الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 25 dan 26 surah al-Taubah :
لقد نصركم الله فى مواطن كثيرة ويوم حنين إذ أعجبتكم كثرتكم فلم تغن عنكم شيئا وضاقت عليكم الأرض بما رحبت ثم وليتم مدبرين ثم أنزل الله سكينته على رسوله وعلى المؤمنين وأنزل جنودا لم تروها وعذب الذين كفروا وذلك جزاء الكفرين
Maksudnya : Sesungguhnya Allah telah menolong kamu (wahai orang mukmin) di medan peperangan yang banyak. Dan ingatlah peperangan Hunain iaitu di waktu kamu merasa bangga kerana ramainya jumlahmu. Maka jumlah yang ramai itu tidak memberi manfaat kepadamu sedikit pun. Dan bumi yang luas itu telah terasa sempit olehmu kemudian kamu lari ke belakang dengan bercerai-berai. Kemudian Allah menurunkan ketenangan kepada rasulNya dan kepada orang-orang yang beriman. Dan Allah menurunkan bala tentera yang kamu tidak melihatnya dan Allah menimpakan bencana kepada orang-orang kafir. Dan demikianlah pembalasan kepada orang-orang kafir.
Kini kita berada dipenghujung bulan Syawal yang merupakan bulan mulia dan mempunyai fadhilatnya yang tersendiri bagi mereka yang mengambil peluang untuk beribadat kepada Allah. Bulan Syawal juga telah merakamkan beberapa peristiwa yang besar dalam kamus umat Islam seperti berlakunya peperangan Ahzab, peperangan Uhud dan juga peperangan Hunain yang banyak memberi pengajaran dan peringatan kepada umat Islam. Setiap peristiwa yang berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w mestilah diambil iktibar sebagaimana sepatutnya kerana perjalanan sirah nabawiyyah ini merupakan fakta sejarah yang terjaga dari segi riwayatnya. Sirah nabawiyyah ini hendaklah dijadikan panduan kita bukannya sekadar dijadikan bahan bacaan sahaja.
Sidang Jumaat yang dikasihi,
Peperangan Hunain berlaku selepas kejayaan Rasulullah s.a.w dalam Pembukaan Kota Mekah di mana baginda terdengar adanya perancangan bani Hawazin dan Thaqif pimpinan Malik bin Auf yang tinggal di Taif untuk menyerang umat Islam. Bagi mengetahui secara lanjut tentang persiapan mereka lalu Rasulullah s.a.w menghantar Abdullah bin Abi Hadrad al-Aslamiy ke Taif. Dia diminta agar tinggal di tengah-tengah kaum tersebut bagi mengumpul maklumat. Setelah itu dia pulang ke Mekah dan memberitahu tentang persiapan bani Hawazin dan Thaqif dari segi kelengkapan senjata dan juga dengan bilangan tentera antara 20 hingga 30 ribu orang bagi menyerang umat Islam. Pasukan kuffar ini turut membawa bersama harta benda dan anak isteri mereka bagi menetapkan mereka dalam peperangan dan tidak lari dari medan perang.
Rasulullah s.a.w bersama 12 ribu orang tentera muslimin telah keluar menuju ke lembah Hunain. Keesokan harinya ketika mereka bangun dan bersiap untuk berperang di mana ketika pasukan muslimin di barisan hadapan pimpinan Khalid bin Walid sedang bergerak mara, mereka diserbu dari arah kiri dan kanan disamping anak panah yang menghujani mereka dari arah depan dan belakang. Ramai tentera Islam yang gugur syahid terutama mereka yang baru masuk Islam sebagai peringatan di atas niat mereka yang turut sama berperang kerana ingin mendapatkan harta rampasan perang disamping perasaan angkuh dan sombong kerana merasakan kekuatan bilangan tentera Islam kali ini lebih kuat dan ramai berbanding sebelum ini. Serangan ini mengucar-kacirkan tentera Islam dan ada yang telah berundur ke belakang.
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Ketika suasana bertambah gawat dan cemas lalu Rasulullah s.a.w yang berada di tengah-tengah tentera Islam melaungkan kata-kata:” Dengarlah kata-katku ini wahai hamba-hamba Allah! Aku merupakan seorang nabi yang tidak berdusta!. Aku anak Ibnu Muttalib”. Namun suara nabi kurang didengari disebabkan kekalutan yang begitu teruk. Lantas bapa saudaranya Abbas berteriak dengan suara yang lantang :”Wahai orang-orang yang turut berbaiah pada hari Hudaibiah!”. Jeritan ini telah menyebabkan tentera Islam mula bersemangat kembali dan membetulkan kembali niat kedatangan mereka untuk berperang kerana Allah bukannya untuk perkara yang lain.
Setelah itu mereka memulakan gerakan kedua dalam melawan musuh setelah pada permulaannya mereka hampir kalah dan begitu terdesak dengan asakan musuh. Pada gerakan kedua inilah tentera Islam berjaya membunuh ramai tentera musuh sehingga ada dikalangan wanita dan kanak-kanak yang datang bersama tentera musuh turut terkorban ketika tentera Islam mahu mengejar tentera musuh yang sedang berundur. Melihat perkara ini lalu Rasulullah s.a.w meminta agar Khalid bin Walid selaku panglima perang supaya tidak membunuh wanita, kanak-kanak dan mereka yang lemah. Akhirnya tentera Islam mencapai kemenangan yang gemilang bukannya kerana jumlah tentera yang ramai tetapi kerana keyakinan dan juga keihklasan kepada Allah sehingga Allah mendatangkan pertolongan dan kemenangan.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Peperangan Hunain ini banyak memberi pengajaran dan peringatan kepada seluruh umat Islam. Kita dapat melihat bagaimana pentingnya keikhlasan dan keyakinan terhadap pertolongan Allah bagi mereka yang bersungguh-sungguh dalam meninggikan kalimah Allah. Jumlah yang ramai atau pun majoriti tidak menjamin kemenangan dan juga pengekalan kuasa jika kita meninggalkan Islam. Kita lihat bagaimana umat Islam di Bosnia, Kosovo, Kashmir, Maluku, Ambon dan sebagainya dihinakan oleh Allah di negara mereka sendiri walau pun mempunyai jumlah majoriti berbanding agama lain kerana meninggalkan Islam.
Islam adalah agama perpaduan yang mementingkan kesatuan dan keadilan. Oleh itu Islam sentiasa menyuruh umatnya agar bersatu di atas landasan Islam yang menjamin kesejahteraan dan keredhaan Allah. Kegagalan dasar kebangsaan dalam menyatukan bangsa melayu dan umat Islam serta bangsa yang berbilang di negara ini sewajarnya dijadikan peringatan penting tentang betapa lemahnya sesuatu sistem atau ideologi ciptaan manusia dalam menyatukan manusia dengan perpaduan yang berkekalan. Kegagalan ini boleh dijadikan titik permulaan untuk membina semula kesatuan umat Islam setelah kesatuan yang berlandaskan Islam sebagaimana yang telah dilaksanakan dalam pemerintahan Kesultanan Melayu Islam Melaka dan beberapa kesultanan melayu Islam yang lain di nusantara ini diruntuhkan oleh penjajah yang datang menjajah dengan menjadikan Kristian sebagai matlamat utama kepada penjajahan.
Kini telah sampai waktu dan ketikanya, sudah tiba saat dan masanya untuk kita sama-sama bersatu di bawah payung Islam yang bukan sahaja menjamin keamanan dan kebajikan umat Islam malah turut menjaga kepentingan orang bukan Islam. Ketika jumlah umat Islam masih ramai dan majoriti inilah merupakan masa yang terbaik untuk melaksanakan perlembagaan dan perundangan Islam. Janganlah kita terus menunggu sehingga jumlah umat Islam menjadi lebih sedikit dan lemah baru kita mahukan Islam kerana pada masa itu kita sudah terlambat. Kita mesti yakin bahawa kemuliaan sesuatu bangsa adalah dengan menjadikan Islam sebagai cara hidup dan kehinaan yang menimpa sesuatu bangsa disebabkan meninggalkan Islam.
Firman Allah dalam ayat 41 surah al-Ankabut :
مثل الذين اتخذوا من دون الله أولياء كمثل العنكبوت اتخذت بيتا وإن أوهن البيوت لبيت العنكبوت لو كانو يعلمون
Maksudnya : Perumpamaan orang-orang yang mengambil pelindung selain daripada Allah seperti labah-labah yang membuat rumah. Dan sesungguhnya rumah yang paling lemah ialah rumah labah-labah jika mereka mengetahui.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan