أهلا وسهلا ومرحبا بكم
Kandungan Blog
Khamis, 26 September 2019
Hijrah Hilangkan Jerebu Jahiliah Julang Rahmah
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ !!الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 10-11 surah ad-Dukhan:
فَارْتَقِبْ يَوْمَ تَأْتِي السَّمَاءُ بِدُخَانٍ مُبِينٍ (10) يَغْشَى النَّاسَ هَذَا عَذَابٌ أَلِيمٌ
Maksudnya: Maka tunggulah hari ketika langit membawa kabus atau asap yang nyata, yang meliputi manusia. Inilah azab yang pedih
Kita sebagaimana hamba Allah yang beriman kepada Allah dan hari qiamat sentiasa diingatkan hawa kehidupan dunia ini hanya sementara di mana bumi yang kita pijak, langit yang kita junjung ini sendiri bakal dihancurkan apabila tibanya saat berlakunya Qiamat. Sekiranya makhluk Allah yang besar seumpama langit dan bumi ada tempoh yang tertentu untuk dihancurkan begitulah juga kita sebagai makhluk yang kerdil hanya menunggu masa untuk menunggu saat kematian kita. Kita bukan disuruh untuk menjadi penunggu setia kepada hari mati dan tarikh berlakunya Qiamat sebaliknya kita disuruh untuk sentiasa bersiap sedia dalam menambah bekalan akhirat dengan amalan soleh disamping perbanyakkan istighfar dan memohon keampunan daripada Allah atas dosa kesalahan yang kita lakukan.
Bila berlakunya kejadian jerebu yang terus melanda negara maka marilah kita sama-sama merenung tentang suatu peringatan Allah melalui surah ad-Dukhan bagaimana akibat kedegilan kaum Quraisy yang tidak mahu menerima Islam, maka Rasulullah s.a.w mendoakan atas mereka:
أَللَّهُمَّ أَعِنِّي عَلَيْهِمْ بِسِنِيْنَ كَسِنِيْ يُوْسُفَ - رواه البخاري ومسلم
Maksudnya : Ya Allah! Tolonglah aku untuk mengalahkan mereka dengan kelaparan seperti yang terjadi pada zaman nabi Yusuf a.s
Maka terjadilah kemarau panjang dan kelaparan, hingga sebahagian mereka binasa dan sebahagian lainnya memakan bangkai-bangkai dan tulang-tulang. Ketika itu setiap orang melihat seakan-akan di antara langit dan bumi ada asap.
Ada yang berpendapat, bahwa dukhan tersebut adalah asap yang meliputi manusia ketika neraka mendekat kepada orang-orang yang berdosa pada hari Qiamat, dan bahawa Allah mengancam mereka dengan azab pada hari Qiamat serta menyuruh Nabi-Nya menunggu hari itu. Ia merupakan suatu ancaman kepada orang-orang kafir dan menakut-nakuti mereka dengan hari itu dan azabNya, dan dalam masa yang sama menghibur rasul dan kaum mukmin agar menunggu azab yang bakal menimpa orang yang mengganggu mereka pada hari Qiamat nanti
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam Surah ar-Ruum ayat 41:
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
Maksudnya : Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).
Ketika berbicara tentang jerebu juga maka mimbar Jumaat pada hari ini menyeru agar semua pihak bermula daripada pemimpin hingga rakyat di bawah supaya bersungguh-sungguh menjauhi dosa maksiat agar diangkat musibah ini dengan segera oleh Allah. Begitu juga perlu diambil tindakan yang tegas dari Kerajaan Indonesia dan Negara kita sendiri memandangkan banyak syarikat besar daripada 2 negara ini dan beberapa Negara lain yang terlibat secara langsung dalam pembakaran hutan bagi tujuan perniagaan terutama penanaman sawit dan sebagainya. Jangan disebabkan untuk kepentingan perniagaan maka keselamatan kesihatan dan nyawa rakyat menjadi taruhan. Akibat beberapa kerat syarikat berkepentingan maka maslahat umum diketepikan sehingga banyak aktiviti terutama sekolah, sektor pelancongan dan sebagainya terjejas akibat kerakusan untuk mencari keuntungan. Adalah tidak berbaloi syarikat mengaut keuntungan ketika rakyat kehilangan nyawa, terjejas kesihatan malah Negara sendiri menanggung kos rawatan dan pemulihan yang jauh lebih tinggi daripada keuntungan yang diraih.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Ketika berbicara tentang dukhan atau asap juga maka ia turut mengetuk hati kita untuk merenung tentang tanda-tanda Qiamat. Telah banyak perkara besar yang disebutkan oleh nabi s.a.w termasuk tentang alamat atau tanda Qiamat yang berlaku depan mata kita sendiri yang mengingatkan kita tentang betapa hampirnya dunia ini kepada saat kehancuran. Antaranya melalui suatu hadis
عَنْ حُذَيْفَةَ بْنِ أَسِيدٍ الْغِفَارِيِّ قَالَ اطَّلَعَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَيْنَا وَنَحْنُ نَتَذَاكَرُ فَقَالَ مَا تَذَاكَرُونَ قَالُوا نَذْكُرُ السَّاعَةَ قَالَ إِنَّهَا لَنْ تَقُومَ حَتَّى تَرَوْنَ قَبْلَهَا عَشْرَ آيَاتٍ فَذَكَرَ الدُّخَانَ وَالدَّجَّالَ وَالدَّابَّةَ وَطُلُوعَ الشَّمْسِ مِنْ مَغْرِبِهَا وَنُزُولَ عِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَيَأَجُوجَ وَمَأْجُوجَ وَثَلَاثَةَ خُسُوفٍ خَسْفٌ بِالْمَشْرِقِ وَخَسْفٌ بِالْمَغْرِبِ وَخَسْفٌ بِجَزِيرَةِ الْعَرَبِ وَآخِرُ ذَلِكَ نَارٌ تَخْرُجُ مِنْ الْيَمَنِ تَطْرُدُ النَّاسَ إِلَى مَحْشَرِهِمْ - رواه مسلم
Maksudya: Rasulullah s.a.w menghampiri kami saat kami sedang membicarakan sesuatu, baginda s.a.w bertanya: “Apa yang kalian bicarakan?” Kami menjawab: Kami membicarakan berkenaan Qiamat. Baginda s.a.w bersabda: “Qiamat tidaklah terjadi hingga kalian melihat 10 tanda-tanda sebelumnya.” Baginda s.a.w menyebut iaitu [1] Asap, [2] Dajjal, [3] binatang yang akan bercakap kepada manusia, [4] terbitnya matahari dari barat, [5] turunnya nabi Isa bin Maryam a.s, [6] ya’juj dan ma’juj, [7] 3 gempa bumi; gempa bumi di timur, [8] gempa bumi di barat dan [9] gempa bumi di jazirah arab dan [10] yang terakhir adalah api muncul dari Yaman menghalau manusia menuju tempat perkumpulan mereka
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 96 surah al-A’araf :
وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آمَنُواْ وَاتَّقَواْ لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاء وَالأَرْضِ وَلَكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُواْ يَكْسِبُونَ
Maksudnya : Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.
Sempena dengan semangat Hijrah yang baru disambut maka marilah kita mengajak bermula dari Kerajaan hingga rakyat bawahan untuk mengubah keadaan diri, keluarga, masyarakat, negeri seterusnya negara kea rah tunduk patuh kepada ajaran Islam. Hijrah yang akan membawa keberkatan dan keselamatan kepada negara sehingga kesan Rahmatan lil Alamani dapat dirasai bukan sahaja oleh umat manusia malah alam sekitar, binatang, tumbuhan dan selainnya. Sebarang bentuk kerosakan kepada alam sekitar wajib dibanteras habis-habisan
Begitu juga dosa maksiat berbentuk program, lesen, tempat dan sebagainya mesti disekat. Contohnya Kementerian Kesihatan Malaysia tidak sewajarnya menangguhkan peraturan penjualan arak murah hanya kerana desakan beberapa pengilang dan pengeluar serta penjual arak murah. Kita menyokong penuh apa yang dinyatakan oleh Pergerakan Anti-Arak Murah Malaysia atas keadaan ataupun kesan negatif yang semakin merebak akibat penjualan arak ini khususnya kepada golongan B40. Kita tidak mahu kes sebagaimana tahun lepas, ramai yang telah mati akibat minum arak ini terus berulang. Arak adalah suatu punca kejahatan yang menyebabkan masyarakat menghadapi pelbagai masalah termasuklah konflik rumah tangga, masalah kesihatan, berlaku ketagihan, masalah sosial di kalangan remaja dan sebagainya
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 46 surah al-Anfal :
وَأَطِيعُوا اللَّـهَ وَرَسُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ ۖوَاصْبِرُوا ۚ إِنَّ اللَّـهَ مَعَ الصَّابِرِينَ ﴿٤٦﴾
Maksudnya : Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar)
Semangat Hijrah turut memberi semangat kepada kita untuk memastikan seluruh system Islam dapat dilaksana dalam negara. Kita bimbang dengan perkembangan semasa termasuk isu wujud pihak yang mengulangi secara tegas perihal The Kingdom of God dalam Naratif Malaysia Baharu. Ia dibimbangi bercanggah dengan asas-asas Rukun Negara dan peruntukan utama dalam Perlembagaan seperti Islam Agama Persekutuan dan kedudukan Yang Di-Pertuan Agong sebagai ketua negara.
Kita memohon kepada pihak yang berwajib untuk menyiasat ucapan dalam forum Naratif Malaysia Baru pada 14 September 2019 di Kota Damansara selain penganjuran dan kandungan lain forum itu. Antara maksud kepada sebahagian ucapan itu ialah : "Kerajaan Tuhan adalah misi yang tidak dapat dihalang, dan sebabnya ini, Tuhan sendiri akan bertindak atasnya, dan itulah keyakinan kita yang tidak dapat dilepaskan". Begitu juga makna ucapan, "Kerajaan Tuhan tidak dapat dihalang dan ini adalah jawapan kita kepada semua ideologi kapitalisme, komunisme, sosialisme, liberalisme, nasionalisme. Tuhan sendiri berkomitmen untuk bertindak dan memastikan kejayaan kerajaannya sendiri ".
Isu ini merupakan isu besar yang tidak dipandang remeh oleh semua pihak.
Ketika agama lain bersungguh dalam membina negara ikut acuan agama mereka maka takkan masih ada dikalangan kita terus rasa sangsi dan was-was dengan kemampuan system Islam dalam merubah negara kepada lebih selamat dan cemerlang. Hijrahlah kita daripada jahiliah kepada Islam agar kita bahagia dan Berjaya dunia dan akhirat
قال الرسول : المُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ المُسْلِمُوْنَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ وَالمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللهُ عَنْهُ – رواه البخاري وأبو دأود والنسائي
Maksudnya: Seorang muslim ialah orang yang menyelamatkan saudaranya muslim yang lain melalui lidah dan tangannya. Dan seorang yang berhijrah ialah sesiapa yang berhijrah daripada perkara yang ditegah oleh Allah daripadanya
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Label:
Aqidah,
Kepimpinan Islam,
khutbah terbaru,
Tamadun Islam
Khamis, 19 September 2019
Piagam DiHayati Rahmatan Lil Alamin DiRasai
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ !!الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah S.W.T dalam ayat 1-3 surah al-Asr :
وَالْعَصْرِ ﴿١﴾ إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ ﴿٢﴾ إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ ﴿٣﴾
Maksudnya : Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian - Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.
Alhamdulillah rasa syukur kita rafakkan ke hadhrat Allah yang masih memanjangkan umur kita untuk bertemu dengan tahun baru 1441H. Nikmat waktu yang Allah anugerahkan ini wajib diisi dengan amalan soleh disamping menjauhi dosa maksiat. Betapa ramai umat manusia yang mensia-siakan nikmat masa ini sehingga mereka menyesal bila nikmat itu diangkat. Nabi s.a.w pernah mengingatkan kita
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نِعْمَتَانِ مَغْبُونٌ فِيهِمَا كَثِيرٌ مِنْ النَّاسِ الصِّحَّةُ وَالْفَرَاغُ - رواه البخاري
Maksudnya : 2 kenikmatan, kebanyakan manusia tertipu pada keduanya, (iaitu) kesihatan dan waktu luang.
Waktu luang adalah nikmat yang besar dari Allâh tetapi malangnya ramai manusia tertipu dan mendapat kerugian terhadap nikmat ini antaranya :
[1] Seseorang tidak mengisi waktu luangnya dengan bentuk yang paling sempurna seperti menyibukkan waktu luangnya dengan amalan yang kurang utama, padahal dia mampu mengisinya dengan amalan yang lebih utama.
[2] Seseorang itu tidak mengisi waktu luangnya dengan amalan-amalan yang utama, yang memiliki manfaat bagi agama atau dunianya. Namun kesibukannya adalah dengan perkara-perkara mubah atau harus yang tidak berpahala.
[3] Apa yang lebih malang apabila seseorang itu mengisi waktu dengan perkara yang haram. Ini adalah orang yang paling tertipu dan rugi kerana dia menyia-nyiakan kesempatan memanfaatkan waktu dengan perkara yang tidak bermanfaat. Tidak hanya itu, bahkan dia menyibukkan waktunya dengan perkara yang akan membawanya kepada hukuman azab Allâh di dunia dan di akhirat.
Ketika melihat keadaan umat manusia dalam mengisi nikmat waktu maka terbahagi kepada 3 golongan iaitu :
[1] Golongan yang amalan soleh mereka lebih banyak daripada waktu mereka.
[2] Golongan yang menghabiskan waktu mereka dalam mengejar perkara yang tidak berfaedah, baik berupa ilmu atau harta yang tidak bermanfaat, atau urusan-urusan dunia lainnya.
[3] Golongan yang tidak mengetahui apa yang mereka hendak lakukan terhadap nikmat waktu sehingga terlepas faedah dunia apatah lagi manfaat akhirat
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 74 surah al-Anfal :
وَالَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَالَّذِينَ آوَوا وَّنَصَرُوا أُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُؤْمِنُونَ حَقًّا ۚ لَّهُم مَّغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ ﴿٧٤﴾
Maksudnya : Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah (untuk membela Islam), dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia.
Keberadaan kita pada awal tahun hijrah juga mengingatkan kita bagaimana betapa penting peristiwa hijrah untuk difahami dan dihayati dalam kehidupan seharian bukan sahaja peringkat peribadi malah keluarga, masyarakat seterusnya negara dan antarabangsa. Hijrah yang berjaya ialah hijrah yang berjaya menukarkan umat melarat kepada umat berdaulat, umat dihina kepada umat memimpin dunia, umat yang lemah bertukar menjadi gagah. Hijrah yang berjaya juga mengubah dunia daripada kongkongan jahiliah kepada keluasan Islam, daripada gelap kekufuran kepada terangnya iman, daripada kezaliman nafsu kepada keadilan wahyu. Umat yang mahu berjaya mesti berhijrah daripada mengikut hawa nafsu kepada tunduk dengan segala arahan wahyu tanpa rasa was-was dan ragu-ragu lagi.
Hijrah menzahirkan Rahmatan Lil Alamin dalam kehidupan sehingga Islam diyakini mampu menyelesaikan masalah umat. Sebagaimana intipati titah DYMM Yang Dipertuan Agong ketikan sambutan Hijraturrasul 1441H bagaimana Rahmatan Lil Alamin ialah rahmat yang lahir daripada penghayatan Islam yg sebenar. Rahmat ini akan mencucuri kehidupan manusia dan alam sejagat. Bukan bertolak ansur sehingga hilang roh dan izzah Islam. Bukan hendak sesuai dengan kehendak manusia.
Bukan hendak ambil hati orang bukan Islam sehingga hilang ruh Islam.
Bukan meletakkan Islam terlalu mudah sehingga hilang kecantikan Islam.
Bukan takut untuk mempertahankan Islam ketika dihina.
Bukan takut hendak membela saudara seIslam ketika dihina. Rahmatan Lil Alamin bukan ilusi, fantasi tetapi realiti, dengan syarat ambil daripada acuan Islam. Ianya suatu kebenaran daripada Allah SWT.
Sidang Jumaat yang diberkati Allah ,
Firman Allah dalam ayat 41 surah al-Hajj :
الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّـهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ ﴿٤١﴾
Maksudnya : Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.
Ketika menyoroti peristiwa hijrah maka kita dapati 3 perkara utama yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w setibanya di Madinah ialah membina masjid, mempersaudarakan umat Islam dan menggubal piagam. Tahap awal ini merupakan proses untuk mengukuhkan kedudukan sosio-politik orang Islam di Madinah termasuk kedudukan Baginda s.a.w sebagai Ketua Negara. Piagam yang digubal pada 633 Masihi tersebut juga dikenali sebagai Ṣaḥīfah al-Madīnah. Piagam adalah sebuah perlembagaan yang digunapakai sebagai rujukan dalam pentadbiran dan pengurusan sesebuah negara yang adil. Oleh itu, perlembagaan bukan hanya diperlukan oleh sebuah negara yang dianggap bertamadun tetapi juga digunapakai oleh negara yang dianggap tidak bertamadun. Untuk mencapai kestabilan dalam kehidupan masyarakat pelbagai budaya dan bangsa serta agama, kontrak sosial diperlukan sebagai perjanjian yang disepakati oleh setiap kumpulan masyarakat. Ia juga bukan sekadar perjanjian oral tetapi adalah sebuah perjanjian yang termaktub di dalam dokumen. Piagam Madinah merupakan perlembagaan bertulis pertama di dunia yang digubal oleh sebuah negara berdaulat di bawah kepimpinan Rasulullah s.a.w. Ia juga menolak dakwaan yang menyatakan Islam hanyalah agama ibadat yang menumpukan hubungan antara makhluk dengan Tuhan semata-mata.
Piagam tersebut mempunyai 52 bahagian yang mengandungi istilah-istilah perundangan dan kaedah penulisan perlembagaan yang sesuai dengan era tersebut bahkan kepentingannya juga turut diperakui oleh pengkaji-pengkaji di Eropah. Malah ketika penjajah ingin mengurus negara jajahan selepas perang dunia turut menjadikan Piagam Madinah sebagai rujukan utama. 3 asas utama dalam piagam Madinah ialah :
[1] Piagam Madinah adalah perlembagaan persekutuan yang membentuk negara Madinah;
[2] Piagam Madinah adalah kontrak sosial masyarakat pelbagai kaum dan agama bagi membentuk ummah dan;
[3] Piagam Madinah menjamin hak-hak asasi setiap warganegara terutamanya hak kebebasan beragama mereka terutama masyarakat Yahudi.
Begitulah dalam konteks negara kita sekiranya setiap rakyat dapat memahami dan mematuhi kontrak sosial yang dibuat sebelum mendapat kemerdekaan maka isu adanya golongan pelampau yang menghina Islam, mencaci nabi Muhammad s.a.w, mencerca raja, mempertikai keistimewaan Melayu, membantah pembelajaran jawi di sekolah, mengibar bendera Malaysia secara terbalik dan beberapa isu lain yang menggugat keharmonian Negara tidak akan berlaku secara terang-terangan
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 96 surah al-A’araf :
وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آمَنُواْ وَاتَّقَواْ لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاء وَالأَرْضِ وَلَكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُواْ يَكْسِبُونَ
Maksudnya : Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.
Hijrah telah mengubah keadaan umat yang tertindas menjadi kuat berkuasa. Hijrah telah membolehkan seluruh system Islam termasuk ekonomi, perundangan, sosial, politik dapat disebar luaskan sehingga dirasai nikmat dan keadilannya. Hijrah telah merubah umat manusia yang menurit hawa nafsu kepada tunduk kepada hukum hakam yang diwahyukan sehingga kezaliman disekat dan negara mendapat berkat. Semoga semangat hijrah yang pernah ditunjukkan oleh nabi s.a.w dan para sahabat dapat dihayati dan diteruskan dalam kehidupan kita untuk mengembalikan izzah kemuliaan umat. Kita mesti buang rasa sangsi terhadap perundangan Islam sebagaimana contoh yang terdekat iaitu Brunei yang hampir 2 bulan melaksanakan perundangan Islam termasuk hudud di mana setakat ini hanya 2 orang pesalah di bawah kesalahan mencuri didakwa di mana kedua-dua pencuri itu hanya dihukum takzir iaitu denda dan penjara sahaja kerana tidak cukup bukti dan jumlah yang dicuri kurang daripada had minima untuk dikenakan hukuman potong tangan. Apa yang penting bila kita laksanakan hukuman Islam ialah jaminan daripada Allah. Kita sendiri terus dihantui dengan kes curi, rompak yang semakin menjadi-jadi
Hijrah juga membentuk peribadi yang takut kepada Allah sehingga menjauhi sifat jahat termasuk rasuah dan pecah amanah. Kita begitu bimbang dan mendesak agar pihak pihak berkuasa membanteras jenayah sindiket menjual kad pengenalan kepada warga asing. Jangan gadai kemerdekaan negara dengan jenayah yang menjijikkan ini. Sebagaimana tokoh China pernah berkata bahawa penjajan tidak mampu menawan China dengan meruntuhkan tembok China yang begitu kukuh tetapi penjajah boleh menjajah dengan membeli pengawal yang menjaga pintu kota
Hijrahlah kita daripada jahiliah kepada Islam agar kita bahagia dan Berjaya dunia dan akhirat
قال الرسول : المُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ المُسْلِمُوْنَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ وَالمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللهُ عَنْهُ – رواه البخاري وأبو دأود والنسائي
Maksudnya: Seorang muslim ialah orang yang menyelamatkan saudaranya muslim yang lain melalui lidah dan tangannya. Dan seorang yang berhijrah ialah sesiapa yang berhijrah daripada perkara yang ditegah oleh Allah daripadanya
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Khamis, 12 September 2019
Hijrah Merdekakan Negara Julang Umat Berjaya
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ !!الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah S.W.T dalam ayat 34 surah al-Namlu :
قَالَتْ إِنَّ الْمُلُوكَ إِذَا دَخَلُوا قَرْيَةً أَفْسَدُوهَا وَجَعَلُوا أَعِزَّةَ أَهْلِهَا أَذِلَّةً ۖ وَكَذَٰلِكَ يَفْعَلُونَ
Ertinya : Ratu Balqis berkata: “Sesungguhnya raja-raja, apabila masuk ke sebuah negeri, mereka merosakkannya, dan mereka menjadikan penduduknya yang mulia kepada hina-dina; dan demikian itulah mereka akan lakukan
Pada tahun ini kita sama-sama menyambut 2 peristiwa bersejarah dalam masa yang berdekatan iaitu sambutan hari kemerdekaan negara kali ke-62 dan juga awal Muharram tahun baru 1441H. Ketika menyoroti antara makna dan matlamat merdeka dan hijrah maka kita dapati banyak persamaan antara keduanya. Hakikat sebuah kemerdekaan sebagaimana ungkapan Rub’ie bin ‘Amir ketika beliau bertemu panglima tentera rom yang bernama Rustum:
نَحْنُ قَوْمٌ انبْعَثَناَ اللهُ لِنُخْرِجَ الناَّسَ مِنْ عِبَادَةِ الْعِبَادِ إِلَى عِبَادَةِ اللهِ، وَمِنْ جُوْرِ الأَدْياَنِ إِلَى عَدْلِ الإِسْلاَمِ، وَمِنْ ضِيْقِ الدُّنْياَ إِلَى سَعَةِ الآخِرَةِ”
Maksudnya : “Kami kaum yang datang untuk mengeluarkan manusia daripada penyembahan sesama makhluk kepada menyembah Allah, daripada kezaliman agama-agama sesat kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan akhirat”
Kemerdekaan juga ditakrifkan apabila seseorang, sesuatu bangsa atau umat mendapat kemerdekaan daripada penjajahan dalam segala bentuk, baik penjajahan lahir atau batin. Umat yang merdeka, mereka dapat berfikir dengan bebas apa yang baik dilakukan untuk diri, bangsa atau untuk kepentingan umat seluruhnya tanpa khuatir kepada makhluk yang menghalangi, tiada yang ditakuti kecuali Allah SWT dan segala tindakannya berpandukan al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad SAW.
Za’aba, memberi erti kemerdekaan ialah “berubah daripada kepercayaan bodoh yang melemahkan akal dan ikhtiar kepada kepercayaan yang cerdik yang membebaskan fikiran; daripada ajaran yang mematikan hati kepada ajaran yang menghidupkan dan menyuburkan dia; daripada i‘tiqad-i‘tiqad yang serong dan terpesong kepada i‘tiqad yang subur dan merdeka; daripada kezaliman pemerintahan berdasarkan hawa nafsu kepada kesolehan; dan daripada fikiran-fikiran yang menahankan dan menyekat kemajuan kepada fikiran yang membebaskan kemajuan dan menggalakkan kemaraan yang baik-baik dan mulia.”
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 74 surah al-Anfal :
وَالَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَالَّذِينَ آوَوا وَّنَصَرُوا أُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُؤْمِنُونَ حَقًّا ۚ لَّهُم مَّغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ ﴿٧٤﴾
Maksudnya : Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah (untuk membela Islam), dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia.
Manakala makna hijrah dibezakan menjadi dua macam, iaitu hijrah makaniyah yang bermakna berpindah dari satu tempat ke tempat lain seperti hijrah nabi Muhammad s.a.w dari Mekah ke Madinan. Makna kedua hijrah maknawiyah iaitu mengubah diri, dari yang buruk menjadi lebih baik demi mengharap keredhaan Allah. Hijrah maknawiyah dibahagikan kepada 4 iaitu [1] hijrah i'tiqadiyah iaitu keimanan, ketika seorang Muslim mencuba meningkatkan keimanannya agar terhindar dari syirik. [2] hijrah fikriyah iaitu pemikiran, ketika seseorang memutuskan kembali mengkaji pemikiran Islam yang berdasar pada al-Quran dan hadis nabi demi menghindari pemikiran yang sesat. [3] hijrah syu'uriyyah adalah berubahnya seseorang yang dapat dilihat dari penampilannya, seperti gaya berpakaian dan kebiasaan hidup agar bertepatan dengan syarak. [4] hijrah sulukiyyah iaitu tingkah laku atau keperibadian agar berakhlak dengan akhlak Islam
Hijrah yang berjaya ialah hijrah yang berjaya menukarkan umat melarat kepada umat berdaulat, umat dihina kepada umat memimpin dunia, umat yang lemah bertukar menjadi gagah. Hijrah yang berjaya juga mengubah dunia daripada kongkongan jahiliah kepada keluasan Islam, daripada gelap kekufuran kepada terangnya iman, daripada kezaliman nafsu kepada keadilan wahyu. Umat yang mahu berjaya mesti berhijrah daripada mengikut hawa nafsu kepada tunduk dengan segala arahan wahyu tanpa rasa was-was dan ragu-ragu lagi.
قال الرسول : المُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ المُسْلِمُوْنَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ وَالمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللهُ عَنْهُ – رواه البخاري وأبو دأود والنسائي
Maksudnya: Seorang muslim ialah orang yang menyelamatkan saudaranya muslim yang lain melalui lidah dan tangannya. Dan seorang yang berhijrah ialah sesiapa yang berhijrah daripada perkara yang ditegah oleh Allah daripadanya
Sidang Jumaat yang diberkati Allah ,
Firman Allah dalam ayat 41 surah al-Hajj :
الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّـهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ ﴿٤١﴾
Maksudnya : Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.
Bila kita faham bagaimana erti merdeka dan hijrah maka bersungguhlah kita dalam mempertahankan kemerdekaan Negara dengan bersungguh berhijrah daripada terus memuja system kuffar kepada Islam, cara hidup yang bercanggah dengan agama kepada patuh kepada syarak. Jangan biarkan darah dan keringat para pejuang kemerdekaan dicemari dengan kembali mengikut jejak langkah penjajah. Kita berasa kecewa dan marah bila kemerdekaan Negara cuba dicemari dengan beberapa isu seperti adanya golongan pelampau yang menghina Islam, mencaci nabi Muhammad s.a.w, mencerca raja, mempertikai keistimewaan Melayu, membantah pembelajaran jawi di sekolah, mengibar bendera Malaysia secara terbalik dan beberapa isu lain yang menggugat keharmonian Negara. Sekiranya setiap rakyat dapat memahami dan mematuhi kontrak sosial yang dibuat sebelum mendapat kemerdekaan maka isu ini tidak akan berbangkit. Kita sedar bagaimana setiap penjajahan kuffar terhadap negara umat Islam akan membawa 3G yang menjadi matlamat utama penjajahan iaitu [1] God iaitu Tuhan atau agama penjajah untuk disebarkan, [2] Glory iaitu kemasyhuran dengan kejayaan penjajah terhadap negara jajahannya diperbesarkan dan [3] Gold iaitu mengaut keuntungan daripada hasil mahsul yang didapati di negara jajahan.
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 74 surah al-Anfal :
وَالَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَالَّذِينَ آوَوا وَّنَصَرُوا أُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُؤْمِنُونَ حَقًّا ۚ لَّهُم مَّغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ
Maksudnya : Dan mereka yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dan mereka yang memberi tempat kediaman dan pertolongan maka merekalah orang-orang yang benar-benar beriman. Mereka memperolehi keampunan dan kurniaan yang mulia
Kita wajib memiliki jiwa merdeka agar tidak terus dijajah dan bergantung kepada orang lain untuk maju. Contohilah hijrah sahabat nabi dalam memerdekakan umat daripada penjajahan jahiliah. Ketika umat Islam berhijrah dari Mekah ke Madinah, mereka tidak membawa harta atau aset kekayaan bersama mereka. Sebaliknya mereka hanya bersehelai sepinggang untuk memulakan hidup baru di wilayah baru. Suasana ekonomi di Madinah pada ketika itu berada dalam cengkaman monopoli orang Yahudi. Yahudi menguasai perdagangan antara kota, pertanian, tenunan pakaian, industri besi dan emas serta pinjaman kewangan dengan riba yang sangat tinggi. Setelah tiba di Madinah, Rasulullah sa.w mempersaudarakan antara Muhajirin dan Ansar. Abdul Rahman bin Auf dipersaudarakan dengan Saad bin Rabi’ iaitu antara orang terkaya dalam kalangan Ansar. Saad bin Rabi’ ingin memberi salah seorang isterinya dan separuh hartanya kepada Abdul Rahman bin Auf. Namun, Abdul Rahman bin Auf menolak pelawaan itu sebaliknya berkata, “Tunjukkan aku dimanakah pasar yang paling sibuk dengan perniagaan”.
Maka Saad bin Rabi’ pun menunjukkan kepadanya Pasar Yahudi Qainuqa. Abdul Rahman bin Auf yang sebelum ini merupakan hartawan dan usahawan di Mekah terus memulakan perniagaan di pasar Yahudi itu tanpa takutkan persaingan. Antara dagangannya adalah perniagaan unta yang selama ini dikuasai oleh orang Yahudi. Beliau menjual unta dengan harga yang tidak setinggi jualan orang Yahudi. Walaupun tahap keuntungannya sedikit, namun beliau telah menarik ramai pelanggan dek kerana harga yang tidak terlampau mahal. Tetapi, setiap unta yang dijualnya tidak disertakan tali pengikat unta. Apabila banyak unta terjual, menjadi suatu keperluan kepada masyarakat untuk mendapatkan tali pengikat unta. Dari sinilah Abdul Rahman bin Auf mula membuat keuntungan dengan menjual tali pengikat unta.
Pengajaran dari kisah ini adalah, “Peniaga Muslim perlu ada Skill & Strategi Perniagaan”. Apa yang dilakukan oleh Abdul Rahman bin Auf adalah Market Research (cari pasar paling sibuk), Trust through Branding (unta Uthman harganya tidak terlampau mahal seperti peniaga Yahudi) dan Supply & Demand (mengawal harga melalui keperluan masyarakat untuk mendapatkan tali unta).
Oleh itu merdekakan diri umat Islam dengan kesungguhan dalam mengeluarkan produk, menyatukan kepakaran yang ada, saling membantu dalam membina kekuatan ekonomi umat Islam. Kekuatan atas dasar aqidah ini akan memerdekakan kita daripada terlalu bergantung orang lain disamping mengelakkan pihak yang tidak bertanggungjawab dalam menipu umat Islam seperti isu logo halal, jenama atas nama Islam hanya sebagai pelaris dan mengelirukan pengguna umat Islam. Merdekakan diri kita, ahli keluarga, masyarakat, negeri seterusnya Negara dengan berhijrah dari system jahiliah kepada Islam. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat
Firman Allah dalam ayat 139 surah Ali ‘Imran :
وَلَا تَهِنُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَنتُمُ الْأَعْلَوْنَ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ ﴿١٣٩﴾
Maksudnya : Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Langgan:
Catatan (Atom)