أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Khamis, 17 April 2008

32. ISLAM DIABAI MARUAH TERGADAI

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 74 surah an-Nisa’ :
فليقـتل فى سبيل الله الذين يشرون الحيـوة الدنيا بالآخرة ومن يقـتل فى سبيل الله فيقتل أو يغلب فسوف نؤتيه أجرا عظيما
Maksudnya : Oleh itu (orang beriman) yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada kesenangan dunia hendaklah mereka berperang pada jalan Allah. Dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah lalu dia gugur syahid atau beroleh kemenangan maka Kami akan menganugerahkannya ganjaran pahala yang besar
Umat Islam sentiasa diajar dan diperingatkan berkenaan hubungan antara kehidupan dunia ini dengan akhirat. Kehidupan dunia ini hanya sementara di dalam mencari bekalan yang terbaik sebelum menempuh kehidupan yang kekal di akhirat nanti. Kita juga diasuh agar lebih mengutamakan kebahagiaan hidup di negeri akhirat yang menjadi tempat pembalasan dan menerima ganjaran di atas segala amalan di dunia. Betapa beruntung bagi umat yang datang menemui Allah di negeri akhirat dengan bekalan amalan soleh yang dimakbulkan oleh Allah dan dalam masa yang sama betapa rugi bagi mereka yang menemui Allah dalam keadaan amalan mereka ditolak oleh Allah ditambah pula dengan dosa kerana derhaka kepada Allah sepanjang kehidupan dunia. Oleh itu gunakanlah peluang hidup yang masih ada ini sebelum datangnya saat kematian dan berlakunya qiamat dalam menambahkan amalan soleh sebagai bekalan akhirat kita. Jangan jual akhirat kita untuk memenuhi keseronokan hidup dunia dan jangan sekali-kali menjual agama kita untuk memenuhi kehendak nafsu yang mendorong kepada kejahatan dan maksiat terhadap Allah. Ingatlah kita kepada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Bukhari daripada Anas bin Malik :
قال الرسول  : يَكْبُرُ ابْنُ آدَمَ وَيَكْبُرُ مَعَهُ اثْنَتَانِ حُبُّ المَالِ وَطُوْلُ العُمُرِ
Maksudnya: Anak Adam itu membesar dan turut membesar bersamanya dua perkara iaitu terlalu cinta kepada harta dan inginkan panjang umurnya

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,
Firman Allah dalam ayat 36 surah al-Anfal :
إن الذين كفروا ينفقون أموالهم ليصدوا عن سبيل الله , فسينفقونها ثم تكون عليهم حسرة ثم يغلبون والذين كفروا إلى جهنم يحشرون
Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang kafir itu menafkahkan harta mereka untuk menghalangi jalan Allah. Mereka akan menafkahkan harta itu kemudian ia menjadi penyesalan bagi mereka dan mereka akan dikalahkan dan ke dalam neraka jahannam mereka akan dikumpulkan.
Musuh Islam sentiasa mencari jalan dan sanggup menghabiskan harta kekayaan mereka dalam memastikan umat Islam terus dijajah. Sebab itu tidak pelik apabila kebanyakan negara umat Islam termasuk negara kita telah lama diberikan kemerdekaan oleh penjajah tetapi system hidup yang digunakan terus berqiblatkan system penjajah kerana pemimpin kita hanya mengusir orang barat secara politik tetapi terus mempengaruhi rakyat dengan system barat yang dipusakai. Oleh itu lahirlah dalam masyarakat umat Islam sendiri golongan yang berpegang bahawa jika mahu kemajuan dan kekuatan maka mesti mengenepikan agama dengan membataskan peranan agama di tempat ibadat sahaja. Timbul juga golongan yang meragui tentang kehebatan system Islam serta merasakan bahawa Islam menyekat kebebasan manusia termasuk dalam bab pergaulan bebas, hiburan yang melalaikan, pemakaian menutup aurat dan sebagainya. Kita dapat saksikan pada hari ini usaha dalam melahirkan masyarakat yang pandai menyanyi dan menari begitu banyak dan mendapat sambutan dengan hadiah yang begitu lumayan berbanding usaha dalam menanam kefahaman agama kepada rakyat. Aqidah umat Islam semakin luntur sehingga adanya orang Islam yang mengistiharkan murtad secara terang-terangan serta mencabar pula keistimewaan Islam dalam perlembagaan Negara. Malah kita berasa hina apabila pemuda Melayu mendapat tempat pertama, kedua dan ketiga dalam pertandingan menghidang arak bagi mewakili negara ke peringkat antarabangsa baru-baru ini yang disiarkan oleh akhbar berbahasa Inggeris. Kita pada hari ini sedang menanggung bala yang diundang, bahaya yang ditempah di mana kadar jenayah pada 5 bulan pertama tahun ini semakin meningkat terutama kes rogol. Pemimpin hanya tahu menyalahkan rakyat bila berlakunya jenayah sedangkan mereka memberikan kebebasan yang melampau dalam melahirkan manusia perosak.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 17-18 surah Al-Hijr:
وحفظنـها من كل شيطـن رجيم. إلا من استرق السمع فأتبعه شهاب مبين
Maksudnya : Dan Kami pelihara (urusan) langit itu daripada (masuk campur) tiap-tiap syaitan yang kena rejam. Kecuali syaitan yang cuba mencuri dengar percakapan (malaikat di langit) maka ia diburu dan diikuti (dengan rejaman) api yang menyala yang nyata kelihatan
Musuh Islam juga sedang bermain api dengan umat Islam dengan cuba menguji kepekaan umat Islam terhadap kesucian agama Islam dan kemuliaan nabi Muhammad s.a.w apabila tindakan bacul dan biadap kerajaan Britain yang memberikan gelaran Sir atau Kesatria kepada Salman Rushdi yang berasal dari India tetapi terpaksa mendapat perlindungan Britain kerana penulisan dalam bukunya bertajuk Ayat-ayat Syaitan yang menghina Allah, nabi Muhammad dan al-Quran di mana antara tulisannya dalam menghina al-Quran yang dikatakan ayat syaitan yang diterima oleh nabi Muhammad s.a.w. Tuduhan ini hampir sama dengan tuduhan kafir Quraisy pada zaman nabi Muhammad s.a.w yang mendakwa nabi menerima al-Quran daripada syaitan ketika berada di gua Hira’ bukannnya wahyu daripada Allah. Umat Islam yang cintakan Allah dan rasulNya di seluruh dunia bangkit dalam menyatakan kemarahan di atas tindakan bacul kerajaan Britian ini. Sepanjang hampir 20 tahun Salman Rushdi berada di dalam buangan di Britian telah membawa musibah besar kepada Britain itu sendiri di mana keadaan keluarga Ratu Inggeris semakin huru-hara sehingga memalu dan boleh menjatuhkan raja Inggeris dan bangsa Inggeris, tanah jajahannya yang luas sebelum ini hilang satu demi satu kerana terpaksa diberikan kemerdekaan sehingga Britain yang dulunya sebuah empayar besar bertukar menjadi negara kuasa besar yang tidak lagi menjadi negara pertama dunia sebaliknya menjadi boneka kepada Amerika Syarikat. Kita merasa kecewa apabila kerajaan Malaysia selaku pengerusi Pertubuhan Negara Islam (OIC) bukan sahaja berdiam diri dalam masalah ini malah menghantar wakil untuk meraikan sambutan ulangtahun Ratu yang mengizinkan penghinaan terhadap nabi Muhammad s.a.w itu.
Firman Allah dalam ayat 25 surah at-Takwir:
وماهو بقول شيطـن رجيم
Maksudnya : Dan sebenarnya al-Quran itu bukanlah perkataan syaitan yang direjam

Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Kita turut mengutuk tindakan tidak bertamadun golongan yang rela menjadi boneka kepada zionis yahudi dan Amerika sehingga sanggup menggulingkan kerajaan pilihan rakyat di bumi Palestin. Hadiah berupa sekatan ekonomi yang ditarik balik, bayaran hanya beberapa peratus daripada jutaan cukai rakyat Palestin yang dirampas oleh Israel serta pembebasan hanya 250 orang daripada ratusan ribu warga Palestin dari penjara Israel telah dianugerahkan kepada boneka yahudi ini yang telah berusaha hampir 18 bulan dalam menumbangkan kerajaan sah HAMAS pilihan rakyat. Kini dunia menyaksikan bagaimana bekas Perdana Menteri Britian dilantik sebagai pengerusi dalam mendamaikan antara Palestin-Israel di mana perlu diingat bagaimana kerajaan Britian inilah yang telah bertindak merampas bumi umat Islam Palestin untuk diserahkan kepada zionis yahudi selepas perang dunia kedua dulu. Perkaitan rapat antara zionis Kristian yang jarang kita dengar istilah ini dengan zionis yahudi dalam menguasai bumi Palestin dan meruntuhkan masjid al-Aqsa kerana masing-masing mempunyai matlamat yang tersendiri. Zionis Kristian sanggup menghabiskan cukai rakyat Amerika bagi membiayai zionis yahudi dalam menjajah Palestin dengan anggapan bila yahudi telah membina biara atas runtuhan masjid Aqsa maka nabi Isa akan turun dan akan memerintah dunia dengan ajaran Kristian di mana penganut yahudi dan umat Islam yang tidak mahu masuk Kristian akan dibunuh sehingga Kristian akan merajai dunia. Anggapan sesat ini bercanggah dengan Islam tetapi mengapa musuh Islam boleh yakin dan bersungguh dalam melaksanakan rancangan jahat mereka sedangkan kita umat Islam masih tidak mengambil berat dalam membebaskan bumi Palestin dan Masjid al-Aqsa. Bagaimana kita mahu menang sekiranya musuh kurang tidur untuk menentang kita, musuh kurangkan waktu rehat untuk menghancurkan Islam, musuh sanggup membelanjakan segala harta kekayaan dalam menjajah umat Islam sedangkan usaha dan pengorbanan kita tidak seberapa. Islam tidak akan menang dengan angan-angan kerana perjuangan ini perlu kepada pengorbanan dan usaha yang berterusan. Firman Allah dalam ayat 160 surah Ali Imran :
إن ينصركم الله فلا غالب لكم وان يخذلكم فمن ذا الذى ينصركم من بعده وعلى الله فليتوكل المؤمنون
Maksudnya : Jika Allah menolong kamu maka tiada lagi orang yang dapat mengalahkan kamu. Jika Allah membiarkan kamu (dengan tidak memberi pertolongan) maka siapa lagi yang dapat menolong kamu selain daripada Allah sesudah itu. Oleh itu hanya kepada Allah sahajalah orang beriman berserah diri
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: