أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Rabu, 4 Oktober 2023

Khutbah Jumaat : Rasulullah s.a.w DiTeladani Mangsa Musibah DiSantuni

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ !!الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah !Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa.Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Firman Allah dalam ayat 21 surah al-Ahzab : لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللهَ كَثِيرًا Maksudnya : Sesungguhnya adalah bagi kamu contoh ikutan yang terbaik pada diri Rasulullah s.a.w, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) pada hari akhirat. Dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya Kini kita masih berada dalam bulan Rabiul Awwal yang merupakan bulan kelahiran junjungan besar nabi Muhammad s.a.w nabi akhir zaman pembawa rahmat kepada seluruh alam. Hadirnya bersama misi dan visi yang besar iaitu memastikan umat manusia yang tenggelam dalam cara hidup jahiliah terutama syirik kepada kembali MengEsakan Allah, daripada mengikut hawa nafsu kepada tunduk kepada suluhan wahyu, daripada sikap kebinatangan kepada akhlak yang mulia. Kita sebagai umat yang beriman begitu yakin bahawa pada diri Rasulullah s.a.w mempunyai contoh teladan yang terbaik dari pelbagai aspek kehidupan samada cara berkeluarga, cara berekonomi, cara bersosial, cara berpolitik, cara bernegara dan sebagainya. Bila kita benar-benar beriman kepada Allah dan rasulNya maka setiap tindak tanduk kita akan membawa kebaikan bukan sahaja pada diri sendiri malah mampu menyebar luaskan kebaikan kepada sekitar. Hanya umat yang meyakini bahawa perlunya kita kepada pengutusan nabi untuk membimbing umat manusia dalam mengurus kehidupan dunia berteraskan agama bagi mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan yang paling penting di akhirat nanti. Islam melarang kita mendewakan nabi sehingga dianggap sebagai Tuhan sebagaimana sesatnya Kristian yang mempertuhankan nabi Isa a.s . Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat 107-108 surah al-Anbiya’: وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ قُلْ إِنَّمَا يُوحَىٰ إِلَيَّ أَنَّمَا إِلَٰهُكُمْ إِلَٰهٌ وَاحِدٌ ۖ فَهَلْ أَنْتُمْ مُسْلِمُونَ Maksudnya : Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya yang diwahyukan kepadaku (mengenai ketuhanan ialah) bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan yang bersifat Esa, maka adakah kamu mahu menurut apa yang diwahyukan kepadaku?” Menurut Ibnu Abbas, Allah mengutus Nabi Muhammad sebagai rahmat bagi seluruh manusia, baik mukmin mahupun kafir. Rahmat bagi orang mukmin yaitu Allah memberinya petunjuk dengan sebab diutusnya Rasulullah. Baginda penyebab memasukkan orang-orang beriman ke dalam syurga dengan iman dan amal mereka terhadap ajaran Allah. Sedangkan rahmat bagi orang kafir, berupa tidak disegerakannya bencana yang menimpa umat-umat terdahulu yang mengingkari ajaran Allah. Tafsir Imam Al-Baidhawi menyebutkan bahawa secara bahasa rahmat bererti : kelembutan hati dan perasaan melindungi yang mendorong untuk memberi dan berbuat baik. Dari sini diambil kata rahim wanita kerana dia melindungi apa yang ada di dalamnya. Dengan pengertian kata rahmat seperti ini, maka tujuan Rasulullah s.a.w. diutus beserta seluruh isi serta cara penyampaian risalahnya adalah untuk memberikan kelembutan dan perlindungan kepada seluruh semesta alam. Misi baginda bukanlah untuk membawa bencana dan keresahan di muka bumi. Dari sini terlihat bahawa misi Nabi Muhammad s.a.w. adalah menjaga dan mengembangkan sifat rahmat yang telah dipersiapkan dalam jiwa kita sejak kita masih dalam kandungan. Dan sampai saat kita meninggalpun kita mengharap untuk masuk dalam lingkaran rahmat itu dengan ungkapan “almarhum” iaitu yang memperolehi rahmat, kelembutan dan perlindungan daripada Allah Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Tanda syukur kita atas nikmat pengutusan nabi Muhammad s.a.w yang membawa rahmat kepada sekalian alam ini maka wajib kasih dan cinta kepada nabi s.a.w lebih daripada segala yang lain. قال الرسول: وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لاَ يُؤْ مِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُوْنَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَلِدِهِ وَوَالِدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِيْنَ – متفق عليه Maksudnya:Demi jiwaku ditanganNya! Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga aku lebih dikasihinya daripada anaknya, bapanya sendiri dan sekalian manusia Sabda Nabi SAW dalam riwayat Anas bin Malik: ثَلاَثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلاَوَةَ الإِيمَانِ: أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا، وَأَنْ يُحِبَّ المَرْءَ لاَ يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ، وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ Maksudnya: “3 perkara di mana sesiapa memilikinya, maka dia akan merasai kemanisan iman: [1]seseorang yang menjadikan Allah dan Rasul-Nya sebagai yang paling dicintainya, [2] tidak mencintai seseorang melainkan keranaNya dan [3] membenci untuk kembali kekufuran sepertimana dia tidak suka untuk dicampakkan ke dalam neraka.” Imam an-Nawawi berkata, :“Makna manisnya iman adalah kelazatan dalam melakukan ketaatan dan berani menanggung beban berat ketika menjalankan suruhan agama, serta lebih mengutamakan agama daripada dunia. Cinta hamba kepada Allah dapat terwujud dengan mengerjakan ketaatan dan menjauhi maksiat atau kedurhakaan”. Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam surah ad-Dhuha ayat 6-11: أَلَمْ يَجِدْكَ يَتِيمًا فَآوَىٰ ‎﴿٦﴾‏ وَوَجَدَكَ ضَالًّا فَهَدَىٰ ‎﴿٧﴾‏ وَوَجَدَكَ عَائِلًا فَأَغْنَىٰ ‎﴿٨﴾‏ فَأَمَّا الْيَتِيمَ فَلَا تَقْهَرْ ‎﴿٩﴾‏ وَأَمَّا السَّائِلَ فَلَا تَنْهَرْ ‎﴿١٠﴾‏ وَأَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثْ ‎﴿١١﴾‏ Maksudnya : Bukankah dia mendapati engkau yatim piatu, lalu Dia memberikan perlindungan? Dan didapatiNya engkau mencari-cari (jalan yang benar), lalu Dia memberikan hidayah petunjuk (dengan wahyu – Al-Quran)? Dan didapatiNya engkau miskin, lalu Dia memberikan kekayaan? Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya, Adapun orang yang meminta (bantuan pimpinan) maka janganlah engkau tengking herdik; ) Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya. Ketika menyoroti sirah perjalan hidup manusia Agong nabi Muhammad s.a.w maka kita akan dapati bagaimana kehidupan yang susah penuh mencabar dari usia kecil hinggalah wafat di mana ia adalah tarbiah dan didikan Allah bukan sahaja kepada baginda s.a.w tetapi juga kepada kita sebagai umatnya agar kita tidak memandang bahawa perjuangan Islam ini pasti akan diberikan dengan kemenangan yang mudah dan janji kejayaan yang senang. Sebaliknya kejayaan dan kemenangan Islam perlunya pengorbanan dan seribu macam kesusahan. Antara ujian kepada nabi s.a.w ialah [1] lahir sebagai anak yatim Piatu di mana ia ada hikmah tersembunyi. Pengaruhnya terhadap baginda SAW sangat luar biasa. Dia menjadi orang yang lebih kuat, baik secara jiwa dan mental. Hal ini membuat Baginda bersiap untuk misi mulianya sebagai seorang Nabi. [2] Ditinggalkan Orang-Orang tersayang yang banyak membantu misi dakwahnya antaranya isteri tercinta iaitu Khadijah yang banyak berdiri di sisinya, menawarkan tidak hanya dokongan emosi tetapi malah dokongan material kepada suaminya dan komuniti Muslim yang baru. Begitu juga kehilangan Abu Tolib yang turut menjadi pelindung yang kuat kepada nabi dalam menghadapi ancaman kejam dari orang-orang Mekah saat itu. Kesulitan dalam kerja dakwah di Mekah selama 13 tahun pertama di mana baginda dan para pengikutnya menghadapi banyak penganiayaan. Penentangan ini tidak menyebabkan nabi kecewa dan berputus asa malah kesabaran baginda lebih terserlah apabila memilih untuk mendoakan agar penduduk Taif diberi taufiq hidayah daripada Allah berbanding tawaran malaikat untuk menghempap mereka dengan gunung yang besar. عَنْ أبِي هُرَيْرَةَ قالَ: قِيلَ: يا رَسُولَ اللَّهِ ادْعُ عَلى المُشْرِكِينَ. قالَ: إنِّي لَمْ أُبْعَثْ لَعّانًا، وإنَّما بُعِثْتُ رَحْمَةً- رواه مسلم Maksudnya: “Dikatakan kepada Rasulullah s.a.w, : Do’akanlah kaum musyrik dengan keburukan! Baginda s.a.w bersabda, ‘Sesungguhnya, aku tidak diutus sebagai pengutuk, namun aku diutus sebagai pembawa rahmat.” [4] Begitulah saat getir ketika berada di Madinah walau pun telah memiliki kuasa pemerintahan namun terpaksa berdepan dengan musuh dalaman dari kalangan munafiq dan yahudi. Begitu juga siri peperangan dengan pihak kafir Quraisy Mekah yang terus memerangi nabi. Namun ketika berlakunya pembukaan Kota Mekah nabi telah memaafkan musuhnya sehingga ramai yang beriman. Manakala yang tetap kafir telah dilepaskan untuk keluar dari bumi Mekah secara aman kecuali beberapa orang dari kalangan mereka yang telah dijatuhkan hukuman Sidang Jumaat yang dihormati sekalian, Firman Allah dalam ayat 22 surah al-Hadid : مَا أَصَابَ مِن مُّصِيبَةٍ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي أَنفُسِكُمْ إِلَّا فِي كِتَابٍ مِّن قَبْلِ أَن نَّبْرَأَهَا ۚ إِنَّ ذَٰلِكَ عَلَى اللَّـهِ يَسِيرٌ ﴿٢٢﴾ Maksudnya : Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. Ketika kita bergembira menyambut Maulidurrasul s.a.w maka kita jangan lupa kepada penderitaan saudara kita yang sedang ditimpa musibah. Antaranya dunia digemparkan dengan kejadian gempa bumi berukuran 7.0 magnitud yang melanda beberapa wilayah di Morocco baru-baru ini. Pusat gempa bumi yang besar di wilayah Al-Haouz dan Taroudant. Angka korban telah mencecah 3000 orang sehingga kini dan dijangka akan mengingkat lagi. Dilaporkan juga lebih 4000 orang cedera dan kritikal. Mangsa-mangsa yang terselamat terpaksa tinggal di dalam khemah selepas rumah mereka musnah setelah menghadapi gempa bumi paling dahsyat di Maghribi dalam tempoh lebih 60 tahun. Kini mereka bergelut mencari makanan, air dan tempal tinggal yang selamat. Manakala di Libya pula dikejutkan dengan bencana banjir besar akibat Ribut Daniel. Pasukan penyelamat dilaporkan telah menemui ratusan mayat dalam serpihan bandar Derna di timur Libya, dan dikhuatiri jumlah korban akan meningkat dengan 10,000 orang dilaporkan masih hilang selepas air banjir dari Ribut Daniel melanda empangan dan menghanyutkan seluruh kawasan kejiranan. Kemusnahan berlaku di Derna dan bahagian lain di timur Libya Ketika kita sekarang boleh makan, minum, dan memiliki rumah, maka ingatlah saudara-saudara kita yang ditimpa pelbagai musibah termasuk banjir, gempa bumi dan sebagainya. Saat ini mereka sedang kesusahan dan kesulitan. Maka hulurkanlah tangan kita untuk membantu mereka semampu mungkin. Sedekah kita di dunia akan membawa kesenangan di akhirat kelak قال النبي :مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ-رواه مسلم Maksudnya: Sesiapa yang membantu menghilangkan kesusahan seorang mukmin di dunia, maka Allah akan menghilangkan kesusahan daripadanya pada hari kiamat بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: