أهلا وسهلا ومرحبا بكم
Kandungan Blog
Jumaat, 5 Januari 2024
Khutbah Jumaat : Ulama DiJulang, Liberal DiLawan, Zionis Yahudi DiPerang
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ!!! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 1-2 surah al-Kahfi:
الْحَمْدُ لِلَّـهِ الَّذِي أَنزَلَ عَلَىٰ عَبْدِهِ الْكِتَابَ وَلَمْ يَجْعَل لَّهُ عِوَجًا ۜ﴿١﴾ قَيِّمًا لِّيُنذِرَ بَأْسًا شَدِيدًا مِّن لَّدُنْهُ وَيُبَشِّرَ الْمُؤْمِنِينَ الَّذِينَ يَعْمَلُونَ الصَّالِحَاتِ أَنَّ لَهُمْ أَجْرًا حَسَنًا ﴿٢﴾
Maksudnya : Segala puji tertentu bagi Allah yang telah menurunkan kepada hambaNya (Muhammad), Kitab suci Al-Quran, dan tidak menjadikan padanya sesuatu yang bengkok (terpesong): (Bahkan keadaannya) tetap benar lagi menjadi pengawas turunnya Al-Quran untuk memberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar) dengan azab yang seberat-beratnya dari sisi Allah, dan memberi berita gembira kepada orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka akan beroleh balasan yang baik.
Keberadaan kita pada hari Jumaat yang merupakan Penghulu segala hari yang memiliki kelebihan yang besar di mana kita mesti menggunakan sebaik mungkin kehadiran hari Jumaat untuk menambahkan amal ibadat disamping memohon keampunan daripada Allah atas ketelanjuran. Antara amalan terbaik pada hari Jumaat yang mulia ini ialah memperbanyakkan selawat ke atas nabi s.a.w, istighfar, berdoa dan membaca al-Quran terutama surah al-Kahfi
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: مَنْ قَرَأَ سُوْرَةَ الكَهْفِ في يَوْمِ الجُمُعَةِ، أَضَاءَ لَهُ مِنَ النُّوْرِ مَا بَيْنَ الجُمُعَتَيْنِ – رواه الحاكم والبيهقي
Maksudnya : Barangsiapa membaca surat al-Kahfi pada hari Jumaat nescaya Allah menerangi baginya dengan cahaya di antara dua Jumaat.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 65-67 surah al-Kahfi:
فَوَجَدَا عَبْدًا مِّنْ عِبَادِنَا آتَيْنَاهُ رَحْمَةً مِّنْ عِندِنَا وَعَلَّمْنَاهُ مِن لَّدُنَّا عِلْمًا ﴿٦٥﴾ قَالَ لَهُ مُوسَىٰ هَلْ أَتَّبِعُكَ عَلَىٰ أَن تُعَلِّمَنِ مِمَّا عُلِّمْتَ رُشْدًا ﴿٦٦﴾ قَالَ إِنَّكَ لَن تَسْتَطِيعَ مَعِيَ صَبْرًا ﴿٦٧﴾
Maksudnya : Lalu mereka dapati seorang dari hamba-hamba Kami yang telah kami kurniakan kepadanya rahmat dari Kami, dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu; dari sisi Kami. Nabi Musa berkata kepadanya: Bolehkah aku mengikutmu, dengan syarat engkau mengajarku dari apa yang telah diajarkan oleh Allah kepadamu, ilmu yang menjadi petunjuk bagiku?" Dia menjawab: "Sesungguhnya engkau (wahai Musa), tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku.
Surah al-kahfi banyak menceritakan kisah teladan untuk sama-sama kita ambil pengajaran termasuk kisah kembari ilmu Nabi Musa a.s dengan Nabi Khidir a.s. Antara pengajaran dari kisah ini ialah : [1] Adab sabar dalam menuntut ilmu di mana pelajar perlu berlapang dada ketika berdepan cabaran dalam mencari ilmu pengetahuan tanpa mengenal erti putus asa. [2] Adab rendah diri di mana Nabi Musa berbicara sopan jelas memaparkan sikap rendah hati terhadap gurunya, Nabi Khidir. Pelajar tidak boleh sombong dengan guru-guru yang mencurahkan ilmu pengetahuan, walaupun berlatarbelakangkan keluarga yang dikenali dalam masyarakat [3] Adab mematuhi peraturan di mana kepatuhan Nabi Musa terhadap peraturan ketat yang dikenakan oleh Nabi Khidir ketika dalam perjalanan mencari ilmu pengetahuan. Nabi Musa meyakinkan Nabi Khidir bahawa baginda tidak akan menentang gurunya itu dalam apa jua hal sekalipun. Pelajar perlu mengikut peraturan yang ditetapkan guru-guru tanpa banyak soal apatah lagi mudah memperlecehkan guru. [4] Adab menghormati guru sebagaimana keperibadian unggul Nabi Musa dalam menghormati Nabi Khidir. Nabi Musa meminta Nabi Khidir agar tidak menghukumnya yang terlupa peraturan menuntut ilmu yang dikenakan. Pelajar hendaklah menghormati guru yang membetulkan kesalahan kerana ingin mendidik malah perlu berterima kasih
Sidang Jumaat yang berkati Allah,
DARIPADA Abi Ad-Darda’ R.A berkata, aku mendengar Nabi S.A.W bersabda:
وَإِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ، وَإِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا، وَلَا دِرْهَمًا وَرَّثُوا الْعِلْمَ، فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ.
Maksudnya : “Sesungguhnya ulama’ adalah pewaris para Nabi. Sesungguhnya para Nabi tidak mewariskan dinar atau dirham. Akan tetapi mereka mewariskan ilmu, maka barangsiapa yang mengambil warisan tersebut, maka dia telah mengambil bahagian (keuntungan) yang banyak.” (HR Abu Daud)
Ulama adalah orang yang paling berjasa dalam menjaga, membela dan menyampaikan kepada kita syariat Islam secara suci murni sehingga hari ini. Oleh itu, kita wajib menghormati mereka dan mengakui keahlian mereka. Mengkritik dan memperlekehkan ulama adalah dua perkara yang berbeza. Mengkritik ulama tidak boleh dilakukan oleh semua orang. Hanya ulama yang berkelayakan dari segi ilmu dan adabnya sahaja yang boleh mengkritik melalui kaedah dan perbahasan ilmiah. Selain mereka, tidak layak untuk mengkritik ulama melainkan orang jahil yang tertipu dengan dirinya sendiri. Memperlekehkan ulama pula tidak dilakukan kecuali oleh orang yang hina dan rendah akhlaknya sahaja
Kata Imam Ibn al-Mubarak: "Sesiapa yang mempersendakan ulama, akan hilanglah akhiratnya."Imam Abu Hanifah dan Imam Syafie diriwayatkan berkata: "Jika ulama fiqah itu bukan wali Allah, maka tiada lagi seorang wali pun bagi Allah SWT." Jelas al-Khatib al-Baghdadi dalam al-Faqih wa al-Mutafaqqih: "Maksudnya mereka adalah ulama yang beramal dengan ilmu mereka."
Orang yang memperlekehkan ulama bererti dia hendak menjatuhkan kredibiliti penjaga syariat Islam ini. Jika penjaga syariat Islam ini berjaya dijatuhkan, akan mudahlah baginya jalan untuk meruntuhkan seluruh ajaran Islam itu sendiri. Awasi halus orientalisme, liberalisme dan sekulerisme yang sanggup mengkritik hukum-hakam Islam yang jelas mempunyai nas-nas yang qatie serta sudah disepakati jumhur ulama. Golongan terbabit berpandangan perkara agama bukan hak mutlak ulama atau institusi mufti, tetapi orang biasa pun berhak bercakap walaupun tanpa mengikut piawaian intelektual atau uslub ilmu yang betul. Pun begitu golongan merbahaya ini tetap mendakwa bahawa mereka adalah pejuang 'maqasid syariah' dalam kerangka wasatiyah sebenar. Anak didik Barat ini berlaku biadab dalam penulisan mereka dengan menyerang dan memfitnah ulama Islam, institusi Islam dan menulis mengenai Islam tanpa sifat integriti intelektual, rohani dan moral, melainkan menurut kejahilan, kebencian dan nafsu semata-mata. Jangan terpengaruh dan terikut dengan mereka
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 216 surah al-Baqarah :
كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِتَالُ وَهُوَ كُرْهٌ لَّكُمْ ۖ وَعَسَىٰ أَن تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۖ وَعَسَىٰ أَن تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ ۗ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ ﴿٢١٦﴾
Maksudnya: Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang
peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada
sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu
padahal ia buruk bagi kamu. dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui
(semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.
Al-Imam Ibnu Kathir RA menjelaskan dalam kitab tafsirnya tentang jihad dalam ayat ini, (maksudnya): “Allah mewajibkan jihad kepada kaum muslimin demi mempertahankan agama Islam dari kejahatan musuh-musuhnya”.
Al-Imam Az-Zuhri RA berkata bahawa jihad itu wajib atas setiap orang, sama ada dia ahli dalam berperang ataupun tidak. Bagi orang yang tidak biasa berperang, apabila diminta bantuannya untuk keperluan jihad, maka dia harus membantu. Dan apabila diminta pertolongannya, maka ia harus menolong. Apabila diminta untuk berangkat berjihad, maka dia harus berangkat; tetapi jika tidak diperlukan, dia boleh tinggal (tidak berjihad).
Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ مَاتَ وَلَمْ يَغْزُ، وَلَمْ يُحَدِّثْ بِهِ نَفْسَهُ، مَاتَ عَلَى شُعْبَةٍ مِنْ نِفَاقٍ - رواه مسلم
Maksudnya: Barangsiapa yang mati sedangkan dia tidak pernah berperang, dan tidak pernah berniat dalam hatinya untuk berperang, maka dia mati dalam satu cabang daripada kemunafikan.
Ingatlah ucapan pertama Sayyidina Abu Bakar RH ketika dilantik menjadi khalifah
لا يَدَعُ قومٌ الجِهادَ في سبيل اللّه إلا خَذَلَهم اللَّهُ بالذُلِّ
Maksudnya :“Tidaklah suatu kaum meninggalkan jihad di jalan Allah melainkan Allah
menimpakan kehinaan kepada mereka”.
Jihad mempunyai maksud yang luas. Tujuan utama jihad ialah menjadikan kalimat Allah yang paling tinggi mengatasi kalimat atau slogan para penentang. Jihad juga bermaksud berusaha bersungguh-sungguh dan mengerahkan tenaga sedaya upaya dalam memerangi puak kafir yang memerangi umat Islam dan menahan serangan mereka dengan nyawa, harta dan lidah atau apa sahaja ikhtiar demi meninggikan kalimah Allah dan menegakkan Islam. Kita semua tahu, jihad yang paling mencabar ialah jihad qitali atau jihad berperang dengan senjata untuk menghapuskan musuh Islam di medan peperangan. Perintah perang jihad menentang musuh Allah adalah merupakan suatu kewajipan ke atas umat Islam apabila keadaan memaksa maka jihad itu dilancarkan. Perintah berjihad ini akan tetap berterusan hingga ke hari kiamat apabila ada umat Islam yang diserang atau bumi Islam dicerobohi
Inilah kewajipan kita bersama untuk terus bersemangat dan menyatakan sokongan kita kepada saudara seagama di bumi Palestin yang telah dan sedang menunaikan kewajipan jihad yang telah diwajibkan oleh Allah SWT. Mereka berada di barisan hadapan, walaupun menjadi golongan yang paling terdedah kepada serangan musuh yang dilancarkan secara bertubi-tubi. Israel menggunakan segala senjata termasuklah mendapatkan sokongan politik, ekonomi, media dan lain-lain dari negara Barat khususnya kuasa Amerika dan Eropah. Walaupun umat Islam di Palestin sekian lama ditindas, dirampas, disekat hak-hak mereka, dibunuh dan dizalimi oleh tentera negara haram Israel, namun semangat mereka tidak pernah luntur dengan terus berjuang. Mereka menghadapi kezaliman dengan gagah berani, memberikan sumbangan dengan pengorbanan nyawa para syuhada’ yang bertali arus tidak henti-henti. Mereka itulah golongan yang sedang menunggu giliran untuk syahid yang tidak pernah terhenti.
Umat Islam Palestin mengorbankan nyawa mempertahankan bumi wakaf milik seluruh umat Islam Palestin dan Masjid Aqsa tanpa rasa jemu dan gentar. Jihad kita berbentuk harta, doa dan boikot adakah sudah berhenti dan senyap setelah hampir 22 000 terkorban dibunuh kejam oleh zionis Yahudi yang majoriti terdiri dari kanak-kanak, wanita dan orang awam. Bolehkah kita terus bergembira disaat saudara seagama berkorban nyawa, bolehkah kita bergurau senda ketika saudara kita dibunuh tanpa kira masa, adakah kita boleh terus berseronok ketika saudara kita dibom tanpa belas kasihan. Teruskan jihad kita jika kita ada iman dan ada perasaan belas kasihan pada saudara seagama. Islamlah nescata kita selamat dunia akhirat
للشهيدِ عندَ اللهِ ستُّ خصالٍ : يُغفرُ لهُ في أولِ دفعةٍ، ويَرى مقعدَهُ منَ الجنةِ، ويُجارُ منْ عذابِ القبرِ، ويأمنُ منَ الفزعِ الأكبرِ، ويُوضعُ على رأسِهِ تاجُ الوقارِ، الياقوتةُ منها خيرٌ منَ الدنيا وما فيها، ويُزوَّجُ اثنتينِ وسبعينَ زوجةً من الحورِ العينِ، ويُشفَّعُ في سبعينَ منْ أقاربِهِ - رواه الترمذي
Maksudnya : “Orang yang mati syahid di sisi Allah mempunyai enam kelebihan: dosanya akan diampuni sejak darahnya tertumpah di awal kali pertempuran, diperlihatkan tempat duduknya di surga, dijaga dari siksa kubur, diberi keamanan dari ketakutan yang besar saat dibangkitkan dari kubur, diberi mahkota kemuliaan yang satu permata darinya lebih baik dari dunia seisinya, dinikahkan dengan tujuh puluh dua bidadari dan diberi hak untuk memberi syafaat kepada tujuh puluh orang dari keluarganya".
