أهلا وسهلا ومرحبا بكم
Kandungan Blog
Jumaat, 14 September 2012
Islam DiJulang Nabi Muhammad s.a.w DiPertahan
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 42 surah at-Taubah :
لَوْ كَانَ عَرَضًا قَرِيبًا وَسَفَرًا قَاصِدًا لَّاتَّبَعُوكَ وَلَـٰكِن بَعُدَتْ عَلَيْهِمُ الشُّقَّةُ ۚ وَسَيَحْلِفُونَ بِاللَّـهِ لَوِ اسْتَطَعْنَا لَخَرَجْنَا مَعَكُمْ يُهْلِكُونَ أَنفُسَهُمْ وَاللَّـهُ يَعْلَمُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ
Maksudnya : Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai nabi Muhammad) sesuatu yang mudah didapati, dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu; tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka. Dan mereka akan bersumpah dengan nama Allah dengan berkata: "Kalau kami sanggup, tentulah kami akan pergi bersama kamu". (Dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu orang-orang yang berdusta (tentang tidak sanggupnya mengikutmu)
Kebenaran Islam adalah suatu pengiktirafan daripada Allah yang tidak boleh dipertikaikan. Kemenangan Islam adalah suatu janji benar daripada Allah yang tidak boleh disangkal lagi. Cuma dalam membuktikan tentang kebenaran Islam dan juga untuk mencapai kemenangan Islam di alam nyata maka perlu kepada usaha dan pengorbanan yang bersungguh daripada umat Islam bukan hanya setakat menjadi penonton dan pemerhati yang tidak melakukan apa-apa tindakan positif ke arah itu. Kebenaran Islam dapat kita buktikan melalui ilmu dan pengamalan kepada semua sistem Islam dalam kehidupan samada ibadat khusus, politik, ekonomi, sosial dan sebagainya. Runtuhnya kesesatan jahiliah apabila ilmu Islam berjaya menembusi hati-hati manusia yang selama ini menentang kebenaran akibat mereka jahil tentang Islam. Oleh itu menjadi suatu kewajipan bersama bermula daripada rumah hingga ke peringkat negara untuk memperkasakan ilmu Islam agar dapat melahirkan masyarakat yang aqidahnya kukuh dan amalan soleh serta akhlaknya utuh. Kita dapat lihat daripada dulu hingga kini di mana sebarang penjajahan akan menumpukan kepada sistem pendidikan agar pelajar yang keluar daripada sebarang institusi pengajian mestilah berqiblat kepada cara hidup penjajah. Kita begitu bimbang dengan keadaan aqidah umat Islam sendiri yang begitu goyah dan mudah menerima sebarang pemikiran sesat sehingga ada yang mempertikaikan tentang kewujudan Allah atas alasan tidak logik percaya kepada suatu yang tidak nampak. Itu belum lagi dikira kepada umat Islam yang banyak memberi alasan bila diminta agar menutup aurat yang dianggap merimaskan, disuruh solat dan puasa yang dianggap menyusahkan dan sebagainya. Akhirnya lahir ramai umat Islam yang ingin berseronok dan berehat daripada ibadat di dunia namun berangan-angan besar untuk menikmati keseronokan dan kerehatan dalam Syurga Allah di akhirat kelak. Inilah antara kejayaan besar penjajah sebagaimana yang pernah diungkapkan oleh seorang barat (Zwimmer) dengan katanya :
“Anda telah berjaya menyediakan di negara Islam satu generasi belia yang tidak mengetahui hubungannya dengan Allah malah tidak ingin mengetahuinya. Anda juga telah berjaya mengeluarkan umat Islam daripada agamanya walau pun anda tidak memasukkannya ke dalam Kristian. Seterusnya akan lahirlah satu generasi Islam bertepatan dengan kehendak penjajah di mana generasi ini tidak lagi mempedulikan perkara besar yang berlaku di sekitarnya sebaliknya lebih suka menghabiskan masa untuk berehat dan malas berusaha, cita-citanya dalam dunia tidak lain selain memenuhi keperluan nafsu syahwat sahaja…….”
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 70 surah al-An’am :
وَذَرِ الَّذِينَ اتَّخَذُوا دِينَهُمْ لَعِبًا وَلَهْوًا وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا ۚ وَذَكِّرْ بِهِ أَن تُبْسَلَ نَفْسٌ بِمَا كَسَبَتْ لَيْسَ لَهَا مِن دُونِ اللَّـهِ وَلِيٌّ وَلَا شَفِيعٌ وَإِن تَعْدِلْ كُلَّ عَدْلٍ لَّا يُؤْخَذْ مِنْهَا ۗ أُولَـٰئِكَ الَّذِينَ أُبْسِلُوا بِمَا كَسَبُوا ۖ لَهُمْ شَرَابٌ مِّنْ حَمِيمٍ وَعَذَابٌ أَلِيمٌ بِمَا كَانُوا يَكْفُرُونَ
Maksudnya : Dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan ugama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia dan peringatkanlah (mereka) dengan Al-Quran itu supaya tiap-tiap diri (di akhirat kelak) tidak terjerumus (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang ia telah usahakan (dari perbuatan yang buruk dan keji). Tidak ada baginya pelindung dan tidak juga pemberi syafaat yang lain dari Allah. Dan jika ia hendak menebus (dirinya) dengan segala jenis tebusan, (nescaya tebusan itu) tidak akan diterima daripadanya. Mereka itulah orang-orang yang dijerumuskan (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang telah mereka usahakan. Bagi mereka disediakan minuman dari air panas yang menggelegak, dan azab seksa yang tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka kufur ingkar (semasa hidupnya)
Apabila umat Islam mempunyai ilmu agama yang mendalam serta beramal dengan segala yang disuruh oleh Allah dan rasulNya disamping menjauhi segala tegahan Allah dan rasulNya dalam setiap aspek kehidupan maka ini semua dapat mengelakkan daripada lahirnya golongan yang mempermain dan memandang hina terhadap system Islam. Sebagai contohnya masalah hukum Hudud di mana sentiasa ada golongan yang mempertikaikannya dan memberi pelbagai alasan supaya ia tidak dilaksanakan termasuk alasan terbaru supaya Kelantan lebih baik menyelesaikan 24 ribu masalah kes di Mahkamah Syariah terlebih dahulu sebelum melaksanakan hukum Hudud sedangkan jumlah kes yang tertangguh sebenar hanya 5 ribu sahaja bukan sebagaimana dakwaan yang berniat jahat itu. Sepatutnya setelah 55 tahun menyambut kemerdekaan Negara maka usaha dalam melaksanakan seluruh system Islam dalam Negara semakin rancak dan maju termasuk hukum Hudud namun apa yang berlaku adalah sebaliknya sehingga rakyat diperbodohkan dengan alasan-alasan yang tidak munasabah. Oleh itu jadilah kita sebagai rakyat yang bijak dan cerdik yang tidak mudah ditipu oleh golongan yang mempermain dan merendahkan agama supaya kita sentosa di dunia dan bahagia di akhirat sana.
Kita yakin bahawa hukum Allah adalah adil dan mampu menyelesaikan semua masalah manusia. Tanpa menjadikan Islam sebagai teras pemerintahan Negara menyebabkan rompakan cara keras yang mengancam nyawa dan harta rakyat semakin bertambah manakala rompakan cara halus melalui pecah amanah dan rasuah terus bercambah. Kita bimbang jika selama ini hanya rakyat yang bangkit menyatakan penyelewengan dalam mengurus harta Negara tapi kini bila Sultan Johor sendiri yang menegur tentang pembelian sejenis kenderaan untuk pasukan angkatan tentera yang berbeza sehingga 500 ribu ringgit sebuah disamping mutunya dipertikaikan. Bila Allah tidak ditakuti maka lebih banyak kerosakan akan berlaku
Sidang Jumaat Yang dirahmati Allah ,
Firman Allah dalam ayat 36 surah al-Anfal :
إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ لِيَصُدُّوا عَن سَبِيلِ اللَّـهِ ۚ فَسَيُنفِقُونَهَا ثُمَّ تَكُونُ عَلَيْهِمْ حَسْرَةً ثُمَّ يُغْلَبُونَ ۗ وَالَّذِينَ كَفَرُوا إِلَىٰ جَهَنَّمَ يُحْشَرُونَ
Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang kafir yang selalu membelanjakan harta mereka untuk menghalangi (manusia) dari jalan Allah, maka mereka tetap membelanjakannya kemudian (harta yang dibelanjakan) itu menyebabkan penyesalan kepada mereka, tambahan pula mereka dikalahkan. Dan (ingatlah) orang-orang kafir itu (akhirnya) dihimpunkan dalam neraka jahanam.
Cahaya kebenaran Islam sentiasa cuba dipadamkan oleh musuh Islam di mana mereka tidak pernah rehat dan berhenti dalam memesongkan manusia daripada menerima kebenaran Islam. Kekuatan hujah Islam dalam membongkar kesesatan dan kezaliman agama dan system selain Islam sehingga semuanya tersungkur menyembam tanah namun akibat kedegilan maka musuh terus mempertahankan kebatilan. Hujah nabi Ibrahim a.s telah mengalahkan dakwaan sesat Raja Namrud yang akhirnya menggunakan hujah berbentuk kekerasan dengan membakar nabi Ibrahim a.s. Begitu juga hujah nabi Musa a.s berjaya mengalahkan Firaun namun raja zalim itu bukan sahaja tidak menerima kebenaran malah bertindak memburu nabi Musa a.s untuk dibunuh. Pertentangan ini terus berlangsung sehingga nabi kita sendiri Muhammad s.a.w Berjaya mematahkan sebarang hujah sesat Abu Jahal, Abu Lahab dan pemuka kafir Quraisy namun kebenaran bukan sahaja ditolak mentah-mentah malah musuh berusaha dalam membunuh nabi.
Maka pada hari ini kita dapat lihat bagaimana Yahudi dan Kristian terutamanya cuba menghasut dunia agar membenci dan memusuhi Islam dan umatnya. Mereka sanggup lakukan segalanya termasuk penipuan dan keganasan termasuk dalam serangan 11 September yang didalangi oleh yahudi tetapi umat Islam dijadikan ‘kambing hitam’. Oleh itu sambutan 11 September tahun ini dicemari dengan penyiaran suatu filem pendek yang menghina nabi Muhammad s.a.w yang digambarkan sebagai seorang penipu, gila seks dan menyeru untuk pembunuhan beramai-ramai. Tindakan biadap ini membangkitkan kemarahan umat Islam seluruh dunia sehingga ada duta dan pegawai Amerika Syarikat terbunuh dalam tunjuk perasaan di Libya. Mimbar Jumaat pada hari ini mengutuk dan mengecam pihak yang bertanggungjawab dalam menerbitkan filem yang biadap ini. Jangan cuba bermain api dengan umat Islam yang sememangnya cinta kepada nabi. Kami sanggup mati daripada membiarkan nabi dicaci. Biar darah mengalir ke bumi namun kami tidak akan membenarkan nabi dimaki. Biar nyawa melayang namun kami tidak reda kemuliaan nabi dipermainkan.
Firman Allah dalam ayat 8 surah as-Sof :
يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّـهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّـهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ
Maksudnya : Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedangkan Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Khamis, 13 September 2012
Syarat DiPenuhi Kemenangan Dunia Akhirat DiRai
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 46 surah al-Anfal :
وَأَطِيعُوا اللَّـهَ وَرَسُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ ۖ وَاصْبِرُوا ۚ إِنَّ اللَّـهَ مَعَ الصَّابِرِينَ
Maksudnya : Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.
Kini kita berada pada saki baki bulan Syawal yang disebut sebagai bulan kemenangan di mana hakikat kemenangan tidak dapat dirasai melainkan bagi orang yang benar-benar berjuang sebagaimana laungan kemenangan yang terus diingat dan disebut-sebut oleh seluruh umat Islam setiap kali tibanya hari raya dengan launganوأعز جنده وهزم الأحزاب وحده yang bermaksud Dan Dia (Allah) yang memulia dengan memberi kemenangan kepada tenteraNya dan mengalahkan tentera bersekutu kuffar (Ahzab) pada bulan Syawal tahun ke-5H. Laungan kemenangan ini diulang-ulang saban tahun untuk membangkitkan semangat kita dalam memperjuangkan Islam yang merupakan satu-satunya agama atau cara hidup yang sempurna dan benar. Begitu juga rakyat negara ini masih merasai bahang sambutan kemerdekaan kali ke-55 di mana nikmat kemenangan dan kemerdekaan bukannya datang dengan jalan yang senang malah memerlukan kepada nyawa yang melayang, ia bukan dapat dengan cara yang mudah sebaliknya menuntut kepada tumpahnya darah. Usah bercakap tentang menang dan merdeka jika takut untuk berjuang dan berkorban.
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Menyedari tentang betapa susahnya mencapai kemenangan dan kemerdekaan maka kita wajib memenuhi syarat-syaratnya barulah kedua-dua hasil yang begitu bermakna dapat dicapai. Antara syarat utama kemenangan ialah berpegang teguh kepada sistem al-Quran dan ajaran nabi Muhammad s.a.w dalam setiap aspek kehidupan samada ibadat khusus, politik, ekonomi, sosial dan sebagainya. Sesuai dengan kebangkitan dan tersebarnya Islam atas dasar ilmu bagi melawan jahiliah maka kita wajib memperkasakan budaya ilmu dalam kehidupan bukan terhad pada usia, kerjaya dan tempat tertentu sahaja. Malangnya jika ramai umat Islam dihanyut dengan hiburan melalaikan setiap hari dengan hanya asyik menonton tv, berbual kosong, membaca majalah hiburan, melayari internet dalam perkara yang tidak bermanfaat sehingga banyak umur kita dihabiskan dengan melayan propaganda musuh bukannya menambah ilmu seterusnya bersiap siaga dalam mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat. Nabi s.a.w pernah memberi contoh berkenaan sikap 3 golongan apabila berada dalam suatu majlis ilmu yang bermanfaat
عَنْ أَبِي وَاقِدٍ اللَّيْثِيِّ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ بَيْنَمَا هُوَ جَالِسٌ فِي الْمَسْجِدِ وَالنَّاسُ مَعَهُ ، إِذْ أَقْبَلَ نَفَرٌ ثَلَاثَةٌ ، فَأَقْبَلَ اثْنَانِ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ وَذَهَبَ وَاحِدٌ ، قَالَ : فَوَقَفَا عَلَى رَسُولُ اللَّهِ ، فَأَمَّا أَحَدُهُمَا فَرَأَى فُرْجَةً فِي الْحَلْقَةِ فَجَلَسَ فِيهَا ، وَأَمَّا الْآخَرُ فَجَلَسَ خَلْفَهُمْ ، وَأَمَّا الثَّالِثُ فَأَدْبَرَ ذَاهِبًا ، فَلَمَّا فَرَغَ رَسُولُ اللَّهِ قَالَ : " أَلَا أُخْبِرُكُمْ عَنِ النَّفْرِ الثَّلَاثَةِ ؟ أَمَّا أَحَدُهُمْ فآَوَى إِلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ فَآوَاهُ اللَّهُ ، وَأَمَّا الْآخَرُ فَاسْتَحْيَى فَاسْتَحْيَى اللَّهُ مِنْهُ ، وَأَمَّا الْآخَرُ فَأَعْرَضَ فَأَعْرَضَ اللَّهُ عَنْهُ - رواه البخاري ومسلم
Maksudnya : Rasulullah s.a.w. sedang duduk di masjid bersama orang ramai ketika menyampaikan ceramahnya, tiba-tiba datang 3 orang lelaki. 2 daripada mereka mendatangi Nabi s.a.w sedangkan yang seorang lagi terus pergi begitu saja. Seorang daripada mereka berdua pula mencari-cari ruang yang kosong dalam majlis itu, lalu dia duduk di situ. Dan yang seorang lagi terus duduk di belakang. Setelah Rasulullah s.a.w. selesai memberikan pengajian, Baginda bersabda : Perhatikanlah, aku beritahukan kepada kamu sekalian tentang orang yang bertiga itu. Seorang antaranya mencari tempat di sisi Allah, maka Allah melapangkan tempat baginya. Orang kedua pula malu-malu maka Allah malu pula padanya. Dan orang yang ketiga jelas berpaling , maka Allah berpaling pula daripadanya."
Kita bimbang akibat jahil tentang agama menyebabkan suburnya budaya tidak beradab dan kadang-kadang boleh merosakkan agama seperti kes terbaru berkenaan tindakan setengah kumpulan yang mengganggu majlis tazkirah di sebuah masjid di Kedah bukan sahaja dengan suara malah dilempar kasut. Mengapa perlu diikut budaya jahiliah dalam memperkosa masjid bukan memperkasakannya.
Firman Allah dalam ayat 26 surah al-Fussilat :
وَقَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا لَا تَسْمَعُوا لِهَـٰذَا الْقُرْآنِ وَالْغَوْا فِيهِ لَعَلَّكُمْ تَغْلِبُونَ
Maksudnya : Dan orang-orang yang kafir berkata: "Janganlah kamu mendengar Al-Quran ini dan tentanglah dia (dengan nyayian-nyanyian dan jeritan-jeritan riuh rendah serta tepuk sorak), supaya kamu berjaya (mengganggu bacaan atau menenggelamkan suara pembacanya)!"
Sidang Jumaat Yang dirahmati Allah ,
Syarat kedua dalam mencapai kemenangan dan kemerdekaan ialah mesti ikhlas dalam memperjuangkan seluruh sistem al-Quran bukan terlalu mengejar harta dan takhta dunia. Betapa malangnya bila pejuang kemerdekaan sanggup bermandi darah dan melayang nyawa kerana menghalau penjajah yang merosakkan agama, merompak hasil negara sehingga digelar penderhaka namun apabila negara merdeka maka anak didik penjajah pula melabelkan penderhaka kepada rakyat yang bangkit menegur kemungkaran dan penyelewengan dalam menjaga kesucian agama dan mengurus harta negara. Jika penjajah boleh kita halau keluar dari negara kerana mengkhianati agama dan negara maka tidak menjadi suatu kesalahan untuk menukar kepimpinan walau pun sebangsa jika yang diberi amanah tanpa segan silu merosakkan amanah malah menzalimi rakyat dengan menjadikan hasil mahsul negara seperti harta rampasan perang yang diagihkan sesama sendiri dengan membiarkan rakyat bawahan terus menderita dengan kenaikan harga barang dan hutang keliling pinggang dalam semua perkara termasuk pendidikan, rumah, kenderaan dan lebih malang terlibat dengan sistem riba yang menjadi jenayah besar dalam agama. Oleh itu perubahan kepimpinan agar kita benar-benar merdeka daripada penjajahan baru yang terus menjulang tinggi sistem penjajah hanya dapat dicapai dengan berjuang penuh keikhlasan kepada Allah bukan untuk mendapat habuan dunia
Firman Allah dalam ayat 145 surah Ali ‘Imran :
وَمَا كَانَ لِنَفْسٍ أَن تَمُوتَ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّـهِ كِتَابًا مُّؤَجَّلًا ۗ وَمَن يُرِدْ ثَوَابَ الدُّنْيَا نُؤْتِهِ مِنْهَا وَمَن يُرِدْ ثَوَابَ الْآخِرَةِ نُؤْتِهِ مِنْهَا ۚ وَسَنَجْزِي الشَّاكِرِينَ
Maksudnya : Tiada suatu jiwa pun akan mati melainkan dengan izin Allah melalui suatu suratan yang telah ditetapkan. Sesiapa yang mahu habuan dunia maka Kami akan berikan kepadanya. Dan sesiapa yang inginkan pahala akhirat maka Kami juga akan anugerahkan kepadanya. Kami akan berikan pahala kepada orang-orang yang bersyukur.
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 146 surah Ali ‘Imran :
وَكَأَيِّن مِّن نَّبِيٍّ قَاتَلَ مَعَهُ رِبِّيُّونَ كَثِيرٌ فَمَا وَهَنُوا لِمَا أَصَابَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَمَا ضَعُفُوا وَمَا اسْتَكَانُوا ۗ وَاللَّـهُ يُحِبُّ الصَّابِرِينَ
Maksudnya : Dan berapa ramai nabi yang berperang bersama-samanya sejumlah besar daripada pengikut setia yang bertaqwa. Mereka tidak menjadi lemah kerana bencana yang menimpa mereka di jalan Allah dan tidak lesu serta tidak pula menyerah kepada musuh. Sesungguhnya Allah menyukai mereka yang sabar.
Syarat ketiga dalam mencapai kemenangan ialah mesti bertaqwa kepada Allah sehingga menjauhi segala perbuatan atau sifat yang dicela oleh Allah. Pejuang Islam mesti takut kepada Allah bukannya mengecut kepada musuh serta jauh daripada penyakit al-Wahnu iaitu terlalu cinta kepada dunia dan takut kepada kematian. Syarat keempat pula ialah sabar dalam berdepan dengan pelbagai ujian samada berbentuk kesenangan yang berupa tawaran pangkat dan kekayaan atau pun kekerasan seperti penjara malah dibunuh. Tanpa memiliki syarat-syarat ini maka ramai yang rebah di tengah perjalanan dan cepat putus asa dalam perjuangan. Renungilah jawapan ulama’ untuk menjadikan kita manusia yang tidak tamak haloba kepada dunia sebaliknya akhirat menjadi matlamat utama
“[1] siapakah orang yang sempurna akal? Mereka menjawab: Orang yang tidak menyintai dunia (mengambil dunia sekadar yang diperlukan). “[2] siapakah orang yang cerdik? Mereka menjawab: Orang yang tidak tertipu oleh dunia. “[3] siapakah orang yang kaya? Mereka menjawab: Orang yang reda menerima bahagiannya daripada Allah. “[4] siapakah orang yang mengerti agama? Mereka menjawab: Orang yang tidak meminta berlebih-lebihan dan “[5] siapakah orang yang bakhil? Mereka menjawab: Orang yang tidak mengeluarkan hak Allah dalam hartanya.”
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Syarat kelima kita wajib berserah diri kepada Allah di mana jangan sama sekali kita lupa kepada Allah dalam apa juga keadaan dan situasi. Bersyukur bila dianugerahkan dengan kemenangan dan bersabar bila diuji dengan kekalahan. Tidak mudah putus asa kerana yakin perjuangan dalam meninggikan kalimah Allah atas muka bumi ini bukan suatu yang sia-sia malah dijanjikan dengan kemenangan yang besar terutama di akhirat nanti. Kita bukan mencari kemenangan untuk menunjukkan bahawa kita ini hebat, bijak sebaliknya untuk membuktikan bahawa kita sebagai hamba Allah yang sentiasa bersungguh dan bersemangat dalam memperjuangkan Islam. Kita mahu mencapai keberkatan dunia dan kebahagiaan akhirat terutama dengan melaksanakan suatu pesanan berharga yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW: “[1] Takutilah apa-apa yang haram, nescaya engkau orang yang paling banyak menunjukkan ibadahnya di antara manusia. [2] Reda dan tidak mengeluh terhadap apa yang telah dikurniakan oleh Allah, nescaya engkau menjadi orang yang terkaya di kalangan manusia. [3] Bersikap baiklah kepada tetanggamu, nescaya engkau menjadi seorang mukmin. [4] Sayangilah manusia seolah-olah kamu menyayangi diri kamu sendiri, nescaya kamu menjadi seorang Muslim. [5] Jangan banyak ketawa di dalam kehidupanmu, kerana orang banyak ketawa itu, hatinya akan mati.” (Riwayat Imam Ahmad)
Firman Allah dalam ayat 104 surah an-Nisa’ :
وَلَا تَهِنُوا فِي ابْتِغَاءِ الْقَوْمِ ۖ إِن تَكُونُوا تَأْلَمُونَ فَإِنَّهُمْ يَأْلَمُونَ كَمَا تَأْلَمُونَ ۖ وَتَرْجُونَ مِنَ اللَّـهِ مَا لَا يَرْجُونَ ۗ وَكَانَ اللَّـهُ عَلِيمًا حَكِيمًا
Maksudnya : Dan janganlah kamu lemah (hilang semangat) dalam memburu musuh (yang menceroboh) itu; kerana kalau kamu menderita sakit (luka atau mati) maka sesungguhnya mereka pun menderita sakitnya seperti penderitaan kamu; sedang kamu mengharapkan dari Allah apa yang mereka tidak harapkan (iaitu balasan yang baik pada hari akhirat kelak). Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Langgan:
Catatan (Atom)