أهلا وسهلا ومرحبا بكم
Kandungan Blog
Rabu, 12 Ogos 2015
Merdekakan Sistem Islam Rayakan Kemenangan
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 18 surah Az-Zumar :
الَّذِينَ يَسْتَمِعُونَ الْقَوْلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحْسَنَهُ ۚ أُولَـٰئِكَ الَّذِينَ هَدَاهُمُ اللَّـهُ ۖ وَأُولَـٰئِكَ هُمْ أُولُو الْأَلْبَابِ
Maksudnya : Golongan yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum ugama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna.
Kini kita mula memasuki minggu ke-4 daripada bulan Syawal yang merupakan bulan kemenangan setelah melalui sebulan tarbiah Ramadhan dalam mendidik seluruh pancaindera ke arah mentaati Allah serta menjauhi segala larangan Allah. Hakikat kemenangan tidak dapat dirasai melainkan bagi orang yang benar-benar berjuang sebagaimana laungan kemenangan yang terus diingat dan disebut-sebut oleh seluruh umat Islam terutama apabila tibanya hari raya dengan launganوأعز جنده وهزم الأحزاب وحده yang bermaksud Dan Dia (Allah) yang memulia dengan memberi kemenangan kepada tenteraNya dan mengalahkan tentera bersekutu kuffar (Ahzab) pada bulan Syawal tahun ke-5H. Laungan kemenangan ini diulang-ulang saban tahun untuk membangkitkan semangat kita dalam memperjuangkan Islam yang merupakan satu-satunya agama atau cara hidup yang sempurna dan benar. Tidak dikira berjaya jika hanya mengekang hawa nafsu pada bulan Ramadhan tetapi kembali bertuhankan hawa nafsu pada bulan Syawal dan bulan-bulan seterusnya termasuk hanyut dengan hiburan melampau, pergaulan bebas, mendedah aurat, meninggalkan kewajipan agama, bergelumang dengan maksiat. Tidak dikira berjaya setelah berjaya membersihkan diri daripada najis dosa pada bulan Ramadhan tetapi kembali mengotorinya dengan pelbagai dosa maksiat bila berlalunya Ramadhan. Orang yang benar-benar berjaya hanyalah orang yang berjaya mengawal hawa nafsu setiap masa dan tempat serta melaksanakan seluruh sistem Islam dalam kehidupan seharian. Orang yang gagal pula orang yang mendakwa dia telah menang mengalahkan hawa nafsu sedangkan cara hidupnya bertunjangkan hawa nafsu serta meletakkan sistem al-Quran dipunggung ketika sistem jahiliah disanjung
Firman Allah dalam ayat 9 dan 10 surah as-Syamsi :
قَدْ أَفْلَحَ مَن زَكَّاهَا ﴿٩﴾وَقَدْ خَابَ مَن دَسَّاهَا
Maksudnya : Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah S.W.T dalam ayat 34 surah al-Namlu :
قَالَتْ إِنَّ الْمُلُوكَ إِذَا دَخَلُوا قَرْيَةً أَفْسَدُوهَا وَجَعَلُوا أَعِزَّةَ أَهْلِهَا أَذِلَّةً ۖ وَكَذَٰلِكَ يَفْعَلُونَ
Ertinya : Ratu Balqis berkata: “Sesungguhnya raja-raja, apabila masuk ke sebuah negeri, mereka merosakkannya, dan mereka menjadikan penduduknya yang mulia kepada hina-dina; dan demikian itulah mereka akan lakukan
Begitu juga sekarang ini kita telah mula berada pada minggu pertama daripada bulan Ogos yang merupakan bulan menyambut kemerdekaan negara. Sebagaimana sambutan raya yang telah dikotori dengan perangai orang yang kalah kepada hawa nafsu begitulah juga dengan sambutan merdeka yang lebih memuja penjajah bukan benci kepada penjajahan. Cara sambutan kemerdekaan bukan sahaja tidak berterima kasih kepada pejuang kemerdekaan yang sanggup mati untuk menghalau penjajah malah tidak bersyukur kepada Allah dengan melakukan maksiat. Akhirnya laungan merdeka menjadi nyanyian yang melalaikan ketika sistem penjajah terus menguasai jiwa dan negara yang menyaksikan bukan sahaja jenayah bertambah ganas dan parah malah maruah Islam dan umatnya semakin tercalar.
Jika tarbiah Ramadhan bila benar-benar dihayati mampu memerdekakan diri kita daripada penjajahan hawa nafsu dan Syaitan maka untuk melahirkan umat merdeka yang benar-benar merdeka ialah dengan memastikan hati kita hidup kerana hati mati tidak mampu merasai bahayanya penjajahan dan beruntungnya bila merdeka. Antara perkara yang wajib dilakukan untuk ubati penyakit hati mati sebagaimana yang disebut oleh Syeikh Ibrahim Adham iaitu dengan 5 cara iaitu [1] Memperbanyakkan membaca al-Quran, memahami isi kandungannya seterusnya melaksanakannya dalam kehidupan seharian. [2] Banyakkan puasa sunat disamping menjaga yang wajib [3] Latih diri untuk bangun beribadat pada malam hari yang merupakan antara waktu dimaqbulkan doa dan tenang untuk bermunajat kepada Allah. [4] Sentiasa hadir ke majlis ilmu dalam menambah apa yang kurang, memperingat semula apa yang lupa, mempebetulkan kembali apa yang tersalah serta sentiasa mendampingi orang yang soleh. [5] Banyak berfikir tentang hubungan kita dengan Allah diwaktu sunyi agar kita dapat menghitung diri dari segi amal ibadat dan taubat atas segala dosa yang dilakukan.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Sempena berada pada bulan kemerdekaan juga marilah kita hayatilah erti sebenar sebuah kemerdekaan sebagaimana ungkapan Rub’ie bin ‘Amir ketika beliau bertemu panglima tentera Rom yang bernama Rustum:
نَحْنُ قَوْمٌ انبْعَثَناَ اللهُ لِنُخْرِجَ الناَّسَ مِنْ عِبَادَةِ غَيْرِ الْعِبَادِ إِلَى عِبَادَةِ اللهِ، وَمِنْ جُوْرِ الأَدْياَنِ إِلَى عَدْلِ الإِسْلاَمِ، وَمِنْ ضِيْقِ الدُّنْياَ إِلَى سَعَةِ الآخِرَةِ”
Maksudnya : “Kami kaum yang datang untuk mengeluarkan manusia daripada penyembahan sesama makhluk kepada menyembah Allah, daripada kezaliman agama-agama sesat kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan akhirat”
Antara kemerdekaan yang mesti kita lakukan ialah [1] memerdekakan diri, keluarga, masyarakat seterusnya negara daripada menyekutui Allah dari segi penyembahan dan pergantungan hidup. Malangnya apabila pengisian merdeka terus diisi dengan sistem penjajah sehingga sistem Islam dianggap asing, pelik dan tidak sesuai sedangkan sistem Islam telah menjadi sistem hidup sebelum kedatangan penjajah. Kita begitu kecewa dengan kenyataan seorang menteri yang meminta agar Lembaga Penapisan Filem (LPF) mengkaji semula garis panduan penapisan bagi penerbitan drama atau filem kerana menganggap isu adegan pasangan bercinta berpegangan tangan, berpelukan tidak perlu diperbesarkan kerana ia hanya sekadar lakonan yang tidak mengundang ke arah maksiat terhadap penonton. Sedangkan kita semua sedar bagaimana rancangan TV banyak merosakkan cara berfikir dan cara hidup masyarakat terutama kanak-kanak dan remaja. Kita baru dikejutkan dengn isu seorang kanak-kanak berumur 11 tahun melahirkan anak 2 hari lepas. Ingatlah bahawa Filem juga merupakan antara penjajahan kuffar terhadap umat Islam
[2] memerdekakan diri, keluarga, masyarakat seterusnya negara daripada menyembah sesama manusia supaya hilangnya sikap manusia yang mempercayai dan mengikut kata-kata dan perbuatan orang berpangkat, berharta secara membuta tuli walau pun jelas bercanggah daripada Islam. Ini dapat mengelak daripada terus suburnya undang-undang rimba di mana yang kuat menindas yang lemah, yang kaya memeras golongan miskin, yang berkuasa menzalimi rakyat jelata. Akibat menerima secara bulat-bulat berita yang diterima daripada media massa termasuk TV, radio, akhbar tanpa menapisnya berdasarkan maklumat dan ilmu yang benar menyebabkan kezaliman dan penindasan terus berlaku dalam negara. Kita terlalu bimbang dengan keadaan dalam negara termasuk isu tekanan kepada penjawat awam dan mereka yang mencari dan mendedahkan kebenaran sebagaimana yang berlaku kepada Surahanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM). Isu derma kepada pemimpin sebanyak 2.6 bilion iaitu melebihi kutipan zakat oleh 14 buah majlis agama Islam negeri yang turut membahayakan negara jika dibiarkan berlalu begitu sahaja. Oleh itu dalam memastikan kepimpinan tidak dijajah oleh hawa nafsu maka pastikan ia dipilih berdasarkan agama bukannya hawa nafsu. Renungilah kata-kata Saidina Abu Bakar setelah dipilih menjadi Khalifah: “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya aku telah dilantik untuk memimpin kamu semua sedangkan aku bukanlah orang yang terbaik di kalangan kamu. Jika aku melakukan kebaikan, maka bantulah aku. Manakala jika aku melakukan keburukan, maka perbetulkanlah aku” .
[3] memerdekakan diri, keluarga, masyarakat seterusnya negara daripada sebarang bentuk kezaliman sistem manusia, perbuatan keji dan mungkar dalam kehidupan. Oleh itu kita dapat melihat bagaimana bila mahu mengembalikan semula sistem Islam dalam negara maka suara yang menentang kepada usaha ini banyak datangnya daripada umat Islam sendiri. Dalam masa yang sama golongan anti-Islam dengan penuh perancangan rapi dan teratur berusaha bersungguh-sungguh dalam memastikan undang-undang yang menghalalkan murtad, menghalalkan budaya songsang dapat diluluskan dalam negara.
Firman Allah S.W.T dalam ayat 17 surah az-Zumar :
وَالَّذِينَ اجْتَنَبُوا الطَّاغُوتَ أَن يَعْبُدُوهَا وَأَنَابُوا إِلَى اللَّـهِ لَهُمُ الْبُشْرَىٰ ۚ فَبَشِّرْ عِبَادِ
Maksudnya : Dan orang-orang yang menjauhi dirinya dari menyembah atau memuja Taghut serta mereka rujuk kembali taat bulat-bulat kepada Allah, mereka akan beroleh berita yang menggembirakan (sebaik-baik sahaja mereka mulai meninggal dunia); oleh itu gembirakanlah hamba-hambaKu -
Sidang Jumaat Yang dirahmati Allah ,
Firman Allah dalam ayat 8 surah as-Sof :
يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّـهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّـهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ
Maksudnya : Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedangkan Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).
Ketika menyoroti kemerdekaan negara juga maka kita jangan mengulangi kesilapan yang dilakukan oleh kebanyakan negara arab di mana mereka menjadikan tarikh menyambut merdeka adalah tarikh kejatuhan khilafah Uthmaniah Turki yang mereka gulingkan akibat semangat kebangsaan sempit apabila penjajah mengapi-apikan bahawa Khilafah Uthmaniah adalah untuk orang Turki yang mesti ditentang oleh orang arab. Akhirnya hampir 100 tahun kejatuhan Uthmaniah yang menyaksikan umat Islam hilang suatu pemerintahan yang mampu mengawal dan menjaga kita. Begitu juga kejatuhan Masjid Aqsa dan bumi Palestin kepada zionis Yahudi hingga hari ini. Antara keganasan terbaru zionis Yahudi di Palestin ialah sekatan terhadap umat Islam yang ingin masuk Masjid Aqsa sehingga berlakunya pertempuran. Begitu juga pada 31 Julai lepas, pendatang Yahudi bertindak membakar rumah penduduk Palestin yang turut menyebabkan seorang kanak-kanak berumur 18 bulan mati terbakar dan ahli keluarganya melecur. Oleh itulah marilah sama-sama bersatu atas dasar Islam dalam mengembalikan pemerintahan Islam agar maruah kita terbela dan nasib kita terjaga. Merdekakan diri dan pemikiran kita daripada penjajahan jahiliah agar kita dapat menjulang kembali kegemilangan sistem Islam.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Langgan:
Catatan (Atom)