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Khutbah Jumaat : Perjuangan Ashabul Kahfi DiTiru Jihad Palestin DiBantu
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ!!! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 11 surah at-Taghabun :
مَا أَصَابَ مِن مُّصِيبَةٍ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّـهِ ۗوَمَن يُؤْمِن بِاللَّـهِ يَهْدِ قَلْبَهُ ۚ وَاللَّـهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ ﴿١١﴾
Maksudnya : Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu
Kebanyakan negeri terutama di Pantai Timur berada dalam musim tengkujuh di mana banyak tempat berlakunya banjir. Musibah ini memberi banyak pengajaran buat kita semua terutama dalam menambah keimanan kepada kekuasaan Allah dan kesabaran dalam menerima qada’ dan qadarNya. Kita diajar tiap kali berlaku hujan yang begitu lebat maka kita disaran untuk memohon kepada Allah agar mengalihkan hujan tersebut ke tempat yang lebih manfaat dengan mengamalkan doa yang terdapat di dalam Al-Quran dan diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. Antaranya pernah nabi s.a.w berdoa:
اللَّهُمَّ حَوَالَيْنَا وَلاَ عَلَيْنَا، اللَّهُمَّ عَلَى الآكَام وَالظِّرَابِ، وَبُطُونِ الأَوْدِيَةِ، وَمَنَابِتِ الشَّجَرِ- رواه البخاري ومسلم .
Maksudnya : “Ya Allah!, turunkanlah hujan di sekitar kami dan janganlah ditimpakan bencana ke atas kami. Ya Allah, turunkannya di dataran tinggi, bukit-bukit, lembah-lembah serta tempat tumbuhnya pokok-pokok”.
Nabi s.a.w juga mengajar kita untuk berdoa seperti :
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ هَذِهِ الرِّيحِ وَخَيْرِ مَا أُرْسِلَتْ بِهِ : وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّهَا وَشَرِّ مَا أُرْسِلَتْ بِهِ – رواه مسلم
Maksudnya : “Ya Allah sesungguhnya daku memohon kepada-Mu kebaikan angin ini dan kebaikan yang ada padanya dan kebaikan yang dibawanya. Dan daku berlindung kepada-Mu dari keburukan angin ini, keburukan yang ada padanya dan keburukan yang dibawanya.“
Kita yang tidak ditimpa musibah hendaklah sama-sama hulurkanlah bantuan kepada mangsa banjir semampu mungkin. Sedekah kita di dunia akan membawa kesenangan di akhirat kelak
قال النبي :مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ-رواه مسلم
Maksudnya: Sesiapa yang membantu menghilangkan kesusahan seorang mukmin di dunia, maka Allah akan menghilangkan kesusahan daripadanya pada hari kiamat
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,
Firman Allah dalam ayat 10-11 surah al-Kahfi :
إِذْ أَوَى الْفِتْيَةُ إِلَى الْكَهْفِ فَقَالُوا رَبَّنَا آتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا ﴿١٠﴾ فَضَرَبْنَا عَلَىٰ آذَانِهِمْ فِي الْكَهْفِ سِنِينَ عَدَدًا ﴿١١﴾
Maksudnya : (Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan ugama kami”. Lalu Kami tidurkan mereka dengan nyenyaknya dalam gua itu, bertahun-tahun, yang banyak bilangannya.
Keberadaan kita pada hari Jumaat yang merupakan Penghulu segala hari yang memiliki kelebihan yang besar di mana kita mesti menggunakan sebaik mungkin kehadiran hari Jumaat untukm menambahkan amal ibadat disamping memohon keampunan daripada Allah atas ketelanjuran. Antara amalan terbaik pada hari Jumaat yang mulia ini ialah memperbanyakkan selawat ke atas nabi s.a.w, istighfar, berdoa dan membaca al-Quran terutama surah al-Kahfi
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: مَنْ قَرَأَ سُوْرَةَ الكَهْفِ في يَوْمِ الجُمُعَةِ، أَضَاءَ لَهُ مِنَ النُّوْرِ مَا بَيْنَ الجُمُعَتَيْنِ – رواه الحاكم والبيهقي
Maksudnya : Barangsiapa membaca surat al-Kahfi pada hari Jumaat nescaya Allah menerangi baginya dengan cahaya di antara dua Jumaat.
عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهم عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ حَفِظَ عَشْرَ آيَاتٍ مِنْ أَوَّلِ سُورَةِ الْكَهْف عُصِمَ مِنَ الدَّجَّالِ – رواه مسلم
Maksudnya : Barangsiapa yang menghafaz sepuluh ayat daripada awal surah al-Kahfi, pasti terlindung daripada fitnah Dajjal.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 13 surah al-Kahfi :
نَّحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُم بِالْحَقِّ ۚ إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى ﴿١٣﴾
Maksudnya : Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk
Surah al-Kahfi antaranya mengisahkan tentang sekumpulan pemuda yang mempertahankan iman mereka sehingga akhirnya ditidurkan di dalam gua selam 309 tahun. Kisah ini begitu memberi pengajaran yang mendalam antaranya [1] Membuang kebiasaan mudah terikut-ikut dan terpengaruh dengan suasana masyarakat sekitar yang rosak aqidah dan akhlak. Pegangan kepada keimanan yang kukuh kepada Allah telah menyelamatkan pemuda Kahfi ini daripada amalan syirik yang ada dalam masyarakat. [2] Hijrah dari lingkungan yang menyimpang agar tidak terpengaruh dengan cara hidup yang bercanggah dari agama [3] Menjaga rahsia dalam segala tindakan bagi menyelamatkan diri dan kerja dakwah daripada diketahui oleh mereka yang membenci Islam. [4] Tidak bersekongkol dengan kesesatan dan kezaliman pemimpin dengan menolak kehidupan yang mewah demi mempertahankan Islam [5] Keyakinan bahawa pasti datangnya pertolongan Allah dari jalan yang tidak dijangka di puncak masalah. Bila kita bertahan di jalan kebenaran, maka pertolongan Allah akan datang di waktu yang paling tepat.
Firman Allah dalam ayat 160 surah Ali ‘Imran :
إِن يَنصُرْكُمُ اللَّـهُ فَلَا غَالِبَ لَكُمْ ۖ وَإِن يَخْذُلْكُمْ فَمَن ذَا الَّذِي يَنصُرُكُم مِّن بَعْدِهِ ۗ وَعَلَى اللَّـهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ ﴿١٦٠﴾
Maksudnya : Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika Ia mengalahkan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah diri
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,
Firman Allah dalam ayat 96 surah al-A’araf:
وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَٰكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ ﴿٩٦﴾
Maksudnya : Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.
Imam Fakhruddin Al Razi telah menukilkan bahawa Dunia ini termasuk sesebuah negara menjadi cantik seperti taman bunga dengan syarat mempunyai 5 perkara iaitu [1] Ilmu para ulama ( العلماء علم) [2] Pemimpin yang adil ( عدلالأمراء) [3] Ibadah ahli ibadah ( العباد عبادة) [4] Peniaga yang amanah ( التجار أمانة) [6]Nasihat golongan profesional ( المحترفين نصيحة)
Namun negara atau masyarakat boleh rosak dengan 5 perkara yang perlu dihindari iaitu [1] Ulamak yang hasad ( العلماء حسد) [2] Pemimpin yang jahat ( جورالأمراء) [3] Ahli ibadah yang riak ( العباد رياء) [4] Para peniaga yang khianat ( التجار خيانة) [5] Profesional yang menipu ( المحترفين غش)
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,
Beberapa hari lagi kita akan mula memasuki tahun baru 2024 Masihi di mana marilah kita sama-sama bermuhasabah dengan amalan soleh kita dan taubat atas salah silap kita. Jangan biarkan waktu berlalu dengan sia-sia sebaliknya pastikan umur kita diberikan keberkatan oleh Allah sehingga menjadi manusia yang terbaik iaitu umur panjang dan amalan soleh pun bertambah. Kita juga memohon dijauhkan daripada menjadi manusia yang jahat iaitu umurnya panjang tetapi dipenuhi dengan dosa maksiat.
Setelah hampir 3 bulan serangan besar-besaran oleh pengganas dunia zionis Yahudi ke atas bumi wakaf milik umat Islam iaitu Palestin di mana telah membunuh lebih 21 000 orang terutama majoritinya kanak-kanak, wanita dan orang awam. Orang mukmin dengan mukmin yang lain ibarat sebatang tubuh. Apabila satu anggota sakit, maka anggota badan lain akan merasai kesakitan tersebut. Kita sebagai umat Islam boleh menghulurkan bantuan dalam bentuk kewangan untuk membantu saudara seakidah di bumi Palestin. Bantuan ini akan meringankan penderitaan ditanggung penduduk Palestin. Semua pihak perlu bertindak dengan memberi bantuan dan desakan supaya peperangan dan keganasan Zionis Israel ini diberhentikan segera. Kita sebagai umat Islam yang bersaudara perlu membantu perjuangan rakyat Palestin. Kita perlu tunjukkan solidariti bersama perjuangan rakyat Palestin. Sebagai umat Islam, kita perlu mengangkat tangan memohon pertolongan daripada Allah SWT. Pada saat ini doa ke hadrat Ilahi oleh seluruh umat Islam dari segenap pelusok dunia sangat ditagih rakyat Palestin. Semua pihak perlu berganding bahu membantu saudara kita di bumi Palestin. Yakinlah, kemenangan yang menjadi milik rakyat Palestin semakin hampir. Mereka berjuang dengan cara bertempur untuk pertahan diri, keluarga dan tanah air tercinta yang merupakan tanah wakaf milik seluruh umat Islam. Berbahagialah pejuang-pejuang yang mati syahid. Mereka bakal mendapat rezeki yang tidak putus-putus daripada Allah
Firman Allah dalam ayat 169 surah Ali Imran :
وَلَا تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ قُتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَمْوَاتًا ۚ بَلْ أَحْيَاءٌ عِندَ رَبِّهِمْ يُرْزَقُونَ ﴿١٦٩﴾
Maksudnya : dan janganlah sama sekali kamu mengira bahawa orang-orang yang terbunuh pada jalan Allah telah mati. Bahkan mereka hidup dan dikurniakan rezeki di sisi Tuhan mereka.”
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Label:
Aqidah,
Kepimpinan Islam,
khutbah terbaru,
Tamadun Islam
Khutbah Jumaat : Syarat Umat Gemilang DiPenuhi Kemerdekaan Palestin DiMiliki
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 139 surah Ali Imran :
وَلَا تَهِنُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَنتُمُ الْأَعْلَوْنَ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ ﴿١٣٩﴾
Maksudnya : Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman
Kita umat Islam yakin bahawa Islam adalah satu-satunya agama yang layak untuk menerima tampuk kepemimpinan umat manusia. Oleh sebab itu, ada para pemikir Barat ada yang menyedari akan peranan ini. Mungkin di antara tulisan yang paling tepat dalam memberikan gambaran tentang unsur-unsur kekuatan Islam adalah tulisan, “Powell Schamtaz” dalam bukunya (Islam adalah kuasa dunia masa depan), yang bertujuan memberikan pencerahan dan peringatan kepada bangsanya sendiri terhadap unsur -unsur kekuatan Islam. Beliau menyatakan unsur kekuatan asasi yang dimiliki umat Islam adalah:
[1] Kedudukan strategik yang dimiliki umat Islam di dunia.
[2] Pertumbuhan manusia yang begitu pesat di kalangan umat Islam, yang menjadikan pertumbuhan mereka unggul berbanding orang lain.
[3] Kekayaan sumber alam dan bahan mentah. Melalui sumber alam yang besar yang dimiliki umat Islam menyebabkan mereka mampu membangun kuasa industry yang terhebat di peringkat dunia.
Islam adalah unsur kekuatan paling penting di tengah masyarakat Islam. Menurut “Schamtaz” adalah: “Demikianlah agama yang memiliki kekuatan bagaikan ‘sihir’ untuk menghimpunkan perbagai jenis manusia di bawah satu bendera setelah menghilangkan perbezaan bangsa dan keturunan dari jiwa mereka, memiliki tenaga ruh yang mampu mendorong orang beriman mempertahankan tanahairnya dan sumber kekayaannya sehingga sanggup mengorbankan apa jua yang dimiliki hatta nyawa mereka sendiri”.
Dia juga berkata: “Sejarah akan berulang kembali, bermula dari daerah kuasa Islam dunia pertama diraih. Kuasa ini akan muncul apabila berpegang teguh pada Islam dan bersatunya pasukan tentera. Kuasa ini akan kukuh dan wujud apabila umat Islam menyedari bagaimana mengeluarkannya dan mengambil manfaat darinya, dan seterusnya mampu mengimbangi kuasa dunia lainnya”.
Seorang lagi penulis Inggeris (Heller Block) berkata: “Sesuatu peradaban yang mana tonggak-tonggaknya terikat dengan ikatan yang kukuh, bahagian tepinya saling berpegangan dengan kuat dan membawa bersamanya ideologi seperti Islam, tidak sekadar sedang menunggu masa depan yang cerah saja namun juga akan menjadi bahaya bagi musuh-musuhnya. ”
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
FIRMAN Allah SWT Surah al-Baqarah ayat 256:
﴿لَآ إِكۡرَاهَ فِي ٱلدِّينِۖ قَد تَّبَيَّنَ ٱلرُّشۡدُ مِنَ ٱلۡغَيِّۚ فَمَن يَكۡفُرۡ بِٱلطَّـٰغُوتِ وَيُؤۡمِنۢ بِٱللَّهِ فَقَدِ ٱسۡتَمۡسَكَ بِٱلۡعُرۡوَةِ ٱلۡوُثۡقَىٰ لَا ٱنفِصَامَ لَهَاۗ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ ٢٥٦﴾
“Tiada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam); sesungguhnya telah jelas jalan yang benar (Islam) daripada jalan yang sesat (kufur). Oleh itu, sesiapa yang ingkar kepada Taghut (pelampau sempadan Allah) dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada simpulan tali yang amat kuat yang tidak akan putus. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
Perkara pertama yang wajib dipegang oleh umat Islam dalam mengembalikan semula kekuatan dan kegemilangan umat ialah kembali kepada aqidah Islam. Dibandingkan pegangan kepada ajaran Islam yang diimani laksana simpulan ikatan tali yang sangat kuat. Dalam bahasa Arab, ia disebut sebagai aqidah, yakni simpulan. Aqidah Islam berprinsipkan beriman kepada Allah SWT dan ketuhanan-Nya sahaja, di samping menerima ketetapan-Nya yang disampaikan oleh Rasul-Nya dan menolak segala yang lain daripada-Nya yang disebut taghut iaitu pelampau daripada sempadan Allah. Setiap ajaran Islam yang sempurna wajib diyakini dengan kepercayaan hati yang teguh dalam segala aspek, sama ada yang dinamakan urusan agama dalam istilah bahasa yang lain atau urusan kehidupan dunia yang tidak termasuk dalam takrif agama lain, namun ia tetap menjadi ajaran Islam. Begitu juga, sama ada perkara yang dinaskan secara nyata atau dasar yang umum, mahupun termasuk perkara yang tidak dinaskan yang hukumnya wajib, harus, halal dan haram. Semua perkara termasuklah perkara yang tidak dinaskan, terkandung dalam ajaran Islam yang sempurna dan merupakan perkara yang diizinkan oleh Allah mengikut kemampuan manusia. Semua ajaran Islam yang sempurna itu wajib diimani dan dilaksanakan dalam kehidupan manusia, kelak pada Hari Kiamat ia akan dihisab
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Kewajipan yang kedua untuk mengembalikan kegemilangan umat Islam ialah melaksanakan segala sistem Islam samada dalam ibadat khusus, ekonomi, politik, sosial dan sebagainya. Rasulullah SAW telah memberi amaran bahawa akan berlaku pada akhir zaman, ajaran Islam itu dirungkai satu demi satu, kerana terikut-ikut dengan hawa nafsu dan langkah syaitan. Sabda Rasulullah SAW:
لَتُنْقَضَنَّ عُرَى الْإِسْلَامِ عُرْوَةً عُرْوَةً، فَكُلَّمَا انْتَقَضَتْ عُرْوَةٌ تَشَبَّثَ النَّاسُ بِالَّتِي تَلِيهَا، وَأَوَّلُهُنَّ نَقْضًا الْحُكْمُ وَآخِرُهُنَّ الصَّلَاةُ.- رواه أحمد وابن حبان
Maksudnya : “Akan berlaku suatu keadaan apabila ajaran Islam yang disimpul dengan ikatan yang teguh akan dirungkai satu demi satu. Setiap satu dirungkai, para penganutnya berpegang dengan simpulan yang masih ada. Pertama yang dirungkai ialah kuasa pelaksanaan hukum Islam (politik) dan yang terakhir dirungkai ialah pelaksanaan solat.”
Kita menyaksikan hukum pemerintahan negara yang disebut al-Ahkam al-Sultaniyyah, Siyasah Syar‘iyyah atau Wilayat al-Faqih (politik) yang memberi kuasa kepada Islam memerintah dan mentadbir, menjadi perkara yang pertama sekali dirungkaikan, dan akhirnya ia akan dilupakan. Begitulah gambaran betapa besar dan pentingnya hukum ini sehinggakan ia dinaskan dalam al-Quran, sunnah amaliah Rasulullah SAW dan ijmak para sahabat RA selepas kewafatan Baginda SAW. Bahkan, hukum ini juga dipertahankan oleh semua kerajaan Islam yang tidak berani membatalkan kuasa Islam pada prinsipnya, walaupun mereka secara peribadinya melakukan maksiat. Hal ini demikian kerana, mereka berpegang kepada ketetapan Allah yang menjadi amanah besar kepada manusia.
Imam al-Ghazali RH dalam kitab al-Iqtisad fi al-I‘tiqad menegaskan:
الدِّينُ أُسٌّ وَالسُّلْطَانُ حَارِسٌ وَمَا لَا أُسَّ لَهُ فَمَهْدُومٌ وَمَا لَا حَارِسَ لَهُ فَضَائِعٌ.
“Agama itu asas, kuasa pemerintahan (politik) itu pengawas. Apa yang tidak ada asasnya akan runtuh; dan apa yang tidak ada pengawasnya akan hilang.”
Sewaktu adanya kuasa pemerintahan Islam, apabila semua hukumnya dilaksanakan, umat Islam menjadi kuasa besar dunia yang dipandang hebat oleh musuh. Hal ini disebabkan keadilannya dan kedatangannya yang bersifat tidak menjajah, serta ilmunya yang memberi kebijaksanaan dan kekuatan. Islam dihormati kerana keadilannya, bukan kerana takut akan kezalimannya, sehingga umat Islam dan golongan bukan Islam berjaya diselamatkan daripada kezaliman tanpa paksaan beragama.
Apabila kuasa Islam dijatuhkan dengan sebab kelemahan pemimpin dan para ulama’ dalam melaksanakan ajaran Islam yang sempurna dengan bertafaqquh memperdalam pengetahuan dan kefahaman mereka tentang agama, umat Islam mengalami kelemahan. Akhirnya, tanah air umat Islam dijajah, kuasa politik Islam dihapuskan oleh penjajah, kemudiannya ajaran Islam yang berada di bawah bidang kuasanya dirungkai dan tidak diamalkan lagi. Malah, ia diganti dengan hukum-hukum ciptaan manusia yang dibawa oleh penjajah dalam perkara yang tidak diizinkan oleh Allah.
Penjajah yang menakluk kita telah mencabut kuasa Islam dan memaksa kita beramal dengan hukum Islam yang hanya berkait dengan aspek fardu ‘ain, melibatkan urusan peribadi, kekeluargaan dan akhlak sahaja. Ajaran Islam hanya boleh diamalkan dalam urusan ibadat, munakahat, undang-undang muamalat dan sedikit undang-undang jinayat. Bahkan, umat Islam hanya boleh bertindak di bawah hukum takzir dalam perkara yang melibatkan kesalahan akhlak peribadi dan keluarga, mengikut bidang kuasa yang dinamakan bidang kuasa syariah yang diletakkan sempadannya. Kuasa itu diberikan kepada raja-raja yang dirampas kuasanya sehingga hanya sekadar menjadi penaung kepada hukum Islam yang sedikit itu.
Adapun hukum yang berkait dengan pentadbiran negara, sistem pendidikan yang sempurna, pentadbiran, ekonomi dan kemasyarakatan, pertahanan negara dan undang-undang jenayah yang menjaga keamanan secara mendidik dibatalkan dan diganti dengan undang-undang ciptaan manusia yang lemah dan zalim.
Dalam perkara fardu kifayah yang melibatkan urusan kemasyarakatan, umat Islam hanya dibenarkan melaksanakan sembahyang jenazah sahaja. Adapun semua perkara yang besar bagi kemajuan sains dan teknologi dalam segala lapangan yang menjadi fardu kifayah, dianggap bukan lagi fardu kifayah, sebaliknya dianggap urusan dunia yang tidak ada kaitan dengan agama Islam.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 160 surah Ali ‘Imran :
إِن يَنصُرْكُمُ اللَّـهُ فَلَا غَالِبَ لَكُمْ ۖ وَإِن يَخْذُلْكُمْ فَمَن ذَا الَّذِي يَنصُرُكُم مِّن بَعْدِهِ ۗ وَعَلَى اللَّـهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ ﴿١٦٠﴾
Maksudnya : Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika Ia mengalahkan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah diri
Sempena kita berada pada hari Jumaat yang mulia, di masjid yang mulia maka marilah kita sama-sama menanam tekad dan azam dalam membuang sikap penting diri dan terlalu cinta kepada dunia di mana ini antara punca umat Islam berpecah dan gagal untuk kembali umat cemerlang. Ketika kita menyaksikan suasana getir dan bahaya yang sedang dihadapi oleh saudara seagama kita yang sedang mempertahankan tanah wakaf milik umat Islam di Palestin maka sewajibnya kita bersatu hati dan buang sifat cinta dunia sehingga tidak bersungguh dalam memberi bantuan, berdoa dan boikot barangan zionis Yahudi. Malah yang lebih malang ketika saudara kita di Palestin mati dibom oleh zionis Yahudi manakala kita yang di luar Palestin mati hati akibat dibom dengan hiburan melalaikan yang merupakan senjata halus zionis Yahudi. Bangkitlah dari lena, bangun dari tidur segera. Kita bimbang saudara di Palestin mendapat anugerah mati syahid berharga, kita mati hina akibat mengikut hawa nafsu dan bisikan syaitan. Islamlah nescata kita mulia dan selamat dunia akhirat
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Langgan:
Catatan (Atom)