أهلا وسهلا ومرحبا بكم
Kandungan Blog
Jumaat, 5 November 2021
Khutbah Jumaat : Sunnah Nabi s.a.w DiHayati Syafaat DiMiliki
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ !!الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah !Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa.Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 31 surah Ali ‘Imran :
قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ
Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Rabiul Awwal datang lagi bersama ingatan yang kuat kepada diri nabi Muhammad s.a.w yang bukan sahaja pembawa rahmat kepada sekalian alam untuk kita rasai di dunia yang sementara malah apa yang paling besar untuk kita meraih syafaat nabi di akhirat nanti. Syafaat bererti memohon atau mengharapkan bantuan di saat memasuki syurga Allah dan umat Nabi Muhammad SAW perlu kepada syafaat itu. Baginda yang turut dikategorikan kepada beberapa jenis agar setiap manusia tidak terlepas daripada mendapat keistimewaan syafaat daripada Rasulullah.
Rasulullah SAW juga berpesan, bahawa Baginda adalah syafaat pertama untuk memasuki syurga. Manusia begitu memerlukan syafaat memandangkan perjalanan hidup yang dilalui tidak sempurna, banyak kelompangan dan sia-sia serta menghabiskan masa dengan melakukan perkara-perkara yang tidak mendatangkan manfaat. Apabila berada di Padang Mahsyar kelak, sudah tentu manusia akan membawa bersama banyak dosa dan pada ketika inilah syafaat diperlukan daripada Rasulullah SAW untuk membawa mereka ke dalam syurga.
Rasulullah SAW sendiri mendapat syafaat Allah untuk ke syurga dan ini membuktikan perlunya umat Baginda mendekatkan diri kepadanya untuk beroleh syafaat itu
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 23 surah Saba’ :
وَلَا تَنْفَعُ الشَّفَاعَةُ عِنْدَهُ إِلَّا لِمَنْ أَذِنَ لَهُ حَتَّى إِذَا فُزِّعَ عَنْ قُلُوبِهِمْ قَالُوا مَاذَا قَالَ رَبُّكُمْ قَالُوا الْحَقَّ وَهُوَ الْعَلِيُّ الْكَبِيرُ
Maksudnya : Dan tiadalah berguna syafa’at di sisi Allah melainkan bagi orang yang telah diizinkan-Nya memperoleh syafa’at itu, sehingga apabila telah dihilangkan ketakutan dari hati mereka, mereka berkata “Apakah yang telah difirmankan oleh Tuhan-mu?” Mereka menjawab: (Perkataan) yang benar”, dan Dia-lah Yang Maha Tinggi lagi Maha Besar
قال الرسول: لِكُلِّ نَبِىٍّ دَعْـوَةٌ مُسْـتَجَابَةٌ فَتَعَجَّـلَ كُلُّ نَبِىٍّ دَعْوَتَـهُ وَإِنِّى اخْتَبَأْتُ دَعْـوَتِى شَــفَاعَةً لأُمَّـتِى يَوْمَ الْقِيَـامَـةِ فَهِىَ نَائـِلَةٌ إِنْ شَـاءَ اللَّهُ مَنْ مَـاتَ مِنْ أُمَّـتِى لاَ يُشْرِكُ بِاللَّهِ شَيْئًا – رواه مسلم والترمذي وابن ماجه وأحمد
Maksudnya : Setiap Nabi mempunyai doa yang mustajabah, maka setiap Nabi doanya dikabulkan segera, sedangkan saya menyimpan doaku untuk memberikan syafaat kepada umatku di hari kiamat. Syafaat itu insya Allah diperoleh umatku yang meninggal tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu apapun
Tanda cinta Nabi SAW turut dapat dilihat dari sikap prihatinnya terhadap umatnya di padang Mahsyar kelak. Tatkala manusia gementar berhadapan penghakiman Allah SWT terhadap setiap amalan, Baginda SAW merayu kepada Allah SWT supaya umatnya diringankan beban dan dilepaskan daripada seksa api neraka.
Qadhi Iyadh menukil dalam kitab “asy Syifa Fii Huquqi al Musthafa” bahwa syafaat itu terbagi menjadi 5 bahagian :
Syafaat Pertama: Khusus dengan perantaraan Nabi Muhammad SAW yang bersifat menenangkan situasi dan mempercepat hisab kerana lamanya berdiri di padang Mahsyar pada hari qiamat. Tidak ada yang boleh memberikan syafaat ini kecuali nabi Muhammad SAW, dan ini merupakan “syafaat uzhma (syafaat paling agung)”.
Syafaat Kedua: Untuk memasukkan kaum ke Syurga tanpa hisab yang juga khusus pada Nabi kita SAW
Syafaat Ketiga: Untuk kaum yang ditetapkan masuk neraka, lalu Nabi SAW memberikan syafaat kepada mereka dan siapa saja yang dikehendaki Allah, sehingga mereka selamat dari dimasukkan ke dalam neraka.
Syafaat Keempat: Bagi orang-orang yang penuh dosa yang telah masuk neraka. Telah datang hadis-hadis sohih dengan mengeluarkan mereka dari neraka lantaran syafaat Nabi kita SAW, seluruh para Nabi as., para malaikat, dan orang-orang shalih dari hamba-hamba Allah yang mukmin.
Syafaat Kelima: Tentang penambahan darjat kedudukan di dalam surga untuk ahli Syurga yang amal-amalnya tidak cukup untuk mencapainya. Nabi Muhammad SAW pemilik wasilah yang paling tinggi kedudukannya di dalam Syurga.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
قال الرسول: ((أحق الناس بشفاعتي يوم القيامة من قال: لا إله إلا الله خالصة من قلبه) – رواه البخاري
Maksudnya:Yang akan mencapai kebahagiaan dan keuntungan melalui syafaatku ialah orang yang mengucap kalimah Lailahaillallah dengan hati yang ikhlas.”
Jika semasa hidup di dunia ini kita perlu kepada pertolongan ibubapa untuk menjalani kehidupan, orang yang berjawatan untuk memberi peluang kepada kita untuk mendapat sesuatu pekerjaan, orang kaya untuk untuk kita menumpang bantuan, pemimpin untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Maka begitulah pada hari akhirat maka bantuan yang dinamakan syafaat ini begitu diperlukan
Antara cara untuk kita meraih syafaat nabi pada hari akhirat nanti ialah dengan ikhlas mengucap 2 kalimah syahadah serta melaksanakan segala tuntutannya dengan menjauhi syirik menyutukan Allah dengan sesuatu yang lain serta melaksana segala suruhan dan meninggal segala laranganNya dalam setiap aspek kehidupan
Terutama ketika diuji dengan musibah covid-19 maka perbanyakkan amal ibadat disamping menjauhi maksiat. Ketika pintu masjid mula dibuka semula maka datanglah beramai-ramai dengan penuh rasa syukur kepada Allah. Jangan kembali kotori buku catatan amalan kita dengan dosa maksiat.
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Amalan yang membolehkan kita mendapat Syafaat nabi s.a.w pada hari akhirat lagi ialah dengan memperbanyakkan berselawat kepada Rasulullah s.a.w terutama pada hari Jumaat kerana Rasulullah pernah menyebutkan,
عَنْ أَبِى أُمَامَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَكْثِرُوا عَلَىَّ مِنَ الصَّلاَةِ فِى كُلِّ يَوْمِ جُمُعَةٍ فَإِنَّ صَلاَةَ أُمَّتِى تُعْرَضُ عَلَىَّ فِى كُلِّ يَوْمِ جُمُعَةٍ ، فَمَنْ كَانَ أَكْثَرَهُمْ عَلَىَّ صَلاَةً كَانَ أَقْرَبَهُمْ مِنِّى مَنْزِلَة
ً
Dari Abi Umamah berkata, Rasulullah SAW bersabda: Banyakkanlah berselawat ke atasku di setiap hari Jumaat kerana selawat umatku diperlihatkan kepadaku pada setiap hari Jumaat. Maka sesiapa yang paling banyak selawatnya ke atasku, dialah yang paling dekat kedudukannya denganku. (HR al-Baihaqi)
Jangan jadi manusia yang kedekut iaitu yang begitu berat lidahnya untuk berselawat kepada nabi s.a.w. Biasanya bila kita terlalu kasih dan sayang kepada seseorang maka kita banyak menyebut nama dan kelebihannya. Begiulah apa yang sepatutnya kita lakukan dalam kehidupan seharian dengan memperbanyak selawat kepada nabi, membaca seterusnya mencontohi cara hidup nabi s.a.w untuk berjaya dunia dan akhirat
Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,
Daripada Abdillah bin ‘Amr bin ‘Asr RA, sesungguhnya dia mendengar Nabi SAW bersabda:
إِذَا سَمِعْتُمُ الْمُؤَذِّنَ، فَقُولُوا مِثْلَ مَا يَقُولُ ثُمَّ صَلُّوا عَلَيَّ، فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً صَلَّى الله عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا، ثُمَّ سَلُوا اللهَ لِيَ الْوَسِيلَةَ، فَإِنَّهَا مَنْزِلَةٌ فِي الْجَنَّةِ، لَا تَنْبَغِي إِلَّا لِعَبْدٍ مِنْ عِبَادِ اللهِ، وَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ أَنَا هُوَ، فَمَنْ سَأَلَ لِي الْوَسِيلَةَ حَلَّتْ لَهُ الشَّفَاعَةُ
Maksudnya: “Apabila kamu mendengar muazdin, maka ucapkanlah sepertimana yang sedang diucapkan oleh muadzin. Kemudian berselawatlah kamu ke atasku kerana barangsiapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat maka Allah akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh (10 kali selawat). Setelah itu, mohonlah (doalah) kepada Allah terhadapku sebagai wasilah kerana ia merupakan salah satu tempat (kedudukan di dalam Syurga) di mana dia tidak layak untuk sesiapapun melainkan buat hamba-hamba Allah. Aku mengharapkan agar aku adalah orang tersebut (yang layak di kedudukan tersebut di dalam Syurga kelak). Maka barangsiapa yang memohon kepadaku wasilah maka layaklah baginya untuk mendapatkan syafaat (syafaat Nabi SAW).” [Riwayat Muslim (384)]
Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Minhaj Syarah Sahih Muslim menukilkan bahawa hadith ini menunjukkan sunat berselawat ke atas Nabi SAW selepas daripada selesai menjawab azan. Di samping itu juga, sunat seseorang itu berdoa atau memohon wasilah kepada Nabi SAW. Tambahan pula, sunat juga bagi orang yang mendengar azan untuk menjawab setiap daripada perkataan-perkataan muadzin itu selepas daripada muadzin selesai menyebutnya dan dengan tidak menunggu lama untuk menjawabnya.
Marilah kita sama-sama subukan rasa kasih dan sayang kepada nabi s.a.w dengan meneladani segala tunjuk ajar baginda dalam setiap aspek kehidupan bukan setakat dalam ibadat khusus seperti solat, puasa sahaja malah dalam berpolitik, berekonomi, bersosial dan sebagainya. Dengan mencotohi cara hidup nabi s.a.w maka kita bukan sahaja diberkati dan berjaya di dunia malah akan beroleh syafaat nabi di akhirat seterusnya meraih Syurga Allah yang penuh dengan segala kenikmatan
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan