أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Jumaat, 20 Jun 2008

9. AQIDAH TERJULANG UMMAH GEMILANG

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 112 surah al-Nahlu :
وضرب الله مثلا قرية كانت ءامنة مطمئنة يأتيها رزقها رغدا من كل مكان فكفرت بأنعم الله فأذقها الله لباس الجوع والخوف بما كانوا يصنعون
Maksudnya : Dan Allah memberikan suatu perbandingan sebuah negeri yang aman damai dan tenteram yang dilimpahkan rezeki yang mewah dari setiap tempat lalu penduduknya itu mengkufuri nikmat Allah itu. Maka Allah menimpakan mereka dengan kelaparan dan ketakutan yang meliputi keseluruhannya disebabkan apa yang telah mereka lakukan.
Manusia dengan agama tidak boleh berpisah kerana pertautan antara keduanya begitu kuat dalam merasai erti kehidupan yang sebenar. Jika manusia begitu memerlukan makanan agar tidak mati kelaparan maka mereka lebih memerlukan agama dalam membimbing ke arah hidup yang sejahtera. Jika manusia terlalu berhajat kepada air agar tidak mati kehausan maka mereka lebih memerlukan agama dalam memastikan jiwa dan hati disirami iman yang mampu memberi ketenangan. Jika manusia begitu memerlukan udara untuk bernafas maka mereka lebih memerlukan agama agar dapat memberi keselesaan hidup. Jika manusia terlalu berhajat kepada cahaya untuk membantu pergerakan terutama dalam kegelapan maka mereka lebih memerlukan cahaya agama dalam mengeluarkan mereka daripada kegelapan kufur. Jika manusia begitu memerlukan harta untuk hidup senang maka mereka lebih memerlukan agama agar dapat memberi kebahagiaan dan ketenangan hakiki. Tanpa agama manusia binasa dan menjadi lebih hina daripada binatang yang melata. Tanpa agama menyebabkan segala amalan dan perbuatan manusia sia-sia belaka. Tanpa agama menyebabkan diri manusia sudah tidak berguna dan tidak berharga. Oleh itu kita mesti bersyukur kepada Allah S.W.T di atas nikmat iman dan Islam yang dianugerahkan kepada kita semua yang merupakan nikmat yang paling besar berbanding nikmat-nikmat yang lain. Iman dan Islam yang kita miliki ini wajib dijaga dan dipertahankan agar kita terus diredhai oleh Allah S.W.T di dunia dan akhirat nanti.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,
Aqidah Islam mempunyai keistimewaannya yang tersendiri bersesuaian dengan fitrah manusia dan akal yang sihat. Aqidah Islam menjadi garis pemisah antara pandangan golongan mereka yang mengingkari setiap perkara yang ghaib dan tidak mampu dicapai oleh pancaindera termasuk kewujudan Allah S.W.T dengan pandangan suatu golongan yang lain yang mengakui wujudnya tuhan yang banyak. Aqidah Islam turut memisahkan di antara sikap taqlid buta yang meletakkan agama seumpama sesuatu yang boleh diwarisi dan menjadi hak milik sesetengah golongan sebagaimana harta pusaka dengan satu lagi golongan yang mengamalkan pemikiran tanpa batasan terutama dalam bab ketuhanan. Aqidah Islam inilah yang wajib disemai dalam diri umat Islam serta diterangkan kepada seluruh umat manusia tanpa mengira agama agar gambaran buruk terhadap Islam dapat ditangkis. Pelbagai usaha yang serius mesti dilaksanakan terutama melalui pendidikan ke arah menanam kukuh aqidah Islam yang betul ke dalam sanubari umat Islam dalam melahirkan umat Islam yang berkualiti di mana sejahtera aqidahnya, betul ibadatnya, teguh akhlaknya, terdidik pemikirannya, kuat tubuh badannya, mampu untuk mengusahakan mata pencariannya, teratur dalam segala urusannya, sentiasa menjaga waktunya dan sentiasa memberi manfaat kepada orang lain.
Kita mesti mengembalikan semula kemuliaan dan sikap jatidiri umat Islam dengan menyuburkan iman dalam diri. Kekuatan orang beriman berpaksi kepada keimanan kepada Allah dan sikap berserah diri kepadaNya dalam apa jua pekerjaan dan keadaan. Orang beriman sentiasa merasai dirinya dalam limpahan kurniaan Allah di mana mereka tidak takut dan tidak tunduk melainkan kepada Allah. Mereka menjadi kuat walau pun di tangan tiada senjata, merasa berpada dengan apa yang ada dan sudah kaya walau pun tidak mempunyai longgokan harta, merasa mulia walau tanpa keluarga dan pengikut yang ramai di belakangnya serta sentiasa merasai kuat dan kukuh pendirian walau pun kehidupannya sentiasa diuji dengan pelbagai cubaan dan cabaran. Iman yang menjadi kekuatan kepada individu seterusnya akan menjadi sumber kekuatan kepada masyarakat di mana sesebuah negara yang melahirkan umat yang benar-benar beriman akan beruntung kerana keamanan dan ketenteraman negara akan diraih hasil kawalan iman di hati dibantu oleh perundangan. Perundangan sahaja tidak mampu mencegah manusia daripada berbuat maksiat dan jenayah tanpa kekuatan iman yang tertanam kukuh dalam diri.

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,
Kekuatan iman dapat melahirkan akhlak mulia dalam kehidupan seperti sikap jujur dan adil dalam setiap keadaan dan waktu serta sanggup menegakkan kebenaran walau pun terpaksa menghadapi kesusahan. Agama dan akhlak tidak boleh dipisahkan di mana agama menjadi jiwa kepada akhlak dan akhlak pula menjadi udara bagi jiwa. Agama memberikan makanan kepada akhlak kemudian menumbuh dan menyuburkannya sebagaimana air menyirami tumbuhan lalu menumbuh dan menyuburkannya. Kekuatan iman memberi kesan kepada sikap umat Islam sehingga mereka tidak gentar dan takut kepada musuh yang berganda kerana mereka hanya takut kepada dosa dan kemurkaan Allah sebagaimana pesanan Sayyidina Umar al-Khottab : “ Kita hanya mungkin menang dengan sebab kedurhakaan musuh terhadap Allah dan ketaatan kita kepadaNya. Jika kita sama-sama berbuat maksiat terhadap Allah maka musuh mengatasi kita dari segi kekuatan”. Kekuatan iman turut menjadikan umat Islam sentiasa benar serta ikhlas dalam setiap ucapan dan tindakan demi mendapat keredhaan Allah. Kekuatan iman juga dapat menanam kukuh sikap tidak takut dan tidak tamak kepada janji dan tawaran dunia sehingga perjuangan Islam dapat dijalankan dengan penuh amanah. Kekuatan iman menjadikan umat Islam berani menegur kesesatan dan kesalahan terutama pemimpin sehingga keadaan menjadi baik. Tanpa kekuatan iman menyebabkan umat Islam menjadi mangsa penghinaan dan penindasan kuffar durjana dan sebahagian lagi sanggup menjadi boneka dan hamba abdi kepada musuh. Keganasan yahudi di Palestin semakin memuncak apatah lagi mereka semakin bersungguh di dalam meruntuhkan masjid al-Aqsa yang dianggap suatu perbuatan mulia. Begitu juga keganasan yang berlaku di Iraq dan selainnya. Umat Islam mesti kembali membina kekuatan iman sebagaimana umat dahulu sehingga mereka tidak gentar lagi dengan musuh yang membolehkan datangnya kemenangan gemilang bersama keredhaan Allah.
Firman Allah S.W.T dalam ayat 173-174 surah Ali Imran :
الذين قال لهم الناس إن الناس قد جمعوا لكم فاخشوهم فزادهم إيمــنا وقالوا حسبنا الله ونعم الوكيل فانقلبوا بنعمة من الله وفضل لم يمسسهم سوء واتبعوا رضون الله والله ذو فضل عظيم
Maksudnya : Orang-orang yang mentaati Allah di mana telah berkata manusia kepada mereka : “ Sesungguhnya manusia telah mengumpulkan pasukan untuk menyerang kamu. Oleh itu , takutlah kepada mereka”. Sebaliknya perkataan itu menambahkan lagi keimanan mereka dan mereka menjawab :” Cukuplah Allah menjadi pelindung kami dan Dia adalah sebaik-baik Pelindung”. Maka mereka kembali dengan nikmat dan kurniaan daripada Allah lalu mereka tidak ditimpa sebarang bencana dan mereka mengikuti keredhaan Allah S.W.T. Dan Allah S.W.T mempunyai kurniaan yang besar

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Tanpa kekuatan iman menyebabkan umat Islam menggunakan harta untuk mencari hiburan bukannya ketenangan sehingga ramai di kalangan mereka terjebak dengan najis dadah dan arak. Tanpa kekuatan iman umat Islam mencari jalan mudah untuk mengumpul harta sehingga ada yang terlibat dengan judi yang bergantung kepada nasib terutama dengan cara tidak sedar seperti peraduan pesanan ringkas SMS yang baru difatwakan haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan. Tanpa kekuatan iman, ramai umat Islam tanpa segan silu melakukan maksiat secara terbuka sehingga ada dalam setengah kes pesalah mengaku berzina tetapi tidak diambil tindakan kerana kes yang dibicarakan adalah kes bunuh bukannya zina. Tanpa kekuatan iman, ramai yang meninggalkan kewajipan agama di mana kita dikejutkan dengan dakwaan mengenai suatu kajian yang menunjukkan bagaimana 80 peratus pelajar sekolah menengah tidak sembahyang. Tanpa kekuatan iman, ramai umat Islam sendiri yang menghina hukum Islam sehingga melahirkan lebih ramai orang bukan Islam yang berani memburuk-burukkan Islam. Tanpa kekuatan iman, timbulnya pelbagai masalah sosial seperti kes ragut dan bunuh di mana ada mangsa yang disembelih dan ada pula yang ditikam tanpa perikemanusiaan. Tanpa kekuatan iman, lahirnya golongan yang menzalimi dan menindas rakyat tanpa bukti sebagaimana ISA dan pencabulan hak asasi manusia sebagaimana sekatan terhadap rawatan sepatutnya untuk Anwar Ibrahim. Semakin kuat usaha dalam menyekat kefahaman rakyat tentang Islam termasuk sekatan terhadap tempat dan sukatan pelajaran agama, pencabulan terhadap kebebasan surau dan masjid maka semakin tinggi kadar jenayah dan kerosakan akhlak. Laungan Islam Hadhari diisi dengan pelbagai program maksiat sehingga ia tinggal slogan tanpa penghayatan. Oleh itu bersungguhlah kita ke arah meningkatkan kembali kekuatan iman sehingga kemuliaan hidup mampu digapai dan keredhaan Allah S.W.T dapat dicapai.
Firman Allah dalam ayat 160 surah Ali Imran :
إن ينصركم الله فلا غالب لكم وان يخذلكم فمن ذا الذى ينصركم من بعده وعلى الله فليتوكل المؤمنون
Maksudnya : Jika Allah menolong kamu maka tiada lagi orang yang dapat mengalahkan kamu. Jika Allah membiarkan kamu (dengan tidak memberi pertolongan) maka siapa lagi yang dapat menolong kamu selain daripada Allah sesudah itu. Oleh itu hanya kepada Allah sahajalah orang beriman berserah diri
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: