السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 24 surah at-Taubah:
قل إن كان آباؤكم وأبناؤكم وإخوانكم وأزواجكم وعشيرتكم وأموال اقترفتموها وتجارة تخشون كسادها ومسكن ترضونها أحب إليكم من الله ورسوله وجهاد فى سبيله فتربصوا حتى يأتي الله بأمره والله لايهدى القوم الفــسقين
Maksudnya : Katakanlah wahai Muhammad! : “ Jika bapa-bapa kamu, anak-pinakmu, saudara-maramu, isteri-isterimu dan keluargamu serta harta benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai di mana jika ini semua menjadi perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan rasulNya dan daripada berjihad untuk agamaNya maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan ketetapanNya daripada azab kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada mereka yang derhaka
Masyarakat pada hari ini sedang bercakap tentang kegagalan dan kerosakan yang berlaku disekeliling kita samada berkaitan aqidah, akhlak, pembangunan material, ekonomi dan sebagainya. Pelbagai cadangan dan saranan yang telah dikemukakan dalam menangani masalah yang berlaku samada bertepatan dengan kehendak Islam atau sebaliknya. Setiap lapisan masyarakat bermula daripada pemimpin, ulama’, keluarga dan setiap anggota masyarakat mempunyai tanggungjawab dan peranan mengikut tugas dan kemampuan masing-masing. Setiap masalah yang berlaku tidak mampu diselesaikan sekiranya setiap orang hanya tahu menyalahkan pihak lain tanpa melihat kepada tugas dan peranan masing-masing. Masalah juga gagal ditangani sekiranya kita hanya mengharapkan pihak lain sahaja yang mesti menyelesaikan sesuatu masalah yang timbul sedangkan kita sendiri tidak berusaha menanganinya mengikut kemampuan yang ada pada diri masing-masing.
Firman Allah dalam ayat 11 surah Al-Ra’du :
…… إن الله لايغير ما بقوم حتى يغيروا ما بأنفسهم ……..
Maksudnya : …. Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka sendiri mengubah keadaan mereka…….
Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,
Sikap suka berlepas diri daripada turut membantu dalam menyelesaikan sesuatu perkara antara penyakit merbahaya yang menambahkan lagi masalah yang sedia ada. Contohnya berkenaan kerosakan akhlak di kalangan anak muda yang menyebabkan ramai di kalangan mereka yang terlibat dengan zina, dadah, mat rempit dan sebagainya akibat beberapa sebab. [1] suasana persekitaran yang berubah secara mendadak terutama pengaruh media cetak atau elektronik yang memaparkan kebebasan yang melampau sehingga menjadi ikutan. Kegagalan kerajaan dalam mengawal media agar lebih sopan dalam mendidik disamping sikap lebih suka mengaut keuntungan oleh syarikat media telah menyebabkan akhlak rakyat tergadai. Setelah melihat kegagalan kerajaan dan syarikat pengendali maka anggota masyarakat sendiri mesti memainkan peranan agar anak-anak dirumah dapat dikawal daripada dipengaruhi oleh media terutama tv dan sebagainya [2] kurangnya didikan agama yang menyebabkan anak muda lebih mudah terjebak dengan perkara mungkar dan merosakkan. Oleh itu pihak kerajaan wajib mengubah sistem pendidikan yang lebih menekankan kecemerlangan dalam peperiksaan sahaja kepada memastikan pelajar mesti lebih cemerlang dari segi akhlaknya. Ibubapa pula mesti berperanan dalam memastikan anak-anak mereka betul faham agama dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian tanpa mengharapkan seratus peratus kepada guru di sekolah [3] desakan dan pengaruh rakan di mana ibubapa mesti memastikan siapa yang menjadi kawan kepada anak-anaknya. [4] masalah keluarga yang kurang memberi perhatian dan kasih sayang yang sepatutnya kepada anak akibat masing-masing sibuk dengan tugas. Begitu juga masalah ibubapa yang terlalu mempertahankan kesalahan anak sehingga sukar ditegur turut menjadi antara punca berlakunya kerosakan akhlak.
Firman Allah dalam ayat 6 surah at-Tahrim :
يأيها الذين آمنوا قوا أنفسكم وأهليكم نارا وقودها الناس والحجارة عليها ملائكة غلاظ شداد لا يعصون الله ما أمرهم ويفعلون ما يؤمرون
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkanNya kepada mereka dan sentiasa mengerjakan apa yang diperintahkan.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Setiap permasalahan yang berlaku pasti ada jalan dan cara untuk menyelesaikannya. Sistem Islam yang merangkumi setiap aspek kehidupan sebenarnya telah menggariskan jalan terbaik bagi menangani masalah kehidupan manusia tetapi apa yang lebih malang sikap umat Islam sendiri yang tidak mahu atau yakin dengan Islam sebaliknya lebih yakin kepada system ciptaan kuffar yang telah terbukti menjadi punca kegagalan utama. Kita pada hari ini dapat melihat kegagalan Islam Hadhari sebagaimana yang telah diperingatkan oleh seorang ulama’ Mesir pada tahun 1982 lagi di mana beliau menyatakan bahawa Islam Hadhari merupakan suatu usaha dalam mencari kemajuan kebendaan semata-mata tanpa menghiraukan aqidah, syariah dan akhlak rakyat. Oleh itu tidak menjadi pelik apabila masalah murtad tidak dihiraukan atas alasan ia perkara kecil sebaliknya apa yang lebih diambil berat ialah masalah ekonomi. Apabila bercakap tentang ekonomi pula maka ia turut menemui kegagalan apabila rakyat semakin tertekan dengan kenaikan harga barang dan perkhidmatan sedangkan banyak pembaziran dalam perkara tidak perlu dalam menguruskan kewangan negara. Begitu juga masalah rasuah dan pecah amanah yang semakin menjadi barah telah menyaksikan banyak pembangunan menjadi pincang sehingga berlakunya kes kerosakan pada bangunan kerajaan, parlimen, sekolah, jalan bertingkat dan sebagainya. Manakala keadaan akhlak yang semakin parah terutama masalah zina yang menyebabkan lahirnya begitu ramai anak luar nikah gagal dibendung malah ia dilihat lebih suka merawat penyakit yang telah parah daripada mencegah perkara tersebut daripada berlaku. Kita mesti mengambil iktibar daripada masalah kerajaan Perancis yang dulu pernah menggalakkan penzinaan agar lahir lebih ramai anak luar nikah dalam menangani masalah bilangan rakyat yang kurang tetapi mereka bukan menyelesaikan masalah sebaliknya masalah semakin parah dan tenat kerana anak luar nikah begitu berbeza berbanding anak yang lahir daripada pernikahan daripada banyak segi terutama perasaan, penjagaan dan pandangan umum terhadap mereka sehingga anak luar nikah lebih banyak menimbulkan kekacauan dalam masyarakat kerana tekanan yang dihadapi. Firman Allah dalam ayat 71 surah al-Mukminun:
ولو اتبع الحق أهواءهم لفسدت السموت والأرض ومن فيهن بل أتينـهم بذكرهم فهم عن ذكرهم معرضون
Maksudnya : Dan Sekiranya kebenaran itu tunduk menurut kehendak hawa nafsu mereka nescaya rosak binasalah langit dan bumi serta apa yang ada padanya. Bahkan Kami telah berikan kepada mereka itu al-Quran untuk kehormatan sebutan mereka namun mereka tetap berpaling daripada kehormatan itu.
Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Kita juga bimbang apabila musuh Islam terutama Amerika Syarikat terus berusaha dalam merosakkan pemikiran umat Islam termasuk menggunakan umat Islam sendiri. Apa yang terbaru di mana Amerika telah mengumpul cerdik pandai Islam yang boleh dibeli di Florida dalam menanam fahaman Islam Sederhana iaitu sentiasa menyokong tindakan Amerika dan tidak bangkit menentang kezaliman dan penindasan mereka termasuk membuang masalah jihad daripada umat Islam. Oleh itu tidak pelik jika adanya cerdik pandai Islam yang sanggup menjual agama demi kepentingan dunia. Kita begitu sedih bila ada cerdik pandai Islam yang sanggup mengatakan bahawa perundangan Islam seperti potong tangan terhadap pencuri sudah tidak wajib dilaksanakan di negara ini atas alasan bahawa bila kerajaan telah menyediakan banyak pekerjaan terhadap rakyat maka rakyat yang mempunyai pekerjaan tidak lagi mencuri. Bila rakyat tidak lagi mencuri maka tidak perlu lagi kepada hukuman Islam. Inilah bahaya bila akal menjadi rujukan utama. Sayyidina Umar bin al-Khottab pernah berkata : " Suatu hal yang sangat aku bimbangkan ke atas diri kamu atau pun umat ini iaitu seorang fajir iaitu penyeleweng agama yang tajam lidahnya di mana kepetahannya bercakap mempedayakan orang ramai". Firman Allah dalam ayat 35 surah al-Maidah :
يــأيها الذين ءامنوا اتقوا الله وابتغوا إليه الوسيلة وجــهدوا فى سبيله لعلكم تفلحون
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan carilah jalan yang boleh mendekatkan diri kepadaNya dan berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan