السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 6 surah al-Hujurat :
يـأيها الذين ءامنوا إن جاءكم فاسق بنبإ فتبينوا أن تصيبوا قوما بجهــلة فتصبحوا على ما فعلتم نــدمين
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepadamu orang fasik membawa berita maka periksalah terlebih dahulu bahawa nanti kamu mengenakan sesuatu kaum secara jahil yang menyebabkan kamu menjadi orang yang menyesal
Kita sekarang ini berada di bulan Sya’aban yang merupakan suatu bulan persediaan sebelum menyambut ketibaan bulan Ramadhan. Bulan Sya’aban pernah memahatkan beberapa sejarah penting dalam kalendar umat Islam antaranya Peperangan Bani Mustaliq yang berlaku pada bulan Sya’aban tahun Keenam Hijrah . Peperangan ini meletus selepas Rasulullah s.a.w bertindak pantas menghantar tentera apabila mendengar bahawa Bani Mustaliq pimpinan al-Harith bin Abi Dirar sedang bersiap untuk menyerang umat Islam. Tindakan nabi itu telah menyebabkan perancangan jahat Bani Mustaliq dapat dipatahkan dengan mudah sehingga ramai yang menjadi tawanan. Apa yang menariknya para sahabat telah memerdekakan tawanan perang yang memeluk Islam malah Rasulullah s.a.w sendiri telah menjadikan anak kepada ketua Bani Mustaliq yang telah memeluk Islam iaitu Juwairiyyah sebagai isteri. Tindakan ini merupakan antara strategi dakwah yang telah membuka hati ramai di kalangan Bani Mustaliq untuk memeluk Islam setelah melihat bagaimana Islam bukan agama yang menganjurkan keganasan sebaliknya begitu banyak menawar erti keamanan dan perdamaian. Sepanjang peristiwa ini juga mencatat bagaimana sikap golongan munafik yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai yang turut serta dalam tentera Islam bukan untuk mempertahan dan memperjuangkan Islam sebaliknya lebih banyak membuat kacau dan fitnah serta golongan ini hanya berminat untuk mendapatkan hasil rampasan perang melalui peperangan yang disertai itu. Allah mendedahkan sikap golongan munafik ini melalui ayat 47 surah at-Taubah :
لو خرجوا فيكم مازادوكم إلا خبالا ولأوضعوا خلـلكم يبغونكم الفتنة وفيكم سمــعون لهم والله عليم بالظــلمين
Maksudnya : Jika mereka keluar bersama-sama kamu tidaklah mereka menambahkan kepada kamu melainkan kerosakan dan tentulah mereka segera menjalankan hasutan di antara kamu dengan tujuan hendak menimbulkan fitnah (kekacauan) di kalangan kamu sedangkan di antara kamu ada orang-orang yang suka mendengar hasutan mereka dan ingatlah Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang zalim.
Sidang Jumaat yang dikasihi,
Ketika berlangsungnya peristiwa ini juga ada 2 orang sahabat dari golongan Muhajirin dan Ansor bertengkar sehingga Rasulullah s.a.w memarahi mereka yang menyebabkan mereka menghentikan perbalahan lalu bertaubat kepada Allah. Abdullah bin Ubai begitu marah mendengar berita tentang 2 sahabat itu yang kembali berbaik semula lalu berkata : “ Adakah munasabah dia melakukan demikian, apabila mereka (Muhajirin) sudah ramai dalam negeri kita maka mereka hendak menunjukkan kekuatan samalah seperti kata pepatah gemukkan anjingmu kemudian ia akan menggigitmu. Tengoklah nanti apabila pulang ke Madinah tahulah dia bagaimana orang mulia (Ansor) akan mengeluarkan orang yang hina ( Nabi dan Muhajirin)”.
Mendengar kata-kata biadap yang keluar daripada mulut Abdullah bin Ubai itu lalu Sayyidina Umar meminta izin daripada nabi untuk membunuhnya tetapi nabi menegahnya bagi mengelakkan fitnah yang mengatakan nabi membunuh sahabatnya sendiri. Hasil daripada kesabaran ini juga menyebabkan lebih ramai orang membenci Abdullah bin Ubai sehingga dia semakin terpinggir. Allah turut merakamkan peristiwa bagi menjawab tuduhan Abdullah bin Ubai terhadap nabi dan golongan Muhajirin melalui ayat 8 surah al-Munafiqun :
يقولون لئن رجعنا إلى المدينة ليخرجن الأعز منها الأذل ولله العزة ولرسوله وللمؤمنين ولـكن المنـفقين لايعلمون
Maksudnya : Mereka (golongan munafik) berkata : “ Sesungguhnya jika kita telah kembali ke Madinah maka benar-benar orang yang kuat akan mengusir orang yang lemah daripadanya”. Sedangkan kekuatan itu hanyalah bagi Allah S.W.T, bagi rasulNya dan bagi orang-orang mukmin tetapi orang munafik itu tidak mengetahui.
Api fitnah tidak terhenti setakat peristiwa yang melibatkan golongan munafik itu malah suatu lagi peristiwa fitnah yang paling besar yang berlaku semasa perjalanan pulang daripada Peperangan Bani Mustaliq ialah khabar Ifk atau berita bohong yang dilempar terhadap diri Siti Aisyah yang tertinggal daripada rombongan yang pulang ke Madinah kerana ingin mengambil sesuatu barang yang tercicir. Setelah menyedari dia ditinggalkan oleh ahli rombongan lalu Siti Aisyah kembali semula ke kawasan perkhemahan asal dengan harapan ada di kalangan ahli rombongan yang akan datang mencarinya. Tiba-tiba datanglah Safwan bin al-Mu’tal yang sudah menjadi kebiasaannya suka tidur sehingga sentiasa ditinggal oleh ahli rombongan. Dia yang melihat ada seorang perempuan yang masih tinggal di kawasan perkhemahan itu lalu mendekatinya dan dia begitu terkejut apabila mendapati bahawa perempuan itu ialah Siti Aisyah. Tanpa banyak soal dia meminta Siti Aisyah untuk menaiki untanya lalu dia menariknya sehinggalah mereka bertemu semula dengan ahli rombongan yang lain di Nahru Zahirah. Tentera Islam yang melihat ketibaan mereka merasa terkejut dan Abdullah bin Ubai menggunakan peluang itu untuk menabur fitnah. Fitnah ini begitu kuat sehingga Rasulullah s.a.w sendiri tidak mampu berbuat apa-apa sehinggalah turunnya wahyu yang menjelaskan bagaimana bersihnya Siti Aisyah daripada sebarang tuduhan liar yang ditujukan kepadanya. Penurunan wahyu ini telah menenangkan hati Rasulullah s.a.w, Siti Aisyah sendiri dan para sahabat terutama Sayyidina Abu Bakar.
Firman Allah dalam ayat 11 surah an-Nur :
إن الذين جاءو بالافك عصبة منكم لاتحسبوه شرا لكم بل هو خير لكم لكل امرئ منهم مااكتسب من الإثم والذى تولى كبره منهم له عذاب عظيم
Maksudnya : Sesungguhnya orang yang membawa berita bohong itu adalah dari kalangan kamu juga. Janganlah kamu anggap bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik untukmu. Setiap orang dari mereka mendapat balasan daripada dosa yang dikerjakannya. Dan sesiapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam menyiarkan berita bohong itu maka baginya azab yang amat besar.
Siang Jumaat yang dikasihi,
Peristiwa ini telah banyak meninggalkan kesan kepada tentera Islam terutama dalam berhadapan dengan fitnah dan berita bohong serta sikap golongan munafiq. Kita pada hari ini turut diserang dengan pelbagai berita bohong dan fitnah dalam menghancurkan kesatuan umat Islam dan juga menanam rasa benci orang bukan Islam terhadap Islam melalui propaganda yang dimainkan oleh musuh Islam terutama yahudi yang menguasai seluruh media massa. Musuh cuba menunjukkan kepada dunia bahawa Islam dan umatnya adalah pengganas di mana setiap keganasan yang berlaku dinisbahkan kepada Islam disamping menggambarkan umat Islam sebagai lambang kemunduran dan kelemahan. Oleh itu setiap umat Islam wajib bangkit dengan kemampuan yang ada bagi menjawab segala tohmahan liar itu melalui tindakan bukan setakat cakap kosong sahaja ke arah mengembalikan semula kehebatan dan kemuliaan umat Islam dengan kita sama-sama kembali mengamalkan semula Islam dalam setiap system kehidupan. Tunjukkan kepada dunia tentang ajaran Islam yang sebenar melalui pengamalan sehingga tohmahan itu dapat dijawab. Kita mesti yakin dengan kebenaran dan kemampuan Islam dalam mengembalikan keamanan dunia yang kini dirosakkan oleh kuffar yang diketuai oleh yahudi.
Umat Islam juga mesti kembali bersatu di bawah panji Islam dengan menghentikan tabiat suka menaburkan fitnah dan menyebar berita bohong terutama dalam menzalimi saudara seagama sebagaimana yang terjadi kepada tahanan ISA. Kita turut dilarang memperbesarkan suatu berita bertujuan menakutkan orang ramai seperti kes selsema burung di mana ia masih lagi terkawal di negeri ini disamping ayam di sini selamat dimakan bukan sebaliknya.
Firman Allah dalam ayat 19 surah an-Nur :
إن الذين يحبون أن تشيع الفــحشة فى الذين ءامنوا لهم عذاب أليم فى الدنيا والآخرة والله يعلم وأنتم لاتعلمون
Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan keji itu tersiar di kalangan orang-orang yang beriman maka bagi mereka azab yang pedih di dunia dan akhirat. Dan Allah mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan