الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ….فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Hayatilah perasaan Taqwa dalam diri sebagaimana yang diberitahu oleh Abu Hurairah iaitu seumpama seseorang yang terpaksa melalui sebatang jalan yang dipenuhi duri maka semestinya dia akan berusaha menjauhi, berundur atau cermat semasa melangkah agar tidak terpijak duri itu. Begitulah juga dengan hamba Allah yang bertaqwa sentiasa cermat dalam tindak tanduknya agar tidak terkena duri kemaksiatan atau kekufuran yang boleh merobek keimanannya.
Ingatlah juga pesanan Khalifah Umar bin Abdul Aziz tentang taqwa di mana katanya : Aku berpesan dengan ketaqwaan kepada Allah di mana Dia tidak menerima selain taqwa, Allah tidak kasih melainkan kepada ahli taqwa, Allah tidak memberi ganjaran pahala melainkan atas taqwa. Sesungguhnya mereka yang berpesan dengan taqwa begitu ramai sedangkan mereka yang beramal dengan taqwa begitu sedikit.
Takutlah kepada Allah nescaya manusia akan hormat kepada kita. Sebaliknya jika kita tidak takut kepada Allah maka kita akan takut sesama manusia.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 2 surah al-Jumaat :
هو الذي بعث فى الأميئن رسولا منهم يتلوا عليهم ءايــته ويزكيهم ويعلمهم الكتب والحكمة وإن كانوا من قبل لفى ضلــل مبين
Maksudnya : Dialah (Allah) yang telah mengutuskan kepada kalangan orang-orang arab yang buta huruf seorang rasul dari bangsa mereka sendiri yang membacakan ayat-ayat Allah yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya. Dan membersihkan mereka daripada aqidah yang sesat serta mengajarkan mereka kitab Allah dan hikmat pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syariat. Dan sesungguhnya mereka sebelum kedatangan nabi Muhammad s.a.w adalah dalam kesesatan yang nyata.
Penjajahan dan kemunduran umat Islam seringkali dikaitkan dengan perpecahan. Perpecahan pula dikaitkan dengan sikap kedegilan umat Islam untuk tunduk di bawah panji Islam. Kedegilan pula dicetuskan oleh kejahilan umat Islam yang berkait rapat dengan kelesuan para ulama’ dalam menjalankan tugas mereka. Cuma kelesuan ulama’ dalam mengembangkan dakwah Islam serta memahamkan umat tentang ajaran Islam yang sebenar yang merangkumi seluruh aspek kehidupan banyak berkait rapat dengan tekanan dan serangan umara’ atau pemimpin terhadap ulama’ samada dalam negara majoriti Islam atau minoriti Islam. Jika bercakap tentang negara minoriti atau kurangnya penduduk Islam berbanding bukan Islam maka tentangan yang dihadapi oleh ulama’ dan pejuang Islam memang suatu yang tidak pelik. Sebaliknya jika kita mengkaji tentang tekanan dan serangan terhadap ulama’ dan pejuang Islam dalam negara umat Islam kadang-kadang lebih dahsyat dan menyedihkan. Banyak seminar, pertemuan dan perjumpaan ulama’ samada peringkat negara atau antarabangsa yang dianjurkan tetapi tidak banyak mendatangkan hasil kepada kemajuan umat Islam akibat tertakluk kepada kehendak umara’ atau pemimpin. Ulama’ hanya mampu mendengar nasihat daripada pemimpin bukannya diberi tempat untuk memberi nasihat kepada pemimpin. Ulama’ hanya dipergunakan untuk kepentingan pemimpin bukan digunakan untuk memperbetulkan kesalahan pemimpin. Ulama’ hanya diperlukan bagi membantu pemimpin yang tersepit dicelah laungan kebangkitan dan kemenangan Islam tetapi bila pemimpin merasa selamat maka ulama’ merupakan golongan pertama yang digigit. Suara ulama’ hanya bergema dalam dewan seminar tetapi tidak digunakan sepenuhnya dalam memajukan umat di mana sebarang perjumpaan yang dianjurkan tidak lebih daripada mahu menunjukkan kepada dunia bahawa pemimpin sayangkan ulama’ sedangkan pada hakikatnya pemimpin bersiap untuk mengganyang ulama’ yang bertentangan dengan kehendaknya. Perkara ini berlaku disebabkan ulama’ menafsirkan Islam berdasarkan wahyu sedangkan umara’ atau pemimpin menafsirkan Islam berdasarkan nafsu.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Masyarakat sentiasa tertanya-tanya siapakah ulama’ pewaris nabi. Adakah semua yang berilmu boleh dipanggil ulama’. Di sini suka ditakrifkan makna ulama' sebagaimana pandangan beberapa ulama' silam di mana Ibnu Abbas berkata : Ulama' ialah orang-orang yang mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas setiap sesuatu. Dan tambahnya lagi : Orang alim tentang Allah Maha Penyayang ialah orang yang tidak melakukan syirik dengan Allah sesuatu pun serta dia menghalalkan apa yang dihalalkan dan mengharamkan apa yang diharamkan. Dia turut memelihara wasiatNya disamping yakin bahawa dia tetap akan menemuiNya dan Dia bakal menghitungkan amalannya. Manakala Hasan al-Basri pula berkata : Orang alim ialah orang yang takutkan Allah yang Maha Pemurah semasa dia tidak dilihat orang lain atau semasa dia tidak melihat Allah atau tidak melihat azab Allah serta dia gemarkan perkara yang disukai Allah dan dia menolak perkara yang dimurkai Allah.
Ciri-ciri ulama’ pewaris nabi ialah yang pertama bersifat takutkan Allah sebagaimana Firman Allah dalam ayat 28 surah Fathir :
إنما يخشى الله من عباده العلمــؤا إن الله عزيز غفور
Maksudnya : ….. Sesungguhnya golongan yang paling takut kepada Allah di antara hamba-hambaNya ialah para ulama’. Sesungguhya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun
Ibnu Abbas berkata : Sesiapa yang takutkan Allah maka dia adalah orang alim
Ciri kedua ialah beramal dengan segala ilmunya sebagaimana sebuah hadis dalam Sunan Ad-Darimi : فَإِنَّمَا العَالِم مَنْ عَمِلَ بِمَا عَلِمَ
Maksudnya : Sesungguhnya orang alim itu adalah orang yang beramal dengan apa yang dia ketahui
Sayyidina Ali berkata : Wahai orang yang mempunyai ilmu! beramallah kamu dengannya kerana sesungguhnya orang yang alim itu adalah orang yang beramal dengan ilmu yang dia ketahui serta selaras antara ilmunya dengan amalannya
Ciri ketiga ialah hatinya bersih daripada syirik dan maksiat serta tidak tamak kepada habuan dunia. Ibnu Umar berkata : Tiadalah seseorang lelaki itu dianggap alim sehinggalah dia tidak hasad dengki kepada orang yang lebih alim daripadanya dan tidak menghina orang yang kurang daripadanya serta tidak mencari dengan ilmunya upahan kebendaan
Ciri keempat ialah ulama’ ini meneruskan tugas nabi iaitu mengajar, mendidik, membersihkan hati umat daripada syirik dan maksiat serta berdakwah dan memerintah mengikut perundangan Allah sebagaimana kita fahami daripada ayat 2 surah al-Jumaah yang telah saya bacakan pada awal khutbah tadi.
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Menyedari tentang betapa perlunya ulama’ dibebaskan untuk bersuara dan menegur agar masyarakat dapat hidup di bawah payung rahmat Allah maka umara’ atau pemimpin mesti menghentikan tekanan dan serangan terhadap ulama’. Tidak cukup setakat bercakap bahawa pemimpin sayangkan ulama’ sedangkan pada tindakannya maka pemimpin bermati-matian menghina ulama’, menutup dan menyekat bantuan kepada pusat pengajian agama serta mengurangkan sukatan pelajaran agama di peringkat menengah atau universiti. Malah ada negeri yang mengharamkan kakitangannya memakai jubah dan serban ke tempat kerja tanpa ditegur oleh pemimpin yang sememangnya bersetuju dengan tindakan ini. Sedangkan apabila Menteri Besar Kelantan mencadangkan agar pelajar sekolah agama memakai jubah ke sekolah bagi menjaga keperibadiaan mereka maka ramai di kalangan pemimpin yang bangkit membantah. Jika pakaian ulama’ pun diperangi apatah lagi suara ulama’ dalam mengembalikan semula masyarakat kepada ajaran Islam yang sebenar. Menyedari bahawa bahaya dan kurang berjayanya jika pertembungan antara umara’ atau pemimpin yang ada kuasa dengan ulama’ tanpa kuasa menyebabkan ramai di kalangan ulama’ mula menggunakan politik kepartian dalam memastikan pemimpin dapat diperbetulkan. Pemimpin ini tidak akan takut dan gerun kepada ulama’ tanpa kuasa tetapi sedikit sebanyak akan mendengar nasihat daripada ulama’ yang turut ada kuasa. Ulama’ mahu mengambil semula kuasa memerintah yang berada di tangan si jahil yang telah menyebabkan banyak kerosakan dan kesesatan yang berlaku. Apabila kuasa pemerintah berada ditangan umara’ yang alim dan soleh berganding pula dengan ulama’ yang bertaqwa maka perpecahan dan pertembungan sesama sendiri dapat dihindarkan yang seterusnya membawa masyarakat ke arah mencari keredhaan Allah dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Ingatlah kita tentang bahayanya dunia tanpa ulama’ sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Bukhari dan Muslim dalam sohih daripada Abdullah bin Umar telah berkata : Aku mendengar Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud : Sesungguhnya Allah tidak menarik ilmu dengan menariknya secara mengejut sebaliknya Allah akan menarik ilmu itu dengan mematikan para ulama' sehingga tiba suatu masa yang tiada lagi ada ulama' maka manusia akan memilih ketua-ketua mereka dari kalangan orang jahil lalu apabila mereka ditanya maka dikeluarkan fatwa yang sesat maka sesatlah mereka serta menyesatkan pula orang lain.
Firman Allah dalam ayat 79 surah Ali ‘Imran :
ما كان لبشر أن يؤتيه الله الكتــب والحكم والنبوة ثم يقول للناس كونوا عبادا لي من دون الله ولكن كونوا ربــنيين بما كنتم تعلمون الكتــب وبما كنتم تدرسون
Maksudnya : Tidak sepatutnya seseorang yang Allah anugerahkan kepadanya Kitab, hikmah dan sifat kenabian lalu dia menyeru kepada manusia : “ Kamu hendaklah menjadi penyembahku bukan penyembah Allah”. Sebaliknya dia mesti menyeru : “ Kamu hendaklah menjadi ulama’ rabbani yang benar-benar faham agama serta mengamalkan apa yang kamu sentiasa ajarkan tentang isi Kitab dan dengan apa yang kamu sentiasa mempelajarinya”.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan