أهلا وسهلا ومرحبا بكم
Kandungan Blog
Jumaat, 31 Januari 2014
Islam DiLaksana Negara Sejahtera
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 152 - 153 surah al-Baqarah :
فَاذْكُرُونِي أَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوا لِي وَلَا تَكْفُرُونِ ﴿١٥٢﴾ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ ۚ إِنَّ اللَّـهَ مَعَ الصَّابِرِينَ ﴿١٥٣﴾
Maksudnya : Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi syariatKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu). Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar
Seruan taqwa kepada Allah sentiasa berkumandang dalam mengingatkan kita semua agar tidak tergelincir daripada landasan yang telah ditetapkan oleh Allah samada dari sudut Aqidah, Syariat, Mua’malat dan akhlak. Melalui ibadat khusus umpama solat 5 waktu paling kurang kita akan mengucap secara berulangkali kalimah “Allahu Akbar” yang bererti Allah Maha Besar. Antara hikmat sebutan yang diulang-ulang ini bagi memastikan ia benar-benar meresap ke dalam sanubari kita bahawa hanya Allah sahaja yang Maha Besar sedangkan makhluk yang lain serba kekurangan dan kelemahan yang tidak mampu mendatangkan sebarang manfaat atau mudharat kepada kita. Bila perasaan takut kepada Allah hilang maka kita pasti akan takut sesama makhluk. Ucapan kalimah “Allahu Akbar” secara berulangkali juga mendidik jiwa kita supaya sentiasa mengingati Allah bukan sahaja dalam solat malah di luar solat kerana hanya dengan mengingati Allah sahaja hati kita menjadi tenang serta dapat mencegah kita daripada melakukan penderhakaan maksiat terhadap Allah samada dalam keadaan terang-terangan atau sembunyi.
Firman Allah dalam ayat 28 surah ar-Ra’adu :
الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ اللَّـهِ ۗ أَلَا بِذِكْرِ اللَّـهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ ﴿٢٨﴾
Maksudnya : "(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 212 surah al-Baqarah :
زُيِّنَ لِلَّذِينَ كَفَرُوا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا وَيَسْخَرُونَ مِنَ الَّذِينَ آمَنُوا ۘ وَالَّذِينَ اتَّقَوْا فَوْقَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ۗ وَاللَّـهُ يَرْزُقُ مَن يَشَاءُ بِغَيْرِ حِسَابٍ
Maksudnya : Kehidupan dunia (dan kemewahannya) diperhiaskan (dan dijadikan amat indah) pada (pandangan) orang-orang kafir, sehingga mereka (berlagak sombong dan) memandang rendah kepada orang-orang yang beriman. Padahal orang-orang yang bertaqwa (dengan imannya) lebih tinggi (martabatnya) daripada mereka (yang kafir itu) pada hari kiamat kelak. Dan (ingatlah), Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak terkira
Bila kita semua telah menjadi umat Islam yang sentiasa menjaga solat maka sepatutnya telah terhakis daripada diri kita sikap terlalu membesarkan kehidupan dunia dengan mengecilkan masalah bekalan akhirat. Apabila dunia menjadi matlamat sehingga persiapan untuk menuju ke akhirat tempat balasan Syurga dan Neraka dipandang remeh temeh menyebabkan kita menjadi umat yang rugi dan menyesal yang tidak berguna lagi. Sebelum kita hanyut lebih jauh maka tanyalah diri kita tentang tujuan utama kita dilahirkan di dunia ini. Jika sekadar untuk makan maka binatang pun makan juga. Jika untuk sekadar mencari rezeki maka binatang pun pandai cari rezeki seumpama burung yang terbang jauh pada pagi hari dengan perut yang kosong tetapi bila pulang petang penuh dengan makanan. Oleh itu ingatlah kembali tujuan kita lahir ke dunia untuk beribadat sebagai hamba Allah.
Renungi kepada maksud suatu hadis hasan sohih yang diriwayatkan oleh imam Tirmizi di mana Dunia ini hanya untuk 4 jenis manusia. [1], orang yang Allah SWT beri rezeki dalam bentuk harta dan ilmu pengetahuan, kemudian dia bertakwa kepada Tuhan, merapatkan hubungan tali kekeluargaan dan tahu hak Allah SWT dalam apa yang dimilikinya, itu adalah tingkatan manusia yang paling utama.
[2], orang yang diberi Allah SWT ilmu pengetahuan tetapi tidak diberi harta, dan dia menyimpan niat yang benar, dan dia berkata: Jika saya mempunyai harta, saya lakukan kebaikan seperti yang dilakukan oleh si fulan. Disebabkan niatnya yang benar itu, dia diberi pahala yang sama banyak dengan pahala orang yang dijadikan contoh olehnya. [3], orang yang diberi harta oleh Allah SWT tetapi tidak diberi ilmu pengetahuan, kemudian dia menggunakan hartanya untuk perkara yang tidak diketahuinya, dan dia tidak pula bertakwa kepada Tuhannya, dan dia tidak suka merapatkan hubungan tali kekeluargaan, bahkan dia juga tidak tahu hak Allah SWT dalam apa yang dimilikinya, orang begini berada dalam kedudukan paling buruk.
[4], orang yang tidak diberi harta atau ilmu pengetahuan, dan dia berkata: Andai kata saya mempunyai harta, saya melakukan perkara buruk macam si fulan. Disebabkan niat buruknya itu, dia diberi dosa yang sama banyak dengan dosa orang yang dijadikan contoh.”
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 31 surah Ali ‘Imran :
قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ
Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Selain disuruh sentiasa menyebut dan mengingati Allah maka kita juga dituntut supaya banyak berselawat kepada junjungan besar nabi Muhammad s.a.w dan mengikuti jejak langkah baginda dalam setiap aspek kehidupan. Amalan selawat dan ingat kepada nabi bukan hanya bermusim seperti pada bulan Rabiul Awwal sahaja malah sepanjang masa. Imam al-Ghazali pernah mengingatkan kita supaya tidak tergolong dalam golongan yang tertipu dengan amalan yang kecil sehingga mengabaikan kewajipan yang lebih besar seumpama umat yang hanya rasa cukup sekadar berselawat kepada nabi tetapi begitu benci kepada sunnah nabi terutama yang tidak sesuai dengan selera hawa nafsunya.
Ketika berbicara tentang sunnah nabi maka kita terpanggil untuk sama-sama berusaha terutama melalui doa agar pasangan rakyat Malaysia yang sedang ditahan di Sweden atas alasan memukul tangan anak mereka kerana tak mahu solat supaya dapat dibebaskan segera. Peristiwa ini sebenarnya turut mengetuk hati ibubapa di Negara ini tentang berapa ramai yang sanggup pukul anak secara hikmat kerana tidak solat berbanding perkara duniawi yang lain. Begitu juga isu murid yang didenda makan rumput kerana tidak menyiapkan kerja sekolah mendedahkan beberapa kelemahan samada dari segi tindakan yang dikira melampau mahu pun hak warga pendidik yang agak tertekan bila guru bagaikan tiada ruang untuk membela diri apabila berdepan dengan sebarang tindak balas termasuk saman daripada ibubapa. Kita tidak mahu selepas ini sekolah hanya menjadi tempat belajar semata-mata bukan lagi tempat untuk mendidik akibat kekangan terhadap guru. Ambillah cara pendidikan yang telah digariskan oleh Islam dalam melahirkan guru yang baik dalam melahirkan generasi yang cemerlang dunia akhirat.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 7 surah al-Hasyru :
وَالْبَلَدُ الطَّيِّبُ يَخْرُجُ نَبَاتُهُ بِإِذْنِ رَبِّهِ ۖ وَالَّذِي خَبُثَ لَا يَخْرُجُ إِلَّا نَكِدًا ۚ كَذَٰلِكَ نُصَرِّفُ الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَشْكُرُونَ
Maksudnya : Dan negeri yang baik (tanahnya), tanaman-tanamannya tumbuh (subur) dengan izin Allah; dan negeri yang tidak baik (tanahnya) tidak tumbuh tanamannya melainkan dengan keadaan bantut. Demikianlah Kami menerangkan tanda-tanda (kemurahan dan kekuasaan) Kami dengan berbagai cara bagi orang-orang yang (mahu) bersyukur.
Jika ajaran guru banyak mencorakkan cara berfikir dan bertindak pelajarnya begitu juga hal keadaan pemimpin banyak mempengaruhi cara kehidupan rakyat jelata. Oleh itu Islam sentiasa memandang berat berkaitan kepimpinan Negara agar corak pemerintahan dan arah tuju selari dengan kehendak Islam. Ketika kita mahu meninggalkan bulan Rabiul Awwal yang merupakan bulan kelahiran junjungan nabi Muhammad s.a.w maka kita jangan lupa bahawa pada bulan Rabiul Awwal tahun 11 Hijrah menyaksikan bagaimana tarikh kewafatan nabi s.a.w. Kewafatan nabi s.a.w telah menyaksikan bagaimana cabaran kepada aqidah umat Islam pada masa itu begitu kuat sehingga ada yang kembali murtad. Sayyidina Abu Bakar bersama Sayyidina Umar segera menyelesaikan masalah perlantikan khalifah bertujuan untuk memastikan urusan umat Islam dan Negara dapat diselesaikan dengan segera. Kepimpinan berdasarkan Islam dapat memastikan masalah Aqidah, syariat, mua’amalat dan akhlak dalam Negara dapat dijaga. Sedangkan kepimpinan yang tidak menjadikan Islam sebagai cara hidup akan menyebabkan masalah Aqidah semakin goyah, syariat Islam dipersenda seperti kes guru muallaf yang dipecat kerana tidak mahu buka tudung ke sekolah, artis yang dipersenda kerana bertudung, ada syarikat yang tidak membenarkan pekerja Islam solat dan sebagainya. Itu tidak dikira dengan kes jenayah yang terus meningkat. Masalah kos sara hidup yang semakin tinggi rentetan daripada kenaikan harga barang kerana pemimpin mengamalkan 4B iaitu boros, bazir, bocor dan berhutang dalam mengurus harta Negara. Akhirnya lahir golongan kaya semakin kaya yang miskin papa kedana. Sudahlah subsidi ditarik satu demi satu diikuti dengan cukai yang menghisap darah rakyat. Ibnu Khaldun telah mengingatkan bagaimana adanya 2 buah kerajaan yang Berjaya dan gagal iaitu [1] kerajaan yang mengenakan cukai yang rendah tetapi mampu memberi kebajikan yang tinggi kepada rakyat kerana amanah dan cermat dalam mengurus harta Negara sehingga Negara maju dan Berjaya. [2] Kerajaan yang mengenakan cukai yang tinggi tetapi kebajikan terhadap rakyat diabaikan akibat wang Negara dihabiskan untuk kemewahan pemimpin dan projek mega yang tidak bermanfaat yang akhirnya Negara ini akan hancur dan musnah. Perkara ini dibimbangi akan berlaku pada Negara kita jika terus suka ditipu. Oleh itu sedarlah kita daripada mimpi kerana amukan kenaikan harga barang sedang berlaku setiap hari. Sedar sebelum semuanya tergadai, bangkit sebelum kita semakin tersepit. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Jumaat, 10 Januari 2014
Cinta Nabi Muhammad s.a.w Subur Umat Makmur
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 21 surah al-Ahzab :
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللهَ كَثِيرًا
Maksudnya : Sesungguhnya adalah bagi kamu contoh ikutan yang terbaik pada diri Rasulullah s.a.w, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) pada hari akhirat. Dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya
Kini kita sedang menyambut kehadiran bulan Rabiul Awwal iaitu bulan kelahiran junjungan besar nabi Muhammad s.a.w yang merupakan nabi akhir zaman yang diutuskan untuk membawa rahmat kepada sekalian alam. Rahmat daripada kelahiran Rasulullah SAW merangkumi pelbagai aspek kehidupan manusia termasuk aqidah, syariah dan akhlak. Dalam soal membersihkan aqidah, Baginda s.a.w membimbing umat manusia kepada mentauhidkan Allah setelah masyarakat kehilangan arah sehingga meluasnya penyembahan berhala dan selainnya. Kemudian dalam soal syariat atau hukum-hakam agama maka ia diajar dan diperlihatkan oleh Baginda a.a.w sama ada melalui teori dan amali. Begitu juga dengan akhlak ditunjukkan melalui kehidupan seharian dan nasihat yang berkesan sehingga keindahan akhlak nabi Muhammad s.a.w berjaya menarik ramai manusia yang selama ini tenggelam dalam arus kerakusan hawa nafsu kepada adab Islam yang murni. Kejayaan sesuatu kepimpinan keluarga, masyarakat, negeri dan seterusnya negara bergantung kepada sejauh mana kita mencontohi cara hidup nabi Muhammad s.a.w dalam setiap aspek kehidupan. Kita wajib menghayati kisah hidup para sahabat nabi yang bukan sahaja bersungguh-sungguh mengikut cara hidup nabi dari segi pemakaian, pemakanan, membina keluarga bahagia, mengurus masyarakat dan Negara malah sanggup diseksa dan mati demi mempertahankan nabi Muhammad s.a.w. Pengorbanan suci ini lahir daripada rasa kasih dan cinta kepada nabi Muhammad s.a.w yang tidak berbelah bahagi. Tak kenal maka tak cinta serta tidak melahirkan rasa bertanggungjawab dan peka terhadap isu yang berkaitan dengan nabi Muhammad
قال الرسول: وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لاَ يُؤْ مِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُوْنَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَلِدِهِ وَوَالِدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِيْنَ – متفق عليه
Maksudnya:Demi jiwaku ditanganNya! Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga aku lebih dikasihinya daripada anaknya, bapanya sendiri dan sekalian manusia
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 31 surah Ali ‘Imran :
قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ
Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Perasaan kasih dan cinta yang tinggi kepada junjungan mulia nabi Muhammad s.a.w tidak mampu terhasil melainkan melalui ilmu. Oleh itu betapa pentingnya system pendidikan Negara dirangka dalam melahirkan rakyat yang benar-benar mengenali seterusnya mencintai dan meneladani cara hidup nabi Muhammad s.a.w yang lengkap. Begitu juga suasana di rumah dan sekitar mesti menjadi perangsang kepada minat mendalam dalam diri anak-anak untuk mengenal nabi Muhammad s.a.w dan menjadikan baginda sebagai contoh teladan terbaik dalam kehidupan. Sempena berada di bulan Maulidurrasul s.a.w ini, marilah kita sama-sama menghitung diri tentang tahap kecintaan kita kepada nabi Muhammad s.a.w dan apakah usaha berterusan yang kita lakukan dalam menyuburkan rasa cinta kepada baginda. Berapa banyak kitab atau buku yang berkaitan kisah nabi Muhammad s.a.w berbanding novel, komik, majalah hiburan yang ada di rumah kita. Kita perlu mengambil perhatian sewajarnya berkenaan suatu Kaji selidik yang dilakukan oleh Adecco Malaysia menunjukkan 12 peratus kanak-kanak berusia 7 hingga 14 tahun di Malaysia mahu menjadi pelakon apabila dewasa sebagai pilihan utama kerana ingin mencipta nama dalam industri hiburan. Cara hidup dan pendedahan yang begitu meluas berkaitan cara hidup artis telah membuatkan anak-anak mudah terpengaruh dan menganggap bahawa cara hidup ini merupakan pilihan terbaik. Ibarat peribahasa “Melentur buluh biar dari rebungnya”. Oleh itu pendidikan anak-anak diperingkat bawah umur 12 tahun perlu dijaga dan dikawal kerana peringkat usia ini mereka mudah terpengaruh samada perkara baik atau buruk dari segi pemakaian, pergaulan, pemakanan, cara bercakap dan sebagainya. Banyak kisah bagaimana hebatnya nabi Muhammad s.a.w dalam mendidik golongan kanak-kanak dan remaja dari segi adab kehidupan sehingga pendidikan ini melekat dan disuburkan lagi kepada orang lain.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 128-129 surah at-Taubah :
لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِّنْ أَنفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُم بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ ﴿١٢٨﴾ فَإِن تَوَلَّوْا فَقُلْ حَسْبِيَ اللَّـهُ لَا إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ۖ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ ۖ وَهُوَ رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ ﴿١٢٩﴾
Maksudnya : Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman. Kemudian jika mereka berpaling ingkar, maka katakanlah (wahai Muhammad): "cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepadaNya aku berserah diri, dan Dia lah yang mempunyai Arasy yang agong."
Sempena berada di bulan Maulidurrasul s.a.w ini juga marilah kita perbanyakkan untuk berselawat kepada junjungan mulia nabi Muhammad s.a.w
عن أبي هريرة أن رسول الله قال: مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلاَةً وَاحِدَةً، صَلىَّ اللَّهُ عَلَيْهِ عَشْر ًا ( رواه مسلم)
Maksudnya : Sesiapa yang berselawat ke atas aku sekali maka Allah berselawat (iaitu memberi rahmat dan gandaan ganjaran) ke atasnya sepuluh kali
Jika para bapa yang lain lebih banyak berjasa memelihara kebajikan kebendaan yang tidak kekal sifatnya maka Rasulullah s.a.w adalah bapa paling mithali dan paling layak menerima segala darjah kebesaran dan pujian kerana Baginda juga adalah bapa yang membelai dan menyubur jiwa dan ruh umatnya agar berjaya di dunia dan akhirat. Hidup dan mati baginda sentiasa tamak menghulurkan kasih sayang, inginkan kebaikan dan kesejahteraan untuk umatnya, sentiasa merasa berat melihat kesusahan yang ditanggung oleh umatnya dan sentiasa tamak berusaha memberikan petunjuk kepada mereka agar mereka terselamat daripada lubuk kesesatan dan kerosakan. Kasih sayang yang tinggi pada umatnya tergambar dalam suatu hadis yang diriwayatkan oleh imam Bukhari dan Muslim yang bermaksud : Sesungguhnya perumpamaanku dengan umatku seperti seorang lelaki yang menyalakan api, lalu datang serangga dan kelkatu mengerumuni api itu. Maka aku berusaha menjauhkan kalian dari terkena api itu, sedangkan kalian sentiasa ingin mendekati api itu.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Diriwayatkan oleh Muslim dalam sahihnya daripada Abdullah ibnu ‘Amru ibnu al ‘As berkata : Pada suatu ketika, Rasulullah SAW membaca ayat 36 surah Ibrahim:
رَبِّ إِنَّهُنَّ أَضْلَلْنَ كَثِيرًا مِّنَ النَّاسِ ۖ فَمَن تَبِعَنِي فَإِنَّهُ مِنِّي ۖ وَمَنْ عَصَانِي فَإِنَّكَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya : Wahai Tuhanku! Berhala-berhala itu telah menyebabkan sesat banyak di antara umat manusia. Oleh itu, sesiapa yang menurutku (dalam Islam yang menjadi peganganku) maka dia adalah dari golonganku; dan sesiapa yang menderhaka kepadaku (dengan menyalahi agamaku), maka sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (kiranya dia insaf dan bertaubat).
Kemudian Baginda SAW membaca pula perkataan Nabi Isa as iaitu dalam surah al-Maidah ayat 118 :
إِن تُعَذِّبْهُمْ فَإِنَّهُمْ عِبَادُكَ ۖ وَإِن تَغْفِرْ لَهُمْ فَإِنَّكَ أَنتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ
Maksudnya : Jika Engkau menyeksa mereka, (maka tidak ada yang menghalanginya) kerana sesungguhnya mereka adalah hamba-hambaMu; dan jika Engkau mengampunkan mereka, maka sesungguhnya Engkaulah sahaja yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana
Setelah itu, Nabi mengangkat kedua tangannya dan berdoa sambil menangis: Ya Allah! Umatku! Umatku! Lalu Allah berfirman kepada Jibril as, “Wahai Jibril! Pergilah kamu kepada nabi Muhammad – sememangnya Allah lebih Mengetahui – tanyalah kepadanya apa yang menyebabkan dia menangis.” Maka Jibril as menemui Nabi SAW, lalu bertanya kepada Baginda SAW dan Baginda mengkhabarkan kepada Jibril as sebab tangisannya. Maka Allah berfirman kepada Jibril as, “Pergilah kamu menemui nabi Muhammad dan katakanlah kepadanya bahawa Allah berfirman kepadanya: “Sesungguhnya Kami akan membuatkan engkau reda pada umat engkau dan Kami tidak akan menyakiti (mendukacitakan) engkau dalam urusan umat engkau.
Menurut Imam Nawawi, hadis ini menunjukkan kesempurnaan sifat kasih Nabi SAW terhadap umatnya, keprihatinan Baginda terhadap kemaslahatan dan keadaan mereka. Ia juga menerangkan tentang kebesaran kedudukan Nabi SAW di sisi Allah dan betapa besarnya kelembutan Allah terhadap hamba-Nya. Pengutusan Jibril as kepada Baginda SAW menzahirkan lagi ketinggian kedudukan Baginda di sisi Allah di tempat yang teratas sehingga Baginda dimuliakan dengan diberikan kepadanya apa yang disukai dan diredainya.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Menyedari betapa kasihnya nabi kepada kita sebagai umatnya maka wajib meningkat lagi rasa cinta dan kasih kita kepada baginda dengan bersungguh melaksanakan sunnah nabi dalam setiap aspek kehidupan. Bermula daripada pemimpin yang wajib menanamkan rasa bertanggungjawab kepada rakyat jelata sebagaimana yang pernah ditunjukkan oleh nabi bukannya membiarkan amalan rasuah, pecah amanah dan pembaziran dalam menguruskan harta rakyat kemudian dihisap darah rakyat dengan kenaikan harga minyak, barangan keperluan, tol, tarif elektrik, cukai dan sebagainya. Pastikan cadangan dan tindakan yang boleh merosakkan aqidah dan akhlak umat Islam disisihkan serta perkasakan pelaksaan syariat Islam dalam Negara dalam meraih keberkatan dan rahmat daripada Allah dunia akhirat. Begitu juga ibubapa bertanggungjawab dalam melahirkan zuriat yang cintakan Allah dan rasulNya agar masalah kerosakan akhlak dan jenayah rumahtangga dapat diatasi. Sunnah nabi dilaksana umat mulia. Sirah nabi dihayati umat diberkati
Firman Allah dalam ayat 7 surah al-Hasyru :
وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا وَاتَّقُوا اللهَ إِنَّ اللهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Maksudnya : Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya)
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Jumaat, 3 Januari 2014
Sistem Islam DiLaksana Keberkatan Negara DiRasa
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 15-17 surah Saba’ :
لَقَدْ كَانَ لِسَبَإٍ فِي مَسْكَنِهِمْ آيَةٌ ۖ جَنَّتَانِ عَن يَمِينٍ وَشِمَالٍ ۖ كُلُوا مِن رِّزْقِ رَبِّكُمْ وَاشْكُرُوا لَهُ ۚ بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ ﴿١٥﴾ فَأَعْرَضُوا فَأَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ سَيْلَ الْعَرِمِ وَبَدَّلْنَاهُم بِجَنَّتَيْهِمْ جَنَّتَيْنِ ذَوَاتَيْ أُكُلٍ خَمْطٍ وَأَثْلٍ وَشَيْءٍ مِّن سِدْرٍ قَلِيلٍ ﴿١٦﴾ ذَٰلِكَ جَزَيْنَاهُم بِمَا كَفَرُوا ۖ وَهَلْ نُجَازِي إِلَّا الْكَفُورَ
Maksudnya : Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba', satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu: dua kumpulan kebun (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri (kampung mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka): "Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepadaNya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun!. Maka mereka berpaling ingkar, lalu Kami hantarkan kepada mereka banjir yang membinasakan, dan Kami gantikan dua kumpulan kebun mereka (yang subur) itu dengan dua kumpulan kebun yang berisi dengan pohon-pohon yang pahit buahnya, dan pohon-pohon yang jarang berbuah, serta sedikit pohon-pohon bidara. Demikianlah Kami membalas mereka disebabkan kekufuran mereka; dan sebenarnya Kami tidak menimpakan balasan yang demikian melainkan kepada orang-orang yang amat kufur
Kita kini berada di penghujung bulan Disember tahun 2013 di mana kita bakal menyambut kedatangan tahun baru 2014 mulai Rabu depan. Jika pada penghunung tahun lepas ramai masyarakat dunia membicarakan tentang ramalan Qiamat mengikut kepercayaan Kalendar kaum Mayan yang menjangka berlaku pada 21 Disember 2012 sehingga ada yang begitu sibuk membuat pelbagai persiapan menghadapi Qiamat dengan pelbagai ragam dan gelagat mengikut logik akal yang lemah. Akhir-akhir ini sekali lagi masyarakat mula sibuk untuk membicara tentang Qiamat apabila berlakunya fanomena turun salji di beberapa negeri di Arab Saudi, Mesir disamping Vietnam dan Loas. Ini ditambah dengan peristiwa begitu banyak ikan tamban yang merupakan ikan pantai dalam mendarat di tepian pantai Lahad Datu, ikan lumba-lumba di pantai Terengganu sehingga masyarakat mula bimbang peristiwa tsunami yang pernah berlaku pada 26 Disember 2004 kembali berulang. Kita sebagai umat yang beriman kepada Allah dan hari Qiamat sewajibnya yakin bahawa tarikh Qiamat yang sebenar hanya diketahui oleh Allah. Melalui peristiwa yang berlaku menambahkan keyakinan tentang kehebatan Allah yang berkuasa melakukan segala sesuatu tanpa mampu disekat. Oleh itu kita mesti berebut-rebut untuk menambahkan bekalan akhirat bukannya sibuk mencari tarikh Qiamat kerana banyak tanda-tanda Qiamat samada besar atau kecil telah berlaku pada zaman kita.
عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ الله عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “كَيْفَ أَنْعَمُ وَصَاحِبُ الْقَرْنِ قَدِ الْتَقَمَ الْقَرْنَ وَاسْتَمَعَ الْإِذْنَ مَتَى يُؤْمَرُ بِالنَّفْخِ فَيَنْفُخُ”، فَكَأَنَّ ذَلِكَ ثَقُلَ عَلَى أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ لَهُمْ: “قُولُوا حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ عَلَى اللَّهِ تَوَكَّلْنَا”. أخرجه أحمد ، والترمذي ، وابن حبان ، والحاكم
Maksudnya : “Bagaimana boleh aku berasa tenteram dan tenang sedangkan Malaikat Israfil telah meletakkan serunai sangkakala ke dalam mulutnya, menumpukan perhatian dan memusatkan pendengarannya sambil menunggu perintah untuk meniupnya.” Maka keadaan itu menyebabkan para sahabat merasa terlalu bimbang maka sabda nabi kepada mereka ucapkanlah : “Cukuplah Allah untuk (menolong) kami dan Dialah sebaik-baik pengurus, kepada Allah segala urusan kami serahkan.
Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,
Ketika merenung tentang kemakmuran dan keberkatan sesebuah Negara maka jadikan kisah al-Quran melalui kerajaan Saba’ sebagai contoh yang dirakam dalam surah Saba’ dan an-Namlu. Kerajaan Saba’ merupakan Suatu kuasa yang bertahan selama ratusan tahun bermula pada tahun 950 sebelum Masihi sehinggalah 115 sebelum Masihi yang telah melalui zaman pembinaan dan zaman kegemilangan yang bukan sahaja merupakan sebuah negara yang kaya, bahkan ia merupakan sebuah negara yang mendapat pengampunan daripada Allah SWT. Menurut satu riwayat bahawa kerajaan tersebut pernah menaungi semua kerajaan yang berada di semenanjung tanah Arab pada satu ketika dahulu. Antara ciri kerajaan hebat ini ialah:
Ciri-[1] Negara berkat ialah Kemajuan yang di dorong oleh aspek ketaqwaan kepada Allah SWT dan akidah yang tulen. Dalam kitab sejarah Al-Kamil fi al-Tarikh, Al-Bidayah wa Al-Nihayah, dan juga kitab-kitab tafsir berkenaan dengan kisah ini, kita dapati bahawa zaman kegemilangan dan kemakmuran ini berpunca daripada kepimpinan Ratu Balqis yang diutus oleh Nabi Allah Sulaiman a.s yang telah menjadikan aspek iman dan taqwa kepada Allah SWT sebagai asas pemerintahan. Oleh itu kita wajib berusaha dalam mencontohinya dengan melaksanakan syariat Islam secara syumul termasuk pelaksanaan segala hukum-hakamnya untuk memberi jaminan keamanan dan kemakmuran di dunia dan akhirat. Untuk mencapai ini pelaksanaan pemerintahan mestilah mengikut prinsip Maqasid Syariah iaitu keperluan asasi (dharuriah) yang memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Contoh terbaru di mana apabila kerajaan Brunei mengisytiharkan pelaksanaan Syariat bermula Jun 2014 maka 50 peratus kes jenayah berkurangan disamping 6 telaga minyak baru ditemui yang boleh mengeluarkan hasil sehingga 600 tahun. Yakinlah kita bahawa Allah yang memberi rezeki bukannya manusia. Taatilah Allah nescaya Allah mengasihi kita. Sebaliknya keengkaran terhadap perintah Allah mengundang padah dan derita
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah SWT dalam Surah al-A'araf ayat 96:
وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَـٰكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ
Maksudnya : Dan sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan".
Ciri-[2] Negara berkat ialah Memberi keutamaan kepada aspek pembinaan sosial yang berasaskan ilmu dan keimanan kepada Allah. Keamanan terserlah sebagaimana dikisahkan dalam Tafsir Ibnu Kathir, para musafir tidak menghadapi masalah bekalan, di mana saja mereka singgah mereka boleh mendapatkan keperluan seperti minuman dan makanan. Mereka juga boleh berehat siang di daerah yang lain dan malam di daerah yang lain pula. Jelasnya, mereka boleh bermusafir dalam keadaan selesa dan aman.
Ciri-[3] Negara berkat ialah Kekuatan ekonomi berasaskan tauhid sehinggalah keberkatan dan kemakmuran yang Allah kurniakan kepada mereka menyebabkan mereka tidak pernah kekurangan makanan, malahan berlebihan. Menurut Qatadah menceritakan jika seorang wanita pergi ke kebun membawa bakul dan menjunjungnya di atas kepala, buah-buahan yang masak ranum akan jatuh dengan sendirinya ke dalam bakul tanpa perlu dipetik dan apabila ia keluar dari kebun, bakulnya itu penuh berisi dengan buah-buahan. Tidak sebagaimana kita yang dibelenggu system riba sehinga Negara dan rakyat dicengkam oleh hutang yang tinggi sehingga adanya dakwaan ada aset Negara yang digadai bagi menghadapi defisit sebagaimana laporan Bank Dunia. Ramai rakyat termasuk golongan muda yang diisytihar muflis. Malah Negara masih bergantung kepada cukai arak dan judi di mana bagi tempoh 4 tahun dari 2006-2011 menjangkau RM 24.4 bilion
Ciri-[4] Negara berkat ialah Kekuatan ketenteraan dan kesetiaan kepada pemerintah sehinggalah keselamatan dan keamanan dapat dinikmati oleh rakyat. Kita tidak mahu akibat salahguna dalam pembelian senjata yang tidak berkualiti, kehilangan senjata yang dianggap isu remeh-temeh serta masalah jenayah dari kalangan anggota keselamatan sendiri yang semakin menjadi-jadi akan menyebabkan keselamatan Negara semakin tergugat
Ciri-[5] Negara berkat ialah Memiliki teknologi pembinaan yang tinggi sehingga mereka dapat membina empangan Maa'rib yang masyhur dan masih kekal sehingga ke hari ini. Sedangkan banyak pembangunan Negara kita untuk bermewah sehingga membazir dan banyak juga berlaku penyelengan sehinga adanya yang runtuh
Ciri-[6] Negara berkat ialah Negara yang mengutamakan kebajikan untuk rakyat agar semua lapisan rakyat dapat mengecapi nikmat pembangunan, kemajuan dan menikmati hasil mahsul Negara. Bukan kekayaan hanya berlegar di kalangan orang kaya dan pemimpin sahaja sehingga rakyat diminta supaya berjimat sedangkan masalah ketirisan, pecah amanah dan rasuah menghanguskan berbilion wang rakyat tidak ditangani sebaliknya dijerut rakyat dengan kenaikan harga minyak, gula akan diikuti dengan kedatangan tahun baru 2014 dengan kebaikan tariff elektrik, tol, cukai pintu dan sebagainya.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 46 surah al-Anfal :
وَأَطِيعُوا اللَّـهَ وَرَسُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ ۖ وَاصْبِرُوا ۚ إِنَّ اللَّـهَ مَعَ الصَّابِرِينَ
Maksudnya : Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.
Ketika mahu menutup tirai 2013 maka sewajarnya kita melihat nasib malang yang menimpa saudara seagama di beberapa Negara yang lain. Kita tidak mahu akibat terlalu teruja dengan bilangan pingat dalam pertandingan sukan SEA baru-baru ini menyebabkan kita lupa keganasan kerajaan Myanmar dalam membunuh dan menzalimi bangsa Ronghiya. Kita juga jangan memandang sebelah mata sahaja hukuman gantung kepada pemimpin gerakan Islam di Bangladesh akibat tunduk kepada kehendak golongan sekulerisme. Kita tidak mahu harga maruah dan darah umat Islam begitu murah sehingga boleh dipermainkan begitu sahaja oleh musuh Islam tanpa sebarang pembelaan dan tindakan sewajarnya daripada saudara seagama yang lain akibat sibuk mengejar kemewahan dunia dan benci kepada kematian. Kita juga jangan lupa untuk menghiaskan akhir tahun dengan amalan soleh termasuk membantu mangsa banjir besar terutama persiapan persekolahan yang akan bermula tidak lama lagi dengan pelbagai cara. Kasihanilah manusia nescaya kita dikasihani oleh Allah dan seluruh makhluk di bumi dan di langit
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Langgan:
Catatan (Atom)