أهلا وسهلا ومرحبا بكم
Kandungan Blog
Khamis, 17 Januari 2019
Islamkan Pendidikan Negara Menuju Masyarakat Sentosa
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ!!! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 1-2 surah al-Kahfi:
الْحَمْدُ لِلَّـهِ الَّذِي أَنزَلَ عَلَىٰ عَبْدِهِ الْكِتَابَ وَلَمْ يَجْعَل لَّهُ عِوَجًا ۜ﴿١﴾ قَيِّمًا لِّيُنذِرَ بَأْسًا شَدِيدًا مِّن لَّدُنْهُ وَيُبَشِّرَ الْمُؤْمِنِينَ الَّذِينَ يَعْمَلُونَ الصَّالِحَاتِ أَنَّ لَهُمْ أَجْرًا حَسَنًا ﴿٢﴾
Maksudnya : Segala puji tertentu bagi Allah yang telah menurunkan kepada hambaNya (Muhammad), Kitab suci Al-Quran, dan tidak menjadikan padanya sesuatu yang bengkok (terpesong): (Bahkan keadaannya) tetap benar lagi menjadi pengawas turunnya Al-Quran untuk memberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar) dengan azab yang seberat-beratnya dari sisi Allah, dan memberi berita gembira kepada orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka akan beroleh balasan yang baik.
Keberadaan kita pada hari Jumaat yang merupakan Penghulu segala hari yang memiliki kelebihan yang besar di mana kita mesti menggunakan sebaik mungkin kehadiran hari Jumaat untuk menambahkan amal ibadat disamping memohon keampunan daripada Allah atas ketelanjuran. Antara amalan terbaik pada hari Jumaat yang mulia ini ialah memperbanyakkan selawat ke atas nabi s.a.w, istighfar, berdoa dan membaca al-Quran terutama surah al-Kahfi
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: مَنْ قَرَأَ سُوْرَةَ الكَهْفِ في يَوْمِ الجُمُعَةِ، أَضَاءَ لَهُ مِنَ النُّوْرِ مَا بَيْنَ الجُمُعَتَيْنِ – رواه الحاكم والبيهقي
Maksudnya : Barangsiapa membaca surat al-Kahfi pada hari Jumaat nescaya Allah menerangi baginya dengan cahaya di antara dua Jumaat.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 13-14 surah al-Kahfi:
إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى. وَرَبَطْنَا عَلَى قُلُوبِهِمْ إِذْ قَامُوا فَقَالُوا رَبُّنَا رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ لَن نَّدْعُوَ مِن دُونِهِ إِلَهًا لَقَدْ قُلْنَا إِذًا شَطَطًا
Maksudnya : Sesungguhnya mereka itu para pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambah lagi bagi mereka petunjuk. Dan Kami kuatkan hati-hati mereka dengan kesabaran, tatkala mereka berdiri lalu berkata; Tuhan kami, Pengurus bagi langit-langit di bumi, kami tidak akan seru Tuhan selain Allah kerana kalau begitu, bererti kami berkata sesuatu yang melewati batas.
Kita baru sahaja menyambut tahun baru 2019 di mana kebanyakan ibubapa dan anak-anak begitu kalut dengan alam persekolahan. Setiap masing-masing ada pilihan tersendiri samada memilih sekolah kerajaan, swasta, tahfiz atau pondok dengan matlamat untuk lahir sebagai hamba Allah yang beriman dan beramal soleh yang berjaya di dunia dan akhirat. Ilmu ada suatu yang wajib dituntut terutama berkaitan dengan fardhu ain dan fardhu kifayah agar ia dapat memandu kita ke jalan yang benar serta tidak memisahkan antara agama dengan urusan dunia disampingkan sentiasa memberi ingatan penting tentang halal haram, dosa pahala, Syurga dan Neraka dalam setiap gerak kerja kita sebagai hamba Allah.
Imam al-Ghazali menukilkan bahawa semua manusia boleh belajar dan diajar dengan katanya: “Haiwan yang tidak berakal pun boleh dibentuk dan diajar, apatah lagi manusia yang waras dan berakal itu. Sudah tentu boleh mencapai dan mendapat ilmu dengan mempelajarinya dan belajar.”
Manakala Imam al-Syafie berpesan tentang 6 asas penting dalam menuntut ilmu yang perlu dipegang dan perlu ada dalam diri penuntut ilmu iaitu : kepintaran, keinginan, kerajinan, cukup perbelanjaan, sentiasa mendampingi dengan guru dan masa yang panjang
Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 13 surah Luqman:
وَإِذْ قَالَ لُقْمَانُ لِابْنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ يَا بُنَيَّ لَا تُشْرِكْ بِاللَّـهِ ۖ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ ﴿١٣﴾
Maksudnya : Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar"
Iman merupakan teras dalam pendidikan demi terbentuknya kesan didikan yang boleh dilihat dalam kehidupan. Khususnya adab dan tingkah laku berinteraksi dengan Allah Tuhan Pencipta dan juga makhlukNya. Justeru, iman menjadi keperluan penting dalam pendidikan. Dalam tugas keguruan, iman teramat penting untuk menjamin kelangsungan pendidikan dan kecemerlangannya. Guru yang beriman sentiasa bertindak mengikut peraturan dan keputusan yang dicapai bersama demi kejayaan umat dan yang kemuncaknya mencapai keredhaan Allah
Dalam konteks pendidikan, kerjaya kependidikan itu sendiri adalah tanggungjawab yang bermula dari sekecil-kecil perkara. Seorang ibu atau bapa bertanggungjawab untuk anaknya sejak seawal dalam alam rahim hinggalah dilahirkan ke dunia. Semenjak dilahirkan itu juga tanggungjawab pendidikan awal anak-anak teutama dalam akidah adalah amat besar yang akan menentukan sama ada anak-anak itu menjadi Majusi, Nasrani, Yahudi atau teguh sebagai Muslim. Ini bermakna pendidikan formal anak-anak iaitu di institusi pendidikan adalah kelangsungan tanggungjawab keluarga tersebut oleh seseorang guru. Guru juga adalah sebagai ibu dan bapa. Tanggunggjawab akan disusuli dengan ganjaran oleh Allah di akhirat.
Kita perlu akui bagaimana cabaran dalam mendidik anak-anak pada zaman yang penuh dengan ujian terhadap keimanan dan akhlak ini memerlukan kesungguhan dan berterusan tanpa mengenal erti penat dan lelah. Sayydina Umar Al-Khattab r.a pernah berpesan : “Ajarilah anak-anakmu sesuai dengan zamannya kerana mereka hidup pada zaman mereka bukan zamanmu. Sesungguhnya mereka diciptakan untuk zamannya, sedangkan kalian diciptakan untuk zaman kalian”.
Suatu ungkapan syair arab : “Seorang ibu adalah umpama sebuah sekolah, jika kamu persiapkannya; kamu sebenarnya mempersiapkan sebuah generasi yang baik akhlak dan keturunannya”.
Oleh itu musuh Islam berusaha dalam merosakkan 2 golongan iaitu perempuan sebagai ibu supaya meninggalkan peranan sebagai pendidik dengan disibukkan dengan kerjaya dan perkara lain serta merosakkan remaja dengan ideology sesat seperti liberal, tolak agama dan hanyut dalam hiburan melampau
Kita begitu bimbang apabila falsafah pendidikan barat yang diakui gagal oleh pakar pendidikan barat sendiri iaitu hanya melahirkan individu yang mementingkan diri sendiri dalam mengejar pangkat dan harta, tiada perasaan akibat jauh daripada panduan agama. Akhirnya bilangan sekolah dan university begitu banyak tetapi masalah kerosakan akhlak dan jenayah juga semakin banyak. Misalnya jenayah pelajar yang tercicir awal diperingkat sekolah menjadi pencuri kecil-kecilan manakala yang ada sijil Universiti menjadi perompak besar-besaran termasuk rasuah dan pecah amanah wang negara.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 35-36 surah al-Kahfi :
وَدَخَلَ جَنَّتَهُ وَهُوَ ظَالِمٌ لِّنَفْسِهِ قَالَ مَا أَظُنُّ أَن تَبِيدَ هَـٰذِهِ أَبَدًا﴿٣٥﴾ وَمَا أَظُنُّ السَّاعَةَ قَائِمَةً وَلَئِن رُّدِدتُّ إِلَىٰ رَبِّي لَأَجِدَنَّ خَيْرًا مِّنْهَا مُنقَلَبًا ﴿٣٦﴾
Maksudnya : Dan dia pun masuk ke kebunnya (bersama-sama rakannya), sedang dia berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan sebab kufurnya), sambil ia berkata: "Aku tidak fikir, kebun ini akan binasa selama-lamanya. Dan aku tidak fikir, hari kiamat kan berlaku; dan kalaulah aku dikembalikan kepada Tuhanku (sebagaimana kepercayaanmu), tentulah aku akan mendapat tempat kembali yang lebih baik daripada ini.
System pendidikan yang bersepadu antara agama dan dunia bakal melahirnya anggota masyarakat yang bertaqwa termasuk golongan kaya yang memikirkan masalah umat bukannya hanya memikirkan wang kekayaan semata-mata walau pun terpaksa mengorbankan maruah dan nyawa orang ramai. Kita berasa malu dan kecewa dengan sikap setengah pihak apabila berdepan dengan pendaftaran sekolah tahfiz bagaikan singa lapar untuk menutupnya sebaliknya tetapi bila berdepan dengan premis maksiat dan munkar seperti kelab malam bagaikan tikus ketakutan sehingga ia bukan sahaja tidak mampu dikurangkan seperti di Ibu Negara sendiri yang kini direkodkan mempunyai 627 premis hiburan berlesen. Malah ketika pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berusaha menghadkan operasi premis berkenaan setakat jam 1 pagi tetapi akhirnya dilihat tunduk dan akur dengan tuntutan desakan para pengusaha premis maksiat dan munkar itu. Sedangkan jika kita perhatikan di Singapura sendiri mereka lebih ketat berkaitan jualan arak dan operasi kelab malam.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 83-84 surah al-Kahfi :
وَيَسْأَلُونَكَ عَن ذِي الْقَرْنَيْنِ ۖ قُلْ سَأَتْلُو عَلَيْكُم مِّنْهُ ذِكْرًا﴿٨٣﴾ إِنَّا مَكَّنَّا لَهُ فِي الْأَرْضِ وَآتَيْنَاهُ مِن كُلِّ شَيْءٍ سَبَبًا ﴿٨٤﴾
Maksudnya : Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai Zulkarnain. Katakanlah: "Aku akan bacakan kepada kamu (wahyu dari Allah yang menerangkan) sedikit tentang perihalnya". Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadanya kekuasaan memerintah di bumi, dan Kami beri kepadanya jalan bagi menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya.
Sistem pendidikan juga bakal membentuk arah tuju negara samada tunduk patuh kepada syariat dan aqidah Islam atau sebaliknya. Ramai orang tidak melihat kepentingan status negara sama ada negara Islam atau sekular, sebaliknya menganggapnya sebagai jenama biasa sahaja. Bagi umat Islam yang sayang kepada agama, status itu penting kerana menggambarkan sejauh mana kefahaman tabiatnya, bahkan memberi kesan kepada hala tuju perjuangan Islam di negara. Jika gerakan meletakkan status negara sekular berjaya, maka tabiat Islam sebagai cara hidup sempurna dan menyeluruh akan terpencil sebagai ritual agama dalam konteks amalan peribadi. Islam tidak lagi mengawal kehidupan bermasyarakat mahupun negara sedangkan tabiat ajaran Islam bukan begitu, bahkan ia cara hidup lengkap daripada peringkat peribadi, masyarakat dan negara.
Jika kempen menjadikan status negara sekular berjaya, maka perbincangan mendaulatkan undang-undang dan peraturan Islam akan terhenti serta tidak relevan lagi. Ini kerana bagi fahaman sekular, agama semata-mata urusan peribadi. Misi membuktikan Islam itu rahmahtan lil ‘alamin akan terbantut kerana Islam sebagai sistem hidup termasuklah bernegara akan terhenti setakat amalan individu. Orang bukan Islam pula tidak berpeluang melihat betapa rahmatnya Islam apabila berkuasa akibat system Islam terhalang daripada dilaksana. Di negara sekular, hala tuju perjuangan Islam akan mencapai kemuncaknya sekadar menumpukan kepada isu seperti ibadat khusus dan akhlak peribadi, manakala menguatkuasakan al-hisbah dan menyuruh makruf mencegah mungkar akan terhenti kerana akan dianggap mengganggu kehidupan peribadi. Membuat penegasan negara ini sebagai Islam tatkala ada pihak bersungguh-sungguh mengungkapkannya sebagai sekular adalah tepat pada masanya dan sebagai langkah berani kerana didokong fakta terang dari sudut syarak, sejarah mahupun Perlembagaan Persekutuan. Jangan mengkhianati usaha murni pejuang kemerdekaan yang begitu bersungguh dalam memastikan Islam menjadi agama negara. Sebaliknya kita memperkasakan lagi usaha ini sehingga seluruh system Islam termasuk politik, ekonomi, sosial dan lain-lain mestilah berteraskan Islam. Islamlah nescaya kita selamat dunia dan akhirat
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Label:
Aqidah,
Kepimpinan Islam,
khutbah terbaru,
Tamadun Islam
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan