أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Jumaat, 18 April 2008

38. GENERASI MUDA BERILMU UMAT MAJU

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 7-8 surah Yunus :
إن الذين لايرجون لقاءنا ورضوا بالحيــوة الدنيا واطمأنوا بها والذين هم عن ءايــتنا غــفلون . أولئك مأوئهم النار بما كانوا يكسبون
Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang tidak menaruh ingatan untuk menemui Kami (pada hari Akhirat untuk menerima balasan) dan yang redha dengan kehidupan dunia semata-mata serta merasa tenang tenteram dengan kehidupan dunia dan orang-orang yang tidak mengendahkan ayat-ayat (keterangan dan tanda kekuasaan) Kami. Orang-orang yang demikian keadaannya (di dunia) maka tempat tinggal mereka ialah neraka disebabkan oleh keengkaran dan kederhakaan yang mereka telah lakukan
Kita pada hari ini berada dalam zaman yang penuh dengan pelbagai ujian, cabaran dan fitnah terhadap agama. Kita sebagai umat Islam mestilah memiliki jatidiri yang kukuh dengan memperkuatkan keimanan, memperbanyakkan amalan soleh serta istiqamah dalam memperjuangkan Islam agar diri kita tidak menjadi bahan mainan kepada musuh yang terdiri daripada hawa nafsu dalam diri, syaitan penggoda yang tidak pernah serik untuk merosakkan kita serta manusia yang tidak suka kepada Islam daripada golongan kuffar dan munafik. Kini kita terpaksa berhadapan dengan pelbagai masalah yang terbit daripada kalangan kita sendiri akibat kejahilan serta jauh daripada pengamalan terhadap suruhan agama. Sebagai contohnya marilah kita sama-sama renungi dan mengambil iktibar yang sebaiknya daripada sebuah hadis nabi yang berbunyi :
قال االرسول  :لاتَقُوْمَ السَّاعّةُ حَتَّى يَكُوْنَ الوَلَدُ غَيْظًا وَالمَطَرُ قَيْظًا وَيفِيْضَ اللِّئَامِ فَيْضًا وَيَغِيْضَ الكِرَامِ غَيْضًا وَيَجْتَرِئ َالصَّغِيْرُ عَلَى الكَبِيْرِ وَاللَّئِيْمِ عَلَى الكَرِيْمِ - رواه الطبراني فى الأوسط
Maksudnya : Tidak akan berlaku hari qiamat sehingga anak seseorang menjadi punca kemarahan (bagi ibubapanya) dan hujan akan menjadi panas (hujan akan berkurang dan cuaca akan menjadi panas) dan akan bertambah ramai orang yang tercela dan akan berkurangan orang yang baik, dan anak-anak menjadi berani melawan orang-orang tua dan orang yang jahat berani melawan orang-orang baik

Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Melalui hadis tadi, Rasulullah s.a.w memberi ingatan bagaimana didikan terhadap anak-anak mesti dititiberatkan agar anak kita dapat lahir sebagai insan yang sentiasa patuh dan taat kepada ibubapa serta mampu mencurahkan bakti ketika keduanya masih hidup dan mampu berdoa setelah mereka meninggal dunia nanti. Tiada ilmu yang paling baik dan berkesan daripada melahirkan anak yang soleh melainkan ilmu agama yang khusus. Kebanyakan ibubapa hari ini tidak berkira tentang wang asalkan anak mereka berjaya dalam peperiksaan sedangkan dalam masa yang sama ramai ibubapa yang terlalu berkira bila mahu menambahkan ilmu agama dan tarbiah rohani kepada anak-anak sehingga akhirnya anak-anak hanya tahu mencari makan tetapi tidak tahu cara untuk mendekatkan diri kepada Allah. Malah apa yang lebih malang anak-anak ini tidak lagi tahu atau menghirau tentang halal haram, dosa pahala dalam kehidupan. Akhirnya timbulnya masyarakat yang tidak lagi tunduk kepada Allah apatah lagi taat kepada ibubapa. Kita dapat lihat sendiri akibat kecuaian dalam mendidik anak-anak agar tunduk kepada arahan agama seperti mendirikan sembahyang yang merupakan tiang agama telah menyebabkan lebih banyak penyakit masyarakat yang timbul. Kita merasa begitu gerun apabila di Terengganu sahaja jumlah pelajar yang tidak pandai sembahyang berjumlah lebih kurang 5 ribu orang. Bagaimana jika dicampur dengan negeri-negeri yang lain dan ditambah pula dengan golongan yang malas atau sembahyang bila terdesak sahaja. Bagaimana kita mahu melahirkan umat berjaya dari segi kebendaan dan rohani jika masyarakat Islam sendiri meruntuhkan tiang agamanya sedangkan Allah memberi jaminan bahawa sembahyang mampu menyelesaikan masalah kerosakan akhlak
إن الصلوة تنهى عن الفحشاء والمنكر
Maksudnya : ….Sesungguhnya sembahyang itu dapat mencegah daripada perkara yang keji dan mungkar…

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 82 surah al-Isra’ :
وننزل من القرءان ما هو شفاء للناس ورحمة للمؤمنين ولايزيد الظــلمين إلا خسارا
Maksudnya : Dan Kami turunkan dari al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi mereka yang beriman dan al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang zalim selain kerugian
Umat Islam hanya berjaya mencapai kebahagiaan dan kemuliaan hidup di dunia dan akhirat dengan kembali melaksanakan isi kandungan al-Quran. Tanyalah diri kita berapa banyak ayat al-Quran yang kita dapat baca dan amalkan dalam masa sehari. Apabila kita sendiri menjauhkan diri daripada al-Quran dalam kehidupan seharian maka tiada ubat lain yang dapat membantu kita. Kita dapat lihat sendiri cara pemakaian anak-anak muda kita yang menjolok mata bukan untuk menyelesaikan masalah malah menambahkan masalah yang sedia ada. Berapa ramai ibubapa yang mempunyai anak-anak yang berpakaian tidak senonoh itu telah bertindak menegur dan melarang berbanding ibubapa yang hanya diam membisu malah yang lebih teruk turut menggalakkan anak-anak supaya berpakaian dengan cara yang bercanggah dengan al-Quran. Bermula dari segi pemakaian melarat kepada pergaulan bebas yang membawa kepada zina dan apa yang lebih malang bukan sedikit umat Islam menjadi pelacur. Kita baru-baru ini dikejutkan dengan kajian yang menunjukkan dalam negara kita ada 4000 orang pelacur kanak-kanak. Adakah kita hanya mampu menitiskan air mata bila mendengar masalah ini sekiranya kita sendiri tidak mengawal cara berpakaian dan pergaulan anak-anak kita sendiri. Berapa ramai anak-anak yang tidak diasuh dengan baik ini lari daripada rumah dan akhirnya terjebak dengan perbuatan yang tidak bermoral. Itu belum masuk masalah mat rempit yang bukan sahaja membahayakan keselamatan diri sendiri dan orang ramai malah berani melawan pihak keselamatan. Kita semua bermula daripada ibubapa, masyarakat sekitar dan kerajaan mestilah sama-sama bangkit dalam menangani masalah ini berasaskan panduan al-Quran bukannya hanya menjadi pemerhati sahaja
Firman Allah dalam ayat 30 surah as-Syura :
وما أصــبكم من مصيبة فبما كسبت أيديكم ويعفوا عن كثير
Maksudnya : Dan apa sahaja musibah yang menimpa maka ia disebabkan perbuatan tangan kamu sendiri dan Allah memaafkan sebahagian besar dari kesalahan kamu

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Masalah paling besar yang sedang kita hadapi sekarang ialah umat Islam hari semakin berani untuk murtad secara terang-terangan dan ditambah dengan penganut agama lain sudah tidak takut untuk memurtadkan umat Islam termasuk di negeri kita Kelantan. Kita mesti ambil berat jika adanya sesuatu kumpulan yang menyewa kedai dan bergerak dalam menarik anak-anak muda yang akhirnya bertindak memurtadkan mereka. Kita juga dapati adanya pensyarah-pensyarah pusat pengajian tinggi yang menjadi pendakyah dalam memurtadkan pelajar. Kita merasa kecewa apabila masalah murtad ini dipandang remeh oleh kerajaan malah orang yang melapor tentang masalah murtad akan disiasat segera sedangkan laporan tentang murtad tidak diambil tindakan sewajarnya. Kita tidak mahu slogan Islam Hadhari adalah mesra Kristian, Hindu dan lain-lain agama sedangkan umat Islam dianaktirikan. Bangkitlah wahai umat Islam! Kini telah tiba masanya untuk kita lebih bersungguh bergerak memerangi usaha musuh dalam memurtadkan umat Islam dan menggugat keistimewaan Islam sebagaimana yang diperuntukkan dalam perlembagaan negara. Kita sudah tiada masa untuk bergurau dan bercakap kosong. Kita mesti memastikan aqidah kita dan saudara kita tidak digugat. Sayangilah anak cucu kita yang bakal meneruskan kehidupan. Biarlah keringat kita mengalir dan nyawa kita melayang asalkan anak cucu kita sebagai generasi masa depan dapat diselamatkan daripada fitnah murtad yang membahayakan di dunia dan akhirat.
Firman Allah dalam ayat 41 surah al-Ankabut :
مثل الذين اتخذوا من دون الله أولياء كمثل العنكبوت اتخذت بيتا وإن أوهن البيوت لبيت العنكبوت لو كانو يعلمون
Maksudnya : Perumpamaan orang-orang yang mengambil pelindung selain daripada Allah seperti labah-labah yang membuat rumah. Dan sesungguhnya rumah yang paling lemah ialah rumah labah-labah jika mereka mengetahui
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: