الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Renungilah firman Allah dalam ayat 18 dan 19 surah Luqman :
ولا تصعر خدك للناس ولا تمش فى الأرض مرحا إن الله لايحب كل مختال فخور واقصد فى مشيك واغضض من صوتك إن أنكر الأصوات لصوت الحمير
Maksudnya : Dan janganlah kamu memalingkan muka kamu daripada manusia kerana sombong dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri. Dan sederhanakanlah kamu dalam berjalan dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.
Kemenangan merupakan antara nikmat yang dianugerahkan oleh Allah yang sepatutnya kita sambut dengan penuh kesyukuran dengan tidak melampaui batas-batas yang telah ditetapkan oleh syarak. Antara sifat yang perlu ada dalam diri pejuang Islam dalam menyambut kemenangan ini ialah sifat tawadhu’ sebagaimana yang telah diajar oleh Allah melalui nabi Muhammad s.a.w yang sepatutnya dicontohi oleh semua umat Islam.
Tawadhu’ ini mengikut pendapat beberapa orang tokoh Islam di antaranya al-Fadhl bin ‘Iyadh ketika ditanya apakah erti tawadhu’?. Jawabnya : Tunduk kepada kebenaran dan menerima segala anjuran Allah dan rasulNya. Al-Junaid pula berkata bahawa tawadhu’ ialah merendahkan diri kepada Khalik (pencipta) dan merasa kemanisan berhubung dengan Allah. Kata al-Hasan pula bahawa tawadhu’ adalah tidak adanya perasaan dalam hati seseorang itu melainkan kemuliaan.
Dari sini bolehlah dirumuskan bahawa tawadhu’ adalah ibarat daripada khusu’ hati dan rendah diri seluruh anggota dengan tunduk patuh kepada allah. Islam tidak menyukai seseorang muslim itu bersifat takabbur kerana ia akan mengingkari kebenaran Allah sebagaimana firman Allah dalam ayat 23 surah an-Nahlu :
لاجرم أن الله يعلم ما يسرون وما يعلنون إنه لايحب المستكبرين
Maksudnya : Tidak diragukan lagi bahawa sesungguhnya Allah mengetahui apa yang mereka rahsiakan dan apa yang mereka zahirkan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong.
Begitu juga Allah membenci mereka yang menghina diri dan merasa serba kekurangan sedangkan orang-orang Islam adalah umat yang gagah dan kuat lagi mulia dan tinggi di sisi Allah sebagaimana firman Allah dalam ayat 8 surah al-Munafiqun :
يقولون لئن رجعنا إلى المدينة ليخرجن الأعز منها الأذل ولله العزة ولرسوله وللمؤمنين ولكن المنفقين لايعلمون
Maksudnya : Mereka berkata : “ Sesungguhnya jika kita telah kembali ke Madinah, benar-benar orang yang kuat akan mengusir orang-orang yang lemah daripadanya “. Kekuatan dan kemuliaan bagi Allah, rasul dan orang-orang mukmin tetapi orang-orang munafik itu tidak mengetahui.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Kita dapat lihat bagaimana Rasulullah s.a.w telah memerintahkan agar sebarang bentuk kesyirikan kepada Allah mestilah dihapuskan terlebih dahulu di sekitar Ka’abah apabila baginda memerintah agar para sahabat menghancurkan berhala ketika mula-mula masuk ke kota Mekah dalam peristiwa Pembukaan Kota Mekah yang gemilang. Baginda bukannya menyambut kemenangan yang gemilang itu dengan perayaan yang melekakan.
Begitu juga dengan peristiwa penyerahan anak kunci masjid al-Aqsa yang berjaya di buka oleh tentera Islam pada zaman Sayyidina Umar al-Khottab. Ketika menuju ke Palestin Sayyidina Umar bergilir-gilir dengan khadamnya dalam menaiki kuda tunggangan. Apabila sampai berhampiran masjid al-Aqsa maka ketika itu tiba giliran Sayyidina Umar menarik kuda manakala khadamnya menunggangnya. Orang ramai yang melihat peristiwa tersebut terus meminta agar Sayyidina Umar menggantikan khadamnya untuk menunggang kuda tersebut demi menjaga kedudukan beliau sebagai khalifah di hadapan khalayak ramai. Lalu Sayyidina Umar dengan suaranya yang lantang mengeluarkan kata-katanya yang masyhur :
نحن قوم أعزنا الله بالإسلام فمهما نبتغي العزة بغير ما أعزنا الله أذلنا الله
Maksudnya : Kita adalah suatu kaum yang dimuliakan oleh Allah dengan Islam. Selama mana kita mencari kemuliaan yang bukan apa yang memuliakan kita dengannya oleh Allah maka kita akan mendapat kehinaan daripada Allah..
Kita juga pernah menyaksikan bagaimana Sultan Muhammad al-Fateh setelah berjaya membuka kota Konstantinapol iaitu dikenali dengan kota Istanbul , Turki sekarang ini di mana beliau telah memasuki sebuah gereja yang terbesar pada masa itu yang dinamakan Sofia lalu menunaikan solat sunat 2 rakaat tanda kesyukuran. Kemudian beliau menukarkan gereja tersebut menjadi masjid.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Orang-orang yang bersifat tawadhu’ adalah mereka yang dapat melayakkan dirinya dalam pelbagai bidang. Samada dalam urusan periibadi mahu pun urusan kemasyarakatan. Sifat tawadhu’ bukan beerti seseorang itu lemah, merasa hina diri atau rendah diri terhadap orang atasn atau pun merasa diri kurang berbanding orang lain . Ini adalah kerana sifat seperti itu boleh membawa seseorang kepada sakit jiwa sedangkan sifat tawadhu’ yang sebenar adalah sifat yang mulia dan akhlak pejuang Islam yang mampu menimbulkan kekuatan jiwa dan mental.
Sebagaimana kita pernah membaca dalam sejarah Rasulullah s.a.w di mana baginda menjahit kasut dan menampung pakaiannya sendiri tetapi dalam masa yang sama baginda dapat melaksanakan urusan rumahtangga dan kemasyarakatan serta kepimpinan negara dengan baik dan saksama. Sekali pun baginda merupakan seorang pemimpin negara dan ketua agama namun baginda juga melakukan kerja-kerja kecil samada berbentuk peribadi mahu pun negara.
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Sifat tawadhu’ ini bukanlah menjatuhkan martabat pemimpin kepada kelas bawahan malah sifat inilah yang akan meningkatkan lagi martabat kepimpinan yang mana akan dihormati oleh setiap lapisan masyarakat.
Tidak syak lagi bahawa sifat tawadhu’ ini adalah suatu sifat yang mulia di sisi Allah dan dihormati oleh masyarakat umum. Ianya akan melahirkan rasa kasih sayang antara anggota muslim, lemah-lembut dan bertimbang rasa terhadap saudara seagama, mudah mesra ketika berbicara serta tidak ada rasa bangga diri dan sombong. Oleh itu sewajarnya setiap individu muslim bersifat dengan sifat tawadhu’ kerana ia bukan sahaja sifat yang mulia dan disanjungi oleh masyarakat tetapi ia juga sebagai bekalan utama ke arah perjuangan menegakkan syiar Islam di atas muka bumi ini sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah.Tanpa sifat tawadhu’ maka seseorang itu tidak mampu menjalankan usaha dakwah ke jalan Allah kerana memang fitrah manusia tidak suka kepada orang-orang yang takabbur bahkan sifat takabbur itu sendiri akan lebih meliarkan mereka dari jalan Allah.
Renungilah firman Allah dalam ayat 63 surah al-Furqan :
وعباد الرحمن الذين يمشون على الأرض هونا وإذا خاطبهم الجــهلون قالوا سلــما
Maksudnya : Dan hamba-hamba Tuhan yang Maha Penyayang itu ialah orang yang berjalan di atas muka bumi dengan rendah diri dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata yang baik.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan