أهلا وسهلا ومرحبا بكم
Kandungan Blog
Jumaat, 15 Januari 2021
Khutbah Jumaat : Berkat DiCari Maksiat DiHindari Umat DiRahmati
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ!!! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 11 surah at-Taghabun :
مَا أَصَابَ مِن مُّصِيبَةٍ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّـهِ ۗوَمَن يُؤْمِن بِاللَّـهِ يَهْدِ قَلْبَهُ ۚ وَاللَّـهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ ﴿١١﴾
Maksudnya : Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu
Kita di negeri sebelah Pantai Timur masih berada di musim tengkujuh di mana sudah ada beberapa tempat yang telah dan sedang dilanda banjir. Hujan itu adalah suatu rahmat daripada Allah. Namun, apabila ia turun terlalu lebat dan banyak atau turun terus menerus sehingga mengakibatkan banjir besar, maka sudah tentu ianya suatu bentuk ujian dan dugaan yang didatangkan daripada Allah. Jika yang terjadi adalah hujan yang begitu lebat atau hujan yang tidak kunjung henti di tempat kita, maka kita boleh meminta pada Allah untuk mengalihkan hujan tersebut ke tempat yang lebih manfaat dengan mengamalkan doa yang terdapat di dalam Al-Quran dan diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. Antaranya pernah nabi s.a.w berdoa:
اللَّهُمَّ حَوَالَيْنَا وَلاَ عَلَيْنَا، اللَّهُمَّ عَلَى الآكَام وَالظِّرَابِ، وَبُطُونِ الأَوْدِيَةِ، وَمَنَابِتِ الشَّجَرِ- رواه البخاري ومسلم .
Maksudnya : “Ya Allah!, turunkanlah hujan di sekitar kami dan janganlah ditimpakan bencana ke atas kami. Ya Allah, turunkannya di dataran tinggi, bukit-bukit, lembah-lembah serta tempat tumbuhnya pokok-pokok”.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,
Firman Allah dalam ayat 116-117 surah Huud:
فَلَوْلَا كَانَ مِنَ الْقُرُونِ مِن قَبْلِكُمْ أُولُو بَقِيَّةٍ يَنْهَوْنَ عَنِ الْفَسَادِ فِي الْأَرْضِ إِلَّا قَلِيلًا مِّمَّنْ أَنجَيْنَا مِنْهُمْ ۗ وَاتَّبَعَ الَّذِينَ ظَلَمُوا مَا أُتْرِفُوا فِيهِ وَكَانُوا مُجْرِمِينَ ﴿١١٦﴾ وَمَا كَانَ رَبُّكَ لِيُهْلِكَ الْقُرَىٰ بِظُلْمٍ وَأَهْلُهَا مُصْلِحُونَ ﴿١١٧﴾
Maksudnya : Maka sepatutnya ada di antara umat yang telah dibinasakan dahulu daripada kamu itu, orang-orang yang berkelebihan akal fikiran yang melarang kaumnya dari perbuatan-perbuatan jahat di muka bumi tetapi sayang! Tidak ada yang melarang melainkan sedikit sahaja, iaitu orang-orang yang Kami telah selamatkan di antara mereka. Dan orang-orang yang tidak melarang itu telah menitik beratkan segala kemewahan yang diberikan kepada mereka dan menjadilah mereka orang-orang yang berdosa. Dan Tuhanmu tidak sekali-kali hendak membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman penduduknya, selagi mereka sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri
Al-Quran banyak menceritakan kisah bagaimana umat dahulu dihancurkan sebagaimana pengajaran dan iktibar yang berguna kepada kita semua agar tidak mengulanhi jenayah dan sikap yang sama. Antara sikap umat dahulu yang telah dihancurkan oleh Allah iailah : [1] Menentang ayat-ayat Allah dan Rasul-rasulNya. [2] Mengikut perintah pemerintah yang zalim, hidup berfoya-foya, melakukan kerosakan di muka bumi tanpa melakukan pembaikan seperti kaum ‘Aad dan Thamud. [3] Berbangga dengan pengetahuan kebendaan, berpaling dari ilmu wahyu [4] Kagum dengan kekuatan kebendaan dan kekayaan harta benda dengan melupakan kemurkaan Allah seperti Firaun dan Qarun). [5] Zalim dan bongkak yang melampaui batas kebenaran khususnya terhadap orang-orang miskin dan lemah seperti bangsa Madyan kaum Nabi Syu’aib. [6] Melakukan perbuatan kotor dan mengikut hawa nafsu seperti kaum Nabi Luth). [7] Tersebarnya kerosakan dan kemungkaran di mukabumi secara terang-terangan tanpa usaha menghentikannya seperti sebahagian kaum Bani Israeil. [8] Kufur pada ni’mat Allah dan tidak mensyukurinya, bahkan digunakan pemberian Allah itu untuk melakukan maksiat. [9] Boros dan melampau-lampau dalam kesenangan
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,
Firman Allah dalam ayat 25 surah al-Anfal:
وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَّا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنكُمْ خَاصَّةً ۖ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّـهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ ﴿٢٥﴾
Maksudnya : Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaNya
Melalui al-Quran dan hadis nabi s.a.w menjelaskan kepada kita bagaimana bala musibah yang datang tidak khusus kepada pelaku maksiat sahaja malah meliputi umat sekelilingnya terutama bila tugas amar makruf dan nahi munkar tidak dijalankan
قال النبي : إِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِقَوْمٍ عَذَابًا أَصَابَ الْعَذَابُ مَنْ كَانَ فِيهِمْ ثُمَّ بُعِثُوا عَلَى أَعْمَالِهِمْ – رواه مسلم
Maksudnya : Apabila Allah mengkehendaki azab berlaku kepada sesuatu kaum, Allah akan menimpakan azab kepada semua yang berada dalam kalangan mereka. Kemudian mereka akan dibangkitkan dengan amalan-amalan mereka.
قال النبي : أَنَهْلِكُ وَفِينَا الصَّالِحُونَ قَالَ نَعَمْ، إِذَا كَثُرَ الْخَبَثُ – رواه البخاري
Maksudnya : Adakah kami akan binasa dalam keadaan orang-orang soleh berada dalam kalangan kami ? Maka Rasulullah S.A.W menjawab : Ya, jika kejahatan semakin banyak.
Ulama’ dalam syarahan ke atas hadis ini menukilkan bahawa Azab Allah akan meliputi kesemua yang berada dalam sesebuah kaum dari kalangan orang yang taat dan juga pelaku maksiat. Allah akan membinasakan kesemua mereka dengan azab yang Allah datangkan kepada mereka yang meliputi orang soleh dan juga orang jahat dari kalangan mereka. Adapun azab yang menimpa orang soleh maka itu bertujuan mengangkat darjatnya serta membanyakkan pahalanya kemudian dia akan dibangkitkan di atas niatnya yang soleh.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,
Firman Allah dalam ayat 88 surah al-Maidah:
وَكُلُوا مِمَّا رَزَقَكُمُ اللَّـهُ حَلَالًا طَيِّبًا ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ الَّذِي أَنتُم بِهِ مُؤْمِنُونَ ﴿٨٨﴾
Maksudnya : Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik, dan bertaqwalah kepada Allah yang kepadaNya sahaja kamu beriman.
Antara usaha kita dalam menghindari bala Allah ialah dengan memperbanyakkan jbadat, zikrullah, doa dan menjauhi maksiat. Punca doa ditolak antaranya akibat terlibat dengan perkara yang haram samada sumber dapatan atau makanan itu sendiri yang haram . Dalam kitab Minhajul Abidin, Imam al-Ghazali menjelaskan ada 3 alasan mengapa kita wajib menjauhkan diri dari memakan makanan yang haram dan syubhat:
[1] Takut pada neraka Jahannam
قال النبي : لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ لَحْمٌ نَبَتَ مِنْ سُحْتٍ ، النَّارُ أَوْلَى بِهِ – رواه أحمد
Maksudnya : Tidak masuk syurga daging yang tumbuh dari yang haram, neraka lebih baik untuknya.
[2] orang yang memakan makanan haram dan syubhat tidak pantas beribadah, sebab ibadah yang dikerjakannya ditolak Allah SWT. Hanya orang-orang yang bersih dan suci yang berhak beribadah kepada-Nya.
[3] orang yang makan barang haram dan syubhat, maka ia terhalang untuk melakukan kebaikan, meskipun ia melakukan kebaikan, namun perbuatannya ditolak Allah SWT. Semua yang dilakukannya hanyalah kepayahan, kesedihan, dan mengisi waktu luang belaka saja, tidak lebih daripada itu.
Sidang Jumaat yang berbahagia,
Firman Allah dalam ayat 114 surah an-Nahlu:
فَكُلُوا مِمَّا رَزَقَكُمُ اللَّـهُ حَلَالًا طَيِّبًا وَاشْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّـهِ إِن كُنتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ ﴿١١٤﴾
Maksudnya : Oleh itu, makanlah (wahai orang-orang yang beriman) dari apa yang telah dikurniakan Allah kepada kamu dari benda-benda yang halal lagi baik, dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembahNya semata-mata.
Jika awal bulan ini kita dikejutkan dengan terbongkarnya taktik jahat kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina dengan menjadikan sebuah gudang di Senai, Johor Bahru sebagai tempat membungkus semula daging itu dengan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia. Minggu ini pula Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang berjaya merampas daging kambing sejuk beku Australia yang dirampas di Terminal Kontena Butterworth Utara. Kita bimbang perkara ini berlaku berpunca daripada sifat ketidakjujuran dalam mana-mana rantaian proses import dari negara asal hingga ke pasaran kepada orang awam.Sesiapa yang terbabit dalam kes memalsukan dokumen dan logo halal bagi produk makanan untuk pasaran di negara ini wajib dikenakan hukuman berat.
Umat wajib mengambil berat tentang hukum halal haram samada pada makan minum itu sendiri dan sumber dapatan untuk berkat dunia dan selamat di akhirat
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Label:
Aqidah,
Kepimpinan Islam,
khutbah terbaru,
Tamadun Islam
Langgan:
Catatan (Atom)