السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Renungilah firman Allah dalam ayat 133-134 surah Ali ‘Imran :
وَسَارِعُوا إِلَىٰ مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ الَّذِينَ يُنْفِقُونَ فِي السَّرَّاءِ وَالضَّرَّاءِ وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ ۗ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ
Maksudnya : Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa; Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;
Kini kita berada di minggu kedua bulan Sya’aban 1431H yang memberitahu secara tidak langsung kepada kita tentang semakin hampirnya kita kepada bulan Ramadhan. Sesuai dengan kedudukan Sya’aban yang berdekatan dengan Ramadhan maka ia dijadikan bulan untuk latihan sebelum kita bakal menghadapi tarbiah Ramadhan terutama sebagai mengikuti jejak langkah junjungan besar nabi Muhammad s.a.w yang menghidupkan bulan Sya’aban dengan amalan sunat seperti puasa, memohon keampunan dosa dan sebagainya. Marilah kita sama-sama merebut kelebihan bulan Sya’aban untuk menambah bekalan akhirat yang merupakan suatu tempat kembali kita selama-lamanya. Jadikanlah diri kita sebagai golongan yang bijak yang sentiasa bersiap dengan bekalan akhirat disamping menjauhi sikap golongan yang bodoh yang begitu berangan-angan untuk mendapat Syurga Allah sedangkan amal ibadatnya bukan sahaja tidak bertambah malah banyak diabaikan disamping dosanya pula semakin bertimbun. Bulan Sya’aban juga dianugerahkan dengan suatu malam yang tidak sepatutnya dilepaskan yang dipanggil Nisfu Sya’aban dengan memperbanyakkan amalan sunat terutama berdoa dan memohon keampunan dosa.
عن معاذ بن جبل عن النبي قال : يَطَّلِعُ اللهُ عزوجل عَلَى خَلْقِهِ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيْعَ خَلْقِهِ إِلا َّ لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ
Maksudnya : Daripada Muaz bin Jabal daripada Nabi S.A.W telah bersabda: Sesungguhnya Allah ta’ala memerhati (menurunkan rahmat dan membuka pintu keampunan kepada) makhlukNya pada malam nisfu(pertengahan) daripada Sya’ban maka Dia akan mengampuni semua makhlukNya melainkan orang yang syirik atau orang yang bermusuhan. (Isnadnya Hasan oleh Ibn Hibban dan At-Thobarani )
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 150 surah al-Baqarah:
وَمِنْ حَيْثُ خَرَجْتَ فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ ۚ وَحَيْثُ مَا كُنْتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ لِئَلَّا يَكُونَ لِلنَّاسِ عَلَيْكُمْ حُجَّةٌ إِلَّا الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْهُمْ فَلَا تَخْشَوْهُمْ وَاخْشَوْنِي وَلِأُتِمَّ نِعْمَتِي عَلَيْكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ
Maksudnya : Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya, supaya tidak ada lagi (sebarang) alasan bagi orang-orang (yang menyalahi kamu), kecuali orang-orang yang zalim di antara mereka (ada sahaja yang mereka jadikan alasan). Maka janganlah kamu takut kepada (cacat cela) mereka, dan takutlah kamu kepada Ku (semata-mata); dan supaya Aku sempurnakan nikmatKu kepada kamu, dan juga supaya kamu beroleh petunjuk hidayah (mengenai perkara yang benar)
Beradanya kita pada bulan Sya’aban turut mengingatkan kita tentang suatu peristiwa besar iaitu pertukaran Qiblat daripada menghadap Masjid Aqsa kepada Ka’abah di Mekah setelah beberapa bulan berlangsungnya Hijraturrasul s.a.w. Bila kita ingat tentang perubahan arah qiblat ini maka kita aga tertarik dengan pengeluaran fatwa baru oleh Majlis Ulama Indonesia (MUI) memperbetulkan fatwanya sendiri yang dikeluarkan 22 Mac tahun ini yang antara lain menetapkan kiblat solat bagi Indonesia ialah arah barat kepada barat laut mulai pertengahan Julai kerana negara itu berada di sebelah timur Mekah. Setelah perkiraan semula dilakukan oleh ahli Falaq, Indonesia memutuskan bahawa arah yang selama ini diyakini itu salah kerana ia mengadap ke Afrika, ke arah Somalia, Kenya dan Tanzania bukannya Ka’abah di Mekah. Ini semua menggambarkan betapa pentingnya qiblat sebagai simbol kesatuan umat Islam dalam tunduk dan patuh kepada sistem yang didatangkan oleh Allah serta tidak terikut-ikut dengan cara hidup yang bercanggah dengan Islam. Mundur dan ketinggalannya umat Islam pada hari ini termasuk dijajah di tanahair sendiri akibat berqiblat sistem hidup yang bercanggah dengan Islam. Jika dulu kita melihat kehancuran dan kerosakan akhlak di barat tetapi kini ia menular dengan begitu teruk dan membimbangkan di negara kita sendiri termasuk zina, rogol, buang anak, bunuh, curi dan sebagainya. Suasana kerosakan akhlak ini tidak mengira tempat samada di bandar besar mahu pun desa terpencil akibat kegagalan mengislamkan cara hidup termasuk sosial. Akhir-akhir ini masalah perselisihan pendapat tentang cadangan untuk memperkenalkan pengajian seks di sekolah serta suara supaya berlakunya penapisan internet begitu kuat bergema kerana ia merupakan antara faktor berlakunya daripada kerosakan akhlak
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Semua anggota masyarakat bermula dalam rumahtangga sehinggalah kepada kerajaan wajib bergabung tenaga dalam menangani masalah kerosakan akhlak dan peningkatan jenayah yang semakin para ini. Kita tidak mahu masalah ini hanya ditangani oleh setengah pihak sahaja seperti ibubapa di rumah, guru di sekolah sedangkan tv, majalah dan kerajaan terus membuka luas pintu untuk menghancurkan akhlak. Antara sebab yang menyebabkan bertambahnya masalah ini apabila kaum lelaki hilang sifat cemburu sehingga membiarkan anak isteri mendedah aurat, bergaul bebas tanpa had sempadan atas nama kemajuan. Kita pernah membaca catatan seorang sahabat kita yang pernah melihat keadaan anak gadis di Pakistan yang jarang dilihat keluar rumah melainkan ditemani ahli keluarga manakala kaum lelakinya akan melihat orang yang memandang anak gadis mereka sebagai suatu yang salah. Suasana ini membantu dalam menangani masalah sosial. Sifat cemburu merupakan suatu sifat yang penting dalam memastikan setiap orang menjaga haknya daripada dirampas atau dikhianati. Berjaya bagi sebuah masyarakat apabila suburnya sikap cemburu sehingga anak isteri terkawal. Benarlah sabda nabi s.a.w
قَالَ سَعْدُ بْنُ عُبَادَةَ لَوْ رَأَيْتُ رَجُلًا مَعَ امْرَأَتِي لَضَرَبْتُهُ بِالسَّيْفِ غَيْرُ مُصْفِحٍ عَنْهُ فَبَلَغَ ذَلِكَ رَسُولَ اللَّهِ فَقَالَ أَتَعْجَبُونَ مِنْ غَيْرَةِ سَعْدٍ فَوَاللَّهِ لَأَنَا أَغْيَرُ مِنْهُ وَاللَّهُ أَغْيَرُ مِنِّي مِنْ أَجْلِ غَيْرَةِ اللَّهِ حَرَّمَ الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ وَلَا شَخْصَ أَغْيَرُ مِنْ اللَّهِ وَلَا شَخْصَ أَحَبُّ إِلَيْهِ الْعُذْرُ مِنْ اللَّهِ مِنْ أَجْلِ ذَلِكَ بَعَثَ اللَّهُ الْمُرْسَلِينَ مُبَشِّرِينَ وَمُنْذِرِينَ وَلَا شَخْصَ أَحَبُّ إِلَيْهِ الْمِدْحَةُ مِنْ اللَّهِ مِنْ أَجْلِ ذَلِكَ وَعَدَ اللَّهُ الْجَنَّةَ
Maksudnya : Saad bin Ubadah telah berkata: Seandainya aku mendapati seorang lelaki bersama isteriku, maka tanpa maaf lagi, akan aku pancung dia dengan pedang. Apabila kata-kata Saad itu disampaikan kepada Rasulullah s.a.w, baginda pun bersabda: Apakah kamu merasa hairan dengan kecemburuan Saad? Demi Allah! Aku lebih cemburu daripadanya, malahan Allah lebih lagi cemburunya daripadaku kerana kecemburuan Allah itulah, maka Allah mengharamkan segala kejahatan yang ketara mahupun terselindung. Tidak ada yang lebih cemburu selain daripada Allah. Tidak ada seorang pun yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada orang yang mahu mendengar peringatan. Oleh sebab itulah, Allah mengutus para Rasul untuk memberikan berita gembira dan memberikan peringatan serta tidak ada seorangpun yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada orang yang selalu memuji-Nya. Oleh sebab itu juga, Allah telah menjanjikan Syurga
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Umat Islam bermula daripada kerajaan sehinggalah rakyat jelata mesti mengembalikan semula maruah dan kedudukan kaum perempuan terutama mengembalikan sifat malu yang sepatutnya subur dalam diri perempuan. Hilangnya sifat malu akibat terpengaruh dengan laungan sesat yahudi yang berusaha menelanjangkan kaum perempuan sehingga sanggup menjual harga diri, membuka aurat tanpa rasa malu dan salah dan sebagainya.
عَنْ أَبِي مَسْعُودٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ إِنَّ مِمَّا أَدْرَكَ النَّاسُ مِنْ كَلَامِ النُّبُوَّةِ الْأُولَى إِذَا لَمْ تَسْتَحْيِ فَاصْنَعْ مَا شِئْتَ – رواه البخاري
Maksudnya : Daripada Abu Mas’ud berkata : Sabda nabi : Sebahagian daripada apa yang manusia ketahui tentang bicara nabi yang terdahulu: “Apabila engkau tidak merasai malu lakukanlah apa sahaja yang kamu mahukan
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan