أهلا وسهلا ومرحبا بكم
Kandungan Blog
Isnin, 16 Januari 2017
Akhlak al-Quran DiHayati Umat Terpuji
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 68-69 surah An-Nahlu :
وَأَوْحَىٰ رَبُّكَ إِلَى النَّحْلِ أَنِ اتَّخِذِي مِنَ الْجِبَالِ بُيُوتًا وَمِنَ الشَّجَرِ وَمِمَّا يَعْرِشُونَ ﴿٦٨﴾ ثُمَّ كُلِي مِن كُلِّ الثَّمَرَاتِ فَاسْلُكِي سُبُلَ رَبِّكِ ذُلُلًا ۚيَخْرُجُ مِن بُطُونِهَا شَرَابٌ مُّخْتَلِفٌ أَلْوَانُهُ فِيهِ شِفَاءٌ لِّلنَّاسِ ۗ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَةً لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ ﴿٦٩﴾
Maksudnya : Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: "Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia. Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu". (Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir.
Al-Quran banyak memuatkan ayat-ayat berkaitan alam ciptaan Allah supaya kita berfikir tentang kehebatan dan kekuasaan Allah dalam mencipta dan mengatur perjalanan alam. Kejayaan manusia bergantung kepada sejauh mana dia mengenal Allah melalui pemerhatian tentang alam kejadian samada berbentuk bulan, matahari, gunung-ganang, lautan, binatang, tumbuhan dan sebagainya. Ramai di kalangan manusia yang hanya mampu mengkaji seterusnya mengkagumi alam ciptaan Allah namun malangnya dia gagal mengenal apatah lagi beriman kepada Allah yang menciptakan alam yang dia kaji dan kagumi selama ini. Oleh itu kita sebagai umat yang beriman kepada Allah wajib mengambil pengajaran dan iktibar daripada alam ciptaan Allah untuk lahir sebagai seorang hamba yang lebih mengenali seterusnya bersyukur atas segala nikmat kurniaan Allah. Kita yakin bahawa setiap kejadian ini tidak diciptakan oleh Allah dengan sia-sia bahkan banyak untuk kegunaan manusia.
Kita mengambil contoh dengan penciptaan lebah yang begitu unik. Sarangnya dibuat berbentuk segi enam bukannya lima atau empat agar tidak terjadi pembaziran ruang dan madu tidak tumpah keluar. Lebah menghisap madu daripada bunga pilihan, lebah mengolah makanannya dan hasil olahannya itulah menjadi lilin dan madu yang sangat bermanfaat bagi manusia untuk dijadikan sebagai ubat. Lebah sangat berdisiplin, mengenal pembahagian kerja dan segala yang tidak berguna disingkirkan daripada sarangnya. Ia tidak mengganggu yang lainnya kecuali musuh yang mengganggunya. Oleh kerana itu wajarlah sekiranya Nabi s.a.w mengibaratkan orang mukmin yang baik seperti lebah sebagaimana dalam sabdanya:
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ إِنَّ مَثَلَ الْمُؤْمِنِ لَكَمَثَلِ النَّحْلَةِ أَكَلَتْ طَيِّبًا وَوَضَعَتْ طَيِّبًا وَوَقَعَتْ فَلَمْ تَكْسِر ولم تُفْسِد - رواه أحمد
Maksudnya : Demi diri nabi Muhammad dibawah kekuasaanNya , Perumpaan seorang mukmin adalah seperti lebah. Ia tidak makan kecuali yang baik, tidak menghasilkan kecuali yang baik, dan bila berada pada suatu tempat maka ia tidak merosak kelopak bunga yang dihinggapinya
Dalam kehidupan kita di dunia ini, seringkali diibaratkan dengan berbagai jenis binatang. Bahkan kalau manusia tidak mengetahui posisinya sebagai makhluk yang sepatutnya mengikut petunjuk agama maka mereka boleh jatuh pada kedudukan yang lebih rendah dari binatang bahkan lebih sesat dari binatang.
Sidang Jumaat yang diberkati Allah
Sebagai umat yang beriman pada Allah dan hari akhirat maka kita wajib menjadikan diri kita sebagai manusia yang menggunakan semaksima mungkin nikmat umur dan rezeki lain yang dianugerahkan oleh Allah untuk melebarkan manfaatnya kepada manusia yang lain
قال رسول الله : أَحَبُّ النَّاسِ إلى اللهِ أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاس .......- واه الطبراني
Maksudnya : Manusia yang paling dikasihi oleh Allah adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain
Antara cara terbaik untuk kita memastikan diri ini menjadi anggota masyarakat yang berguna ialah :
[1] Ilmu di mana ilmu yang dianugerahkan Allah kepada kita disebarkan kepada orang lain. Kita mengajar, melatih orang lain. Ilmu ini tidak terbatas pada ilmu agama semata-mata tetapi juga ilmu dunia baik berupa pengetahuan, keterampilan hidup dan profesional.
[2] Harta terutama dengan zakat ketika harta itu telah mencapai nisab dan haulnya. Setelah zakat ada infaq dan sedekah yang memiliki ruang lebih luas dan tak terbatas. Kita juga mesti peka kepada nasib yang sedang menimpa saudara seagama di Palestin, Syria, Iraq, Myanmar dan lain lagi yang sedang menghadapi musibah peperangan. Jangan biarkan mereka meraung kesakitan ketika kita bersorak kegirangan. Jangan biarkan mereka tidur kelaparan ketika kita tidur kekenyangan
كُلُّ سُلَامَى مِنَ النَّاسِ عَلَيْهِ صَدَقَةٌ كُلَّ يَوْمٍ تَطْلُعُ فِيهِ الشَّمْسُ : تَعْدِلُ بَيْنَ اثْنَيْنِ صَدَقَةٌ ، وَتُعِينُ الرَّجُلَ فِي دَابَّتِهِ ، فَتَحْمِلُهُ عَلَيْهَا ، أَوْ تَرْفَعُ لَهُ عَلَيْهَا مَتَاعَهُ صَدَقَةٌ ، وَالْكَلِمَةُ الطَّيِّبَةُ صَدَقَةٌ ، وَبِكُلِّ خُطْوَةٍ تَمْشِيهَا إِلَى الصَّلَاةِ صَدَقَةٌ ، وَتُمِيطُ الْأَذَى عَنِ الطَّرِيقِ صَدَقَةٌ - رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ وَمُسْلِمٌ
Maksudnya : Setiap persendian manusia ada sedekahnya setiap hari di mana matahari terbit di dalamnya, kamu mendamaikan di antara dua orang adalah sedekah,kamu membantu seseorang untuk menaikkannya di atas kenderaannya atau mengangkatkan barangnya di atasnya adalah sedekah, kalimat yang baik adalah sedekah, pada tiap-tiap langkah yang kamu tempuh menuju solat adalah sedekah, dan kamu membuang gangguan dari jalan adalah sedekah.”
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 1-3 surah al-Asr :
وَالْعَصْرِ ﴿١﴾ إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ ﴿٢﴾ إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ ﴿٣﴾
Maksudnya : Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian - . Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.
Kita juga boleh memberi manfaat kepada orang lain dengan cara ke-[3] Waktu dan tenaga iaitu ketika kita mendengar keluhan orang lain, membantu mereka melakukan sesuatu, membantu menyelesaikan urusan mereka dan sebagainya. Kita perlu mengambil berat masalah remaja hari ini yang banyak menghabiskan masa dengan perkara yang boleh membahayakan nyawa sendiri. Sifat dan tindak tanduk remaja melakukan perlakuan luar kawal dan berfikir kemudian sukar diterima masyarakat masa kini. Remaja seperti ini biasanya mengalami konflik dalaman. Selain itu, remaja ini yang tidak mendapat kasih sayang sepenuhnya daripada ibu bapa akhirnya mengubah tingkah laku luar kawal untuk mencari perhatian ibu bapa dan pihak masyarakat. Faktor yang lain berkaitan keinginan membuat suatu perilaku luar kawalan untuk cari populariti menerusi laman sosial. Kebiasaannya selepas melakukan aksi terlarang mahupun menulis perkataan, pernyataan disusuli dengan gambar aksi merbahaya, mengaibkan atau penuh keji dan seterusnya memuat naik dalam Youtube, Twitter atau Facebook untuk melihat reaksi masyarakat awam
Bila menyebut tentang pembaziran waktu juga maka tidak terlepas dengan masalah penggunaan gajet di kalangan anak-anak bila ia digunakan tanpa panduan dan kawalan, ia terbukti memberi kesan negatif kepada anak-anak kita. Menurut hasil kajian yang dikeluarkan oleh Akademi Pediatrik Amerika, kanak-kanak di bawah usia 2 tahun tidak wajar didedahkan dengan teknologi ini, mereka yang berusia 3 hingga 5 tahun dibenarkan hanya sejam dan yang berusia 6 hingga 17 tahun dihadkan hanya 2 jam sehari. Penggunaan gajet melebihi kadar masa yang disarankan dan tanpa kawalan boleh mengundang pelbagai keburukan yang serius malah boleh mengancam nyawa. Di antara kesan buruk tersebut ialah :
[1] Menjejaskan Kesihatan Dan Tumbesaran Jasmani.
[2] Membantutkan Perkembangan Mental dan Kemahiran Fizikal.
[3] Memberi Kesan Negatif Kepada Emosi dan Jiwa. Bila sudah ketagih, emosi mereka tidak stabil lalu akan mudah mengamuk dan memberontak jika kemahuan mereka dihalang. Selain itu, ia juga membentuk sikap tidak peduli dengan persekitaran sehingga ramai dari kalangan mereka tidak mahu ambil bahagian dalam aktiviti keluarga mahupun rakan sebaya
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 263 surah al-Baqarah :
قَوْلٌ مَّعْرُوفٌ وَمَغْفِرَةٌ خَيْرٌ مِّن صَدَقَةٍ يَتْبَعُهَا أَذًى ۗ وَاللَّـهُ غَنِيٌّ حَلِيمٌ ﴿٢٦٣﴾
Maksudnya : (Menolak peminta-peminta sedekah) dengan perkataan yang baik dan memaafkan (kesilapan mereka) adalah lebih baik daripada sedekah (pemberian) yang diiringi (dengan perbuatan atau perkataan yang) menyakitkan hati. Dan (ingatlah), Allah Maha Kaya, lagi Maha Penyabar.
Antara amalan baik untuk manfaat orang lain ialah dengan cara ke-[4] dengan tutur kata iaitu perkataan kita yang baik, yang memberi perangsang kepada perkara bermanfaat, yang menenangkan dan mengajak manusia kepada kebaikan.
[5] Sikap atau akhlak kita termasuk keramahan kita sesama kita, senyum kita di hadapan orang lain. Kita dapat melihat bagaimana keindahan Islam lebih mudah terzahir dengan akhlak yang baik daripada orang Islam. Akibat kegagalan umat Islam sendiri dalam mencontohi akhlak yang ditunjuk ajar melalui al-Quran dan sunnah nabi s.a.w menyebabkan orang bukan Islam memandang serong dan negatif terhadap Islam. Oleh bersungguhlah kita dalam meneladani akhlak nabi s.a.w dalam kehidupan agar keindahan Islam mampu disebarkan kepada semua dengan lebih mudah dan berkesan.
Firman Allah dalam ayat 21 surah al-Ahzab :
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللهَ كَثِيرًا
Maksudnya : Sesungguhnya adalah bagi kamu contoh ikutan yang terbaik pada diri Rasulullah s.a.w, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) pada hari akhirat. Dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Langgan:
Catatan (Atom)