang bermujahadah dengan rela meninggalkan apa yang disukainya demi memburu sesuatu yang diyakininya benar, baik dan betul. Sedangkan nafsu itu sebahagian daripada diri kita yang sentiasa ingin menghancurkan diri kita. Sebagaimana ungkapan Imam Al-Ghazali: “Antara tanda kecintaan hamba kepada Allah ialah dia mengutamakan perkara yang disukai Allah daripada kehendak nafsu serta peribadi, sama ada dalam aspek zahir atau batin.”
Kita tidak mahu menjadi manusia yang hanya setakat puasa perut daripada makan dan minum sahaja sedangkan anggota yang lain tidak berpuasa daripada melakukan maksiat terhadap Allah. Sebagai contohnya dulu orang mengumpat, memfitnah dengan mulut tetapi kini ramai yang mengumpat, memfitnah dengan tangan menggunakan komputer atau telefon pintar. Sepatutnya tarbiah Ramadhan membuka hati kita untuk berlumba dalam mengamalkan amalan ahli Syurga bukan berseronok dengan amalan ahli Neraka. Ketika pintu Syurga terbuka luas maka marilah kita merebutnya
إِذَا كَانَ أَوَّلُ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ صُفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ ، وَمَرَدَةُ الْجِنِّ ، وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ ، فَلَمْ يُفْتَحْ مِنْهَا بَابٌ ، وَفُتِحَتْ أَبْوَابُ الْجِنَانِ فَلَمْ يُغْلَقْ مِنْهَا بَابٌ ، وَنَادَى مُنَادٍ يَا بَاغِيَ الْخَيْرِ أَقْبِلْ ، وَيَا بَاغِيَ الشَّرِّ أَقْصِرْ ، وَلِلَّهِ عُتَقَاءُ مِنَ النَّارِ - رواه الترمذي
Maksudnya : Apabila tiba malam pertama di Bulan Ramadhan, maka akan diikatlah sekalian syaitan dan jin-jin yang jahat, ditutup pintu-pintu neraka tanpa dibukakan satupun, dan dibuka pintu-pintu syurga tanpa ditutup satupun, dan akan ada penyeru yang menyeru pada setiap malam: "Wahai orang yang inginkan kebaikan, marilah, dan wahai orang yang ingin melakukan keburukan, hentikanlah", dan bagi Allah akan ada golongan yang dimerdekakan dari api neraka,
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 9-10 surah as-Syamsu :
قَدْ أَفْلَحَ مَن زَكَّاهَا ﴿٩﴾ وَقَدْ خَابَ مَن دَسَّاهَا ﴿١٠﴾
Maksudnya : Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).
Imam Ghazali menukilkan bagaimana cara mujahadah melawan hawa nafsu dengan menempuh 3 langkah berikut:
[1] Takhalli iaitu mengosongkan atau membuang atau menyucikan hati dari sifat-sifat yang keji. Di peringkat ini, kita mesti melawan dan membuang secara paksa dan terus menerus semua kehendak nafsu jahat dan yang dilarang oleh Allah. Selagi kita tidak membenci, memusuhi dan membuang kehendak-kehendak tersebut jauh-jauh secara paksa dan terus menerus, maka nafsu jahat itu akan sentiasa menguasai dan memperhambakan kita. Apabila nafsu jahat dibiarkan menguasai kita, iman tidak akan ada tempat di hati. Bila iman tidak ada, manusia bukan lagi menyembah Allah tetapi akan menyembah hawa nafsunya. Oleh itu, usaha melawan hawa nafsu jangan diambil ringan kerana ia jihad yang besar.
[2] Tahalli iaitu mengisi atau menghiasi dengan sifat-sifat terpuji. Setelah kita mujahadah mengosongkan hati dari sifat-sifat mazmumah atau sifat-sifat keji, segera pula kita hiasi hati kita itu dengan sifat-sifat mahmudah atau terpuji.
[3] Tajalli iaitu terasa kebesaran dan kehebatan Allah atau keadaan sentiasa rasa bertuhan. Ia satu perasaan yang datang sendiri tanpa perlu diusahakan lagi. Agak sukar untuk menggambarkan perasaan ini dengan bahasa tetapi secara ringkas, secara mudah dan secara asasnya, ia adalah rasa bertuhan, rasa dilihat dan diawasi oleh Tuhan, hati seakan-akan celik, hidup, nampak dan terasa kebesaran Allah. Ingatan dan kerinduan tertuju kepada Allah.
Berdepan dengan musuh yang zahir, tidak ada jalan lain melainkan ‘berperang’ dengannya. Cuma berperang dengan musuh batin berbeza dengan musuh zahir, justeru musuh zahir dapat dilihat dan tipu dayanya dapat dinilai dengan akal dan mata. Musuh zahir agak lebih mudah didekati daripada musuh batin. Perang melawan musuh batin khususnya hawa nafsu adalah peperangan yang jauh lebih hebat dari peperangan zahir. Ini kerana medan peperangan kedua-dua musuh ini berlaku dalam diri kita. Serangan, tikaman dan ledakannya berlaku dalam diri kita. Walaupun tidak kedengaran dentumannya tetapi bisanya lebih berkesan. Justeru, ramai manusia yang mampu mengalahkan musuh zahir tetapi gagal mengalahkan hawa nafsunya sendiri.
Bila setiap diri kita mampu menghayati hikmat puasa maka akan wujudlah rakyat dan pemimpin yang bertaqwa yang tunduk patuh kepada Allah dalam setiap kehidupan termasuk politik, ekonomi, sosial dan sebagainya sehingga tertegaknya Negara berkat
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 74 surah an-Nisa’ :
فَلْيُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللهِ الَّذِينَ يَشْرُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا بِالآخِرَةِ وَمَن يُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللهِ فَيُقْتَلْ أَو يَغْلِبْ فَسَوْفَ نُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا
Maksudnya : Oleh itu (orang beriman) yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada kesenangan dunia hendaklah mereka berperang pada jalan Allah. Dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah lalu dia gugur syahid atau beroleh kemenangan maka Kami akan menganugerahkannya ganjaran pahala yang besar
Sambutan Ramadhan juga sepatutnya membuka mata kita untuk lebih rasa bertanggungjawab terhadap penderitaan saudara seagama yang terus dibunuh di Myanmar, Syria, Iraq dan lain-lain. Begitu juga sempena berada hari hari Jumaat yang mulia, bulan Ramadhan yang mulia maka kita sama-sama bangkit mengutuk tindakan bacul Amerika Syarikat yang memindahkan kedutaan Negara pengganas dunia itu ke Baitul Maqdis pada 14 Mei lalu iaitu sehari sebelum ulang tahun mengingati Peristiwa Nakba atau sejarah hitam penjahan bumi Palestin oleh yahudi yang bermula tahun 1948. Tindakan biadap ini telah menambah keganasan tentera zionis Yahudi yang telah meragut lebih daripada 100 nyawa rakyat Gaza, dan beribu-ribu cedera dalam protes di bumi Palestin tanah wakaf milik seluruh umat Islam. Isu Palestin dan umat Islam di Negara yang lain adalah isu kita bersama. Umat Islam tidak boleh dipisahkan oleh Negara, budaya dan bahasa sebaliknya kita terus bersatu atas dasar iman. Bangkitlah kita dengan harta hatta nyawa. Jangan biarkan saudara kita meraung kesakitan ketika kita girang berbuka dengan kekenyangan. Jangan biarkan saudara kita bermandi darah ketika kita seronok bersiap untuk sambut raya. Jangan biarkan rumah saudara seagama menyembam tanah sedangkan kita asyik dengan bangunan indah. Tepuklah dada tanyalah iman kita
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Selasa, 8 Mei 2018
Undi Bijak Tegak Negara Berkat
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ!! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 96 surah al-A’araf :
وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَـٰكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ ﴿٩٦﴾
Maksudnya : Dan Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.
Islam datang dengan panduan yang lengkap dan menyeluruh dalam mengatur kehidupan umat manusia agar sentiasa berada atas landasan yang benar berasaskan kepada 2 sumber utama iaitu al-Quran dan hadis nabi diikuti dengan ijma’ dan qias. Malah pengutusan nabi Muhammad s.a.w itu sendiri dalam memberi tunjuk ajar yang lebih berkesan dalam melaksanakan kewajipan agama yang menyeluruh bukan terhad kepada ibadat khusus seperti solat 5 waktu, puasa Ramadhan, zakat, ibadat haji sahaja malah merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia termasuk ekonomi, social, politik dan sebagainya. Sunnah yang diajar oleh nabi bukan hanya berkaitan makan minum, cara berpakaian, nikah kahwin tetapi lebih jauh daripada itu termasuk cara mengurus dan mentadbir negara agar mematuhi syariat. Pengutusan nabi s.a.w bukan sahaja untuk mengajak umat manusia untuk beriman kepada Allah dan melaksanakan ibadat khusus sahaja bahkan sebagai pemimpin Daulah yang agong yang berjaya menjadikan Madinah Munawwarah sebagai model negara yang adil dengan melaksanakan seluruh system Islam seterusnya berjaya membuka Kota Mekah sehingga kehidupan syirik yang membelenggunya sebelum ini berjaya dibersihkan.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 15-16 Surah Saba’:
لَقَدْ كَانَ لِسَبَإٍ فِي مَسْكَنِهِمْ آيَةٌ ۖ جَنَّتَانِ عَن يَمِينٍ وَشِمَالٍ ۖ كُلُوا مِن رِّزْقِ رَبِّكُمْ وَاشْكُرُوا لَهُ ۚ بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ ﴿١٥﴾ فَأَعْرَضُوا فَأَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ سَيْلَ الْعَرِمِ وَبَدَّلْنَاهُم بِجَنَّتَيْهِمْ جَنَّتَيْنِ ذَوَاتَيْ أُكُلٍ خَمْطٍ وَأَثْلٍ وَشَيْءٍ مِّن سِدْرٍ قَلِيلٍ ﴿١٦﴾
Maksudnya : Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba', satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu: dua kumpulan kebun (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri (kampung mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka): "Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepadaNya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun!. Maka mereka berpaling engkar, lalu Kami hantarkan kepada mereka banjir yang membinasakan, dan Kami gantikan dua kumpulan kebun mereka (yang subur) itu dengan dua kumpulan kebun yang berisi dengan pohon-pohon yang pahit buahnya, dan pohon-pohon yang jarang berbuah, serta sedikit pohon-pohon bidara.
Al-Quran dan hadis nabi s.a.w banyak mengisahkan tentang kepimpinan yang adil mengikut acuan agama diberikan keberkatan hidup manakala pemimpin yang zalim membawa kepada kehancuran dan kemusnahan kepada tamadun kebendaan yang dibina. Keberkatan sesebuah Negara bergantung kepada semakin tunduknya system Negara kepada Islam maka semakin mencurahlah keberkatan dalam sesebuah Negara itu. Kita ambil contoh al-Quran menyentuh berkaitan keberkatan kerajaan Saba’ yang menikmati kemajuan dari sudut sosial di samping mempunyai empayar ekonomi, ketenteraan dan teknologi pembinaan yang tinggi sehingga mereka dapat membina empangan Maa'rib yang masyhur dan masih kekal sehingga ke hari ini. Zaman kegemilangan ini berpunca daripada perutusan Nabi Allah Sulaiman AS, yang telah menjadikan Ratu Balqis, Ratu yang memerintah Saba' sebagai seorang yang beriman kepada Allah. Maka bermulalah zaman keagungan Saba'. Antara sebab utama kejatuhan kerajaan Saba’ akibat sikap manopoli pemimpin selepas itu sehingga menindas rakyat selain masyarakat yang kembali kufur kepada Allah. Oleh itu kita tidak mahu mengulangi kehancuran Kerajaan Saba’ seperti begitu mengagungkan tamadun Barat pada hari ini yang hanya maju dari sudut kebendaan, teknologi dan ketenteraan sahaja sedangkan masalah akhlak, jenayah semakin teruk. Kita juga wajib mengambil pengajaran kepada kejatuhan Namrud, Firaun dan sebagainya akibat menolak agama dalam bernegara
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 41 Surah al-Hajj:
الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّـهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ
Maksudnya : Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan
Negara yang zalim, keruntuhannya adalah disebabkan oleh kezaliman demi kezaliman yang dilakukan oleh pemerintah di dalam negara manakala bagi negara yang adil pula, keruntuhannya boleh berlaku jika rakyat tidak lagi mensyukuri nikmat Allah tersebut seperti lebih suka dengan cara hidup bebas daripada agama dengan membenci undang-undang Islam yang dituduh menyekat hak asasi manusia. Negara yang adil adalah nikmat kehidupan. Kesejahteraan hidup rakyat adalah melalui kerjasama yang erat antara pemerintah dan rakyat. Penguasa akan sentiasa bertanggungjawab terhadap Allah dan amanah yang dipikul, menjaga kepentingan dan maslahat rakyat, lalu rakyat memperteguhkannya melalui sokongan mereka.
Al-Quran mengajar kita dalam mewujudkan negara berkat antaranya memperkasa usaha dalam memastikan umat Islam menjaga solat 5 waktu dengan program khusus dan tindakan undang-undang. Begitu juga mengurus atur zakat agar menepati sasaran sehingga kekayaan negara dapat dirasai oleh seluruh rakyat bukan hanya berlegar di kalangan orang yang sedia kaya sahaja. Keadaan hari ini agak membimbangkan apabila pemimpin negara hanya memikirkan cara memperbanyakkan hasil kemasukan negara termasuk GST dan mengurangkan pengeluaran negara dengan menarik banyak subsidi sehingga membebankan rakyat. Golongan petani, penoreh getah misalnya menghadapi masalah harga yang terlalu rendah sedangkan pengilang dan syarikat mengecapi keuntungan yang berganda. Akhirnya negara ini menjadi "negara perniagaan" yang menyebabkan kegelapan dan kehancuran Negara sebagaimana yang diperingatkan oleh Ibnu Khaldun di dalam Mukaddimahnya : "Sesungguhnya, perniagaan dari pihak kerajaan kepada rakyat merupakan suatu kemusnahan."
Kita ada cara dengan menghapuskan GST diganti dengan cukai benar-benar kepada orang kaya sahaja seperti cukai pendapatan dan cukai saham yang mampu mengutip sehingga RM51 bilion setahun tanpa menjerut dan menzalimi orang miskin dan golongan sederhana.
Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 104 surah Ali Imran :
وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ ۚ وَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ ﴿١٠٤﴾
Maksudnya : Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.
Kepimpinan yang mampu mendatangkan keberkatan kepada negara juga wajib memperkasakan amar makruf nahi mungkar di mana yang paling besar ialah berusaha bersungguh-sungguh dalam memperkasakan Mahkamah Syariah termasuk pindaan akta RUU355 supaya masalah murtad dapat ditangani dengan baik ketika semakin beraninya setengah pihak yang melaung supaya dihalalkan murtad dan diiktiraf golongan atheis atau tolak agama. Begitu juga kebiadapan golongan yang mendesak agar dihalalkan zina dan hubungan songsang sejenis LGBT. Bala Allah yang dahsyat sebagaimana hancurnya umat nabi Luth pasti berulang sekiranya kita bersekongkol dengan mereka. Tidak kurang yang minta agar dihapuskan tangkapan khalwat dan undang-undang berpakaian menutup aurat serta larangan percampuran lelaki dan perempuan ketika sesuatu majlis yang dituduh menyekat hak asasi manusia. Latangnya golongan yang meminta agar arak diberikan kebebasan sepenuhnya termasuk pesta arak. Ketika golongan yang biadap dengan Islam boleh lantang bersuara maka adakah kita yang cintakan Allah dan rasul boleh diam membisu
Bangkitlah wahai umat Islam bermaruah! Sama-sama kita berdoa kepada Allah disamping melipat gandakan usaha dalam memastikan gelombang pilihanraya ke-14 ini sebagai gelombang kemenangan Islam. Undian yang kita lakukan adalah untuk kebaikan Islam dan umatnya. Undian yang membawa kebaikan dunia akhirat
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 26 Surah Ali ‘Imran:
قُلِ اللَّـهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَن تَشَاءُ وَتَنزِعُ الْمُلْكَ مِمَّن تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَن تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَن تَشَاءُ ۖ بِيَدِكَ الْخَيْرُ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Maksudnya :Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu
Kepimpinan yang mendatangkan keberkatan juga ialah bila dapat mengurus kekayaan negara dengan penuh tanggungjawab dengan mengelak pembaziran, ketirisan dan rasuah. Hasil yang Allah anugerahkan kepada negara kita begitu banyak malangnya bila tidak diurus dengan betul menyebabkan yang kaya semakin kaya, yang miskin papa kedana. Kita mahu bina sebuah kerajaan berkebajikan termasuk menghapus hutang PTPTN yang sebelum ini menjerut graduan university ketika hampir setengah juta mahasiswa menghadapi masalah pengangguran. Kita mahu lahirkan pemimpin yang bertanggungjawab dalam mengagihkan kekayaan termasuk hak rakyat Kelantan yang terus dinafikan royalty minyak yang dianggarkan oleh satu NGO berjumlah 12 bilion sehingga kini. Minyak dan gas Kelantan dilarikan ke Songhkla, Thailand kemudian ke Kerteh, Terengganu dan terbaru ke Penggerang, Johor.
Kita juga mahu pembelaan terhadap mangsa jenayah yang dizalimi sehingga ahli keluarga menderita termasuk isu pembunuhan kejam di Memali dan banyak lagi isu salahguna harta negara yang diwarisi daripada kepimpinan dahulu dan diteruskan hingga kini. Kesungguhan kita dalam memilih pemimpin yang adil dan bertanggungjawab akan membina negara berkat. Sebaliknya memilih ikut nafsu menyebabkan kita terus menderita dalam negara sendiri. Islamlah nescaya kita Berjaya dan bahagia dunia akhirat.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Langgan:
Catatan (Atom)