أهلا وسهلا ومرحبا بكم
Kandungan Blog
Jumaat, 21 Jun 2024
Khutbah Jumaat : Berkorban Julang Islam Palestin DiMerdekakan
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ!!! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 6 surah al-Mumtahinah :
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِيهِمْ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّـهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ ۚ وَمَن يَتَوَلَّ فَإِنَّ اللَّـهَ هُوَ الْغَنِيُّ الْحَمِيدُ
Maksudnya : Demi sesungguhnya! Adalah bagi kamu pada bawaan Nabi Ibrahim a.s dan pengikut-pengikutnya itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah dan (balasan baik) hari akhirat. Dan sesiapa yang berpaling daripada mencontohi mereka, (maka padahnya akan menimpa dirinya sendiri), kerana sesungguhnya Allah Dia lah Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.
Kita baru sahaja selesai menyambut hari raya korban atau hari raya haji di mana sempena hari Jumaat yang mulia ini kita mendoakan agar Allah menerima segala ibadat korban yang telah kita laksanakan serta tidak lupa untuk mendoakan kesihatan, keselamatan dan apa yang lebih penting agar para jemaah haji dikurniakan haji yang mabrur yang balasannya adalah Syuga
Melalui ibadat korban dan haji maka kita diajak untuk mencontohi perjuangan dan pengorbanan besar yang telah ditunjukkan oleh nabi Ibrahim a.s sekeluarga yang bukan sahaja untuk contoh dalam membina keluarga bahagia malah membentuk umat sejagat yang tunduk patuh kepada Allah.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 132 surah Al-Baqarah :
وَوَصَّىٰ بِهَاۤ إِبۡرَاهِـۧمُ بَنِیهِ وَیَعۡقُوبُ یَـٰبَنِیَّ إِنَّ ٱللَّهَ ٱصۡطَفَىٰ لَكُمُ ٱلدِّینَ فَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسۡلِمُونَ
Maksudnya : “Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan agama itu kepada anak-anaknya dan (demikian juga) Ya’qub (berwasiat kepada anak-anaknya): ‘Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam’.”
Pembinaan keluarga yang tunduk patuh kepada agama adalah penting. Keluargalah yang mencorakkan persekitaran kehidupan anak-anak. Kepincangan keluarga adalah faktor terbesar yang menyumbang kepada peningkatan masalah akhlak anak-anak. Salah satu faktor penyebab tingkah laku anak-anak yang bermasalah ialah ikatan dan kawalan ibu bapa yang lemah dan ketidaksejahteraan keluarga tersebut. Dalam hal ini, peranan ibubapa amat penting dalam memastikan isu gejala sosial anak-anak dapat dielakkan. Tidak dinafikan juga bahawa peranan ibubapa kini amat mencabar terutama sekali dengan ledakan teknologi maklumat yang banyak mempengaruhi masa dan pendekatan dalam mendidik anak-anak di mana nak-anak sibuk dengan telefon bimbit, komputer, televisyen sehingga hubungan mesra antara ahli keluarga menjadi renggang. Beberapa cara yang boleh dilakukan oleh bapa dalam memastikan hubungan kekeluargaan kekal sejahtera adalah dengan mengamalkan aktiviti bersama keluarga seperti solat berjemaah, membaca al-Quran, bersukan dan sebagainya. Apa yang lebih penting ialah pembelajaran ilmu agama yang berterusan. Bila kita melihat bagaimana 26 000 calon SPM gagal dalam mata pelajaran Pendidikan Islam maka itu merupakan suatu amaran penting agar kita kembali perkasakan ilmu agama dalam kehidupan. Belajar ilmu Fardhu Ain tidak terhenti setakat di alam sekolah malah wajib diteruskan peringkat universiti walau apa fakulti yang diikuti malah selagi nyawa dikandung badan, selagi kita masih bernafas. Pesan Imam Syafie : "Bila kamu tak tahan penatnya belajar, maka kamu akan menanggung peritnya kebodohan sepanjang hidup"
Semoga pengorbanan harta, masa dan keringat ibubapa dalam melahirkan anak yang soleh akan diberikan kejayaan oleh Allah.
Rasulullah s.a.w bertanya kepada para sahabat tentang persoalan mandul.
مَا تَعُدُّونَ الرَّقُوبَ فِيكُمْ؟ قَالَ قُلْنَا: الَّذِي لَا يُولَدُ لَهُ، قَالَ: «لَيْسَ ذَاكَ بِالرَّقُوبِ وَلَكِنَّهُ الرَّجُلُ الَّذِي لَمْ يُقَدِّمْ مِنْ وَلَدِهِ شَيْئًا - رواه أحمد
Maksudnya : “Apa yang kamu faham tentang mandul? Sahabat lalu menjawab: Mandul adalah mereka yang tidak memiliki anak. Lalu Rasulullah bersabda: Mandul yang sebenar adalah mereka yang memiliki anak, tetapi anaknya tidak memberi manfaat buatnya.”
Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,
Firman Allah dalam ayat 100 surah as-Sooffat :
رَبِّ هَبْ لِي مِنَ الصَّالِحِينَ ﴿١٠٠﴾
Maksudnya : " Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh!"
Pengorbanan kita sebagai anak pula dalam memastikan kita berada atas landasan agama sebagai anak soleh yang sentiasa berbakti kepada kedua ibubapa antaranya [1] berkata-kata dengan sopan dan penuh kelembutan, dan jauhi perkataan yang menyakiti hati ibubapa, [2] Bersikap tawadhu’ rendah diri kepada ibubapa dan bergaul dengan penuh kasih sayang, [3] Tidak memandang ibubapa dengan pandangan yang tajam, tidak bermuka masam atau wajah yang tidak menyenangkan, [4] Tidak meninggikan suara ketika berbicara dengan ibubapa [5] Tidak mendahului ibubapa dalam berkata-kata [6] Lebih mengutamakan ibubapa daripada diri sendiri dalam perkara duniawi [7] Jagalah kehormatan ibubapa [8] Berikan layanan terbaik kepada ibubapa dan bantulah urusan-urusannya [9] Jawablah panggilan ibubapa dengan segera [10] Jangan berdebat dengan ibubapa, jangan mudah menyalah-nyalahkan mereka sebaliknya jelaskan dengan penuh adab [11]Segera bangkit menyambut ibubapa ketika mereka masuk rumah, dan ciumlah tangan mereka [12] Jangan menganggu ibubapa di waktu mereka istirahat [13 ]Jangan berbohong kepada mereka [14] Jangan kedekut untuk memberi nafkah atau sumbangan kepada ibubapa [15] sering mengunjungi ibubapa atau berhubung melalui telefon jika berjauhan [16] Jika ingin meminta sesuatu kepada ibubapa, mintalah dengan lemah lembut [17] Bermusyarawahlah dengan ibubapa dalam urusan-urusanmu [18] Sentiasa berdoa untuk ibubapa
Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,
Firman Allah dalam ayat 124 surah al-Baqarah :
وَإِذِ ابْتَلَىٰ إِبْرَاهِيمَ رَبُّهُ بِكَلِمَاتٍ فَأَتَمَّهُنَّ ۖ قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامًا ۖ قَالَ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۖ قَالَ لَا يَنَالُ عَهْدِي الظَّالِمِينَ ﴿١٢٤﴾
Maksudnya : Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah berfirman: "Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi Imam (Pemimpin ikutan) bagi umat manusia". Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: "(Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan)". Allah berfirman: "(Permohonanmu diterima, tetapi) janjiKu ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim."
Seterusnya usaha memakmurkan negara yang dicintai, unsur pengorbanan tidak boleh diketepikan sama sekali. Malah kita semua- baik yang berkedudukan mahupun tidak, sama ada golongan atasan atau orang biasa- perlu berkorban untuk kesejahteraan negara. Dengan kata lain, pengorbanan setiap anggota masyarakat membolehkan sesebuah negara memperolehi kesejahteraan, keharmornian dan kemakmuran dalam pelbagai bidang, baik dalam bidang ekonomi, kemasyarakatan, siasah, kebudayaan dan sebagainya. Kita perlu mengorbankan sikap angkuh dan mementingkan diri sendiri agar kita dapat bekerjasama dengan semua pihak dalam suasana yang makmur tanpa ada rasa ingin memperkecilkan antara satu sama lain.
Apa yang penting ialah, apabila kita melakukan apa saja tanggungjawab yang diamanahkan , kita perlu melakukannya dengan bersungguh-sungguh dengan niat tulus ikhlas semata-mata ingin mendapat keredhaan Allah s.w.t. Jadi apabila setiap anggota masyarakat melakukan yang terbaik, maka apa yang kita semua hasilkan, yang kemudiannya kita kongsi bersama tadi adalah yang terbaik juga.
Bermula daripada pemimpin mesti amanah dan adil mengikut agama. Ini kerana pemerintah yang adil mustahil akan mengorbankan kepentingan rakyat untuk kepentingan peribadi. Pemimpin juga tidak sepatutnya menyalahgunakan peruntukan rakyat dan tiada penyalahgunaan kuasa. Peniaga pula tidak harus mementingkan keuntungan semata-mata. Tadbir urus korporat yang baik serta kepekaan terhadap hak-hak pengguna, alam sekitar, masyarakat awam dan sebagainya harus menjadi tumpuan utama dalam urusan memajukan perniagaan syarikat. Bukan setakat itu sahaja, malah dalam masyarakat yang memahami erti pengorbanan yang sebenar, kalau kita ke pasar pun, kita harus mendapat barangan dan hasil tanaman yang bermutu, hasil pengorbanan yang dilakukan oleh para pekebun, petani, penternak dan nelayan.
Hakikatnya, pengertian korban bukan bermaksud sekadar menyerahkan apa–apa yang kita sayangi untuk kepentingan orang lain yang lebih memerlukan. Ia sebenarnya menuntut lebih daripada itu di mana selain daripada harta, nyawa dan masa, pengorbanan juga memerlukan keazaman dan keihlasan yang tulin.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Menyebut tentang pengorbanan juga maka kita sebagai umat beriman tidak boleh melupakan pengorbanan saudara kita di Palestin. Ketika kita di sini boleh menyembelih binatang korban sedangkan rakyat Palestin bukan sahaja tiada binatang untuk dikorbankan malah batang tubuh mereka sendiri dikorbankan untuk memerdekakan bumi Aqsa. Kekejaman Yahudi Zionis yang berusaha untuk menubuhkan sebuah negara Israel Raya yang lebih besar wilayahnya, termasuk wilayah di Mesir, Syria dan Iraq, bahkan sehingga wilayah Arab Saudi termasuk kawasan Khaybar dan Kota Suci Madinah. Kuasa besar dunia bersekongkol dalam membekalkan semua jenis senjata, termasuk senjata pemusnah yang kononnya diharamkan, tetapi dihalalkan kepada mereka khususnya kepada Israel atas nama menjaga keselamatan dan keamanannya
Teruskan berdoa dan nyatakan kebersamaan kita bersama rakyat dan mujahidin di Palestin. Teruskan boikot barangan dan syarikat yang ada kepentingan dengan Israel disamping kita perkasakan pembelian barangan dan syarikat umat Islam. Pemimpin negara umat Islam mesti lebih berani dan tegas dalam menghentikan kerakusan dan keganasan zionis yahudi dan sekutu penjenayahnya. Kita dimuliakan kerana memperjuangkan Islam. Kita dihina kerana meninggalkan perjuangan Islam
Yakinlah kita dengan janji kemenangan daripada Allah
قَالَ الرَّسُوْلُ : لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي عَلَى الدِّينِ ظَاهِرِينَ، لِعَدُوِّهِمْ قَاهِرِينَ، لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَالَفَهُمْ إِلَّا مَا أَصَابَهُمْ مِنْ لَأْوَاءَ، حَتَّى يَأْتِيَهُمْ أَمْرُ اللهِ، وَهُمْ كَذَلِكَ قَالُوا: يَا رَسُوْلَ اللهِ، وَأَيْنَ هُمْ؟ قَالَ: بِبَيْتِ الْمَقْدِسِ وَأَكْنَافِ بَيْتِ الْمَقْدِسِ-رواه أحمد
Maksudnya :“Akan sentiasa ada daripada kalangan umatku suatu kumpulan yang nyata menegakkan agamanya (Islam) dengan gagah perkasa menghadapi musuh mereka. Mereka tidak boleh dimudaratkan oleh orang yang menentang mereka (atau mengecewakan), melainkan mereka hanya menghadapi sedikit kesusahan. Sehinggalah datang ketentuan (kemenangan dan pertolongan) Allah, sedang mereka masih tetap dalam keadaan begitu.”
Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, di manakah mereka? Baginda menjawab, “Di Bait al-Maqdis dan sekitar Bait al-Maqdis.”
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan