أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Jumaat, 25 April 2008

67. HENTIKAN PENJAJAHAN BARU KUFFAR DURJANA

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 4 surah Muhammad :
فإذا لقيتم الذين كفروا فضرب الرقاب حتى إذا أثخنتموهم فشدوا الوثاق فإما منا بعد وإما فداء حتى تضع الحرب أوزارها ذلك ولو يشاء الله لانتصر منهم ولكن ليبلوا بعضكم ببعض والذين قتلوا فى سبيل الله فلن يضل أعمــلهم
Maksudnya : Apabila kamu bertemu dengan orang-orang kafir di medan perang maka pancunglah batang tengkok mereka. Setelah kamu mampu mengalahkan mereka maka tawanlah mereka dan sesudah itu kamu boleh membebaskan mereka atau menerima tebusan sehingga perang berhenti. Demikian apabila Allah mengkehendaki nescaya Allah akan membinasakan mereka tetapi Allah hendak menguji sebahagian kamu dengan sebahagian yang lain. Dan orang-orang yang gugur pada jalan Allah maka Allah tidak sekali-kali mensia-siakan segala amalan mereka.
Dunia umat Islam yang baru merasai kehangatan menyambut kedatangan tahun baru 1424 Hijrah telah dihiris dengan rasa sedih dan resah apabila Iblis Amerika dan Syaitan Britain dibantu oleh beberapa sekutu kuffar setelah dihasut oleh Dajjal zionis yahudi tanpa menghiraukan bantahan dunia dan rakyat mereka sendiri telah melakukan serangan kejam tidak bertamadun terhadap bumi Iraq. Hari ini masuk hari yang kesembilan pencerobohan yang tidak berperi kemanusiaan itu yang telah mengorbankan hampir 400 rakyat awam daripada kalangan orang tua, wanita dan kanak-kanak dan mencederakan lebih 3000 orang yang lain. Penjajahan baru 2 kuasa besar dunia itu ke atas Iraq secara jelas mencabuli perundangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) walau pun kita umat Islam sendiri dari dulu lagi tidak begitu yakin terhadap fungsi pertubuhan ini yang lebih banyak tunduk kepada kehendak kuffar. Walau pun PBB telah banyak membantu kuffar tetapi Amerika masih tidak berpuas hati kerana badan ini dikhuatiri akan bergerak menentang mereka buat masa terdekat setelah beberapa negara yang memiliki kuasa veto yang lain seperti Perancis, Jerman dan China semakin kuat. Sebab itulah Amerika tanpa restu kuasa besar yang lain bertindak sewenangnya menghancurkan bumi Iraq bagi menunjukkan kepada dunia bahawa dialah sebagai kuasa besar yang terkuat. Malah Amerika mahu tenteranya mentadbir Iraq selepas ini walau pun sekutunya Britain meminta agar menyerahkannya kepada PBB.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Kita melihat serangan yang kejam dilakukan ke atas Iraq disebabkan perkara yang utama ialah Islam. Ini diperakui oleh seorang ahli parlimen Britain dalam kenyataan terbaru bahawa Iraq dan negara Asia barat akan dibahagikan kepada beberapa negara kecil selepas penjajahan baru sehingga kekuatan Islam berjaya dipadamkan dan al-Quran terus ditinggalkan. Kita tidak menafikan bagaimana Iraq merupakan antara negara umat Islam yang mempunyai kekuatan senjata tetapi telah banyak dimusnahkan dalam peperangan Teluk 1991. Namun dunia terkejut dengan kekuatan Iraq yang terus membina kekuatan setakat yang mampu di tengah-tengah sekatan ekonomi lebih 10 tahun termasuk mendapat nasihat daripada bekas penasihat perang negara-negara Arab yang pernah mengalahkan yahudi Israel sebelum ini sehingga penjajahan baru ke atas Iraq yang dijangka hanya memakan masa 48 jam melarat masuk hari ke-9 yang lebih banyak merosakkan harta benda dan nyawa orang awam daripada tentera yang berperang. Amerika turut menambah bilangan tentera ke Teluk seramai 120 ribu orang disamping tambahan bantuan kewangan. Malah ramai yang meramalkan Iraq tidak mampu dijajah selagi kota Baghdad gagal ditawan disamping jika perang ini berlanjutan lebih daripada 2 minggu maka kemungkinan besar tentera penceroboh bersekutu kuffar itu akan kalah. Lebih 600 peluru berpandu termasuk bom berantai telah digugurkan ke atas bumi Iraq setakat ini sehingga meranapkan banyak bangunan termasuk hospital dan rumah anak yatim. Kita lihat bagaimana serangan udara yang hampir menghancurkan Iraq telah banyak kali dilepaskan tetapi Iraq belum menggunakan senjata pemusnah yang didakwa dimiliki oleh Iraq yang dijadikan antara alasan kepada serangan bacul ini. Jika hanya setakat senjata pemusnah yang melebihi had 180 kilometer dijadikan alasan sedangkan jarak itu belum membolehkan Iraq menyerang Israel apatah lagi Amerika dan Britain maka sepatutnya Iraq tidak diserang kerana Korea Utara masih diberi peluang walau pun jelas membina kembali senjata nuklear. Oleh itu jelaslah kepada kita bahawa serangan ini merupakan antara agenda dalam menghancurkan semua negara umat Islam yang kini didapati kebanyakannya telah mula kembali kepada Islam. Amerika cuba mendapatkan sokongan rakyat Iraq atas alasan mahu mengguling Saddam Hussein tetapi apa yang mereka lakukan adalah sebaliknya. Malah Amerika dan Britain perlu sedar bahawa keperluan mereka kepada sokongan puak Kurdis yang didakwa dizalimi oleh kerajaan Iraq sebenarnya akibat perbuatan Britain sendiri yang mana ketika dipecahkan tanah jajahan Khilafah Othmaniah lalu puak Kurdi yang dikatakan berbahaya kerana banyak melahirkan pahlawan Islam termasuk Salahuddin al-Ayyubi tidak diberi sebuah negara berdaulat sebaliknya dipecahkan sehingga antara mereka menjadi rakyat Iraq, Turki dan Syria.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Pemimpin negara umat Islam Islam perlu sedar bagaimana perancangan jahat Kuffar yang diketuai oleh yahudi kini memulakan penjajahan baru ke atas negara umat Islam di dalam memastikan Islam tidak bangkit sebagai kuasa yang memerintah. Kita hampir kehilangan negara Palestin dan betapa tergugatnya Masjid al-Aqsa diikuti dengan penjajahan terhadap Afghanistan dan kini bumi Iraq yang diminati oleh yahudi kerana adanya kota Babylon yang didakwa milik mereka, mula menjadi mangsa penjajahan terbaru. Jika umat Islam terutama pemimpin masih alpa maka satu demi satu negara umat Islam yang sememangnya kaya dengan hasil bumi akan kembali dijajah. Kuffar berani datang menjajah kerana umat Islam berpecah dalam membina kesatuan Islam tetapi boleh bersatu untuk menyerang negara umat Islam sendiri. Kita perlu sedar bagaimana amaran Amerika untuk menyerang Iran selepas Iraq ada asasnya terutama dua kali peluru berpandu tersasar ke sempadan Iran disamping Amerika meneruskan pemburuan terhadap saki baki mujahidin di Afghanistan dan berusaha menghancurkan beberapa kumpulan Islam yang lain bagi memastikan apabila berlakunya serangan seterusnya ke atas Iran selepas ini maka tiada lagi mana-mana kumpulan mujahidin yang datang membantu. Menyedari betapa jahat dan terancangnya perancangan musuh maka seluruh umat Islam didahului oleh pemimpinnya wajib kembali kepada Islam. Kita menyeru agar semua pihak dapat terus berusaha secepat mungkin dengan bersungguh-sungguh dalam menghentikan peperangan ini dengan segera. Rakyat Iraq bukan binatang sembelihan di mana musuh boleh menghulurkan satu tangan untuk memberi makanan atas alasan bantuan kemanusiaan sedangkan satu tangan yang lain bersiap sedia untuk membunuhnya. Oleh itu seluruh negara umat Islam mesti lebihkan usaha dalam menguatkan kekuatan negara umat Islam tanpa terlalu bergantung kepada kuasa besar kuffar memandangkan 57 buah negara dalam Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) adalah negara yang kaya dengan hasil bumi terutama petroleum. Kita tidak mahu pemimpin negara umat Islam bersikap talam dua muka iaitu apabila bercakap dengan rakyatnya maka mereka begitu bersemangat menentang musuh tetapi apabila duduk bersama Syaitan Amerika maka mereka berjanji untuk bersama memerangi umat Islam. Jika pemimpin negara umat Islam terus bersikap begini maka negara umat Islam akan dijajah satu demi satu dan pemimpin sendiri akan menerima akibatnya bukan sahaja di dunia malah di akhirat nanti.
Ingatlah firman Allah dalam ayat 14 surah al-Baqarah :
وإذا لقوا الذين ءامنوا قالوا آمنا وإذا خلوا إلى شيــطينهم قالوا إنا معكم إنما نحن مستهزءون
Maksudnya : Dan ketika mereka bertemu dengan orang-orang beriman maka mereka mengatakan bahawa kami telah beriman. Sedangkan ketika mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka lalu mereka mengatakan bahawa kami sependapat dengan kamu di mana kami hanya berolok-olok.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Sabda nabi s.a.w dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Bukhari dan Muslim:
يا أيهاالناس لاتتمنوا لقاء العدو واسألوا الله العافية فإذا لقيتموهم فاصبروا واعلموا أن الجنة تحت ظلال السيوف ثم قام النبي صلى الله عليه وسلم وقال اللهم منزل الكتاب ومجري السحاب وهازم الأحزاب اهزمهم وانصرنا عليهم
Maksudnya : Wahai sekalian manusia! Janganlah kamu mengharapkan untuk bertemu dengan musuh dan pohonlah kesejahteraan. Namun apabila kamu bertemu dengan mereka maka bersabarlah dan ketahuilah kamu sesungguhnya Syurga itu berada di bawah libasan mata pedangmu. Selanjutnya nabi bangkit dan berdoa : Ya Allah! Engkaulah yang menurunkan kitab dan yang menggerakkan awan dan yang mengalahkan tentera bersekutu maka hancurkanlah mereka dan berikanlah kemenangan kepada kami.
Marilah sama-sama kita berdoa semoga Allah melembutkan hati pemimpin kuffar sebagaimana Allah melembutkan besi kepada nabi Daud atau menghancurkan mereka sebagaimana kaum ‘Aad dan Thamud. Semoga Allah merubahkan pendirian kuffar sebagaimana diubahkan agama tentera Tartar yang kejam kepada Islam setelah menghancurkan Baghdad atau ditenggelamkan mereka ke dasar bumi sebagaimana Qarun. Semoga Allah menenggelamkan kapal perang dan seluruh tentera kuffar yang berada di laut keliling Iraq sebagaimana ditenggelamkan Firaun dan bala tenteranya di Laut Merah. Semoga Allah menghantarkan tenteranya sebagaimana dihantarkan burung Ababil dalam menghancurkan tentera bergajah Abrahah. Semoga Allah menghantarkan lebih banyak ribut pasir yang menyebabkan tentera kuffar kembali ke negara mereka dalam kekalahan yang memalukan sebagaimana tentera Ahzab. Semoga Allah menurunkan pertolongan daripada kalangan para Malaikat dalam menghancurkan pengganas Amerika dan sekutunya yang ganas.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: