أهلا وسهلا ومرحبا بكم
Kandungan Blog
Rabu, 12 Disember 2018
ICERD DiTentang Islam DiJulang Ummah Gemilang
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ !!الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah !Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa.Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 103-106 Surah Al-Kahfi :
قُلْ هَلْ نُنَبِّئُكُم بِالْأَخْسَرِينَ أَعْمَالًا (103) الَّذِينَ ضَلَّ سَعْيُهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَهُمْ يَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ يُحْسِنُونَ صُنْعًا (104) أُولَٰئِكَ الَّذِينَ كَفَرُوا بِآيَاتِ رَبِّهِمْ وَلِقَائِهِ فَحَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فَلَا نُقِيمُ لَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَزْنًا (105) ذَٰلِكَ جَزَاؤُهُمْ جَهَنَّمُ بِمَا كَفَرُوا وَاتَّخَذُوا آيَاتِي وَرُسُلِي هُزُوًا (106)
Maksudnya : “Katakanlah (wahai Muhammad): "Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya?”; “(Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan".; “Merekalah orang-orang yang kufur (ingkar) akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan dengannya (adanya Hari Akhirat). Oleh itu gugurlah amal-amal mereka, maka akibatnya Kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka pada Hari Kiamat kelak”.); “(Mereka yang bersifat) demikian, balasannya Neraka Jahannam disebabkan mereka kufur (ingkar), dan mereka pula menjadikan ayat-ayatKu dan Rasul-rasulKu sebagai ejek-ejekan”.
Al-Quran, Sunnah dan sepakat para ulama bahawa Islam menjadi syarat sah kepada semua amalan agama dan juga amalan kehidupan dunia yang tidak terpisah daripadanya. Ketegasan diterima amalan di sisi Allah bersyaratkan Islam ketika berlakunya hisab di Hari Akhirat nanti, yang menjadi kemuncak wawasan kepada setiap orang yang beriman. Bermakna menolak dengan tegas ungkapan secara mudah: “Asalkan dia baik, walaupun tanpa Islamnya”.
Tidak dinafikan betapa Islam menilai juga kebaikan seseorang walaupun dia bukan Islam kerana Rasulullah S.A.W menghargai tokoh jahiliah yang berakhlak dan memberi penghormatan kepada keluarganya. Tetapi dalam hubungan sekadar urusan dunia sahaja. Adapun perhitungan Allah berlangsung sehingga Hari Akhirat yang tidak ada lagi perhitungan manusia, mewajibkan Islam menjadi syarat diterima di sisi Allah. Islam itu wajib menjadi dasar dan matlamat serta caranya juga menepati ajaran Islam. Islam menegaskan bahawa perjalanan seseorang manusia itu tidak tamat di Alam Dunia dan tidak berakhir dengan kematian. Selepas ini adanya Alam Barzakh yang lebih panjang daripada kehidupan dunia dan selepas alam kubur pula passti kita bakal menempuh Alam Akhirat yang kekal abadi.
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 85 surah Ali ‘Imran :
وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ ﴿٨٥﴾
Maksudnya : Dan sesiapa yang mencari ugama selain ugama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.
Atas keyakinan inilah maka kita umat Islam wajib menjaga kesucian agama Islam daripada dilanggar dan hak umat Islam dicabul. Islam sentiasa membuka pintu perbincangan antara agama dan perdamaian tetapi bukanlah sehingga dasar Islam digadai. Kenyataan terbaru UNESCO telah mengisytiharkan bahawa Islam adalah agama paling aman di dunia. Oleh itu bila umat Islam terus dituding sebagai penceroboh kepada sebuah kuil di Selangor minggu lepas ditambah dengan tuduhan melampau oleh pihak tidak bertanggungjawab di India bahawa orang Islam telah membunuh penganut Hindu dalam isu ini mesti ditentang dan dibersihkan segera. Semoga kes yang melibatkan pihak yang tertentu maka selesailah dengan cara yang baik bukannya dengan mengapikan api perkauman dan kebencian agama. Islam mengharamkan pencerobohan kuil atau gereja samada ketika aman atau perang
Kita juga mahu isu pengedaran risalah Kristian kepada umat Islam dibanteras dengan tegas bukan kes didakwa separuh jalan apabila Pejabat Peguam Negara mengarah kes ini ditarik balik dan pendakyah Kristian dari luar negara dihantar pulang tanpa sebarang tindakan yang sepatutnya. Kebebasan beragama ada batas bukan boleh diceroboh sesuka hati sehingga membelakangkan perundangan negara
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 58-59 surah an-Nahlu :
وَإِذَا بُشِّرَ أَحَدُهُم بِالْأُنثَىٰ ظَلَّ وَجْهُهُ مُسْوَدًّا وَهُوَ كَظِيمٌ﴿٥٨﴾ يَتَوَارَىٰ مِنَ الْقَوْمِ مِن سُوءِ مَا بُشِّرَ بِهِ ۚ أَيُمْسِكُهُ عَلَىٰ هُونٍ أَمْ يَدُسُّهُ فِي التُّرَابِ ۗ أَلَا سَاءَ مَا يَحْكُمُونَ ﴿٥٩﴾
Maksudnya : Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang dari mereka bahawa dia beroleh anak perempuan, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang dia menahan perasaan marahnya dalam hati. Dia bersembunyi dari orang ramai kerana (merasa malu disebabkan) berita buruk yang disampaikan kepadanya (tentang ia beroleh anak perempuan; sambil dia berfikir): adakah dia akan memelihara anak itu dalam keadaan yang hina, atau dia akan menanamnya hidup-hidup dalam tanah? Ketahuilah! Sungguh jahat apa yang mereka hukumkan itu.
Kehadiran nabi Muhammad s.a.w bersama mukjizat terbesar al-Quran telah mengubah cara hidup mengikut hawa nafsu kepada berpandu wahyu termasuk dalam mengembalikan kemulian wanita yang dizalimi dan ditindas oleh masyarakat jahiliah. Orang Yunani menganggap wanita sebagai bahan seronok sahaja. Orang Romawi memberikan hak atas seorang ayah atau suami menjual anak perempuan atau isterinya. Orang Arab memberikan hak atas seorang anak untuk mewarisi isteri ayahnya. Wanita tidak mendapat hak waris dan tidak berhak memiliki harta benda dan ramai anak perempuan dibunuh hidup-hidup.
Pada hari ini kita melihat kesan daripada tandatangan pengesahan kepada beberapa undang-undang antarabangsa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang berkait dengan wanita dan kanak-kanak sebelum ini menyebabkan negara kita sedang ditekan oleh masyarakat antarabangsa berdasarkan laporan pihak anti Islam dalam negara sehingga isu perkahwinan bawah umur cuba disekat sedangkan di Amerika Syarikat sendiri tiada had umur untuk perkahwinan dikekalkan. Begitu juga mahu mengkaji masalah khitan anak perempuan sedangkan sebagaimana maklum balas dari Menteri Kesihatan sendiri bahawa khitan yang dilaksana di Malaysia berbeza jauh dengan khitan masyarakat wanita di Afrika yang melampau daripada suruhan agama. Kita yakin bahawa khitan bukan adat tradisi tetapi ia adalah suruhan agama. Menurut Mazhab Syafei dan Hambali hukum khitan wajib bagi lelaki dan perempuan. Manakala mazhab Hanafi dan Maliki pula berpendapat adalah sunat bagi lelaki dan perkara yang elok bagi perempuan. Rasulullah SAW pernah bersabda kepada ‘Ummu ‘Athiyah RA:
اخْفِضِي وَلَا تَنْهَكي فإِنَّهُ أنْضَرُ لِلوَجْهِ وأحْظى عنْدَ الزَّوْجِ - رواه الحاكم
Maksudnya : Apabila engkau mengkhitan perempuan, sisakanlah sedikit dan jangan potong (bahagian kulit kelentit) semuanya, kerana ia boleh meceriakan wajah dan lebih disenangi oleh suami.
Apa yang lebih membimbangkan selepas tandangan Konvensyen Antarabangsa akan menyebabkan hak samarata yang dilaungkan termasuk dalam pembahagian pusaka yang bukan sahaja tidak mahu ikut al-Quran iaitu 2 bahagian anak lelaki untuk 1 bahagian anak perempuan malah waris bukan Islam boleh menerima harta pusaka dari keluarganya yang Islam. Kedudukan Amanah Raya turut terancam apabila harta pusaka yang bernilai ratusan juta yang tidak dituntut sebelum ini akan turut boleh dituntut oleh orang bukan Islam. Begitu juga masalah isteri akan diberikan hak untuk mencerai suami akibat pengesahan konvensyen sebelum ini. Islam hanya membenarkan suami sahaja melafazkan talak namun isteri yang menghadapi pelbagai masalah dalam rumahtangga berhak berpisah dengan cara tertentu seperti tebus talak dan sebagainya. Akibat kejahilan dan menjadi ‘pak turut’ golongan anti Islam maka kemuliaan Islam dinodai dan hak umat Islam bakal diceroboh sesuka hati
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 71 surah al-Mukminun:
وَلَوِ اتَّبَعَ الْحَقُّ أَهْوَاءَهُمْ لَفَسَدَتِ السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ وَمَن فِيهِنَّ ۚ بَلْ أَتَيْنَاهُم بِذِكْرِهِمْ فَهُمْ عَن ذِكْرِهِم مُّعْرِضُونَ ﴿٧١﴾
Maksudnya : Dan kalaulah kebenaran itu tunduk menurut hawa nafsu mereka, nescaya rosak binasalah langit dan bumi serta segala yang adanya. (Bukan sahaja Kami memberikan ugama yang tetap benar) bahkan Kami memberi kepada mereka Al-Quran yang menjadi sebutan baik dan mendatangkan kemuliaan kepada mereka; maka Al-Quran yang demikian keadaannya, mereka tidak juga mahu menerimanya;
Sabtu 8 Disember lalu telah mencatat sejarah negara apabila setengah juta majoritinya umat Islam sama-sama berhimpun di Dataran Merdeka bagi menunjukkan kejayaan menekan Kerajaan agar tidak mengesahkan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum atau International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination (ICERD) . Sepanjang sejarah, manusia berperang untuk mempertahankan hak mereka, malah untuk merampas hak orang lain. Adakah kita, dengan rela, akan menyerahkan hak kita? Kita bukan hendak mengambil hak orang lain. Kita hanya mempertahankan hak kita seperti yang telah dipersetujui dan termaktub dalam Perlembagaan. Kita mempertahankan peruntukan Perlembagaan yang sedia ada. Pelampaukah kita? Rasiskah kita?
Kita turut bimbang dengan cadangan supaya dibuang agama dan bangsa pada kad pengenalan kononnya bagi memelihara perpaduan mengandungi maksud jahat tersirat iaitu secara halus dan perlahan menghakis keistimewaan Islam dan Melayu yang menjadi identiti negara bernama Malaysia. Agama dan bangsa adalah identiti diri yang menjadi punca perpaduan sebuah masyarakat seperti Malaysia bukannya punca pertembungan dan perpecahan.
Sejarah negara membuktikan bagaimana usaha pejuang kemerdekaan membolehkan kontrak sosial antara kaum berjalan baik mengikut lunas perlembagaan. Kita pada hari ini merasai bagaimana hasil yang telah diperjuangkan oleh datuk moyang kita. Oleh itu jangan sama sekali kita menjadi pengkhianat sehingga anak cucu kita bakal melarat dan merempat dalam negara sendiri. Bak pesanan Pak Hamka : “Sekiranya engkau tidak berbuat apa-apa ketika Islam dipijak dan dihina maka lebih baik tukarkan bajumu dengan kain kafan”.
Islamlah necaya kita selamat dunia akhirat
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Label:
Aqidah,
Kepimpinan Islam,
khutbah terbaru,
Tamadun Islam
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan