أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Sabtu, 3 Oktober 2009

154. IKTIBAR PEPERANGAN UHUD

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Janganlah kita hanya tahu mendengar sahaja perkataan taqwa serta menyebutnya sedangkan ia tidak menyerap ke dalam sanubari kita . Hitunglah diri kita setiap masa samada semakin hampir kepada Allah atau sebaliknya. Adakah amalan soleh kita semakin meningkat atau pun menurun….

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 36 surah al-Anfal :
إن الذين كفروا ينفقون أموالهم ليصدوا عن سبيل الله , فسينفقونها ثم تكون عليهم حسرة ثم يغلبون
Maksudnya : Sesungguhnya orang2 kafir itu menafkahkan harta mereka untuk menghalangi jalan Allah. Mereka akan menafkahkan harta itu kemudian ia menjadi penyesalan bagi mereka dan mereka akan dikalahkan dan ke dalam neraka jahannam mereka akan dikumpulkan.
Kini kita berada di permulaan bulan Zulkaedah dan dengan ini juga kita telah meninggalkan bulan Syawal yang turut mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Berlalunya Syawal adalah sebagaimana berlalunya Ramadhan yang lepas. Adakah kita akan berjumpa lagi dengan Ramadahan dan Syawal yang akan datang hanyalah Allah yang mengetahuinya. Beruntunglah bagi mereka yang telah berjaya menunaikan kewajipan berpuasa pada bulan Ramadhan dan diikuti pula dengan puasa sunat enam hari di bulan Syawal lalu dalam keadaan penuh keinsafan dan keikhlasan kepada Allah. Semoga segala amalan itu diterima oleh Allah dan juga mampu membina diri kita ke arah yang lebih baik dari tahun dan hari sebelumnya.
Jika pada bulan Ramadhan yang lepas sejarah Islam pernah menyaksikan beberapa peristiwa yang penting seperti peperangan Badar al-Kubra dan juga pembukaan Kota Mekah maka bulan Syawal yang baru lalu juga turut merakamkan peristiwa bersejarah yang mana kita semua patut ambil iktibar daripadanya. Antara peristiwa yang besar yang berlaku pada bulan Syawal ini ialah peperangan Hunain, peperangan Uhud dan juga peperangan Ahzab atau pun Khandak. Peperangan ini merupakan antara peperangan yang besar yang disertai oleh Rasulullah s.a.w sendiri. Penglibatan baginda dalam peperangan-peperangan ini memberi satu peringatan dan gambaran yang bermakna kepada kita semua bahawa perjuangan di dalam meninggikan kalimah Allah adalah wajib dan mesti menempuh pelbagai rintangan dan halangan.Perjuangan ini tidak dihamparkan dengan permaidani indah tetapi menuntut kepada tumpahnya darah sebagai tanda tunduk dan patuh kepada Allah. Tanyalah diri kita sejauh manakah tahap perjuangan dan sumbangan kita ke arah memastikan Islam menjadi agama yang memerintah bukannya diperintah. Berapa banyakkah harta kita yang disumbangkan untuk Islam dan berapa banyakkah peluh kita yang mengalir demi menjaga kemurnian Islam daripada dinoda oleh musuh-musuh yang sentiasa memeranginya.
Walau pun Syawal telah berlalu namun tidak terlewat pada hari ini untuk kita sama-sama merenungi dan mengambil iktibar daripada peristiwa peperangan Uhud yang berlaku pada pertengahan bulan Syawal tahun ketiga Hijrah iaitu setahun selepas peperangan Badar yang berlaku pada bulan Ramadhan tahun kedua hijrah. Peperangan ini meletus akibat daripada perasaan marah dan benci para kafir musyrikin terhadap kejayaan tentera Islam ketika peperangan Badar al-Kubra yang lalu. Mereka telah menghimpunkan bala tentera seramai 3000 orang untuk menyerang umat Islam. Rasulullah s.a.w telah menerima berita tentang kemaraan tentera kafir musyrikin itu melalui al-Abbas bin Abdul Muttalib. Baginda terus mengadakan satu mesyuarat dan telah memberitahu bahawa sebelum ini baginda telah bermimpi dengan suatu yang baik iaitu telah menyembelih seekor lembu yang bermaksud beberapa orang sahabat akan gugur syahid, kedua mata pedang Rasulullah s.a.w berlubang bermaksud ahli keluarga baginda sendiri ada yang turut gugur syahid dan yang ketiga Rasulullah s.a.w telah memasukkan tangan ke dalam baju rantai yang kukuh yang bermaksud bahawa Madinah akan terus dapat dipertahankan. Ini menunjukkan kepada kita bagaimana mati syahid di medan peperangan merupakan satu kemenangan dan anugerah Allah yang mana bukannya boleh diperolehi dengan mudah dengan hanya semata-mata turut serta dalam peperangan maka kita akan mati syahid. Berapa ramai para sahabat dan pejuang Islam yang turun ke medan jihad untuk menentang musuh tetapi mereka tidak gugur syahid sebagaimana yang yang dicita-citakan sebelum menuju ke medan perang. Sayyidina Khalid al-Walid sendiri yang merupakan antara panglima perang Islam yang agung selepas keislamannya walau pun dalam dalam peperangan Uhud ini dia masih belum Islam malah menjadi panglima tentera berkuda bagi pihak musyrikin di mana pada saat kematiaannya pernah menempelak mereka yang takut untuk turun ke medan jihad kerana takut mati dengan kata-katanya : Sesungguhnya begitu penakut dan bacul bagi mereka yang takut untuk berjihad di medan peperangan kerana takut kepada kematian sedangkan aku sendiri telah melalui beratus-ratus peperangan dan setiap kali aku turun berjihad aku begitu mengharapkan agar memperolehi mati syahid namun pada hari ini aku hanya mengakhiri kehidupanku di atas katil di rumahku sahaja.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Kemudian pada hari Jumaat Rasulullah s.a.w telah memberi semangat yang bersungguh-sungguh kepada setiap umat Islam sehingga ucapan itu menyemarakkan lagi semangat jihad dalam sanubari umat Islam.Rasulullah s.a.w telah mengatur strategi yang terbaik di dalam menghadapi kemaraan musuh. Kedua-dua tentera ini bertembung dan bertempur dalam satu pertempuran yang hebat dan pada permulaannya tentera Islam telah mencapai kemenangan walau pun Sayyidina Hamzah bin Abdul Muttalib iaitu bapa saudara nabi sendiri yang digelar Asadullah telah gugur syahid terkena panah yang dilontar oleh seorang hamba abdi yang bernama Wasyi bin Harb. Begitu juga apa yang berlaku kepada Hanzalah bin Abu ‘Amir yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan di mana setelah mendengar panggilan jihad dia terus meninggalkan isteri yang baru dikahwini semata-mata menyahut seruan jihad tersebut. Dia ditemui telah gugur syahid dan didapati mayatnya basah seperti dimandikan Apabila diberitahu Rasullullah s.a.w akan perkara ini lalu baginda memberitahu bahawa mayatnya telah dimandikan oleh para malaikat kerana turunnya dia ke medan jihad dalam keadaan berjunub.Inilah dia erti pengorbanan dan perjuangan yang ditunjukkan oleh para sahabat dalam memastikan keagungan Islam terus dipertahankan sehingga mereka sanggup mengorbankan atau mengenepikan kepentingan peribadi demi Islam. Perjuangan mereka ini janganlah hanya sekadar diketahui dan disebut-sebut sahaja sedangkan kita yang berada di zaman di mana Islam diserang dari pelbagai pihak dalaman dan luaran mestilah lebih meningkatkan usaha dalam memastikan kemenangan Islam sehingga tercapainya kemenangan itu bersama-sama dengan keredhaan Allah. Jangan kita hanya tahu kata jihad tetapi tidak serius dalam melihat dan mendengar hukum Allah dicaci, Sunnah nabi dimaki, para ulama’ dikeji, masjid-masjid dicemari dan dikunci daripada dihidupkan serta maruah umat Islam dikotori dengan najis maksiat yang jijik dan membahayakan aqidah.
Kemenangan peringkat pertama yang dicapai itu hanya sementara sahaja akibat daripada kelalaian tentera pemanah yang meninggalkan tempat mereka apabila tidak tahan sabar melihat para tentera Islam yang lain memungut harta rampasan dan mereka terlalu yakin bahawa tentera Islam telah pun menang. Khalid ibnu Walid di mana merupakan panglima berkuda di puak musyrikin telah mengambil tindakan dengan melakukan serangan mengejut terhadap tentera Islam setelah melihat tentera pemanah telah berkurangan. Sedangkan strategi yang diatur oleh Rasulullah s.a.w yang menempatkan tentera pemanah di atas bukit itu amat tepat dan telah berjaya mematah beberapa serangan daripada tentera musuh sebelum ini.Akibat daripada tidak patuhnya mereka terhadap perintah Rasulullah s.a.w menyebabkan mereka ditimpa musibah secara segera di mana tentera musuh yang memang menunggu saat untuk menyerang balas kini telah menggunakan peluang yang terbuka ini dengan sebaiknya. Serangan ini telah menyebabkan berlakunya kacau bilau dan Rasulullah s.a.w sendiri cedera. Tentera musyrikin turut menyampaikan berita palsu bahawa Rasulullah s.a.w telah mati dan ini menambahkan lagi kekalutan dalam tentera Islam. Dalam suasana yang kucar kacir inilah , Ka’ab bin Malik telah terpandang diri Rasulullah sa.w lalu dia melaungkan bahawa Rasulullah s.a.w masih hidup. Laungan ini menaikkan semula semangat tentera Islam. Selepas itu Rasulullah s.aw telah mengumpul 30 orang para sahabat dan menuju ke suatu teluk di bukit Uhud bagi mengatur tindakan yang baru dalam menghadapi musuh. Cara yang diambil ini telah berjaya menghalang kemaraan musuh walau pun cuba dihalang oleh Abu Sufian dan Khalid ibnu Walid dan tentera musyrikin.Setelah gagal menghancurkan kekuatan tentera Islam lalu tentera musyrikin beralih tumpuan mereka kepada mayat tentera Islam yang telah gugur syahid di mana mereka telah menyincang dan mengelar mayat itu dengan penuh perasaan marah dan benci termasuklah mayat Sayyidina Hamzah bin Abdul Muttalib yang dibelah perutnya oleh Hindun binte’Utbah untuk mengambil hatinya lalu dikunyah penuh dengan kebenciaan tetapi dia akhirnya tidak berjaya menelannya sebaliknya telah membuangnya semula daripada mulutnya.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Antara kejadian yang menarik sepanjang peperangan Uhud ini ialah apabila seorang kafir yang bernama ‘Amru bin Thabit di mana sebelum ini telah diajak kepada Islam tetapi dia enggan. Tiba-tiba dalam peperangan ini dia telah dijumpai dalam keadaan nazak dan apabila ditanya tentang sebab dia turut berperang lalu dia menjawab bahawa dia telah beriman kepada Allah dan rasulNya. Apabila diberitahu kepada Rasulullah s.a.w tetang perkara in lalu bagnda menjawab : Dia masuk Syurga.
Satu lagi peristiwa iaitu yang berlaku kepada Qazman di mana dia berperang dipihak Islam dan berjaya membunuh tujuh atau lapan orang kafir. Dia dijumpai dalam keadaan luka parah kemudian dibawa pulang kerumahnya. Dia memberitahu bahawa dia berperang kerana mempertahankan kaum bangsanya. Oleh kerana dia tidak tertahan dengan kesakitan yang dihadapi lalu dia telah membunun diri. Apabila Rasulullah s.a. w diberitahu mengenai perkara ini lalu baginda bersabda : Dia masuk neraka.
Oleh itu kita sebagai umat Islam yang mengaku beriman dan patuh kepada Allah dan rasulNya mestilah ikhlas dan yakin kepada janji Allah dalam perjuangan mengembalikan Khilafah Islamiah yang telah lama hilang.Perjuangan kita mestilah berteraskan aqidah Islam yang sebenar bukannya berdasarkan bangsa semata-mata.
Walau pun pada peringkat kedua dalam peperangan ini tentera Islam tidak berjaya malah seramai 70 orang telah gugur Syahid namun tentera musuh tidak berjaya mara untuk menawan Madinah dan membunuh Rasulullah s.a.w. Abu Sufian tidak berpuas hati dengan keputusan yang dicapai kerana kekuatan Islam masih kuat dan beliau cuba menyerang Madinah tetapi tindakan itu terpaksa ditarik balik apabila mendapat tahu bahawa tentera Islam kini sedang bersiap sedia untuk menyerang semula. Kehebatan dan kepantasan Rasulullah s.a.w dalam mengatur strategi dan taktik dalam peperangan memberi gambaran jelas jepada kita semua bagaimana tugas nabi bukan hanya tertakluk kepada imam sembahyang dan pendakwah sahaja tetapi turut meliputi aspek pemerintahan malah peperangan dalam memastikan kalimah Allah terus berada di tempat yang tertinggi. Inilah dia peranan sebenar ulama’ yang dikatakan pewaris para nabi maka kerja mereka bukan sahaja pada tempat ibadat tetapi turut memainkan peranan penting dalam pentadbiran dan juga tunjuk ajar dalam urusan dunia sehingga wujudnya masyarakat yang bukan sahaja taat kepada Allah ketika beribadat khusus tetapi turut patuh dan tunduk pada hukum Allah dalam menjalankan kehidupan seharian. Ulama’ bukan sahaja berperanan untuk mengajar dan membimbing masyarakat setempat sahaja tetapi mesti memainkan peranan penting untuk menegur pemimpin negara yang tergelincir daripada syariat Islam. Malah yang lebih baik lagi ialah para ulama’ sendiri menjadi pemimpin kepada rakyat itu sendiri. Walaupun sedih dengan apa yang berlaku dalam peperangan Uhud ini tetapi Allah telah meniupkan semangat ke dalam sanubari umat Islam melalui ayat 104 surah an-Nisa’ :
ولا تهنوا في ابتغاء القوم , إن تكونوا تألمون فإنهم يألمون كما تألمون , وترجون من الله مالا يرجون
Maksudnya : Jangan kamu merasa hina (hilang semangat) memburu musuh kerana jika kamu merasa sakit mereka juga merasa sakit seperti kamu merasainya sedangkan kamu pula berharap kepada Allah apa yang mereka tidak harapkan.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Jumaat, 2 Oktober 2009

150. PEPERANGAN AHZAB

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 22 surah al-Ahzab :

ولما رءا المؤمنون الأحزاب قالوا هذا ماوعدنا الله ورسوله وصدق الله ورسوله ومازادهم إلا إيمانا وتسليما
Maksudnya : Manakala orang-orang yang beriman melihat pasukan Ahzab, mereka berkata : Inilah ia yang telah dijanjikan oleh Allah dan rasulNya kepada kita. Dan benarlah Allah dan rasulNya, dan demikian itu tidaklah menambahkan kepada mereka melainkan iman dan ketundukan.
Kita baru sahaja bergembira penuh kesyukuran dalam menyambut hari raya eidil fitri setelah sebulan bertarung dengan nafsu untuk berpuasa sebulan Ramadhan. Setelah itu kita sama-sama mengikiskan perasaan cinta dan tamakkan harta dengan sama-sama mengeluarkan zakat untuk memberi kegembiraan dan bantuan kepada saudara seislam yang susah. Beruntunglah bagi mereka yang telah berjaya menunaikan kewajipan berpuasa Ramadhan dan mengeluarkan zakat serta tidak lupa untuk berpuasa sunat enam hari di bulan Syawal ini dalam keadaan penuh keinsafan dan keikhlasan kepada Allah. Semoga segala amalan itu diterima oleh Allah dan juga mampu membina diri kita ke arah yang lebih baik daripada sebelumnya.
Jika pada bulan Ramadhan yang lepas sejarah Islam pernah mencatatkan kemenangan gemilang tentera Islam di bawah pimpinan Rasulullah s.a.w dalam peperangan Badar al-Kubra di mana pertempuran sengit secara berdepan dengan tentera kuffar yang berganda lebih ramai berjaya ditumbangkan oleh tentera Islam. Maka pada bulan Syawal ini sekali lagi tentera Islam mencatatkan kemenangan gemilang di dalam peperangan Khandak atau Ahzab dalam mengalahkan tentera kuffar yang menggabungkan banyak puak dan agama di mana kemenangan ini diperolehi melalui kehebatan strategi, perang saraf ditambah dengan bantuan dan pertolongan Allah. Kemenangan ini terus diingati dan disebut-sebut oleh seluruh umat Islam terutama apabila tibanya hari raya dengan laungan وأعز جنده وهزم الأحزاب وحده yang bermaksud Dan Dia (Allah) yang memulia dengan memberi kemenangan kepada tenteraNya dan mengalahkan tentera bersekutu kuffar (Ahzab).

Sidang Jumaat yang dikasihi,
Peperangan Khandak yang beerti kubu parit atau pun Ahzab yang beerti tentera bersekutu yang merupakan gabungan banyak puak kuffar dalam melawan tentera Islam di mana peperangan ini telah berlaku pada bulan Syawal tahun kelima hijrah. Peperangan ini disebabkan oleh perancangan jahat yahudi Bani Nadhir yang menghantar beberapa orang pemimpinnya untuk menemui pemimpin musyrikin Mekah bagi merancang gabungan pelbagai puak kuffar untuk menyerang Madinah habis-habisan sehingga ke akar umbi. Selepas itu pemimpin yahudi ini berjumpa pula dengan Qabilah Ghatfan untuk turut sama memerangi Rasulullah s.a.w dan kaum muslimin. Dengan gabungan ini tentera bersekutu kuffar berjaya mengumpul 10 ribu orang tentera iaitu jumlah yang begitu besar berbanding jumlah penduduk Madinah sendiri di mana kalau dicampur lelaki, perempuan, kanak-kanak dan orang-orang yang uzur pun belum sampai kepada jumlah 10 ribu orang.
Rasulullah s.a.w dan tentera Islam terus bermesyuarat dalam mengatur strategi bagi menghadapi tentera bersekutu kuffar yang begitu ramai berbanding jumlah tentera Islam hanya 3 ribu orang. Salman al-Farisi mengemukakan cadangan dengan katanya :” Wahai Rasulullah! Kami di negeri Parsi, apabila kami bimbang untuk menghadapi serangan tentera berkuda maka kami bertahan dengan menggali parit”. Cadangan ini diterima dan ini menunjukkan bahawa ilmu dunia boleh diterima walau dari mana datangnya asalkan tidak bercanggah dengan Islam. Oleh itu tidak salah jika umat Islam belajar cara ketenteraan, pembuatan senjata dan sebagainya dari ilmu dunia yang bermanfaat daripada orang bukan Islam asalkan tidak bercanggah dengan syariat Islam. Mereka juga mesti dilengkapi dengan ilmu agama terlebih dahulu agar tidak terpengaruh dengan serangan pemikiran yang menyebabkan mereka bukan lahir sebagai pakar ilmu dunia untuk perjuangan Islam tetapi sebaliknya menjadi penentang Islam kerana terpengaruh dengan agama, ideologi dan budaya sesat orang kafir. Sebab itulah ketika orang barat ingin menjatuhkan Khilafah Islamiah Turki dengan meminta agar dihantar putera kepada khalifah pada masa itu bagi dididik protokol dalam menjalankan tugas sebagai seorang pemimpin lalu pemimpin itu dengan tegas menjawab : “ Haram bagi seseorang Islam menyerahkan anaknya untuk dididik oleh orang kafir”.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Selepas itu Rasulullah s.a.w sendiri dibantu oleh tentera Islam yang lain berganding bahu dalam menggali parit bagi tujuan sebagai kubu pertahanan daripada serangan musuh. Ketika peperangan ini berlaku cuaca agak dingin sedangkan bekalan makanan tidak mencukupi sehingga Abu Talhah mengatakan :” Kami mengadu kebuluran itu kepada Rasulullah s.a.w dan kami tunjukkan batu demi batu yang diikat diperut kami lalu nabi juga menunjukkan dua ketul batu diperutnya”. Tujuan diikat batu ini menurut setengah ulama’ adalah bagi menegakkan tulang belakang yang boleh menahan lapar. Di saat cemas ini maka berlakulah beberapa mukjizat daripada Rasulullah s.a.w untuk menaikkan semangat jihad tentera Islam antaranya makanan sedikit menjadi banyak. Mereka bekerja keras dalam menyiapkan parit ini pada siang hari dan pada waktu malam pula mereka berkawal.
Di sini kita dapat lihat bagaimana Rasulllah s.a.w sebagai pemimpin turut bersama merasai susah dalam menyiapkan parit bagi menghadapi musuh. Ini memberi pengajaran kepada kita bagaimana susah dan senang sesebuah negara merupakan tanggungjawab bersama antara pemimpin dan rakyat bukannya ketika negara senang maka hanya pemimpin merasainya tetapi apabila negara susah maka rakyat jelata sahaja menanggungnya. Pemimpin sebagaimana yang ditekankan oleh nabi adalah sebagai khadam rakyat yang mesti berbakti dan mencurah keringat setakat yang mampu untuk kebajikan rakyat bukannya memerahkan keringat rakyat untuk kemewahan diri sendiri. Ingatlah kata-kata Khalifah Umar bin Abdul Aziz bahawa jika pemimpin kaya maka rakyat akan miskin tetapi bila pemimpin miskin maka rakyat akan kaya. Ini adalah kerana pemimpin yang kaya sentiasa sibuk untuk menambah kekayaan sehingga lupa rakyat yang susah sedangkan pemimpin yang miskin sentiasa berfikir tentang kebajikan rakyatnya yang susah.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Dalam peperangan ini tidak berlaku pertempuran sengit di mana hanya pertempuran kecil sahaja berlaku iaitu apabila ada tentera kuffar yang cuba melepasi parit akan dipanah. Begitu juga tentera kuffar hanya mampu melepaskan anak panah dari jauh kerana dihalangi oleh parit. Dalam peperangan ini 6 orang muslimin gugur syahid dan 10 orang musyrikin berjaya dibunuh. Peperangan berakhir dengan kemenangan bagi pihak Islam apabila kesatuan musuh berjaya dipecahkan melalui seorang utusan rahsia yang dihantar oleh Rasulullah s.a.w. Gabungan sekutu kuffar ini saling tidak mempercayai antara satu sama lain hasil daripada peperangan saraf yang dilancarkan itu . Ditambah pula dengan bantuan Allah dengan mendatangkan angin kencang yang menyebabkan tentera bersekutu kuffar berundur dari medan pertempuran.

Firman Allah dalam ayat 9 surah al-Ahzab :

يأيها الذين آمنوا اذكروا نعمة الله عليكم إذ جاءتكم جنود فارسلنا عليهم ريحا وجنودا لم تروها وكان الله بما تعملون بصيرا

Maksudnya : Whai orang-orang yang beriman! Ingatlah nikmat Allah ke atas kamu iaitu ketika datang kepada kamu bala tentera musuh. Maka Kami kirimkan kepada mereka angin kencang dan bala tentera yang kamu tidak melihatnya dan adalah Allah itu Amat Melihat apa yang kamu kerjakan.


بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Khamis, 1 Oktober 2009

151. PEPERANGAN HUNAIN

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 25 dan 26 surah al-Taubah :
لقد نصركم الله فى مواطن كثيرة ويوم حنين إذ أعجبتكم كثرتكم فلم تغن عنكم شيئا وضاقت عليكم الأرض بما رحبت ثم وليتم مدبرين ثم أنزل الله سكينته على رسوله وعلى المؤمنين وأنزل جنودا لم تروها وعذب الذين كفروا وذلك جزاء الكفرين
Maksudnya : Sesungguhnya Allah telah menolong kamu (wahai orang mukmin) di medan peperangan yang banyak. Dan ingatlah peperangan Hunain iaitu di waktu kamu merasa bangga kerana ramainya jumlahmu. Maka jumlah yang ramai itu tidak memberi manfaat kepadamu sedikit pun. Dan bumi yang luas itu telah terasa sempit olehmu kemudian kamu lari ke belakang dengan bercerai-berai. Kemudian Allah menurunkan ketenangan kepada rasulNya dan kepada orang-orang yang beriman. Dan Allah menurunkan bala tentera yang kamu tidak melihatnya dan Allah menimpakan bencana kepada orang-orang kafir. Dan demikianlah pembalasan kepada orang-orang kafir.
Kini kita berada dipenghujung bulan Syawal yang merupakan bulan mulia dan mempunyai fadhilatnya yang tersendiri bagi mereka yang mengambil peluang untuk beribadat kepada Allah. Bulan Syawal juga telah merakamkan beberapa peristiwa yang besar dalam kamus umat Islam seperti berlakunya peperangan Ahzab, peperangan Uhud dan juga peperangan Hunain yang banyak memberi pengajaran dan peringatan kepada umat Islam. Setiap peristiwa yang berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w mestilah diambil iktibar sebagaimana sepatutnya kerana perjalanan sirah nabawiyyah ini merupakan fakta sejarah yang terjaga dari segi riwayatnya. Sirah nabawiyyah ini hendaklah dijadikan panduan kita bukannya sekadar dijadikan bahan bacaan sahaja.

Sidang Jumaat yang dikasihi,
Peperangan Hunain berlaku selepas kejayaan Rasulullah s.a.w dalam Pembukaan Kota Mekah di mana baginda terdengar adanya perancangan bani Hawazin dan Thaqif pimpinan Malik bin Auf yang tinggal di Taif untuk menyerang umat Islam. Bagi mengetahui secara lanjut tentang persiapan mereka lalu Rasulullah s.a.w menghantar Abdullah bin Abi Hadrad al-Aslamiy ke Taif. Dia diminta agar tinggal di tengah-tengah kaum tersebut bagi mengumpul maklumat. Setelah itu dia pulang ke Mekah dan memberitahu tentang persiapan bani Hawazin dan Thaqif dari segi kelengkapan senjata dan juga dengan bilangan tentera antara 20 hingga 30 ribu orang bagi menyerang umat Islam. Pasukan kuffar ini turut membawa bersama harta benda dan anak isteri mereka bagi menetapkan mereka dalam peperangan dan tidak lari dari medan perang.
Rasulullah s.a.w bersama 12 ribu orang tentera muslimin telah keluar menuju ke lembah Hunain. Keesokan harinya ketika mereka bangun dan bersiap untuk berperang di mana ketika pasukan muslimin di barisan hadapan pimpinan Khalid bin Walid sedang bergerak mara, mereka diserbu dari arah kiri dan kanan disamping anak panah yang menghujani mereka dari arah depan dan belakang. Ramai tentera Islam yang gugur syahid terutama mereka yang baru masuk Islam sebagai peringatan di atas niat mereka yang turut sama berperang kerana ingin mendapatkan harta rampasan perang disamping perasaan angkuh dan sombong kerana merasakan kekuatan bilangan tentera Islam kali ini lebih kuat dan ramai berbanding sebelum ini. Serangan ini mengucar-kacirkan tentera Islam dan ada yang telah berundur ke belakang.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Ketika suasana bertambah gawat dan cemas lalu Rasulullah s.a.w yang berada di tengah-tengah tentera Islam melaungkan kata-kata:” Dengarlah kata-katku ini wahai hamba-hamba Allah! Aku merupakan seorang nabi yang tidak berdusta!. Aku anak Ibnu Muttalib”. Namun suara nabi kurang didengari disebabkan kekalutan yang begitu teruk. Lantas bapa saudaranya Abbas berteriak dengan suara yang lantang :”Wahai orang-orang yang turut berbaiah pada hari Hudaibiah!”. Jeritan ini telah menyebabkan tentera Islam mula bersemangat kembali dan membetulkan kembali niat kedatangan mereka untuk berperang kerana Allah bukannya untuk perkara yang lain.
Setelah itu mereka memulakan gerakan kedua dalam melawan musuh setelah pada permulaannya mereka hampir kalah dan begitu terdesak dengan asakan musuh. Pada gerakan kedua inilah tentera Islam berjaya membunuh ramai tentera musuh sehingga ada dikalangan wanita dan kanak-kanak yang datang bersama tentera musuh turut terkorban ketika tentera Islam mahu mengejar tentera musuh yang sedang berundur. Melihat perkara ini lalu Rasulullah s.a.w meminta agar Khalid bin Walid selaku panglima perang supaya tidak membunuh wanita, kanak-kanak dan mereka yang lemah. Akhirnya tentera Islam mencapai kemenangan yang gemilang bukannya kerana jumlah tentera yang ramai tetapi kerana keyakinan dan juga keihklasan kepada Allah sehingga Allah mendatangkan pertolongan dan kemenangan.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Peperangan Hunain ini banyak memberi pengajaran dan peringatan kepada seluruh umat Islam. Kita dapat melihat bagaimana pentingnya keikhlasan dan keyakinan terhadap pertolongan Allah bagi mereka yang bersungguh-sungguh dalam meninggikan kalimah Allah. Jumlah yang ramai atau pun majoriti tidak menjamin kemenangan dan juga pengekalan kuasa jika kita meninggalkan Islam. Kita lihat bagaimana umat Islam di Bosnia, Kosovo, Kashmir, Maluku, Ambon dan sebagainya dihinakan oleh Allah di negara mereka sendiri walau pun mempunyai jumlah majoriti berbanding agama lain kerana meninggalkan Islam.
Islam adalah agama perpaduan yang mementingkan kesatuan dan keadilan. Oleh itu Islam sentiasa menyuruh umatnya agar bersatu di atas landasan Islam yang menjamin kesejahteraan dan keredhaan Allah. Kegagalan dasar kebangsaan dalam menyatukan bangsa melayu dan umat Islam serta bangsa yang berbilang di negara ini sewajarnya dijadikan peringatan penting tentang betapa lemahnya sesuatu sistem atau ideologi ciptaan manusia dalam menyatukan manusia dengan perpaduan yang berkekalan. Kegagalan ini boleh dijadikan titik permulaan untuk membina semula kesatuan umat Islam setelah kesatuan yang berlandaskan Islam sebagaimana yang telah dilaksanakan dalam pemerintahan Kesultanan Melayu Islam Melaka dan beberapa kesultanan melayu Islam yang lain di nusantara ini diruntuhkan oleh penjajah yang datang menjajah dengan menjadikan Kristian sebagai matlamat utama kepada penjajahan.
Kini telah sampai waktu dan ketikanya, sudah tiba saat dan masanya untuk kita sama-sama bersatu di bawah payung Islam yang bukan sahaja menjamin keamanan dan kebajikan umat Islam malah turut menjaga kepentingan orang bukan Islam. Ketika jumlah umat Islam masih ramai dan majoriti inilah merupakan masa yang terbaik untuk melaksanakan perlembagaan dan perundangan Islam. Janganlah kita terus menunggu sehingga jumlah umat Islam menjadi lebih sedikit dan lemah baru kita mahukan Islam kerana pada masa itu kita sudah terlambat. Kita mesti yakin bahawa kemuliaan sesuatu bangsa adalah dengan menjadikan Islam sebagai cara hidup dan kehinaan yang menimpa sesuatu bangsa disebabkan meninggalkan Islam.

Firman Allah dalam ayat 41 surah al-Ankabut :
مثل الذين اتخذوا من دون الله أولياء كمثل العنكبوت اتخذت بيتا وإن أوهن البيوت لبيت العنكبوت لو كانو يعلمون

Maksudnya : Perumpamaan orang-orang yang mengambil pelindung selain daripada Allah seperti labah-labah yang membuat rumah. Dan sesungguhnya rumah yang paling lemah ialah rumah labah-labah jika mereka mengetahui.


بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