أهلا وسهلا ومرحبا بكم
Kandungan Blog
Jumaat, 11 Mac 2022
Khutbah Jumaat : Berqiblatkan Islam Julang Kehebatan Umat
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 144 surah al-Baqarah :
قَدْ نَرَىٰ تَقَلُّبَ وَجْهِكَ فِي السَّمَاءِ ۖ فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبْلَةً تَرْضَاهَا ۚ فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ ۚ وَحَيْثُ مَا كُنتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ ۗ وَإِنَّ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ لَيَعْلَمُونَ أَنَّهُ الْحَقُّ مِن رَّبِّهِمْ ۗ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا يَعْمَلُونَ ﴿١٤٤﴾
Maksudnya : Sesungguhnya Kami lihat engkau sentiasa mengadah ke langit, maka Kami palingkan engkau (menghadap) ke kiblat yang engkau ingini. Sebab itu, palingkanlah mukamu ke pihak Masjidil Haram. Dan di mana saja kamu berada, hadapkanlah mukamu ke pihaknya. Dan sesungguhnya orang yang diberi kitab mengetahui bahawasanya itu adalah kebenaran daripada Tuhan mereka. Dan Allah tidak lalai terhadap apa pun yang kamu kerjakan.
Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Ayat 144 surah al-Baqarah yang dibaca tadi mengingatkan kita bagaimana peristiwa perubahan arah qiblat daripada mengadap ke arah Masjid Aqsa di Palestin kepada Ka’abah di Mekah Mukarramah. Jika pada bulan Rejab lepas kita dingatkan dengan peristiwa Isra’ Mikraj di mana disebut secara jelas bagaimana perjalanan nabi Muhammad s.a.w dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjdi al-Aqsa di Palestin maka dalam peristiwa perubahan qiblat daripada mengadap Baitul Maqdis kepada Ka’abah di Masjidil Haram yang berlaku pada bulan Sya’aban yang menunjukkan kepada kita bagaimana kuatnya ikatan antara kedua-dua masjid tersebut.
Sewaktu Rasulullah s.a.w tiba di Madinah, baginda diarahkan agar menghadap ke arah Baitul Maqdis dan ramai di kalangan penduduk Madinah waktu itu daripada golongan Yahudi di mana sememangnya qiblat mereka adalah Baitul Maqdis. Oleh itu kaum yahudi sentiasa mengejek dan mencerca nabi Muhammad s.a.w dan muslimin kerana mereka menganggap baginda tidak benar serta tidak tetap pendirian kerana terpaksa menghadap ke arah qiblat yang sama dengan yahudi iaitu Baitul Maqdis. Cercaan dan ejekan yahudi ini agak memberi kesan mendalam terhadap umat Islam pada masa itu sehingga nabi berdoa dan memandang ke langit mengharapkan turunnya wahyu yang mengizinkannya dan para sahabat berpaling ke Baitullah di Mekah. Akhirnya selepas 16 atau 17 bulan Rasulullah s.a.w menghadap ke Baitul Maqdis, barulah Allah memerintahkan agar baginda menghadap ke Ka’abah.
Sidang Jumaat yang dikasihi,
Firman Allah antaranya dalam ayat 145 surah al-Baqarah :
وَلَئِنْ أَتَيْتَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ بِكُلِّ آيَةٍ مَّا تَبِعُوا قِبْلَتَكَ ۚ وَمَا أَنتَ بِتَابِعٍ قِبْلَتَهُمْ ۚ وَمَا بَعْضُهُم بِتَابِعٍ قِبْلَةَ بَعْضٍ ۚ وَلَئِنِ اتَّبَعْتَ أَهْوَاءَهُم مِّن بَعْدِ مَا جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ ۙ إِنَّكَ إِذًا لَّمِنَ الظَّالِمِينَ ﴿١٤٥﴾
Maksudnya : Dan demi sesungguhnya! Jika engkau bawakan kepada orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, akan segala keterangan (yang menunjukkan kebenaran perintah berkiblat ke Kaabah itu), mereka tidak akan menurut kiblatmu, dan engkau pula tidak sekali-kali akan menurut kiblat mereka; dan sebahagian dari mereka juga tidak akan menurut kiblat sebahagian yang lain. Demi sesungguhnya! Kalau engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka setelah datang kepadamu pengetahuan (yang telah diwahyukan kepadamu), sesungguhnya engkau, jika demikian, adalah dari golongan orang-orang yang zalim.
Peristiwa pertukaran Qiblat ini memberi isyarat yang jelas kepada umat Islam agar kita mesti berusaha menjauhi amalan dan budaya hidup yang bercanggah daripada Islam yang sentiasa disogokkan oleh musuh Islam dengan pelbagai cara. Umat Islam mesti mempunyai jatidiri berdasarkan apa yang ditunjukkan oleh al-Quran dan Sunnah Nabi sehingga kita mampu menjadi contoh teladan yang baik kepada orang bukan Islam bukannya kita menjadi penghalang atau tembok yang mendinding orang bukan Islam daripada melihat keindahan yang ada dalam Islam yang meliputi seluruh aspek kehidupan.
Sejarah mencatatkan bagaimana Islam telah berjaya mengubah dan merevolusi diri dan jiwa orang Melayu sehingga orang Melayu seolah menemukan identiti diri mereka yang serasi dan sesuai dengan jiwa mereka. Walaupun umum mengetahui bahwa Kepulauan Melayu sebelum kedatangan Islam, rata-rata umat Melayu dikatakan menganuti samada ajaran Hindu atau Buddha dan budaya atau kepercayaan anak negeri sendiri. Namun, sepertimana yang dijelaskan oleh seorang tokoh sejarawan Barat Van Leur, ajaran-ajaran itu sebenarnya tidak benar-benar dihayati oleh masyarakat tetapi sekadar oleh golongan raja-raja dan bangsawan. Para sami dari tanah besar India didatangkan ke Nusantara ini untuk mempengaruhi masyarakat agar mendewa-dewakan raja-raja kononnya keturunan dewa atau wakil Tuhan. Ajaran ini sekadar nipis dan tidak benar-benar bertapak dalam jiwa masyarakat umum pada masa itu. Begitu juga dengan ajaran Buddha walaupun kesan Candi Borobudur wujud di Pulau Jawa, namun dari segi pemikiran dan pegangan tiada ditemukan karya-karya Buddha mahupun Hindu yang dikarang oleh bangsa Melayu. Tiada ahli fikir Melayu-Hindu atau Melayu-Buddha yang pernah dicatatkan wujud dalam sejarah Nusantara ini. Tetapi berbeza dengan Islam apabila ramai ulama Melayu-Islam yang lahir dengan karya-karya yang berkualiti tinggi sepeti Sheikh Hamzah Fansuri, Sheikh Nuruddin al-Raniri, Sheikh Shamsuddin al-Sumara’I dan ramai lagi. Ini jelas, betapa ajaran Islam telah berjaya membentuk jatidiri bangsa Melayu dari dulu hingga kini dan tanpa Islam, bangsa Melayu seolah-olahnya tidak memiliki identiti yang jelas dan kukuh. Kalimat bahasa Arab juga ditemui begitu banyak dalam bahasa Melayu sehingga dianggarkan sekitar 3,000 kalimat Arab diterimapakai dalam bahasa Melayu, iaitu sekitar 15 peratus daripada perbendaharaan kata bahasa Melayu.
Kekuatan Islam terhadap bangsa Melayu ini diperkukuhkan lagi apabila Perlembagaan Persekutuan turut memasukkan takrif bagi “orang Melayu” sepertimana yang dirakamkan dalam Perkara 160 (2) yang menyebut orang Melayu “sebagai seorang yang menganut agama Islam, lazimnya bercakap bahasa Melayu, menurut adat Istiadat Melayu…”
Kedudukan Islam-Melayu itu adalah hubungan yang berkait rapat yang tidak dapat dipisahkan sepertimana ikan dan air atau irama dan lagu. Adat budaya dan sopan santun yang bangsa Melayu miliki hari ini adalah kerana pengaruh daripada ajaran Islam yang dianuti mereka khususnya daripada aspek tasawuf melalui pendekatan Imam al-Ghazali misalnya
Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,
Firman Allah dalam ayat 110 surah Ali Imran :
كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّـهِ ۗ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَّهُم ۚ مِّنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ
Maksudnya: Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah SWT (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.”
Hasan al-Banna berkata: “Bangsa yang membangun perlu merasa bangga dengan bangsa mereka dan merasakan bangsa mereka adalah bangsa yang mempunyai kelebihan dan kemuliaan. Mereka perlu merasakan bangsa mereka mempunyai keistimewaan dan sejarah silam yang agung. Rasa bangga ini perlu wujud dalam jiwa anak bangsa ini.
Dengan ini, mereka akan bersedia mengorbankan darah dan jiwa raga demi mempertahahankan kegemilangan dan maruah mereka. Dengan ini juga mereka akan berusaha demi kepentingan, kemuliaan dan kesejahteraan negara ini. Nilai ini tidak akan dapat kita lihat dilaksanakan secara adil, bermaruah dan berperikemanusiaan oleh mana-mana sistem yang lain tidak seperti yang dilaksanakan oleh Islam yang suci ini.
Sebuah bangsa yang mengetahuinya harga diri dan maruahnya pasti dimuliakan oleh Allah SWT. Sebagaimaan ungkapan Saidina Umar ibn Al-Khattab : “Kita adalah bangsa yang dimuliakan Allah dengan Islam, dan sekiranya kita mencari kemuliaan melalui selain daripada Islam, nescaya Allah akan menghina kita”.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 56 surah al-Zariyat:
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
Maksudnya: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.”
Banyak manfaat yang dapat diperolehi daripada ibadah khusus yang disyariatkan Islam. Kesannya bukan hanya dapat membentuk baik jati diri seorang Muslim, ia juga berkesan dalam memupuk sebuah masyarakat yang harmonis. Sebagai contoh, solat fardu dapat memupuk disiplin dan kepekaan tentang masa dalam seseorang, dan jika dilakukan secara berjamaah ia dapat mengeratkan silaturahim sesama Muslim dan mengajar tentang kesamarataan antara manusia dalam urusan kerohanian. Memberi zakat pula dapat membersihkan jiwa dari sifat tamak dan kedekut, dan mengajar manusia untuk mengambil peduli tentang keadaan sekelilingnya.
Ibadah juga bukan hanya terhad pada amalan-amalan kerohanian yang berlaku di atas tikar sembahyang atau di persekitaran masjid. Bahkan setiap perbuatan dan percakapan yang dilakukan seorang Muslim atas tujuan mencari reda Tuhan dan rahmat-Nya serta membawa kebaikan pada semua dapat dikira sebagai ibadah.
Mencari rezeki buat keluarga, melaksanakan tanggungjawab pekerjaan, membantu meringankan beban dan menjaminkan keamanan adalah antara perbuatan lazim manusia yang boleh dilihat sebagai ibadah yang umum. Seharusnya identiti Islam seseorang tidak dilucutkan apabila ia melakukan perbuatan luar daripada ibadat khusus kerana ajaran Islam merangkumi semua aspek kehidupan termasuk politik, ekonomi, sosial dan lainnya. Hanya dengan cara ini kesan ibadah khusus itu dapat diterapkan dalam jati diri seorang yang bergelar Muslim.
Oleh itu bersungguhlah kita dalam membentuk jati diri sehingga kita sahaja akan memberi manfaat pada diri sendiri malah dapat memberi manfaat untuk oran lain
خَيْرُ النَّاسِ أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ
Maksudnya : Sebaik-baik manusia adalah orang paling bermanfaat bagi orang lain.
(Riwayat Ibn Hibban)
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Label:
Aqidah,
Bulan dan Peristiwa,
khutbah terbaru
Khamis, 3 Mac 2022
Khutbah Jumaat : Isra’ Mikraj Pertahan Aqidah Julang Maruah
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ !! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Renungilah firman Allah dalam ayat 1 surah al-Isra’ :
سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلاً مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ البَصِيرُ
Maksudnya : Maha suci Allah yang memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari masjidil Haram ke masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.
Setiap kali berada pada bulan Rejab maka kita tidak lekang daripada memperkatakan tentang suatu peristiwa besar yang pernah berlaku pada tubuh nabi Muhammad s.a.w iaitu peristiwa Isra’ Mikraj yang menguji tahap keimanan manusia. Isra’ Mikraj ini merupakan mukjizat kedua terbesar selepas mukjizat al-Quran di mana kita sebagai umat beriman kepada Allah dan rasulnya wajib menerima berita dan mengimani tentang kebenaran tanpa rasa ragu dan was-was walau sedikit pun. Contohilah iman Saidina Abu Bakar tidak mempertikaikan apatah lagi meragui peristiwa luar biasa yang dilalui oleh Baginda Rasulullah SAW pada saat ada penduduk Makkah ketika itu yang ragu tentang peristiwa tersebut.
Hari ini banyak pandangan ilmiah daripada ahli sains yang membuktikan peristiwa Israk Mikraj bukan perkara mustahil berlaku. Misalannya mengambil teori kelajuan cahaya iaitu kaitan perjalanan dan kelajuan perjalanan Israk dan Mikraj ini melalui teori kecepatan kelajuan cahaya. Bagaimanapun, sebagai umat Islam yang beriman, tidak perlu kita untuk mencari bahan bukti bagi mempercayai peristiwa Israk Mikraj ini. Marilah sama-sama kita menuruti apa yang dilakukan oleh Abu Bakar yang menerima peristiwa tersebut tanpa ragu kerana keimanan yang tinggi kepada Allah
Peristiwa Israk Mikraj adalah suatu perjalanan agung yang mengandungi makna tersirat yang perlu digali dan dihayati bagi menumbuhkan rasa ketakwaan terhadap Allah SWT menerusi sebahagian tanda kebesaran-Nya yang telah diperlihatkan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 94 surah al-Hijr:
فَاصْدَعْ بِمَا تُؤْمَرُ وَأَعْرِضْ عَنِ الْمُشْرِكِينَ ﴿٩٤﴾
Maksudnya : Oleh itu, sampaikanlah secara berterus-terang apa yang diperintahkan kepadamu (wahai Muhammad), dan janganlah engkau hiraukan bantahan dan tentangan kaum kafir musyrik itu
Oleh itu kita meliahat bagaimana isu aqidah adalah isu paling penting dalam kehidupan umat Islam. Ketika seminggu dua ini ketika dunia sedang menyaksikan India sedang berlaku penindasan agama oleh pemerintah India. Pelajar Muslim bertudung dilarang masuk ke sekolah. Ia merupakan provokasi dan penindasan hak asasi manusia tiba-tiba di Malaysia dihangatkan dengan isu 3 anak muallaf yang telah memeluk Islam melalui bapanya telah diambil hak penjagaan oleh ibunya yang belum Islam atas keputusan Mahkamah. Kita sebagai rakyat di negara berdaulat memamahi bahawa bagi seseorang bukan Islam yang ingin menukar agama kepada agama Islam, mereka perlu melalui beberapa proses yang telah ditetapkan mengikut negeri-negeri di Malaysia. Begitu juga dalam soal pemelukan agama anak. Mengikut peruntukan undang-undang negeri berhubung dengan pemelukan agama anak, wujud perbezaan syarat, di mana ada negeri yang mensyaratkan persetujuan salah seorang ibu bapa, dan ada negeri yang mensyaratkan persetujuan kedua-duanya.
Dalam hal ini, kita menghormati syarat-syarat yang diputuskan oleh negeri-negeri kerana perkara itu di bawah bidang kuasa negeri, dan syarat-syarat yang diputuskan juga adalah berasaskan kepada pandangan ulama dan fatwa yang sah. Merujuk kepada isu di Perlis, tindakan pengislaman tiga kanak-kanak oleh bapanya yang telah memeluk Islam adalah selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa di Perlis pada masa tersebut seperti yang termaktub dalam Seksyen 117(b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006 Negeri Perlis yang membenarkan pengislaman anak-anak dibuat dengan persetujuan salah seorang ibu atau bapa.
Oleh itu, hal ini tidak sepatutnya menjadi pertikaian apabila pihak yang telah menukar agamanya kepada Islam telah menukar agama anaknya mengikut prosedur dan undang-undang negeri yang telah ditetapkan secara sah. Apatah lagi sehingga menuduh pihak berkuasa agama Perlis ‘menculik dan menukar agama’ anak-anak tersebut. Tidak sepatutnya kita meniup api perselisihan sehingga mengancam keharmonian hidup berbilang kaum di negara ini. Dalam hal ini, kita menyeru kepada semua pihak agar jangan sesekali cuba memainkan api perkauman apabila undang-undang negeri yang membenarkan pemelukan agama anak-anak itu adalah sah dan terpakai. Kita doakan semoga aqidah 3 anak muallaf terus terjaga walau pun hak penjagaan mereka diserah kepada ibu mereka yang belum Islam
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 50 surah al-Maidah:
أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ ۚ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكْمًا لِّقَوْمٍ يُوقِنُونَ ﴿٥٠﴾
Maksudnya :Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal – kepada orang-orang yang penuh keyakinan – tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih pada daripada Allah.
Sebagai sebuah negara yang telah merdeka lebih dari 64 tahun dan meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan sewajarnya tidak perlu lagi melalui detik-detik pertikaian yang akan mencetuskan perbalahan di antara kaum dan agama. Sudah tiba masanya usaha untuk meminda Perlembagaan Persekutuan dilaksanakan dengan segera. Adakah kita perlu menunggu kes yang sama berulang pada masa hadapan untuk kita mengulangi semula skrip dan tindakan yang sama。 Semua pihak perlu menghormati undang-undang tersebut kerana ia digubal oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai satu badan yang kompeten dan mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang di bawah bidang kuasanya.
Kita menyeru kepada semua pemimpin politik Melayu dan Islam, merentasi semua latar politik, agar sama-sama berganding bahu untuk memulakan langkah yang besar untuk bergerak ke arah meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengekang kesan yang terhasil dari keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes-kes yang tersebut. Kita juga menyeru kerajaan-kerajaan negeri dan Pihak-Pihak Berkuasa Agama Negeri untuk menjadikan Agenda Menyelamatkan Aqidah Ummah sebagai Agenda Kerajaan, dimana fokus yang konsisten, bersepadu dan berterusan perlu disegerakan bagi mempertahankan kuasa-kuasa Ketua Agama Islam di Negeri-Negeri, kuasa Dewan-Dewan Undangan Negeri dalam menggubal kesalahan-kesalahan jenayah syariah terhadap Perintah-Perintah Agama, dan mempertahankan bidang kuasa dan peranan Mahkamah-Mahkamah Syariah di seluruh negara.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 219 surah al-Baqarah :
يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ ۖ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَا ۗ وَيَسْأَلُونَكَ مَاذَا يُنفِقُونَ قُلِ الْعَفْوَ ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّـهُ لَكُمُ الْآيَاتِ لَعَلَّكُمْ تَتَفَكَّرُونَ ﴿٢١٩﴾
Maksudnya : Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya dan mereka bertanya pula kepadamu: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah: “Dermakanlah – apa-apa) yang berlebih dari keperluan (kamu). Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) supaya kamu berfikir
Ketika menghayati Israk Mikraj dan juga masih berdepan musibah covid 19 maka kita mendesak agar kerajaan membatalkan lesen pusat judi dan hadkan lesen jualan arak. Perjudian secara asasnya tidak diterima oleh mana-mana kaum dan penganut agama sekalipun kalangan non-Muslim jika difikirkan secara pertimbangan rasional kerana terbukti perjudian bukan hanya merosakkan ekonomi malah memberi kesan terhadap sosial kekeluargaan dengan berlakunya pergaduhan, persengketaan dan lebih teruk lagi “menggadai” anak keluarga bagi mereka yang terdesak dan mengalami kekalahan dalam pertaruhan. Walau pun hasil cukai judi begitu tinggi dapat dikutip oleh kerajaan seperti 2019 sebanyak RM2.72 billion namun ia tidak berbaloi berbanding kerosakan dan laknat Allah. Hentikan maksiat supaya kita mendapat rahmat bukan laknat, disirami kasih sayang Allah bukan dihujani bala bencana. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Langgan:
Catatan (Atom)