أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Khamis, 24 April 2008

55. TAMADUN ISLAM DIJULANG TAMADUN BARAT DIBUANG

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 6 surah al-An’am :
ألم يروا كم أهلكنا من قبلهم من قرن مكنـهم فى الأرض مالم نمكن لكم وأرسلنا السماء عليهم مدرارا وجعلنا الأنهــر تجري من تحتهم فأهلكنــهم بذنوبهم وأنشأنا من بعدهم قرنا ءاخرين
Maksudnya: Apakah mereka tidak memerhatikan berapa banyak umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka di mana Kami telah meneguhkan kedudukan mereka di muka bumi (dengan kekuasaan dan kemewahan) yang tidak Kami berikan kepada kamu. Dan Kami turunkan hujan atas mereka dengan lebatnya serta Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka. Kemudian Kami binasakan mereka dengan sebab dosa mereka sendiri dan Kami ciptakan sesudah mereka umat yang lain.
Al-Quran telah menyifatkan beberapa tamadun sebagai melampau dan membawa kerosakan kerana ia berdiri di atas asas dan lambang kebendaan semata-mata serta bermegah dengan kilang dan bangunan pencakar langit sedangkan sifat kemanusiaan dan ruh agama diketepikan. Al-Quran telah menerangkan kepada kita bagaimana ada tamadun yang dihancurkan akibat penentangan terhadap ayat Allah S.W.T dan para rasulNya. Ada tamadun yang hancur akibat rakyat terlalu mengikut penguasa zalim yang hidup berfoya-foya serta melakukan kerosakan di bumi tanpa melakukan pembaikan. Ada umat yang dihancurkan akibat terlalu bangga dengan pengetahuan kebendaan sehingga berpaling daripada wahyu Allah S.W.T. Tidak kurang umat yang dimusnahkan akibat terpesona dengan kekuatan kebendaan dan kekayaan harta sehingga tidak menghiraukan lagi kemurkaan Allah S.W.T. Banyak juga yang dihancurkan akibat kezaliman dan rasa bongkak yang melampaui batas khususnya terhadap golongan miskin dan lemah. Ada umat yang dimusnahkan akibat melakukan perbuatan keji dan mengikut hawa nafsu. Tidak ketinggalan umat yang dihancurkan akibat meluaskan kerosakan dan kemungkaran di bumi secara terang-terangan tanpa ada usaha untuk menghentikannya. Segala yang telah diberitahu oleh Allah S.W.T melalui al-Quran bukan setakat untuk dijadikan pengetahuan sahaja tetapi apa yang lebih penting ialah berusaha ke arah membina suatu tamadun bersepadu berasaskan Islam dengan menghindari sebarang bentuk kesesatan dan kemungkaran yang bakal mengundang laknat dan azab Allah S.W.T

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,
Kita sebagai umat Islam yang mempunyai pegangan dan dasar yang kukuh wajib mengetahui dan mengakui tentang banyak kelemahan tamadun kebendaan barat yang diagungkan selama ini dalam memberi kebahagiaan dan ketenangan kepada umat manusia walau pun kita tidak nafikan tentang beberapa kebaikan yang terhasil daripadanya. Walau pun tamadun moden hari ini yang dinisbahkan kepada barat telah memberikan kekuatan dan kemudahan kebendaan kepada manusia dengan apa yang belum pernah dimiliki oleh tamadun sebelum ini. Namun ia gagal mengambil kira aspek fitrah kejadian manusia yang telah diletakkan oleh Allah S.W.T dalam diri manusia itu sendiri. Ia tidak menjaga ciri-ciri tersendiri bagi diri manusia serta tidak mempedulikan masa depan dan nasib umat manusia sehingga symbol tamadun dan kemajuan yang dicapai itu sendiri menjadi ancaman kepada manusia seumpama pembinaan senjata canggih akhirnya telah mengancam keselamatan dan keamanan dunia di mana kuasa kuat menekan dan menindas negara lemah disamping peperangan dijadikan suatu kemestian bagi memastikan senjata yang dibina dapat dipasarkan. Ini semua melahirkan keganasan sebagaimana di Palestin, Iraq, Afghanistan dan sebagainya di mana umat Islam menjadi mangsa kemajuan tamadun kebendaan yang hilang sifat kemanusiaannya.
Kelemahan tamadun kebendaan barat ini disebabkan ia tidak mengenal Allah serta menjauhkan Allah S.W.T daripada pemerintahan dalam kerajaanNya sehingga tamadun ini berperanan seolah-olah ia adalah penguasa agung dunia ini Penguasa kepada tamadun barat turut merasakan bahawa mereka lebih unggul daripada bangsa lain serta berpendapat bahawa mereka diciptakan untuk memimpin, memerintah dan menguasai bangsa lain. Sedangkan bangsa lain dilihat sebagai golongan yang diciptakan untuk menjadi hamba abdi dan tunduk kepada mereka. Tamadun ini mengagungkan kebendaan disamping memandang remeh terhadap kerohanian. Kemajuan hanya diukur dengan jumlah terbanyak kepada penghasilan produk dan perkhidmatan, juga kadar yang paling maksima dalam memenuhi kehendak nafsu syahwat walau pun terpaksa mengorbankan nilai murni dan akhlak. Tidak hairanlah tamadun ini ruhnya kosong meskipun jasadnya besar, cahayanya padam sekali pun bara apinya tetap ada. Akhirnya wujud dunia tanpa agama, ilmu tanpa iman dan manusia tanpa akhlak.

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,
Umat manusia begitu memerlukan suatu tamadun yang memiliki misi dan matlamat yang berbeza daripada misi dan matlamat tamadun barat yang bertunjangkan 2 aliran iaitu Kapitalisme dan Komunisme di mana kedua-duanya adalah berasal daripada sumber yang sama iaitu fahaman kebendaan yang berubah-rubah tanpa pendirian tetap yang merupakan pohon yang terlaknat dalam al-Quran, Injil dan Taurat. Kita begitu memerlukan suatu tamadun yang dapat mengembalikan iman kita kepada Allah S.W.T dan ajaran rasulNya di mana tamadun idaman ini dapat meniupkan kembali ruh kemanusiaan dan menjadikan hidup kita lebih bermakna di dunia dan akhirat. Kita berhajat kepada suatu tamadun baru yang meniupkan ruh agama tanpa menghilangkan ilmu pengetahuan, memberi cahaya iman tanpa melenyapkan penggunaan akal, menanam sifat kerohanian tanpa menghalang kebendaan, menitikberatkan akhirat tanpa mengenepikan dunia, menegakkan kebenaran tanpa menyisihkan kekuatan serta menyuburkan akhlak mulia tanpa merampas erti kebebasan sebenar manusia. Dunia begitu merindukan kepada suatu tamadun yang dapat menghubungkan antara langit dan bumi di mana nilai-nilai Rabbani serta kepentingan kemanusiaan saling berkait rapat antara satu sama lain, antara akal fikiran dan hati yang beriman saling lengkap melengkapi di dalamnya. Lantas umat manusia mampu melangkah maju di dalam tamadun yang seimbang ini berasaskan agama dengan suluhan pelita wahyu Ilahiah dan cahaya fikiran manusia yang terkawal di mana kedua-duanya ini adalah kurniaan daripada Allah S.W.T kepada umat manusia. Bumi yang subur apabila ditanam dengan benih yang elok akan mengeluarkan suatu hasil yang baik. Begitulah tamadun yang dibina atas asas agama akan menghasilkan umat yang maju dari sudut kebendaan dan maju juga dari sudut kemanusiaan dan akhlak sehingga bumi dilimpahkan dengan nikmat zahir yang mampu dilihat dan ketenangan jiwa yang dirasai dalam hati sanubari disamping mencapai matlamat yang lebih tinggi iaitu keredhaan Allah.
Firman Allah S.W.T dalam ayat 58 surah al-A’raf :
والبلد الطيب يخرج نباته بإذن ربه والذي خبث لايخرج إلا نكدا كذلك نصرف الأيــت لقوم يشكرون
Maksudnya : Dan tanah yang baik akan mengeluarkan tanaman yang subur dengan izin Allah S.W.T dan tanah yang tidak baik pula tidak mengeluarkan hasil melainkan tanaman yang bantut. Demikianlah Kami menerangkan tanda-tanda (kekuasaan) Kami dengan pelbagai cara bagi mereka yang bersyukur

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Melihat kepada perbezaan jelas antara misi dan matlamat tamadun barat dan Islam maka kita wajib berusaha ke arah mengislamkan kembali tamadun kebendaan yang dibangunkan. Tamadun Islam tidak cukup hanya setakat laungan slogan seperti Islam Hadhari tanpa pelaksanaan yang bersungguh. Kita terlalu bimbang apabila nikmat keamanan yang dianugerahkan oleh Allah disalahgunakan dengan mengenepikan syariat sehingga akhlak rakyat runtuh sebagaimana di barat. Tidak cukup kes dadah yang tidak terkawal, negara menyaksikan bagaimana Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah mendaftarkan 70,430 anak luar nikah bagi tempoh lima tahun iaitu daripada 1999 hingga 2003 di mana anak luar nikah orang Islam paling ramai didaftarkan iaitu 30,978 orang. Manakala laporan Kementerian kesihatan Malaysia, sepanjang tahun 2002 dan 2003 seramai 13,734 kes pengidap HIV dan 2 269 pesakit AIDS telah direkodkan di negara ini di mana orang Melayu paling tinggi mengidapnya berbanding bangsa lain. Ini belum dikira kes rogol, samun, ragut, bunuh, pecah amanah dan jenayah-jenayah lain yang tidak mampu dibendung oleh perundangan negara yang telah lapuk dan ketinggalan zaman. Akhirnya rakyat nampak mewah tetapi takut dengan suasana keliling yang telah rosak. Kemajuan yang dibina hanya berbentuk kebendaan sedangkan nilai kemanusiaannya telah mulai luntur dan hancur akibat kedegilan dan keangkuhan diri menentang system Islam. Firman Allah dalam ayat 112 surah al-Nahlu :
وضرب الله مثلا قرية كانت ءامنة مطمئنة يأتيها رزقها رغدا من كل مكان فكفرت بأنعم الله فأذقها الله لباس الجوع والخوف بما كانوا يصنعون
Maksudnya : Dan Allah memberikan suatu perbandingan sebuah negeri yang aman damai dan tenteram yang dilimpahkan rezeki yang mewah dari setiap tempat lalu penduduknya itu mengkufuri nikmat Allah itu. Maka Allah menimpakan mereka dengan kelaparan dan ketakutan yang meliputi keseluruhannya disebabkan apa yang telah mereka lakukan.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: