أهلا وسهلا ومرحبا بكم
Kandungan Blog
Jumaat, 21 Januari 2022
Khutbah Jumaat : Unboxing isteri dan Pluralisme DiHindari Umat DiBerkati
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 77 surah al-Qosas :
وَابْتَغِ فِيمَا آتَاكَ اللَّهُ الدَّارَ الْآخِرَةَ ۖ وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا ۖ وَأَحْسِن كَمَا أَحْسَنَ اللَّهُ إِلَيْكَ ۖ وَلَا تَبْغِ الْفَسَادَ فِي الْأَرْضِ ۖ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُفْسِدِينَ ﴿٧٧﴾
Maksudnya : "Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan ".
Islam satu-satunya al-Din yang diredai Allah yang akan menjamin kesejahteraan dan kebahagiaan yang abadi kepada umat manusia seluruhnya. Oleh itu, ramai manusia berpusu-pusu memeluk dan menganut Islam sebagai teras dan dasar kehidupan mereka. Walaupun begitu, masih terdapat kebanyakan umat Islam yang belum memahami dan menghayati Islam yang sebenarnya.
Merenung senario umat Islam kini, kedapatan ramai umat Islam yang mengaku dirinya sebagai Muslim namun mereka masih lagi melakukan larangan Allah seperti berjudi, mendedah aurat, berzina, rasuah, pecah amanah dan sebagainya. Tidak kurang juga terdapat segelintir umat Islam yang berkefahaman sempit dan jumud dengan anggapan Islam hanyalah untuk akhirat semata-mata dan mereka meminggirkan terus urusan dunia yang merupakan jambatan menuju alam akhirat.
Seiringan dengan gelombang kesedaran Islam kini, umat Islam sewajibnya menilai dan memahami hakikat beragama sebenarnya menurut kaca mata Islam. Al-Din Islam yang diredai Allah tidak hanya sekadar ucapan lidah bahawa dia beriman kepada Allah, bahkan keimanan perlu diterjemahkan dengan amalan yang disyariatkan Islam bukan sahaja dalam ibadat khusus seperti solat, puasa malah merangkumi cara ekonomi, politik, sosial wajib berteraskan Islam
Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 269 surah al-Baqarah :
يُؤْتِي الْحِكْمَةَ مَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْرًا كَثِيرًا ۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّا أُولُو الْأَلْبَابِ ﴿٢٦٩﴾
Maksudnya : Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.
Amat merisaukan apabila cabaran penghayatan agama dalam diri anak-anak Muslim pada hari ini makin rapuh. Dunia terbuka, menambahkan lagi parah dan telah membenarkan banyak aliran pemikiran yang masuk di kalangan masyarakat, yang ternyata memberatkan lagi cabaran dalam kehidupan beragama.
Oleh itu, pembelajaran ilmu agama adalah benteng utama buat kita semua, terutamanya buat anak-anak yang perlu dididik bukan sahaja di sekolah, malah perlu dihidupkan pembelajaran agama di luar sekolah.
Ustaz dan Ustazah mendidik anak-anak kita di sekolah. Kita pula sebagai ibu bapa memberi bimbingan kepada anak-anak apabila di rumah. Ibu ayah, dan kita semua perlu bersama berperanan untuk terus menguatkan pegangan agama yang melibatkan semua umat Islam.
كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ – رواه البخاري
Maksudnya : Anak itu ibarat seperti kain putih, ibu bapalah yang akan mencorakkannya menjadi Yahudi, Nasrani, ataupun Majusi.”
Tular isu berkenaan pertikaian berkenaan subjek agama yang terdapat di dalam silibus Sekolah Rendah, memberi jentikan untuk kita secara bersama berminat menyelongkar kesedaran utama dalam pembelajaran agama, dan pastinya minat ini perlu sentiasa dipertingkatkan. Menghapuskan subjek agama tidak akan menyelesaikan masalah, malah ianya akan mencipta lebih banyak lagi cabang masalah terutama daripada aspek aqidah dan cabaran sosial anak-anak kita ada hari ini. Sewajibnya sukatan agama diperkasakan lagi di semua peringkat pengajian
Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,
Firman Allah dalam ayat 85 surah Ali Imran :
وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ ﴿٨٥﴾
Maksudnya : Dan sesiapa yang mencari ugama selain ugama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan dia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.
Kita dikejutkan dengan penyebaran istilah Perayaan Hari Agama Sedunia yang bercanggah dengan Islam kerana mempunyai unsur pengiktirafan kepada kebenaran agama lain. Sebagai Muslim, kita meletakkan segala kesetiaan dan ketaatan hanya kepada agama Islam dan berlepas diri (bara’ah) daripada sebarang unsur-unsur yang mengiktiraf agama lain. Firman Allah dalam ayat 19 surah ‘Ali-Imran:
إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللَّـهِ الْإِسْلَامُ
Maksudnya : Sesungguhnya agama di sisi Allah adalah Islam.
Benar Islam adalah agama rahmat yang bersifat universal, penuh toleransi dan menerima hakikat wujudnya pelbagai agama (pluraliti) di muka bumi ini. Namun demikian, ia bukan bermakna Islam menyeru kepada kesamarataan agama dan mempercayai agama lain sebagai satu kebenaran seperti yang dipercayai dalam ajaran Pluralisme agama. Berhati-hatilah dalam bertoleransi, jangan sampai melebihi hak-hak yang sepatutnya. Semoga Allah menetapkan agar kita sentiasa berada di atas jalan-Nya yang lurus, dan menjauhkan kita daripada jalan yang menyimpang.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 8 surah al-Mumtahanah:
لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ
Maksudnya: Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.
Ketika banjir besar yang melanda Negara baru ini timbul isu orang Islam membersih kuil. Secara dasarnya seorang Muslim itu tidak boleh melibatkan diri dalam kerja gotong royong membersihkan rumah ibadat agama lain. Hal ini kerana ia dibimbangi boleh menjerumuskan seseorang itu ke dalam kategori membantu ke arah kesyirikan yang jelas dilarang dalam Islam.
Namun hal ini tidak sama sekali menegah kita daripada menunaikan hak kemanusiaan lain dengan membantu non-Muslim yang terkesan dengan sebarang musibah atau yang memerlukan bantuan melalui cara lain. Antaranya dengan membersihkan rumah kediaman dan harta benda mereka serta menghulurkan bantuan kewangan dan barang keperluan. Toleransi ada batas dan hadnya maka belajar dan bertanyalah kepada pihak yang berkenaan termasuk majlis agama Islam agar kita tidak terjebak kepada terlibat dengan perkara yang boleh merosakkan iman
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 6 surah at-Tahrim :
ياأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَّا يَعْصُونَ اللَّـهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ ﴿٦﴾
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan
Isu terbaru juga akibat kejahilan dan mudah terikut dengan budaya luar yang merosakkan iaitu tular di media sosial pasangan pengantin baharu yang menjalankan upacara ‘unboxing isteri’. Pemerhatian dari video yang dipaparkan, istilah ‘unboxing isteri di sini membawa maksud pihak suami menanggalkan perhiasan daripada pakaian isterinya. Istilah unboxing itu sendiri seolah-olah menjadikan wanita material dagangan yang dilakukan seperti barang perniagaan. Upacara unboxing isteri ini secara zahirnya dilihat bercanggah dengan prinsip Islam. Rasulullah SAW memerintahkan suami supaya sentiasa menjaga kehormatan isteri dan penampilan mereka. Suami tidak seharusnya menjadikan isteri mereka sebagai objek perhiasan buat tatapan umum. Oleh itu umat Islam dilarang daripada terjebak dengan perbuatan yang mendatangkan fitnah dan kemurkaan Allah. Jagalah maruah diri dan ahli keluarga kita daripada dipertonton kepada orang lain
ثَلَاثَةٌ قَدْ حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ الْجَنَّةَ مُدْمِنُ الْخَمْرِ وَالْعَاقُّ وَالدَّيُّوثُ الَّذِي يُقِرُّ فِي أَهْلِهِ الْخَبَثَ – رواه أحمد
Maksudnya: Tiga golongan yang telah diharamkan oleh Allah daripada memasuki syurga: Iaitu penagih arak, orang menderhakai ibu bapanya dan orang yang dayus iaitu orang yang membiarkan kejahatan dalam keluarganya.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Label:
Aqidah,
khutbah terbaru,
Tamadun Islam
Jumaat, 7 Januari 2022
Khutbah Jumaat : Musibah DiHarungi Kasih Allah DiMiliki
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ!!! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 22 surah al-Hijr :
وَأَرْسَلْنَا الرِّيَاحَ لَوَاقِحَ فَأَنزَلْنَا مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَسْقَيْنَاكُمُوهُ وَمَا أَنتُمْ لَهُ بِخَازِنِينَ ﴿٢٢﴾
Maksudnya : Dan Kami hantarkan angin sebagai pembawa air dan pemindah benih; maka dengan itu Kami menurunkan air (hujan) dari langit, kemudian Kami berikan kamu meminumnya; dan bukanlah kamu yang (berkuasa menurunkannya atau) menyimpannya
Negara dikejutkan dengan banjir besar yang melanda beberapa negeri terutama Selangor dan Pahang yang bukan sahaja memusnahkan banyak harta benda bahkan puluhan nyawa yang terkorban. Musibah ini memberi banyak pengajaran buat kita semua terutama dalam menambah keimanan kepada kekuasaan Allah dan kesabaran dalam menerima qada’ dan qadarNya. Kita diajar tiap kali berlaku hujan yang begitu lebat maka kita disaran untuk memohon kepada Allah agar mengalihkan hujan tersebut ke tempat yang lebih manfaat dengan mengamalkan doa yang terdapat di dalam Al-Quran dan diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. Antaranya pernah nabi s.a.w berdoa:
اللَّهُمَّ حَوَالَيْنَا وَلاَ عَلَيْنَا، اللَّهُمَّ عَلَى الآكَام وَالظِّرَابِ، وَبُطُونِ الأَوْدِيَةِ، وَمَنَابِتِ الشَّجَرِ- رواه البخاري ومسلم .
Maksudnya : “Ya Allah!, turunkanlah hujan di sekitar kami dan janganlah ditimpakan bencana ke atas kami. Ya Allah, turunkannya di dataran tinggi, bukit-bukit, lembah-lembah serta tempat tumbuhnya pokok-pokok”.
Nabi s.a.w juga mengajar kita untuk berdoa seperti :
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ هَذِهِ الرِّيحِ وَخَيْرِ مَا أُرْسِلَتْ بِهِ : وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّهَا وَشَرِّ مَا أُرْسِلَتْ بِهِ – رواه مسلم
Maksudnya : “Ya Allah sesungguhnya daku memohon kepada-Mu kebaikan angin ini dan kebaikan yang ada padanya dan kebaikan yang dibawanya. Dan daku berlindung kepada-Mu dari keburukan angin ini, keburukan yang ada padanya dan keburukan yang dibawanya.“
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,
Firman Allah dalam ayat 11 surah at-Taghabun :
مَا أَصَابَ مِن مُّصِيبَةٍ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّـهِ ۗوَمَن يُؤْمِن بِاللَّـهِ يَهْدِ قَلْبَهُ ۚ وَاللَّـهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ ﴿١١﴾
Maksudnya : Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu
Kehidupan dunia dipenuhi dengan pelbagai ujian dalam menguji keimanan kita kepada Allah. Imam al-Ghazali menyatakan, jika ditimpa musibah, ada 5 cara bagaimana seseorang itu perlu berdepan ujian supaya tidak kecundang
[1] Jika menerima musibah atau ujian yang terlalu besar dan berat bagi dirinya, seseorang itu perlu bayangkan bahawa ada ujian lebih besar dan lebih teruk menimpa orang lain berbanding apa dialaminya. Sedarilah bahawa setiap sesuatu itu dalam kekuasaan Allah. Jadi, bayangkan bagaimana jika bencana atau sakitnya dilipatgandakan Allah SWT, dan adakah kita akan dapat menolak atau menghalangnya. Oleh yang demikian, seseorang itu perlu bersyukur kepada Allah kerana Dia tidak menguji kita dengan ujian lebih berat, lebih parah dan lebih menyedihkan di dunia ini. Jika semuanya ditangani dengan kesabaran, pahalanya akan berlipat ganda, sedangkan keburukannya dapat dikurangkan berkat kesabaran ketika menerima ujian.
[2] Datangnya bencana itu mungkin sekali sebagai musibah kerana kekurangan taatnya dalam agama. Oleh itu kembalilah hidup mengikut acuan agama untuk selamat dunia akhirat
[3] Takutilah jika musibah itu menimpa secara berterusan di dunia hingga akhirat. Oleh itu, terimalah ujian itu dengan sabar kerana lebih baik diseksa di dunia saja dengan harapan semoga Allah tidak melanjutkan ujian itu hingga semua makhluk dihidupkan semula di akhirat. Ujian diberi Allah masih dapat diringankan dengan melakukan hal lain berbanding perihal sewaktu akhirat. Jika Allah memberikan azabnya di akhirat, pasti kita tidak dapat lari daripada melakukan pekerjaan lain kerana azab yang diberikan oleh-Nya pasti secara berterusan. Oleh itu, bersabar dengan ujian Allah sewaktu di dunia dengan berharap ia sebagai seksaan yang disegerakan oleh-Nya sebagai pengganti seksaan di akhirat. Bersyukurlah kerana musibah dan azab yang kita terima menyelamatkan kita daripada seksaan di akhirat.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 22 surah al-Hadid :
مَا أَصَابَ مِن مُّصِيبَةٍ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي أَنفُسِكُمْ إِلَّا فِي كِتَابٍ مِّن قَبْلِ أَن نَّبْرَأَهَا ۚ إِنَّ ذَٰلِكَ عَلَى اللَّـهِ يَسِيرٌ ﴿٢٢﴾
Maksudnya : Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.
[4] Setiap bencana atau musibah ditentukan secara pasti dan tercatat tanpa ada kuasa mampu mengubahnya selain Allah SWT. Ketentuan dan catatan itu ada sejak azali di Ummul-kitab (buku amalan) yang ada di sisi Allah dan tetap perlu ditempuh oleh seseorang itu. Jika seseorang itu menghadapi ujian yang ditetapkan Allah, bersyukurlah dengan berdoa tanpa jemu kepada Allah SWT. Ingatkan diri bahawa apabila ujian itu berakhir, dia terlepas juga daripada bencana.
[5] Ketahuilah bahawa pahala diterima seseorang lebih besar sewaktu mereka ditimpa musibah. Ingatlah, ujian yang diterima bukan beban, sebaliknya nikmat bagi manusia sebagai bekalan di akhirat. Musibah itu hanya sebagai ubat pahit yang harus ditelan bagi memberi kebaikan pada masa depan
قال النبي : عَجَبًا ِلأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ لَهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَلِكَ ِلأَحَدٍ إِلاَّ لِلْمُؤْمِنِ، إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ، وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْراً لَهُ – رواه مسلم
Maksudnya : Sungguh menakjubkan urusan seorang mukmin, semua urusannya adalah baik baginya. Hal ini tidak didapatkan kecuali pada diri seorang mukmin. Apabila mendapatkan kesenangan, dia bersyukur, maka yang demikian itu merupakan kebaikan baginya. Sebaliknya apabila tertimpa kesusahan, dia pun bersabar, maka yang demikian itu merupakan kebaikan baginya.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,
Firman Allah dalam ayat 271 surah al-Baqarah:
إِن تُبْدُوا الصَّدَقَاتِ فَنِعِمَّا هِيَ ۖ وَإِن تُخْفُوهَا وَتُؤْتُوهَا الْفُقَرَاءَ فَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۚ وَيُكَفِّرُ عَنكُم مِّن سَيِّئَاتِكُمْ ۗ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ ﴿٢٧١﴾
Maksudnya : Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu; dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan.
Ketika kita sekarang boleh makan, minum, dan memiliki rumah, maka ingatlah saudara-saudara kita yang ditimpa musibah banjir. Saat ini mereka sedang kesusahan dan kesulitan. Maka hulurkanlah tangan kita untuk membantu mereka semampu mungkin. Sedekah kita di dunia akan membawa kesenangan di akhirat kelak
قال النبي :مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ-رواه مسلم
Maksudnya: Sesiapa yang membantu menghilangkan kesusahan seorang mukmin di dunia, maka Allah akan menghilangkan kesusahan daripadanya pada hari kiamat
Sedekah dapat menghapuskan dosa serta tidak menjadikan kita jatuh miskin
والصدقةُ تُطفِيءُ الخطيئةَ كما تُطفِيءُ الماءُ النارَ – رواه الترمذي
Maksudnya: “Sedekah dapat menghapus dosa sebagaimana air memadamkan api.”
ما نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِن مالٍ، وما زادَ اللَّهُ عَبْدًا بعَفْوٍ، إلَّا عِزًّا – رواه مسلم
Maksudnya: “Tidak akan berkurang harta dengan sedekah. Dan seorang hamba yang pemaaf pasti akan Allah tambahkan kemuliaan baginya.”
Firman Allah dalam ayat 261 surah al-Baqarah:
مَثَلُ الَّذِينَ يُنْفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنْبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنْبُلَةٍ مِائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللَّهُ يُضَاعِفُ لِمَنْ يَشَاءُ ۗ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ
Maksudnya: “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Khutbah Jumaat : Tahun 2021 DiHarungi Musibah DiInsafi
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah !Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa.Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 1-3 surah al-Asr :
وَالْعَصْرِ ﴿١﴾ إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ ﴿٢﴾ إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ ﴿٣﴾
Maksudnya : Demi Masa!. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian – Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.
Kita kini berada pada hari Jumaat terakhir bagi tahun 2021 Masihi di mana esok kita bakal melangkah bagi tahun baru 2022 Masihi dengan meninggal seribu kenangan pahit dan manis, suka dan duka, menangis dan ketawa sepanjang tahun ini. Berlalunya masa bererti semakin pendek umur kita untuk mendekati saat kematian. Islam begitu menitikberatkan umatnya untuk menjaga dan menghargai masa kerana ia lebih mahal dan bernilai daripada harta benda sehingga Allah bersumpah dengan masa. Yakinlah kita bahawa kita diciptakan bagi menunaikan tugas penting dan nikmat waktu itu merupakan modal yang penting untuk dapat menunaikan tugas itu sebaiknya. Keberkatan waktu dan rezeki bergantung kepada kekuatan iman dalam tunduk dan patuh kepada setiap arahan dan larangan Allah dalam kehidupan.
Antara faktor besar dalam menentukan kejayaan kita ialah [1] cara kita menjaga dan menghargai masa dan umur kita [2] Kesungguhan kita dalam mencapai keberkatan masa di mana walaupun waktu dirasakan tidak mencukupi tetapi kita dapat melaksanakan apa yang kita hajati itu dengan sempurna dan siap pada waktunya. Cara untuk mencapai keberkatan masa dengan menjaga minda atau pemikiran, kesihatan, hubungan silaturahim dan kerohanian. Dengan minda yang positif, sentiasa bersangka baik dengan orang dan Allah serta kesihatan yang baik kita akan bertenaga dan bersemangat untuk melaksanakan apa-apa yang kita rencanakan. Dengan menjaga silaturahim kita akan mendapat kerjasama daripada banyak pihak. Dengan menjaga kerohanian iaitu hubungan kita dengan Allah maka Allah akan sampaikan hajat kita dan dipermudahkan urusan kita. [3] Kebijaksanaan kita merancang dan mengatur masa dalam pengisian hidup kita dengan memenuhi umur kita dengan pahala dengan menghindari dosa dan perkara sia-sia
Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 102-104 surah Toha :
يَوْمَ يُنفَخُ فِي الصُّورِ ۚ وَنَحْشُرُ الْمُجْرِمِينَ يَوْمَئِذٍ زُرْقًا ﴿١٠٢﴾ يَتَخَافَتُونَ بَيْنَهُمْ إِن لَّبِثْتُمْ إِلَّا عَشْرًا ﴿١٠٣﴾ نَّحْنُ أَعْلَمُ بِمَا يَقُولُونَ إِذْ يَقُولُ أَمْثَلُهُمْ طَرِيقَةً إِن لَّبِثْتُمْ إِلَّا يَوْمًا ﴿١٠٤﴾
Maksudnya : (Iaitu) hari ditiup Sangkakala, dan Kami akan himpunkan pada hari itu orang-orang yang bersalah dalam keadaan kelabu matanya. Mereka berbisik-bisik sesama sendiri: “Kamu telah tinggal hanya sepuluh sahaja”. (Allah berfirman): Kami lebih mengetahui akan kadar masa yang mereka katakan itu, manakala orang yang lebih tepat pendapatnya di antara mereka berkata pula: “Tiadalah kamu tinggal melainkan satu masa yang amat singkat”.
Al-Quran menggambarkan bagaimana keadaan manusia yang gagal memanfaatkan nikmat waktu yang Allah anugerahkan di dunia ini dengan amalan soleh malah digunakan untuk melakukan kekufuran terhadap Allah dan pelbagai bentuk perderhakaan sehingga menyesal di akhirat dengan merasakan bagaimana kehidupan dunia yang diberikan begitu singkat sehingga gagal dimanfaatkan. Oleh itu kita wajib menghargai masa dengan mengisinya dengan perkara-perkara yang bermanfaat yang memberi keuntungan untuk kehidupan dunia dan akhirat kita.
Hayatilah mutiara nasihat Sayyidina Ali bin Abi Thalib RA yang mengingatkan kepada kita semua bahwa kehidupan dunia adalah waktu untuk beramal, dan semua yang kita lakukan di dunia ini akan kita pertanggungjawabkan di akhirat:
ارْتَحَلَتِ الدُّنْيَا مُدْبِرَةً، وَارْتَحَلَتِ الآخِرَةُ مُقْبِلَةً، وَلِكُلِّ وَاحِدَةٍ مِنْهُمَا بَنُونَ، فَكُونُوا مِنْ أَبْنَاءِ الآخِرَةِ، وَلاَتَكُونُوا مِنْ أَبْنَاءِ الدُّنْيَا، فَإِنَّ اليَوْمَ عَمَلٌ وَلاَحِسَابَ، وَغَدًاحِسَابٌ وَلاَعَمَلٌ – رواه البخاري
Maknanya: “Dunia berjalan meninggal kita, sedangkan akhirat berjalan menghampiri kita. Masing-masing dari dunia dan akhirat memiliki anak-anaknya. Maka jadilah sebahagian dari anak-anak akhirat (sentiasa mementingkan kehidupan akhirat) dan janganlah menjadi sebahagian dari anak-anak dunia (selalu mementingkan kehidupan dunia yang sementara), kerana hari ini (kehidupan dunia) adalah waktunya beramal dan tidak ada hisab, sedangkan esok (kehidupan akhirat) adalah waktunya dipertanggungjawabkan segala amal, dan bukan lagi waktu untuk beramal,”
Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Dalam kesempatan ini, kita akan membahas 5 sifat yang dibenci oleh Allah . Marilah kita bermuhasabah menghitung diri, apakah hati kita sudah bersih dan terhindar dari 5 sifat tersebut atau sebaliknya agar kita dapat meneruskan agenda hidup dengan selamat
إِنَّ اللهَ يُبْغِضُ كُلَّ جَعْظَرِيٍّ جَوَّاظٍ سَخَّابٍ بِالْأَسْوَاقِ جِيفَةٍ بِالَّليْلِ حِمَارٍ بِالنَّهَارِ عَالِـمٍ بِأَمْرِ الدُّنْيَا جَاهِلٍ بِأَمْرِ اْلآخِرَةِ -حَدِيْثٌ صَحِيْحٌ رَوَاهُ ابْنُ حِبَّانَ
Maksudnya : “Sesungguhnya Allah benci kepada setiap orang yang sombong dan kasar, dan suka berteriak-teriak seperti di pasar. Diwaktu malam bagaikan bangkai, dan di waktu siang bagaikan keledai. Dia berilmu tentang dunia tapi bodoh tentang kehidupan akhirat.”
Kita wajib membersihkan diri kita daripada sifat mazmumah tercela antaranya [1] takabbur dengan merendahkan dan memperlekehkan orang lain. [2] kasar di dalam ucapan dan perbuatannya kerana Allah tidak menyukai orang-orang yang kasar, sebaliknya Allah cinta kepada orang-orang yang lembut. [3] Suka berteriak-teriak seperti di pasar di mana lisannya itu pedas, lisannya suka menyakiti hati orang lain, dia tidak peduli apakah orang itu akan marah atau tidak, dia tidak peduli. [4] Di waktu malam dia bagaikan bangkai di mana menhabiskan malam sama sekali tidak untuk solat malam sebaliknya dia lebih senang dengan perbuatan yang sia-sia, dia sibuk dengan berbual kosong ataupun melihat dan menonton acara-acara yang tidak ada manfaatnya sama sekali. Atau dia menghabiskan waktu malam untuk tidur saja, tidak ada keinginan di hatinya untuk berdiri kepada Allah walaupun satu rakaat di waktu malam. Sifat yang ke[5] yang Allah tidak sukai, iaitu seseorang berilmu tentang dunia dan dia bodoh tentang kehidupan akhirat. Dia berilmu tentang berbagai macam pengetahuan dunia, tentang berita-berita dunia, yang dia semangat padanya adalah mengikuti berita-berita hangat tentang kehidupan dunia, tapi dia malas, dia tidak mau untuk mendalami ilmu akhirat. Ilmu agama dia pandang sebagai ilmu yang remeh dimatanya. Sehingga kemudian dia menjadi orang yang jahil terhadap kehidupan akhirat sehingga kehidupan dipenuhi dengan mengikut hawa nafsu
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 57 surah Al A’araf :
وَهُوَ الَّذِي يُرْسِلُ الرِّيَاحَ بُشْرًا بَيْنَ يَدَيْ رَحْمَتِهِ حَتَّى إِذَا أَقَلَّتْ سَحَابًا ثِقَالاً سُقْنَاهُ لِبَلَدٍ مَّيِّتٍ فَأَنزَلْنَا بِهِ الْمَاء فَأَخْرَجْنَا بِهِ مِن كُلِّ الثَّمَرَاتِ كَذَلِكَ نُخْرِجُ الْموْتَى لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ
Maksudnya : “Dan Dialah yang meniupkan angin sebagai pembawa berita gembira sebelum kedatangan rahmat-Nya (hujan); hingga apabila angin itu telah membawa awan mendung, Kami halau ke suatu daerah yang tandus, lalu Kami turunkan hujan di daerah itu, maka Kami keluarkan dengan sebab hujan itu pelbagai macam buah-buahan. Seperti itulah Kami membangkitkan orang-orang yang telah mati, mudah-mudahan kamu mengambil pelajaran.”
Kita menutup tahun 2021 dengan ujian musibah banjir besar terutama di Selangor dan Pahang serta beberapa negeri lain yang bukan sahaja merosakkan harta benda malah banyak nyawa yang terkorban. Ketika diuji dengan apa sahaja bentuk ujian atau musibah maka kita wajib redha dengan qadha dan qadar Allah. Jauhkan daripada melawan atau mempertikai setiap ketentuan Allah samada dengan hati, mulut mahu pun perbuatan. Sebaliknya jadikanlah setiap apa yang berlaku sebagai iktibar dan pengajaran penting untuk menambah kesabaran seterusnya meningkatnya keimanan kita kepada Allah. Laksanakanlah sikap yang diajar oleh nabi s.a.w
قال النبي : عَجَبًا ِلأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ لَهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَلِكَ ِلأَحَدٍ إِلاَّ لِلْمُؤْمِنِ، إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ، وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْراً لَهُ – رواه مسلم
Maksudnya : Sungguh menakjubkan urusan seorang mukmin, semua urusannya adalah baik baginya. Hal ini tidak didapatkan kecuali pada diri seorang mukmin. Apabila mendapatkan kesenangan, dia bersyukur, maka yang demikian itu merupakan kebaikan baginya. Sebaliknya apabila tertimpa kesusahan, dia pun bersabar, maka yang demikian itu merupakan kebaikan baginya.
Ketika kita sekarang boleh makan, minum, dan memiliki rumah, maka ingatlah saudara-saudara kita yang ditimpa musibah banjir. Saat ini mereka sedang kesusahan dan kesulitan. Maka hulurkanlah tangan kita untuk membantu mereka semampu mungkin. Sedekah kita di dunia akan membawa kesenangan di akhirat kelak
قال النبي :مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ-رواه مسلم
Maksudnya: Sesiapa yang membantu menghilangkan kesusahan seorang mukmin di dunia, maka Allah akan menghilangkan kesusahan daripadanya pada hari kiamat
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Langgan:
Catatan (Atom)