أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Khamis, 24 April 2008

61. ISLAM DINOBAT UMAT SELAMAT

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 11 surah Al-Ra’du :
له معقبـت من بين يديه ومن خلفه يحفظونه من أمر الله إن الله لايغير ما بقوم حتى يغيروا ما بأنفسهم وإذا أراد الله بقوم سوءا فلا مرد له ومالهم من دونه من وال
Maksudnya : Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang sentiasa mengawasinya secara bergilir. Mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah sendiri keadaan mereka. Dan apabila Allah mengkehendaki keburukan terhadap sesuatu kaum maka tiada yang dapat menolaknya dan sekali-kali tiada pelindung selainNya
Tahun 2005 bakal meninggalkan kita bagi sama-sama menyambut ketibaan tahun baru 2006 dalam beberapa hari lagi. Tahun yang berlalu meninggalkan pelbagai kisah dan kenangan pahit dan manis dalam setiap sanubari insan manakala kedatangan tahun baru pula diiringi dengan azam dan tekad baru yang disusuli oleh tindakan dalam melaksanakannya. Manusia yang berjaya ialah mereka yang hari ini lebih baik daripada hari semalam dan hari esok lebih baik daripada hari ini. Manakala ciri manusia yang rugi dan gagal pula ialah mereka yang hari ini lebih buruk daripada hari semalam dan hari esok lebih buruk daripada hari ini. Alangkah beruntungnya umat Islam yang berjaya mendekatkan diri kepada Allah dari hari ke hari sedangkan betapa ruginya umat manusia yang semakin jauh daripada Allah dari hari ke hari. Alangkah bertuahnya umat Islam yang umurnya diisi dengan pelbagai amalan soleh dan betapa malangnya manusia yang menghabiskan usianya untuk melakukan maksiat terhadap Allah. Ingatlah kita bahawa berlalunya masa bererti bertambahnya usia serta semakin hampirnya kita kepada waktu ajal kematian yang bakal tiba bila-bila masa sahaja. Masa tidak akan berundur ke belakang sebaliknya lubang kubur setia menunggu di hadapan. Detik dan waktu sentiasa berjalan tanpa menunggu umat manusia. Ingatlah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Tirmizi :
قال االرسول  :ا لكَيِّسُ مَنْ دَانَ نَفْسَهُ وَعَمِلَ لِمَا بَعْدَ المَوْتِ وَالعَاجِزُ مَنْ أَتْبَعَ نَفْسَهُ هَوَاهَا وَتَمَنَّى عَلَى اللهِ الأمَانِى
Maksudnya : Orang yang cerdik ialah orang yang selalu menghitungkan dirinya dan dia suka beramal untuk bekalan sesudah mati sedangkan orang yang lemah (tidak cerdik) ialah orang yang selalu mengikuti hawa nafsunya dan hanya banyak berangan-angan kepada Allah (untuk mendapat kebahagiaan dan pengampunan tanpa beramal soleh)

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Jadikanlah diri kita sebagai umat yang tidak suka menangguh untuk beramal soleh dan bertaubat kepada Allah. Gunakanlah sebaik mungkin masa yang ada untuk menambah amalan soleh dan memperbaiki kualitinya agar kita mampu lahir sebagai umat yang bertaqwa kepada Allah sehingga dapat meraih kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Ingatlah bahawa dunia yang sedang dikejar oleh kebanyakan manusia bakal ditinggalkan apabila malaikat Izrail datang mencabut nyawa dan dunia ini sendiri bakal hancur apabila malaikat Israfil meniup sangkakala. Sudah menjadi kebiasaan kepada kebanyakan manusia iaitu tidak bersyukur dan menggunakan sebaiknya peluang serta nikmat yang ada tetapi mereka akan mengeluh dan menyesal apabila nikmat yang telah diberi selama ini ditarik-balik oleh Allah. Renungilah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Tirmizi :
قال االرسول  : بَاِدُرْوا بِالأعْمَاِل سَبْعًا هَلْ تَنْتَظِرُوْنَ إِلا فَقْرًا مُنْسِيًا أَوْ غِنًى مُطْغِيًا أَوْ مَرَضًا مُفْسِدًا أَوْ هَرَمًا مُفْنِدًا أَوْ مَوْتًا مُجْهِزًا أَوِ الدَّجَّالَ فَشَرُّ غَائِبٍ يُنْتَظَرُ أَوِ السَّاعَة َفَالسَّاعَةُ أَدْهَى وَأَمَرُّ
Maksudnya : Bersegeralah kamu melakukan amalan kebaikan sebelum menemui 7 perkara. Kamu sebenarnya tidak menanti melainkan tibanya [1] kefakiran yang melalaikan [2] kekayaan yang menyebabkan kezaliman [3] sakit yang merosakkan badan [4] usia tua yang menggagapkan percakapan [5] kematian yang melenyapkan segala sesuatu [6] munculnya dajjal maka ia adalah sejahat-jahat makhluk ghaib yang ditunggu-tunggu atau [7] tibanya hari qiamat maka hari qiamat itu adalah lebih dahsyat dan lebih pahit lagi
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Tahun 2005 yang bakal berlalu beberapa hari lagi telah banyak mencatat sejarah dan peristiwa suka duka kepada dunia Islam. Kita telah melihat bagaimana di negara kita sendiri telah berlakunya masalah kerosakan akhlak yang serius ditambah pula dengan kerosakan aqidah melalui ajaran sesat seperti ajaran Ayah Pin dan sebagainya. Malah akhir-akhir ini kita dapat melihat bagaimana gerakan Black Metal yang hangat diperkatakan 2 tahun dulu kini mula cergas semula seperti tindakan kumpulan sesat dan merbahaya ini yang cuba menganjurkan suatu pesta atas nama persatuan silat di sebuah negeri selatan negara ini tetapi berjaya disekat oleh jabatan agama di mana boleh dikatakan kesemua yang terlibat adalah bangsa Melayu yang biasanya beragama Islam. Antara kemuncak kepada program yang dirancangkan ini ialah memijak al-Quran, berzina atas al-Quran serta buang air atas al-Quran tetapi Alhamdulillah perancangan sesat dan jahat Black Metal ini dapat disedari dan disekat lebih awal. Oleh itu kita mesti memastikan anak-anak kita dan masyarakat sekitar agar tidak terlibat dengan kumpulan Black Metal yang sesat dan merbahaya ini. Kita pada hari ini hidup dalam suasana yang dipenuhi dengan pelbagai fitnah yang membahayakan aqidah di mana perkara yang merosakkan aqidah dan akhlak disebar melalui media massa yang ada samada sedar atau pun tidak.
Selatan Thailand pula menyaksikan saban hari pembunuhan berlaku dan kita lihat bagaimana Perdana Menteri Thailand iaitu Thaksin tidak berminat untuk menyelesaikannya dengan cara yang baik bersesuaian dengan perangainya sebagai pembunuh umat Islam dari dulu lagi. Kita amat terkilan apabila pemimpin negara sanggup menyerah seorang penduduk Selatan Thailand yang datang ke negara ini untuk mencari perlindungan kepada kerajaan Thailand yang kejam itu atas alasan bahawa penduduk terbabit adalah pengganas.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Kita juga dapat menyaksikan bagaimana umur dunia kini sudah semakin tiba ke penghujungnya. Bukit dan gunung yang teguh berdiri mula hancur musnah. Angin pula bertukar menjadi ribut ganas yang memusnahkan harta dan nyawa manusia. Laut bergelora begitu kuat sehingga memusnahkan daratan. Air hujan melimpahkan air yang begitu banyak sehingga berlakunya banjir yang mengorbankan banyak nyawa. Manakala manusia mula merusuh tidak tentu hala sehingga keamanan yang dikecapi selama ini mula hancur dan musnah. Kesemua peristiwa yang berlaku mestilah diambil pengajaran dan iktibar yang sepatutnya terutama dalam mengingatkan kita bagaimana dunia semakin dekat kepada hari qiamat.
Keganasan dan pembunuhan terus berlaku terutama terhadap umat Islam. Kebangkitan umat Islam sentiasa dihalang seperti kemenangan Ikhwan Muslimin di Mesir telah disekat dengan pelbagai cara. Pilihanraya di Iraq dikawal rapi agar berpihak kepada penjajah Amerika Syarikat disamping pembunuhan terus berlangsung tanpa ada tanda untuk berhenti. Keganasan yahudi di bumi Palestin dalam membunuh umat Islam dan meruntuhkan Masjid Aqsa terus berlaku dengan bantuan senjata canggih tambahan yang baru oleh Amerika. Kita bersetuju dengan pendapat Presiden baru Iran yang mencadangkan agar Israel dibuang daripada peta dunia bagi memastikan zionis yahudi tidak mengganas lagi. Begitu juga dengan saranan beliau agar negara barat bertanggungjawab sepenuhnya dengan pembunuhan yang dilakukan oleh mereka terhadap yahudi sebelum ini dengan menyediakan tanah di negara barat itu sendiri bagi menghimpunkan yahudi bukannya bertindak kejam merampas tanah milik umat Islam di Palestin untuk dijadikan tempat penghijrahan yahudi sedunia. Bumi tidak akan aman selagi penjenayah dan pembunuh memimpin dunia. Oleh itu kembalikan keamanan dunia dengan Islam. Islamlah nescaya kita selamat di dunia dan akhirat.
Firman Allah dalam ayat 74 surah an-Nisa’ :
فليقـتل فى سبيل الله الذين يشرون الحيـوة الدنيا بالآخرة ومن يقـتل فى سبيل الله فيقتل أو يغلب فسوف نؤتيه أجرا عظيما
Maksudnya : Oleh itu (orang beriman) yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada kesenangan dunia hendaklah mereka berperang pada jalan Allah. Dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah lalu dia gugur syahid atau beroleh kemenangan maka Kami akan menganugerahkannya ganjaran pahala yang besar
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْن

Tiada ulasan: