أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Ahad, 15 Jun 2008

3. PEMIMPIN TAKABBUR NEGARA LEBUR

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
فرمان الله تعالى دالم أية 35 – 37 سورة إبراهيم :
وَإِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ رَبِّ اجْعَلْ هَذَا الْبَلَدَ آمِنًا وَاجْنُبْنِي وَبَنِيَّ أَن نَّعْبُدَ الأَصْنَامَ رَبِّ إِنَّهُنَّ أَضْلَلْنَ كَثِيرًا مِّنَ النَّاسِ فَمَن تَبِعَنِي فَإِنَّهُ مِنِّي وَمَنْ عَصَانِي فَإِنَّكَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ رَّبَّنَا إِنِّي أَسْكَنتُ مِن ذُرِّيَّتِي بِوَادٍ غَيْرِ ذِي زَرْعٍ عِندَ بَيْتِكَ الْمُحَرَّمِ رَبَّنَا لِيُقِيمُواْ الصَّلاَةَ فَاجْعَلْ أَفْئِدَةً مِّنَ النَّاسِ تَهْوِي إِلَيْهِمْ وَارْزُقْهُم مِّنَ الثَّمَرَاتِ لَعَلَّهُمْ يَشْكُرُونَ
Maksudnya : Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku! jadikanlah negeri Makkah ini negeri yang aman, dan jauhkanlah daku dan anak-anakku dari perbuatan menyembah berhala. Wahai Tuhanku, berhala-berhala itu telah menyebabkan sesat banyak di antara umat manusia. Oleh itu, sesiapa yang menurutku (dalam Islam yang menjadi peganganku) maka ia adalah dari golonganku; dan sesiapa yang menderhaka kepadaku (dengan menyalahi ugamaku), maka sesungguhnya engkau Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (kiranya ia insaf dan bertaubat). "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tidak tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur
Alhamdulillah syukur kita kepada Allah atas nikmat hari raya Eidil Adha yang baru disambut semalam. Hari ini kita berada antara hari tasyriq di mana umat Islam terus digalakkan untuk melaungkan takbir dan juga ibadat korban bagi memeriahkan lagi sambutan hari raya korban ini dengan amalan soleh dalam mendekatkan diri kepada Allah agar menjadi hamba yang bertaqwa yang hidup bahagia di dunia dan akhirat. Malangnya ada di kalangan umat Islam sendiri merosakkan kesucian hari raya itu dengan upacara dan program maksiat terutama pada tahun ini sambutan Krismas lebih meriah disambut berbanding penghayatan syiar Eidil Adha. Umat Islam terutama di negara ini terlalu banyak disogokkan dengan budaya hiburan melampau sehingga tertanam dalam kepala mereka bahawa hari raya ialah hari berhibur memuja syaitan dan hawa nafsu bukannya hari ibadat dalam menambah bekalan akhirat.
Sempena berada pada hari mulia ini marilah kita sama-sama menghayati perjalanan hidup nabi Ibrahim sekeluarga antaranya dengan menghayati kandungan doa nabi Ibrahim dalam ayat 35 hingga 37 surah Ibrahim yang telah dibaca pada awal khutbah tadi iaitu berkaitan dengan system hidup yang kita gunakan agar tidak bercanggah dengan system Islam. Begitu juga kemajuan negeri atau bandar mestilah selari dengan kehendak Islam termasuk memastikan rakyatnya sentiasa menjaga solat yang merupakan tiang agama. Bila ahli sesebuah negeri atau bandar menjaga solat yang cukup syarat serta rukun zahir dan batinnya maka ia boleh menjadi benteng dalam mencegah daripada berlakunya jenayah maksiat. Begitu juga daya penarik sesebuah negeri atau bandar bukan terletak kepada perkara yang meruntuhkan aqidah dan akhlak seperti kelab malam, budaya songsang yang merosakkan sebaliknya keindahan alam semulajadi yang terjaga dan keindahan akhlak penduduknya sehingga Allah menganugerahkan nikmat yang melimpah ruah di mana inilah yang sepatutnya menjadi tarikan utama. Jadikanlah pelaksanaan system Islam yang menyeluruh dan amalan soleh rakyat sebagai dakwah Islam yang bergerak dalam membuktikan keindahan dan kecantikan Islam. Sesungguhnya Islam yang dilaksanakan lebih mudah difahami dan dilihat oleh orang bukan Islam berbanding Islam yang hanya tertera dalam kitab dan risalah sahaja tanpa dapat dilihat di alam nyata.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 51 – 56 surah al-Anbiya’ :
وَلَقَدْ آتَيْنَا إِبْرَاهِيمَ رُشْدَهُ مِن قَبْلُ وَكُنَّا بِه عَالِمِينَ إِذْ قَالَ ِلأ َبِيهِ وَقَوْمِهِ مَا هَذِهِ التَّمَاثِيلُ الَّتِي أَنتُمْ لَهَا عَاكِفُونَ قَالُوا وَجَدْنَا آبَاءنَا لَهَا عَابِدِينَ قَالَ لَقَدْ كُنتُمْ أَنتُمْ وَآبَاؤُكُمْ فِي ضَلاَلٍ مُّبِينٍ قَالُوا أَجِئْتَنَا بِالْحَقِّ أَمْ أَنتَ مِنَ اللاَّ عِبِينَ قَالَ بَل رَّبُّكُمْ رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَالأَ رْضِ الَّذِي فَطَرَهُنَّ وَأَنَا عَلَى ذَلِكُم مِّنَ الشَّاهِدِين
Maksudnya : Dan demi sesungguhnya, Kami telah memberi kepada Nabi Ibrahim sebelum itu jalan yang benar dalam bertauhid, dan Kami adalah mengetahui akan halnya. Ketika ia berkata kepada bapanya dan kaumnya: "Apakah hakikatnya patung-patung ini yang kamu bersungguh-sungguh memujanya?" Mereka menjawab: "Kami dapati datuk nenek kami selalu menyembahnya". Ia berkata: "Sesungguhnya kamu dan datuk-nenek kamu adalah dalam kesesatan yang nyata". Mereka bertanya: "Adakah engkau membawa kepada kami sesuatu yang benar (sebagai seorang Rasul), atau engkau dari orang-orang yang bermain-main sahaja?" Ia menjawab: "(Bukan bermain-main) bahkan (untuk menegaskan bahawa) Tuhan kamu ialah Tuhan yang mentadbirkan langit dan bumi, Dia lah yang menciptanya; dan aku adalah dari orang-orang yang boleh memberi keterangan mengesahkan yang demikian itu.
Islam menggalakkan umatnya untuk berhimpun dalam beribadat khusus dan majlis ilmu seperti anjuran solat berjemaah lima kali sehari, solat Jumaat berserta mendengar khutbahnya seminggu sekali, solat Terawih berjemaah sebulan Ramadhan, wukuf di padang Arafah berserta menghayati khutbahnya bagi jemaah haji dan solat 2 hari raya berserta memberi perhatian kepada khutbahnya. Ini antara tanda bahawa Islam mementingkan kesatuan pemikiran dan gerak kerja dalam mendaulatkan kalimah Allah di muka bumi ini. Sebab itu tidak pelik bila ada sesetengah negara bukan Islam yang melarang rakyatnya yang beragama Islam daripada menunaikan fardhu haji bagi mengelakkan umat Islam daripada tahu tentang kezaliman kerajaan terhadap umat Islam di negaranya seperti yang terbaru di sebuah negeri di China. Begitu juga di negara kita bila mimbar Jumaat, kuliah agama, ceramah ada yang disekat bagi mengurangkan kesedaran rakyat tentang system Islam yang menyeluruh. Pemimpin lebih takut bila rakyat berkumpul untuk mendengar ceramah yang membongkar kepincangan dan kezaliman system yang dilaksanakan daripada perhimpunan bagi memastikan lebih ramai rakyat dirosakkan melalui hiburan melampau terutama bila menyambut tahun baru. Perhimpunan untuk menegur pemimpin disekat sehingga kadang-kadang dicemari dengan tumpahnya darah merah rakyat yang tidak berdosa sebaliknya perhimpunan maksiat yang merosakkan dihampar dengan permaidani merah walau pun jelas antara punca merebaknya perbuatan zina, jenayah, ketagihan dadah dan arak disamping perkara negatif yang lain. Inilah antara fitnah yang sedang kita hadapi bila amanah kepimpinan diserahkan bukan kepada ahlinya sehingga maksiat dimartabat manakala kebaikan disekat, program yang merosakkan aqidah dan akhlak diperluaskan manakala usaha membina insan disempitkan. Agenda biar rakyat rosak asal tidak menggugat kuasa pemimpin diteruskan manakala agenda menyedarkan rakyat tentang pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa disenyapkan.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Bila kita menyoroti sikap Raja Namrud bila gagal melawan hujah nabi Ibrahim maka kita dapati adanya sikap takabbur pada dirinya sehingga tidak mahu tunduk kepada kebenaran Islam. Takabbur menjadi punca utama Iblis kufur kepada Allah dan juga betapa ramai umat manusia yang dirosakkan oleh penyakit hati yang paling merbahaya ini. Manusia biasanya menjadi takabbur hasil daripada merasai ia lebih daripada orang lain dalam beberapa perkara antaranya ialah : [1] merasai ilmu lebih tinggi [2] amalan solehnya lebih banyak [3] rupa parasnya lebih cantik [4] tenaganya lebih kuat [5] keturunannya lebih baik [6] hartanya bertimbun [7] pangkatnya lebih besar. Keadaan lebih parah sekiranya penyakit takabbur ini dihidapi oleh golongan pemimpin sehingga dia sanggup menggunakan kuasa yang ada dalam menyekat kebenaran. Pemimpin jenis ini hanya tahu bercakap supaya rakyat berjimat cermat sedangkan dia hidup dalam mahligai indah, menaiki pesawat mewah, belayar dengan kapal yang meluncur gagah, makan angin ketika rakyat ditimpa musibah. Bagi mengelakkan perkara ini terus berlangsung maka kita sendiri mestilah menjadi rakyat yang sentiasa peka terhadap masalah negara termasuk dalam pemilihan pemimpin agar negara maju dan diberkati Allah serta kita menjadi rakyat yang berbahagia di dunia dan akhirat kerana menunaikan amanah agama yang menyuruh agar menghidupkan budaya amar makruf nahi mungkar dalam negara.
Firman Allah dalam ayat 117 surah Hud :
وما كان ربك ليهلك القرى بظلم وأهلها مصلحون
Maksudnya : Dan Tuhanmu tidak sekali-kali mahu membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman penduduknya selagimana mereka sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: