أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Jumaat, 14 Ogos 2009

Islam DiJulang Kezaliman DiBuang

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 74 surah an-Nisa’ :
فَلْيُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللهِ الَّذِينَ يَشْرُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا بِالآخِرَةِ وَمَن يُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللهِ فَيُقْتَلْ أَو يَغْلِبْ فَسَوْفَ نُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا
Maksudnya : Oleh itu (orang beriman) yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada kesenangan dunia hendaklah mereka berperang pada jalan Allah. Dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah lalu dia gugur syahid atau beroleh kemenangan maka Kami akan menganugerahkannya ganjaran pahala yang besar
Perjuangan Islam tidak menjanjikan kemenangan yang mudah sebaliknya memerlukan kepada mujahadah dan istiqamah. Kemenangan Islam tidak datang melayang sebaliknya menuntut kepada pelbagai pengorbanan. Kejayaan Islam tidak dihampar dengan permaidani merah sebaliknya memerlukan kepada tumpahnya darah. Islam menuntut kita untuk berani mengharungi segala cabaran, ujian, tentangan, halangan dalam memastikan ia dijulang tinggi di atas muka bumi ini. Pejuang Islam terpaksa berdepan dengan musuh yang tidak nampak iaitu Syaitan dan hawa nafsu dalam diri. Pejuang Islam juga sentiasa berdepan dengan musuh yang nyata daripada golongan yang kufur kepada Allah dan yang paling bahaya ialah golongan munafik yang merupakan musuh dalam selimut, gunting dalam lipatan. Elok pada hari ini kita menyentuh sikap dan perbuatan khianat yang dilakukan oleh golongan munafik dalam memerangi Islam. Jika di negara kita ramai umat Islam yang rebah tewas ditangan Syaitan dan pujukan hawa nafsu sehingga gagal untuki datang berjemaah dan memakmurkan masjid dan surau. Manakala di banyak negara yang lain, saudara seagama kita terpaksa berdepan dengan hujung senjata musuh Islam semata-mata mahu mendirikan solat Jemaah seperti di Narathiwat, Thailand ditembak kejam ketika sedang solat Isya’ 2 bulan lepas. Begitu juga umat Islam bangsa Uighur, China yang gugur syahid kerana mempertahankan kedaulatan tanair, agama, harta benda, keluarga, masjid, sekolah agama malah kerana membantah larangan solat Jumaat bermula 10 Julai lalu selain larangan mengerjakan haji semenjak 2007 lagi. Kita mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan etnik terancang oleh Kerajaan China terhadap saudara kita sebagaimana yang berlaku kepada Bosnia sebelum ini. Tidak terkecuali kita merasa marah dengan tindakan bacul Menteri Pertahanan kita yang sanggup duduk semeja dengan pembunuh kejam Ehud Barak Menteri Pertahanan Israel seolah-olah mengiktiraf negara haram itu dan menghalalkan pembunuhan umat Islam dan rampasan bumi Palestin bumi Isra’ Mikraj dan Qiblat pertama umat Islam. Sedarlah kita bahawa kekejaman zionis yahudi hanya mampu dihentikan dengan darah syahid bukannya dengan perjanjian damai yang sentiasa dicabuli
قَالَ الرَّسُوْلُ  : مَنْ قُتِلَ دُوْنَ مَالِهِ فَهُوَ شَهِيْدٌ وَ مَنْ قُتِلَ دُوْنَ دِيْنِهِ فَهُوَ شَهِيْدٌ وَ مَنْ قُتِلَ دُوْنَ دَمِهِ فَهُوَ شَهِيْدٌ وَ مَنْ قُتِلَ دُوْنَ أَهْلِهِ فَهُوَ شَهِيْدٌ - رواية الترمذي دان النسائي
Maksudnya: Sesiapa yang dibunuh kerana mempertahankan hartanya maka dia adalah mati syahid, Sesiapa yang dibunuh kerana mempertahankan agamanya maka dia adalah mati syahid, Sesiapa yang dibunuh kerana mempertahankan darahnya maka dia adalah mati syahid dan sesiapa yang dibunuh kerana mempertahankan ahli keluarganya maka dia adalah mati syahid

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 1-2 surah al-Munafiqun :
إِذَا جَاءَكَ الْمُنَافِقُونَ قَالُوا نَشْهَدُ إِنَّكَ لَرَسُولُ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ يَعْلَمُ إِنَّكَ لَرَسُولُهُ وَاللَّهُ يَشْهَدُ إِنَّ الْمُنَافِقِينَ لَكَاذِبُونَ اتَّخَذُوا أَيْمَانَهُمْ جُنَّةً فَصَدُّوا عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ ۚ إِنَّهُمْ سَاءَ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
Maksudnya : Apabila orang-orang munafik datang kepadamu (wahai Muhammad), mereka berkata: "Kami mengakui bahawa sesungguhnya engkau - sebenar-benarnya Rasul Allah". Dan Allah sememangnya mengetahui bahawa engkau ialah RasulNya, serta Allah menyaksikan bahawa sesungguhnya pengakuan mereka adalah dusta. Mereka menjadikan sumpahnya sebagai perisai (untuk menyelamatkan dirinya dan harta bendanya daripada dibunuh atau dirampas), lalu mereka menghalang (dirinya dan orang lain) daripada menurut jalan Allah. Sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah kerjakan.
Umat Islam juga terpaksa dengan berdepan dengan golongan munafik yang sentiasa menjadikan sumpah palsu sebagai perisai dalam menyembunyikan sikap permusuhan terhadap Islam. Sempena berada pada bulan Sya’aban maka eloklah kita korek kejahatan munafik antaranya ketika berlangsungnya Peperangan Bani Mustaliq tahun 6H. Tindakan pantas nabi telah menyebabkan perancangan jahat Bani Mustaliq pimpinan al-Harith bin Abi Dirar untuk menyerang Madinah dapat dipatahkan dengan mudah sehingga ramai yang menjadi tawanan. Namun dalam perjalanan pulang daripada Peperangan Bani Mustaliq ini, golongan Munafiq pimpinan Abdullah bin Ubai cuba menghancurkan kesatuan tentera Islam dengan menyalakakn api fitnah yang paling besar dengan tersebarnya khabar Ifk atau tuduhan zina terhadap Siti Aisyah dengan Safwan bin al-Mu’tal. Fitnah ini digunakan semaksima yang mungkin oleh Abdullah bin Ubai dalam menghilangkan kepercayaan orang ramai terhadap nabi Muhammad s.a.w bagi membuka kembali peluangnya untuk menjadi pemimpin Madinah. Akhirnya turunnya ayat 11 surah an-Nur selepas daripada berlarutan fitnah liar ini selama sebulan yang menjelaskan bagaimana bersihnya Siti Aisyah daripada sebarang tuduhan liar yang ditujukan kepadanya. 3 orang yang didapati menjadi dalang kepada tersebanya fitnah ini dihukum dengan hukuman qazaf 80 kali sebatan iaitu Hasan bin Thabit, Misthah dan Hamnah binti Jahsy. Manakala Abdullah bin Ubai sendiri tidak dikenakan sebarang tindakan namun selepas itu dia dipinggirkan oleh orang ramai yang tidak lagi mempercayai sebarang katanya. Peristiwa ini memberi pengajaran yang begitu besar kepada umat Islam supaya berhati-hati dan cermat terutama dalam berdepan dengan fitnah dan tuduhan liar terhadap Islam dan umatnya. Pada hari ini menjadi suatu kebiasaan menuduh orang berzina atau liwat tanpa bukti kukuh sehingga ada tilam dijadikan saksi liwat, ada yang tidak lagi mahu percaya kepada laporan doktor pakar, ada yang sanggup bersumpah sebagaimana golongan munafik asalkan seseorang yang menggugat kuasanya mesti dihancurkan.
Firman Allah dalam ayat 11 surah an-Nur :
إِنَّ الَّذِينَ جَاءُوا بِالإِفْكِ عُصْبَةٌ مِنْكُمْ ۚ لاَ تَحْسَبُوهُ شَرًّا لَكُمْ ۖ بَلْ هُوَ خَيْرٌ لَكُمْ ۚ لِكُلِّ امْرِئٍ مِنْهُمْ مَا اكْتَسَبَ مِنَ الإِثْمِ ۚ وَالَّذِي تَوَلَّىٰ كِبْرَهُ مِنْهُمْ لَهُ عَذَابٌ عَظِيمٌ
Maksudnya : Sesungguhnya orang yang membawa berita bohong itu adalah dari kalangan kamu juga. Janganlah kamu anggap bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik untukmu. Setiap orang dari mereka mendapat balasan daripada dosa yang dikerjakannya. Dan sesiapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam menyiarkan berita bohong itu maka baginya azab yang amat besar

Siang Jumaat yang dikasihi,
Bila disebut tentang hukum sebat maka kita baru sahaja mendengar bagaimana seorang model dihukum sebat oleh Mahkamah Syariah kerana bersalah minum arak. Ini mendedahkan kepada masyarakat tentang perbezaan ketara antara hukum sebat mahkamah sivil yang dilihat terlalu kejam kerana mendatangkan pendarahan dan kecederaan malah parut sebat itu sendiri hanya akan hilang selepas dua tahun disebat sedangkan luka disebabkan sebat mahkamah syariah pula hanya akan pulih setelah berminggu-minggu sahaja. Beberapa bulan yang lepas adanya cadangan daripada cadangan Mufti Negeri Kelantan supaya dilaksanakan hukum takzir sebat di khalayak ramai bagi jenayah yang tidak besar supaya penjara tidak sesak dan kos menjaga penjenayah tidak terus meningkat disamping kes-kes ini diselesai dengan berkesan dan cepat tanpa menghalang penjenayah untuk menjalankan tugasan harian selepas itu. Begitu juga cadangan menteri agama selepas itu di Dewan Negara supaya dilaksanakan hukum hudud bagi menangani masalah ragut. Semoga ia menjadi perintis kepada pelaksaan hukuman Islam yang lebih sempurna dalam membendung pelbagai kes jenayah dan kerosakan akhlak yang semakin meruncing. Kita kesal dengan suara sumbang setengah pihak seperti Sisters in Islam yang hanya lantang bila hukuman sebat kepada pesalah dijatuhkan atas alasan menzalimi kaum wanita sedangkan ketika seorang ibu muda Mesir bernama Marwah Syarbini ditikam 18 kali di Mahkamah Jerman kerana mempertahankan tudung tiada pula suara dari golongan ini yang kononya menjaga hak asasi manusia. Ingatlah bahawa hak Allah mengatasi segala-galanya

Sidang Jumaat dikasihi sekalian,
Sempena berada pada hari Jumaat yang mulia maka kita buat kalinya mendesak agar undang-undang rimba ISA dihapuskan. Umat Islam bermaruah dan bencikan kezaliman diseru untuk pergi ke Kuala Lumpur esok Sabtu 1 Ogos bagi menghadiri Himpunan 100 ribu mansuhkan ISA. Kita juga dianjurkan untuk memperbanyakkan solat hajat dan berdoa kepada Allah agar dilembutkan hati pemimpin untuk menghapuskan ISA kerana ia bukan untuk menjaga kemananan negara sebaliknya untuk mempertahankan pemimpin daripada pangkat yang ada. ISA adalah suatu tindakan yang zalim dan kejam yang bukan sahaja bercanggah dengan semangat demokrasi malah jelas bertentangan dengan Islam. Tidak perlu fatwa daripada Majlis Fatwa Kebangsaan untuk menyatakan ISA itu zalim kerana jelas kepada kita betapa ramai tahanan ISA yang mati dan lumpuh kesan deraan, suami isteri bercerai-berai akibat tekanan, anak isteri menderita mencari sesuap nasi kerana ayah ditahan tanpa tahu apa salahnya, ada yang dipaksa minum kencing dan makan tahi petugas dan macam-macam lagi penyiksaan ala zionis yahudi. Takutlah pada amaran Allah melalui ayat 58 surah Al-Ahzab :
وَالَّذِينَ يُؤْذُونَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ بِغَيْرِ مَا اكْتَسَبُوا فَقَدِ احْتَمَلُوا بُهْتَانًا وَإِثْمًا مُّبِينًا
Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang menyakiti (menyeksa) mukiminin atau mukminat dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan perbuatan atau kesalahan yang dilakukan, maka sesungguhnya mereka itu menanggung pembohongan dan dosa besar yang nyata,"
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: