أهلا وسهلا ومرحبا بكم
Kandungan Blog
Jumaat, 15 Februari 2019
Murabbi Memimpin Ummah Sejahtera
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ!! الحَمْدُ للهِ القَائِلِ فِى كِتَابِهِ الكَرِيْمِ : يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قِيلَ لَكُمْ تَفَسَّحُوا فِي الْمَجَالِسِ فَافْسَحُوا يَفْسَحِ اللَّـهُ لَكُمْ ۖ وَإِذَا قِيلَ انشُزُوا فَانشُزُوا يَرْفَعِ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ ۚ وَاللَّـهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ﴿١١﴾
أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ .أَمَّا بَعْدُ
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 9 surah Az-Zumar:
أَمَّنْ هُوَ قَانِتٌ آنَاءَ اللَّيْلِ سَاجِدًا وَقَائِمًا يَحْذَرُ الْآخِرَةَ وَيَرْجُو رَحْمَةَ رَبِّهِ ۗ قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ ۗ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُولُو الْأَلْبَابِ ﴿٩﴾
Maksudnya : "(Engkaukah yang lebih baik) atau orang yang taat mengerjakan ibadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya? "Katakanlah lagi (kepadanya): "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.
Islam mewajibkan atas umatnya untuk belajar ilmu agama dan melaksanakannya dalam seluruh aspek kehidupan seterusnya menyebar luaskannya kepada anggota masyarakat agar keindahan Islam dapat dilihat dan dirasai. Kelangsungan dakwah Islam tertegak atas ilmu, kejayaan pembinaan tamadun sepadu antara kerohanian dan kebendaan juga tertegak atas ilmu. Maju dan mundurnya sesuatu bangsa dan negara bergantung kepada kekuatan ilmu. Penerusan budaya ilmu dan pengamalan kepada ilmu perlu kepada murabbi sebagai pembimbing yang bukan sahaja mengajar malah menunjuk teladan yang terbaik. Ibarat suatu syair Arab yang berbunyi :
لَوْ لَا المُرَبِّي مَاعَرَفْتُ رَبِّيْ
Maksudnya : Tanpa murabbi nescaya daku tidak mengenali Tuhanku
Mimbar hari ini akan mengupas khutbah bertajuk : Murabbi Memimpin Ummah Sejahtera
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 2 surah al-Jumuat:
هُوَ الَّذِي بَعَثَ فِي الْأُمِّيِّينَ رَسُولًا مِّنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِن كَانُوا مِن قَبْلُ لَفِي ضَلَالٍ مُّبِينٍ ﴿٢﴾
Maksudnya : Dia lah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.
Murabbi dalam Islam membawa maksud yang luas melebihi tahap muallim. Konsep Murabbi merujuk kepada pendidik yang bukan sahaja mengajarkan sesuatu ilmu tetapi dalam masa yang sama cuba mendidik rohani, jasmani, fizikal dan mental anak didiknya untuk menghayati dan mengamalkan ilmu yang telah dipelajari. Justeru, Murabbi lebih menumpukan penghayatan sesuatu ilmu, sekaligus membentuk keperibadian, sikap dan tabiat anak didiknya. Oleh itu, tugas “Muallim” banyak berlegar di “akal” tetapi tugas Murabbi berlegar di “hati”.
Bila berbicara berkenaan murabbi maka kita sebagai umat beriman kepada Allah dan rasulNya sudah pasti meyakini bahawa Murabbi Agong ialah nabi Muhammad s.a.w itu sendiri. Antara tugas nabi Muhammad s.a.w sebagai murabbi yang mesti dicontohi dan diikuti oleh umat Islam ialah menggerakkan 3 tugas utama sebagaimana yang disebut oleh Allah dalam ayat 2 surah al-Jumaat iaitu: PERTAMA - Membacakan ayat-ayat Allah yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya. Matlamat dalam melahirkan masyarakat yang boleh membaca al-Quran tidak akan tercapai tanpa usaha yang bersungguh dan berterusan daripada setiap lapisan masyarakat bermula daripada ibubapa sehinggalah pemimpin negara. Al-Quran menjadi ubat mujarrab dalam menyembuh penyakit rohani dan jasmani. Jauhnya umat daripada al-Quran akan membawa kepada merebaknya pelbagai masalah termasuk aqidah, akhlak dan jiwa
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللهِ، يَتْلُونَ كِتَابَ اللهِ، وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ، إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمِ السَّكِينَةُ، وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمُ الْمَلَائِكَةُ، وَذَكَرَهُمُ اللهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ، وَمَنْ بَطَّأَ بِهِ عَمَلُهُ، لَمْ يُسْرِعْ بِهِ نَسَبُهُ
Maksudnya: “Dan tidaklah satu kaum itu berkumpul di rumah-rumah Allah (masjid) sambil membaca al-Quran dan mempelajarinya sesama mereka melainkan turunnya ketenangan kepada mereka, diliputi oleh rahmat Allah serta malaikat mengerumuninya dan Allah menjadikan makhluk-makhluk yang berada di sisi-Nya menyebut-nyebut mereka. Dan barangsiapa yang amalnya perlahan, maka nasabnya tidak dapat mengangkat darjatnya itu”. [Riwayat Muslim (2699)]
Sidang Jumaat yang diberkati Allah
Firman Allah dalam ayat 13 surah Luqman:
وَإِذْ قَالَ لُقْمَانُ لِابْنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ يَا بُنَيَّ لَا تُشْرِكْ بِاللَّـهِ ۖ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ ﴿١٣﴾
Maksudnya : Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa dia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar".
Tugas nabi Muhammad s.a.w sebagai Murabbi Agong yang KEDUA pula membersihkan manusia daripada aqidah yang sesat. Kemiskinan ilmu menyebabkan umat Islam mudah terkeliru dan dipesongkan oleh pelbagai ideologi atau fahaman yang menyeleweng seperti Liberal, Plurel dan sebagainya. Peranan ibubapa menjadi asas kepada kefahaman anak-anak berkaitan aqidah yang benar sebelum mereka melangkah ke alam persekolahan. Kecuaian ibu bapa dalam memandu dan mendidik anak-anak mereka dengan pendidikan yang baik, atas alasan kesibukan ibu bapa dan menyerahkan sepenuhnya kepada guru telah menyebabkan kerugian masa yang sangat berharga bersama anak-anak. Oleh itu, institusi kekeluargaan perlu dibangunkan dan dijadikan utama dalam komuniti agar ibubapa merasai kepentingan dan tanggungjawab dalam mendidik anak-anak
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّهُ كَانَ يَقُولُ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَا مِنْ مَوْلُودٍ إِلَّا يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ وَيُنَصِّرَانِهِ وَيُمَجِّسَانِهِ
Maksudnya: “Tidaklah dilahirkan seorang anak itu melainkan dia lahir dalam keadaan fitrah. Maka kedua ibubapanya yang bertanggugjawab meyahudikannya atau menasranikannya atau memajusikannya”. [Riwayat Muslim, no. Hadith 4805]
Tugas murabbi yang KETIGA iaitu mengajarkan umat dengan kitab Allah dan hikmat pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syariat agama. Kefahaman mendalam berkenaan syariat Islam yang menyeluruh akan melahirkan umat yang begitu cinta dalam mengamalkan sistem ekonomi, sosial, politik dan sebagainya berteraskan Islam. Akhirnya lahir umat Islam yang Aqidah kukuh, pengamal syariat yang amanah dan disempurnakan lagi dengan memiliki sifat mahmudah terpuji seperti ikhlas, menunaikan hak kepada ahlinya, menunai janji disamping menghindari segala sifat mazmumah tercela seperti riak, takabbur, suka menipu, menyebar fitnah, mengkhianati amanah dan sebagainya
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ: عَلَيْكُمْ بِالصِّدْقِ، فَإِنَّ الصِّدْقَ يَهْدِي إِلَى الْبِرِّ، وَإِنَّ الْبِرَّ يَهْدِي إِلَى الْجَنَّةِ، وَمَا يَزَالُ الرَّجُلُ يَصْدُقُ، وَيَتَحَرَّى الصِّدْقَ، حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللَّهِ صِدِّيقًا، وَإِيَّاكُمْ وَالْكَذِبَ، فَإِنَّ الْكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الْفُجُورِ، وَإِنَّ الْفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ، وَمَا يَزَالُ الرَّجُلُ يَكْذِبُ، وَيَتَحَرَّى الْكَذِبَ، حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللَّهِ كَذَّابًا. مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ.
Maksudnya : Hendaklah kalian selalu berlaku jujur, karena kejujuran membawa kepada kebaikan, dan kebaikan mengantarkan seseorang ke Surga. Dan apabila seorang selalu berlaku jujur dan tetap memilih jujur, maka akan dicatat di sisi Allâh sebagai orang yang jujur. Dan jauhilah oleh kalian berbuat dusta, karena dusta membawa seseorang kepada kejahatan, dan kejahatan mengantarkan seseorang ke Neraka. Dan jika seseorang senantiasa berdusta dan memilih kedustaan maka akan dicatat di sisi Allâh sebagai pendusta [Riwayat al-Bukhâri (no. 6094) ; Muslim (no. 2607)]
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 79 surah Ali Imran:
مَا كَانَ لِبَشَرٍ أَن يُؤْتِيَهُ اللَّـهُ الْكِتَابَ وَالْحُكْمَ وَالنُّبُوَّةَ ثُمَّ يَقُولَ لِلنَّاسِ كُونُوا عِبَادًا لِّي مِن دُونِ اللَّـهِ وَلَـٰكِن كُونُوا رَبَّانِيِّينَ بِمَا كُنتُمْ تُعَلِّمُونَ الْكِتَابَ وَبِمَا كُنتُمْ تَدْرُسُونَ ﴿٧٩﴾
Maksudnya : Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab ugama dan hikmat serta pangkat Nabi, kemudian dia tergamak mengatakan kepada orang ramai: "Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah". Tetapi (sepatutnya ia berkata): "Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya
Tugas sebagai murabbi yang ditinggalkan oleh nabi Muhammad s.a.w tidak terhenti dengan kewafatan baginda sebaliknya ia diteruskan sehingga qiamat. Kita mesti menjadikan manhaj rabbani dalam mendidik umat manusia untuk melakukan suatu amal dengan niat yang benar dan mengharapkan keredhaan Allah. Pendidikan yang menghubungkan kehidupan seorang hamba dengan Allah, misalnya dalam masalah keimanan, peribadatan, cinta kepada Allah, berakhlak yang baik. Imam Al-Tabari menafsirkan “rabbaniyyin” sebagai mereka yang menghimpunkan ilmu yang lahir dari mata hati dengan politik serta pembangunan masyarakat di samping mengislah urusan dunia dan akhirat mereka. Imam Al-Tabari turut menambah bahawa golongan rabbani juga bukan hanya dalam kalangan mereka yang berilmu, bahkan mereka memainkan peranan mengelola kehidupan manusia, seperti pemimpin yang mentadbir urusan manusia secara adil dan tidak berlaku zalim
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 110 surah Ali ‘Imran :
كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّـهِ ۗ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَّهُم ۚ مِّنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ ﴿١١٠﴾
Maksudnya : Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik
Mengakhiri khutbah pada hari ini, khatib ingin menyeru sidang Jumaat sekalian untuk sama-sama menghayati intipati khutbah yang telah disampaikan iaitu:
Pertama: Nabi Muhammad s.a.w adalah Murabbi Agong yang wajib dijadikan contoh teladan yang bukan terhenti dalam bidang pendidikan dan dakwah sahaja malah meliputi pentadbiran negara dengan menegakkan keadilan sistem Islam yang menyeluruh
Kedua: Setiap diri kita mesti memiliki sifat murabbi yang memainkan peranan dan fungsi yang sangat penting dalam membangunkan peradaban dan kemajuan sesebuah negara dan bangsa.
Ketiga: Semua pihak bermula daripada pemimpin di atas hingga rakyat biasa di bawah perlu berganding bahu dalam memartabatkan kerja dakwah dan amar makruf nahi mungkar untuk lahir sebagai umat yang terbaik sebagaimana yang pernah dicapai oleh umat berjaya sebelum kita
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan