السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 83 surah al-Maidah :
وَإِذَا سَمِعُواْ مَا أُنزِلَ إِلَى الرَّسُولِ تَرَى أَعْيُنَهُمْ تَفِيضُ مِنَ الدَّمْعِ مِمَّا عَرَفُواْ مِنَ الْحَقِّ يَقُولُونَ رَبَّنَا آمَنَّا فَاكْتُبْنَا مَعَ الشَّاهِدِينَ
Maksudnya : Dan apabila mereka (paderi Kristian) mendengar Al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah (Muhammad, s.a.w), engkau melihat mata mereka bercucuran air mata disebabkan apa yang mereka ketahui (melalui Kitab mereka) dari kebenaran (Al-Quran), sambil mereka berkata: "Wahai Tuhan kami, kami beriman (kepada Nabi Muhammad dan Kitab Suci Al-Quran), oleh itu tetapkanlah kami bersama-sama orang-orang yang menjadi saksi (yang mengakui kebenaran Nabi Muhammad s.a.w).
Sudah lebih 2 minggu kita menyambut tahun baru 1429 Hijrah bersama dengan seribu pengharapan agar umat Islam dapat berhijrah daripada penindasan kepada keadilan, daripada kemunduran kepada kemajuan, daripada kegagalan kepada kejayaan, daripada penjajahan kepada kemerdekaan, daripada perpecahan kepada perpaduan. Hijrah dalam kehidupan tak mampu dilakukan melainkan dengan pengorbanan yang berterusan berserta dengan perancangan yang rapi diikuti dengan pelaksanaan yang tersusun dalam memastikan kelangsungannya. Kita dapat lihat dalam penghijrahan yang dirancang oleh nabi Muhammad s.a.w begitu teliti dengan matlamat bukan hanya menyelamatkan umat Islam yang tertindas tetapi turut membawa dakwah Islam bersama. Sebagai contohnya dalam arahan penghijrahan yang pertama ke bumi Habsyah di ketuai oleh sepupu nabi iaitu Jaafar bin Abi Tolib di mana nabi Muhammad s.a.w seperti begitu arif tentang sikap Raja Najjasyi pemerintah Habsyah adalah seorang raja yang baik dan berpegang kepada ajaran Injil yang asal termasuk mengakui bahawa nabi Isa adalah nabi bukannya Tuhan. Penghijrahan ini begitu berjaya apabila wakil kafir Quraisy Mekah bukan sahaja gagal memujuk Raja Najjasyi agar menyerah semula rombongan Islam malah bila Jaafar bin Abi Tolib membaca surah Maryam telah menyebabkan Raja Najjasyi dan paderi-paderi Kristian yang turut hadir dalam suatu majlis perbahasan antara wakil kafir Quraisy dengan rombongan Islam menangis kerana mendengar kebenaran al-Quran dalam menceritakan kehidupan nabi Isa dan ibunya Siti Maryam dan seterusnya mereka memeluk Islam. Itulah kebijaksanaan nabi Muhammad s.a.w dalam merancang strategi hijrah yang mana bukan sahaja selamat daripada penindasan malah dapat mengembangkan dakwah Islam ketika Islam masih belum mempunyai daulah. Sebaliknya kita pada hari ini dapat menyaksikan betapa banyak negara Islam di sekeliling Palestin tetapi penindasan yahudi termasuk yang terbaru mengebom Gazza serta memotong bekalan elektrik dan menyekat bahan api di mana tiada tindakan tegas yang diambil terhadap pengganas dunia itu. Umat Islam Palestin menjadi pelarian yang dipandang hina di negara saudara sebangsa dan seagama malah yang lebih malang apabila ada umat Islam sendiri menjadi boneka kepada yahudi.
Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 74 surah al-Anfal :
والذين ءامنوا وهاجروا وجــهدوا فى سبيل الله والذين ءاووا ونصروا أولئك هم المؤمنون حقا لهم مغفرة ورزق كريم
Maksudnya : Dan mereka yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dan mereka yang memberi tempat kediaman dan pertolongan maka merekalah orang-orang yang benar-benar beriman. Mereka memperolehi keampunan dan kurniaan yang mulia
Seterusnya kita dapat lihat bagaimana rapinya perancangan sebelum berlakunya hijrah yang lebih besar iaitu ke Madinah di mana Rasulullah s.a.w bukan sahaja mentarbiah umat Islam di Mekah agar sanggup berkorban apa saja untuk Islam malah rakyat Madinah yang bakal menjadi tempat hijrah juga dipastikan memeluk Islam dan juga sanggup berkorban untuk Islam. Rasulullah s.a.w bertindak melawat khemah-khemah pemimpin arab yang datang ke Mekah untuk menunaikan haji bagi menyebarkan dakwah Islam di mana didapati pemimpin Bani ‘Amir mahukan janji kesenangan dunia yang dapat dilihat dengan mata sekiranya Islam menang lalu nabi meninggalkannya. Pemimpin Bani Syaiban pula mengakui Islam adalah benar tetapi bila mendengar kalimah syahadah lalu dia menyatakan bahawa dia tidak mahu mengucapnya kerana yakin bahawa Islam boleh menyebabkan mereka diperangi bukan sahaja oleh puak arab malah oleh kuasa besar dunia. Akhirnya pemimpin Aus dan Khazraj dari Madinah yang bukan sahaja menerima Islam malah sanggup bersumpah taat setia dalam mempertahankan nabi bila berlakunya hijrah nanti disampin sanggup menjadikan Madinah sebagai Daulah Islamiah yang dipimpin oleh nabi Muhammad s.a.w sendiri di mana bai’ah Aqabah ini berlangsung sebanyak 2 kali. Bila telah ada golongan Muhajirin dan Ansor yang benar-benar berserah diri kepada Allah dalam meninggikan kalimah Allah serta telah siap sebuah tempat untuk didirikan Daulah Islamiah maka barulah arahan hijrah diterima oleh nabi Muhammad s.a.w. Hijrah yang berjaya ialah bila adanya keyakinan, kesanggupan serta pengorbanan dalam meninggikan syiar Islam di muka bumi ini. Umat Islam pada hari ini mempunyai jumlah yang begitu ramai dengan negara sendiri yang agak banyak tetapi bila diseru untuk berhijrah daripada system jahiliah kepada Islam, daripada kesesatan kufur kepada kebenaran iman maka umat Islam terbahagi dua di mana ada yang yakin dan ramai pula yang was-was, ada yang sanggup dan tidak sedikit yang menolak, ada yang rela berkorban dan tidak kurang yang enggan. Selagi keadaan ini terus berlaku maka kegemilangan dan kejayaan yang dijanjikan oleh Allah masih lambat untuk dicapai.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 18 surah Taubah
إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللهِ مَنْ آمَنَ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلاَةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلاَّ اللهَ فَعَسَى أُوْلَئِكَ أَن يَكُونُواْ مِنَ الْمُهْتَدِينَ
Maksudnya : Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk
Ketika menghayati peristiwa Hijrah juga maka kita dapat mengambil iktibar yang sebaik mungkin daripada pembinaan Masjid Quba’ dan juga Masjid Nabawi dari sudut peranannya bukan pada pembinaannya sahaja. Kita juga ingat kepada suatu amaran nabi bagaimana pada akhir zaman ini banyak masjid dibina dengan bangunan yang besar bersama hiasan yang mahal-mahal tetapi ia dibiarkan kosong daripada hidayah Allah akibat tiada pengisian ke arah menghidupkannya dengan solat berjemaah, pengajian, pembinaan insan, medan dakwah dan sebagainya. Kita begitu bimbang apabila usaha dalam mendidik generasi yang jinak dengan masjid dihalang sejak dari sekolah lagi. Apa yang terbaru ialah berkaitan dengan suatu surat pekeliling daripada Jabatan Sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia yang berbentuk umum menghadkan pembacaan doa di perhimpunan, bacaan Yaasin dan aktiviti keagamaan yang lain yang disifatkan sebagai pengasingan kaum. Arahan ini sepatutnya tidak dikeluarkan memandangkan keadaan sebelum inipun pelajar bukan Islam diasingkan daripada turut serta dalam program keagamaan. Akhirnya Islam sebagai agama rasmi negara hanya tertulis dalam perlembagaan negara sahaja sedangkan dari segi pelaksanaannya sedikit demi sedikit keistimewaan Islam ditolak oleh umat Islam sendiri. Bagaimana mahu wujudkan negeri Tamadun Islam sekiranya amalan Islam yang asas pun disekat sedangkan hiburan dan budaya merosakkan dikembangkan. Jika jahiliah yang disemai maka jahiliah jugalah yang bakal dituai.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Nabi Muhammad s.a.w telah bertindak menghapuskan amalan riba yang begitu subur di Madinah yang dipelopori oleh yahudi. Penghapusan riba antara cara dalam mengembalikan amalan cekik darah kepada kebajikan dalam sesebuah kerajaan. Malangnya negara kita masih belum berhijrah daripada amalan riba sehingga pegawai kerajaan terus tertekan dengan riba bila meminjam daripada kerajaannya sendiri diikuti para pelajar universiti. Pilihlah samada mahu hijrah dengan Islam atau mahu terus dikongkong dengan jahiliah yang terus menindas rakyat.
Firman Allah dalam ayat 87 surah al-Qasas :
وَلاَ يَصُدُّنَّكَ عَنْ آيَاتِ اللهِِ بَعْدَ إِذْ أُنزِلَتْ إِلَيْكَ وَادْعُ إِلَى رَبِّكَ وَلاَ تَكُونَنَّ مِنَ الْمُشْرِكِينَ
Maksudnya : Dan janganlah sekali-kali mereka dapat menghalangmu dan (menyampaikan) ayat-ayat Allah sesudah ayat-ayat itu diturunkan kepadamu. Dan serulah mereka kepada (jalan) Tuhanmu dan janganlah sekali-kali kamu termasuk mereka yang mempersekutukan Allah.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْن
Tiada ulasan:
Catat Ulasan