السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 113 surah Huud :
وَلاَ تَرْكَنُواْ إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُواْ فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ اللهِ مِنْ أَوْلِيَاء ثُمَّ لاَ تُنصَرُونَ
Maksudnya : Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan
Islam adalah agama yang sesuai dengan fitrah kejadian manusia. Ajaran Islam meliputi seluruh aspek kehidupan tanpa terbatas kepada ibadat khusus seperti solat lima waktu, puasa, zakat dan haji sahaja. Islam turut mengajar umat manusia tentang system kehidupan manusia termasuk politik pemerintahan, sosial, ekonomi dan sebagainya agar sentiasa bertepatan dengan kehendak syarak. Begitu juga apabila kita perhatikan dalam al-Quran di mana Allah turut mengajar umat manusia bagaimana cara untuk memilih pemimpin yang mampu membawa kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat disamping dalam masa yang sama al-Quran turut menjelaskan ciri pemimpin yang bakal membawa pengundi atau pengikutnya kepada penderitaan hidup di dunia dan akhirat. Al-Quran menceritakan bagaimana ada golongan yang memilih pemimpin yang hanya mampu menawarkan kesenangan dunia semata-mata lalu dihina oleh Allah. Ada golongan yang memilih pemimpin yang melawan Allah dengan menghalalkan apa yang diharam oleh Allah dan menghalal perkara yang diharamkan oleh Allah maka golongan ini juga dihina oleh Allah. Al-Quran memberi amaran keras kepada kita tentang ramai manusia yang hanya merasa sesal bila telah berdiri di hadapan neraka di mana pemimpin yang mereka sokong di dunia dulu bukan sahaja tidak mampu membantu mereka malah tidak mengaku tentang sokongan penyokongnya selama ini. Oleh itu berhatilah semasa memilih pemimpin agar undi kita membawa bahagia bukannya menempah siksa.
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 30 surah al-Furqan:
وقال الرسول يــرب إن قومي اتخذوا هذا القرءان مهجورا
Maksudnya : Dan berkatalah rasul : “Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan al-Quran ini sebagai suatu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai”
Walaupun kini kita telah dipertengahan bulan Sofar namun ingatan dan penghayatan kita terhadap peristiwa Hijraturrasul s.a.w tetap berlangsung. Hijrah mengubah keadaan dakwah Islam daripada perkara asas seperti aqidah, ibadat khusus seumpama solat lima waktu kepada melaksanakan politik Islam dalam pemerintahan, sosial, ekonomi dan sebagainya. Hijrah mengubah gerak kerja nabi daripada pendakwah tanpa kuasa kepada pemerintah yang melaksanakan semua system Islam dalam kehidupan. Selepas kewafatan Rasulullah s.a.w maka kepimpinan Islam terus dipegang oleh Khulafa’ Rasyidin dimulai dengan Sayyidina Abu Bakar bagi memastikan segala system Islam terus dilaksanakan. Melihat kepada pentingnya kuasa politik pemerintahan ini maka para ulama’ sendiri memberi penekanan yang serius terhadap pemilihan pemimpin kerana ditangan pemimpinlah terletaknya sejauh mana pelaksanaan Islam dalam sesebuah negara. Sebuah negara walau pun ramai ulama’ termasuk yang dilantik sebagai qadhi atau pun mufti tetapi tidak akan berjaya menutup kilang arak, menyekat lesen judi, mencegah pembukaan kelab malam, disko, melarang penganjuran hiburan yang merosakkan akhlak dan aqidah umat Islam sekiranya pemimpin negara terus menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah dan mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah. Kuasa politik pemimpin yang naik hasil undi kita lebih kuat dan gagah berbanding kuasa ulama’ termasuk mufti itu sendiri. Sebab itulah kita pernah menyaksikan bagaimana ada mufti yang dipecat oleh pemimpin kerana menegur orang Islam yang menyertai pertandingan ratu cantik. Ada fatwa seperti haram sure heboh dan amalan tafakkur depan tugu negara tidak dipedulikan malah diperlekehkan. Oleh itu kita wajib memilih pemimpin yang benar-benar ikhlas dalam melaksanakan Islam barulah Islam berjaya dilaksanakan dalam negara. Lebih 50 tahun negara kita merdeka tetapi hanya pemimpin gerakan Islam sahaja yang berani mengharamkan judi, menghadkan penjualan arak kepada orang bukan Islam, mengharamkan riba, memberi penekanan termasuk tindakan tegas kepada pendedahan aurat dan sebagainya sedangkan pemimpin sekuler dan kebangsaan lebih berani melawan Allah dengan membuka lebih banyak kilang arak, kelab malam, pusat judi dan menambahkan program hiburan melalaikan termasuk menjemput penyanyi kelab malam dari Amerika untuk membuat persembahan di kediaman rasmi pemimpin pada malam merdeka. Apa yang lebih malang bila Raja Muda Perak sendiri menyatakan kebimbangan dengan kerosakan system kehakiman negara yang diatur oleh golongan tertentu termasuk tauke judi. Bahagiakah kita bila tauke judi lebih tinggi kuasanya dalam negara kita
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 195 surah al-Baqarah :
وَأَنفِقُواْ فِي سَبِيلِ اللهِ وَلاَ تُلْقُواْ بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ وَأَحْسِنُوَاْ إِنَّ اللهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ
Maksudnya : Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) ugama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya
Rasulullah s.a.w pernah memberi amaran keras kepada kita tentang bahayanya jika silap memilih pemimpin kerana ia boleh menghancurkan negara. Kesilapan memilih pemimpin menyebabkan harta kekayaan negara hanya dibolot dan dirasai oleh pemimpin dan kroninya sahaja. Pemimpin jenis ini begitu takut jika negara ini bertukar menjadi negara kebajikan kerana mereka lebih suka dengan cara mengambil untung daripada penderitaan rakyat. Pemimpin jenis ini menakut-nakutkan rakyat bahawa jika harga minyak turun, pelajaran percuma, khidmat kesihatan percuma akan menyebabkan negara terpaksa berhutang dengan Amerika. Bila berhutang dengan Amerika menyebabkan negara bankrap dan akan dijajah oleh Amerika. Sekiranya kita lemah iman dan ilmu maka kita akan terpedaya dengan dakyah jahat ini. Sebenarnya negara kita bankrap kerana masalah rasuah, pecah amanah, mengaut keuntungan dalam membeli peralatan negara seperti komisen hingga ratusan juta dalam membeli kapal selam dan jet pejuang disamping pemimpin hidup dalam mahligai indah, naik kapal terbang mewah, belayar dengan kapal layar yang meluncur gagah. Negara kita sedang digadai kepada kafir Singapura di Johor. Negara kita akan dijajah oleh Amerika melalui perjanjian AFTA dengan pengganas Amerika itu oleh pemimpin negara sekarang. Adakah mustahil pelajaran percuma sedangkan sebelum ini pelajar kita dapat biasiswa untuk masuk universiti yang kemudiannya ditukar menjadi pinjaman yang ada riba. Bantuan sekolah agama rakyat turut ditarik sedangkan biasiswa dan bantuan sekolah agama adalah suatu yang dijamin oleh perlembagaan negara. Jika perlembagaan negara pun mereka langgar apatah lagi hokum Islam. Pendidikan percuma tidak akan bankrap negara sebagaimana pendapat Profesor DiRaja Engku Aziz bahawa zakat Petronas sahaja jika diurus dengan penuh amanah mampu membiayai pengajian pelajar Islam bermula dari peringkat tadika hingga menamatkan peringkat Phd atau Doktor Falsafah. Negara kebajikan juga memastikan kita dapat membebaskan semua tahanan ISA yang sebahagiannya diberi minum air kencing dan makan tahi orang tertentu dalam penjara. Selamatkan mangsa ISA dengan menolak pemimpin yang zalim. Bukan daripada golongan orang beriman bagi mereka yang tidak mempedulikan saudaranya yang lain yang sedang menderita ditindas
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Pemimpin yang menjadikan Islam sebagai cara hidup akan membolehkan kebajikan rakyatnya lebih dijaga dan terbela. Pembangunan yang seimbang antara kebendaan dan rohani dapat berjalan lancar sekiranya Islam dijadikan asas pemerintahan. Keberkatan cara pemerintahan Islam telah membuahkan hasil bila kadar jenayah di Kelantan paling rendah berbanding negeri-negeri lain. Kadar kemiskinan di Kelantan dapat dikurangkan daripada nombor 2 kepada nombor 6 daripada seluruh negeri berbanding Terengganu yang dulunya berada nombor 4 ketika gerakan Islam memerintah kembali jatuh nombor 2 paling miskin selepas Sabah. Masjid di Kelantan begitu makmur bukan setakat bangunan sahaja yang besar dan indah. Tidak sebagaimana di Selangor adanya surau dan masjid diroboh dan masjid hanya besar tetapi kurang pengisian. Begitu juga di Terengganu yang masjidnya banyak tetapi Baginda Sultan sendiri pernah memberi teguran tentang betapa kurangnya imam dan bilal kerana ramai yang dipecat begitu juga majlis ilmu disekat sedangkan hiburan melalaikan semakin bertambah sehingga akhlak rakyatnya semakin parah. Oleh itu buatlah pemilihan pemimpin dengan baik kerana ia bakal ditanya oleh Allah di akhirat nanti. Jangan biarkan undi kita menyebabkan kilang arak, kelab malam, hiburan melampau, judi, riba kembali halal di bumi Kelantan yang bertuah ini. Pandai undi tempatnya syurga, silap pangkah tempat kembalinya neraka. Jangan jual agama kerana dunia, jangan buang Islam kerana habuan yang bakal ditinggalkan
Firman Allah dalam ayat 87 surah al-Qasas :
وَلاَ يَصُدُّنَّكَ عَنْ آيَاتِ اللهِِ بَعْدَ إِذْ أُنزِلَتْ إِلَيْكَ وَادْعُ إِلَى رَبِّكَ وَلاَ تَكُونَنَّ مِنَ الْمُشْرِكِينَ
Maksudnya : Dan janganlah sekali-kali mereka dapat menghalangmu dan (menyampaikan) ayat-ayat Allah sesudah ayat-ayat itu diturunkan kepadamu. Dan serulah mereka kepada (jalan) Tuhanmu dan janganlah sekali-kali kamu termasuk mereka yang mempersekutukan Allah.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan