أهلا وسهلا ومرحبا بكم
Kandungan Blog
Khamis, 13 September 2018
Hijrah DiHayati Keadilan Sistem Islam DiRasai
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah !Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa.Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 36 surah at-Taubah :
إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِندَ اللَّـهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّـهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ ۚ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنفُسَكُمْ ۚ وَقَاتِلُوا الْمُشْرِكِينَ كَافَّةً كَمَا يُقَاتِلُونَكُمْ كَافَّةً ۚ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّـهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ ﴿٣٦﴾
Maksudnya : Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah ugama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa
Kini kita telah berada di minggu terakhir bulan Zulhijjah dan juga penghujung tahun 1439H di mana tidak lama lagi kita akan sama-sama menyambut bulan Muharram tahun baru 1440H. Oleh itu marilah kita sama-sama menghitung diri tentang keadaan diri kita samada sepanjang tahun ini telah dapat berhijrah ke arah yang lebih baik atau masih di takuk yang lama atau yang lebih malang menjadi lebih teruk dari tahun sebelumnya. Hayatilah semangat hijrah sebagaimana yang diajar oleh nabi s.aw
قال الرسول : المُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ المُسْلِمُوْنَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ وَالمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللهُ عَنْهُ – رواه البخاري وأبو دأود والنسائي
Maksudnya: Seorang muslim ialah orang yang menyelamatkan saudaranya muslim yang lain melalui lidah dan tangannya. Dan seorang yang berhijrah ialah sesiapa yang berhijrah daripada perkara yang ditegah oleh Allah daripadanya
Muharram yang bakal menemui kita merupakan salah satu dari 4 bulan haram yang telah Allah muliakan. Secara khusus Allah melarang berbuat zalim pada bulan tersebut bagi menunjukkan kehormatannya. Larangan berbuat zalim pada bulan-bulan haram ini menunjukkan bahawa dosanya lebih besar daripada dikerjakan pada bulan-bulan selainnya. Sebaliknya, amal kebaikan yang dikerjakan di dalam bulan-bulan haram termasuk Muhharam juga dilebihkan pahalanya. Antaranya dianjurkan oleh Nabi s.a.w untuk memperbanyakkan puasa sunat.
قَالَ الرسول: أَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ رَمَضَانَ شَهْرُ اللَّهِ الْمُحَرَّمُ وَأَفْضَلُ الصَّلَاةِ بَعْدَ الْفَرِيضَةِ صَلَاةُ اللَّيْلِ – رواه مسلم
Maksudnya : Puasa yang paling utama sesudah puasa Ramadlan adalah puasa pada Syahrullah (bulan Allah) Muharram. Sedangkan solat malam merupakan solat yang paling utama sesudah solat fardhu.”
Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 74 surah al-Anfal :
وَالَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَالَّذِينَ آوَوا وَّنَصَرُوا أُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُؤْمِنُونَ حَقًّا ۚ لَّهُم مَّغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ
Maksudnya : Dan mereka yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dan mereka yang memberi tempat kediaman dan pertolongan maka merekalah orang-orang yang benar-benar beriman. Mereka memperolehi keampunan dan kurniaan yang mulia
Setiap kali menyambut kedatangan tahun baru Hijrah maka umat Islam dibentangkan dengan suatu peristiwa besar yang menjadi asas perkiraan taqwim Hijrah. Menyingkap sejarah penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah meninggalkan negara dan keluarga tersayang maka ia mengajar kita bagaimana penghijrahan baginda bukan setakat berpindah tempat tetapi menghijrahkan umat yang lemah kepada kuat, tertindas kepada bergerak cergas, melarat kepada berdaulat dan dakwah dalam lingkungan terbatas kepada seluruh masyarakat. Titik permulaan hijrah dan pembinaan negara menjadi tanda aras kebangkitan Islam yang seterusnya tersebar ke seluruh dunia.Hijrah dan pembinaan negara merupakan dua perkara saling berkait rapat antara satu sama lain. Hijrah bukan setakat mengangkat prestasi individu tetapi turut merangkumi hal ehwal kemasyarakatan dan negara.
Peristiwa hijrah merakamkan pembinaan sebuah negara. Pembinaan negara Madinah bukan secara kekerasan dan penaklukan. Baginda SAW mendirikan masyarakat baharu dalam negara yang aman, penjenamaan terhadap negeri yang menjadi asas pembentukan negara daripada nama asal Yathrib bererti berpecah kepada al-Madinah al-Munawwarah bererti Bandaraya Bercahaya dengan cahaya iman. Nama yang menunjukkan kedaulatan diiktiraf semua pihak. Rasulullah SAW memerdekakan umat Islam dengan terbentuknya negara Madinah yang menjadi milik semua kaum tanpa memilih apakah bangsa dan agama mereka. Muhajirin, Aus dan Khazraj serta Arab Wathani diiktiraf sebagai warganegara. Semua pihak dilindungi undang-undang di bawah kedaulatan negara Madinah. Setelah itu, kedudukan politik Madinah diperkuat melalui persefahaman semua pemimpin kaum dengan menyetujui butir-butir perjanjian Piagam Madinah. Pembinaan negara Madinah bukan bermakna menumpang hidup dan menyusahkan orang lain, Rasulullah dan para sahabat r.a. memainkan peranan membentuk masyarakat baharu dan membina kematangan politik.
Maksud suatu hadis yang diriwayatkan oleh imam Bukahri, : “Aku diperintahkan untuk berhijrah ke sebuah kota yang akan mengalahkan kota-kota lain. Kota itu disebut Yathrib. Itulah Madinah. Kota itulah yang akan membersihkan manusia (daripada segala keburukan dan kemusyrikan) sebagaimana tungku api menghilangkan kotoran besi,”
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 100 surah an-Nisaa’ :
وَمَن يُهَاجِرْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ يَجِدْ فِي الْأَرْضِ مُرَاغَمًا كَثِيرًا وَسَعَةً ۚ وَمَن يَخْرُجْ مِن بَيْتِهِ مُهَاجِرًا إِلَى اللَّـهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ يُدْرِكْهُ الْمَوْتُ فَقَدْ وَقَعَ أَجْرُهُ عَلَى اللَّـهِ ۗ وَكَانَ اللَّـهُ غَفُورًا رَّحِيمًا ﴿١٠٠﴾
Maksudnya : Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani
Keadaan penduduk Arab di Madinah tidak sehebat Quraisy Mekah yang memiliki kekayaan, menguasai perdagangan dan mempunyai struktur politik tersusun. Muhammad Ahsan dalam tulisannya Globalization and The Underdeveloped Muslim World : A Case Study Of Pakistan, antara tindakan awal yang dilakukan Rasulullah SAW ketika sampai di Madinah adalah mengadakan bancian penduduk.
Bancian tidak terbatas kepada bilangan penduduk dari segi pecahan jantina, kaum dan usia, bahkan merangkumi guna tenaga kerja, penguasaan ilmu pengetahuan, tahap literasi dan pegangan agama. Maklumat tepat mengenai profil penduduk merupakan komponen penting dalam merangka formula pemerintahan dan memastikan program dirangka menepati keperluan serta bersesuaian dengan budaya, komposisi, taburan penduduk setempat serta semasa. Data-data yang dikumpulkan dijadikan asas dalam perancangan dan pembangunan sistem serta corak pemerintahan negara. Diriwayatkan Rasulullah SAW menggali telaga-telaga baharu di sekitar Madinah sehingga air bersih cukup dibekalkan kepada seluruh penduduk. Baginda membawa gaya hidup baharu sehingga Madinah diriwayatkan menjadi bandar selamat.
Realiti baharu ini dikunci mati melalui pengharaman riba yang menjadi antara punca utama berlakunya eksploitasi dalam masyarakat. Walaupun demikian, golongan Muhajirin tidak mengambil kesempatan di atas hubungan ini, sebaliknya berusaha membina ekonomi sendiri melalui sektor perniagaan. Inilah kebijaksanaan strategi pembasmian kemiskinan yang amat signifikan dalam menghayati peristiwa hijrah yang seharusnya menjadi inspirasi dalam melakukan transformasi ummah. Islam membawa umat manusia kepada kemajuan bukan mundur ke belakang, membina masyarakat penyayang menghakis kezaliman, membentuk system yang adil menyisih penindasan
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 100 surah an-Nisaa’ :
الزَّانِيَةُ وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا كُلَّ وَاحِدٍ مِّنْهُمَا مِائَةَ جَلْدَةٍ ۖ وَلَا تَأْخُذْكُم بِهِمَا رَأْفَةٌ فِي دِينِ اللَّـهِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۖ وَلْيَشْهَدْ عَذَابَهُمَا طَائِفَةٌ مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ ﴿٢﴾
Maksudnya : Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman
Hijrah bukan sahaja membuka ruang untuk beribadat khusus seperti solat, puasa secara bebas malah membolehkan system politik, ekonomi, sosial berasaskan Islam dapat dilaksanakan. Keindahan Islam yang menyeluruh dapat dilihat dan dirasai
Oleh itu kita sebagai umat yang beriman kepada Allah dan hari akhirat sepatutnya merasa gembira dengan hukuman yang dilaksanakan ke atas pesalah budaya songsang oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu minggu lepas. Apa yang dikenalkan sebagai hukuman syarak walau belum menepati sepenuhnya apa yang diperintah oleh Allah, seringkali dikritik dan dipertikaikan oleh sebahagian umat Islam dengan pelbagai tuduhan sedangkan hukuman tersebut jauh lebih ringan dari sebatan dalam penjara, yang juga ternyata gagal mencegah jenayah berbanding hukuman syarak yang mahu mencegah jenayah dalam masyarakat. Hukuman ke atas pesalah yang ringan dengan 6 kali sebatan syarie tidak langsung menyakiti apalagi mencederakan pesalah. Ia sekadar memalukan dan yang lebih penting ialah ia bertaubat dan memohon keampunan Allah di atas kesalahannya. Bukan sahaja itu, hukum syarak juga mempunyai nilai pencegahan ke atas masyarakat di mana penyaksian ke atas hukuman itulah nilai pencegahan kepada orang ramai agar tidak melakukan kesalahan yang sama.
Ini berbeza dengan sebatan sivil yang ternyata gagal mencegah perbuatan jenayah walau pun keras seperti sebat sivil menggunakan buluh tumpat dalam keadaan pesalah ditelanjangkan kerana ia dilakukan secara tertutup. Kegerunan hanya ada kepada yang melakukan jenayah, bukan bersifat mencegah kepada mereka yang belum atau berhasrat melakukan jenayah. Oleh itu kita menyeru kerajaan pusat agar memberikan kesempatan kepada negeri-negeri melaksanakan hukum syarak yang berada di bawah bidang kuasa negeri, bukan mempertikaikannya. Apa yang dikesalkan ialah yang disensasikan dan difokuskan ialah hukuman sebat itu dan bukannya kebimbangan terhadap perbuatan LGBT yang semakin berleluasa meskipun ia sebagai suatu kesalahan jenayah. Islamlah nescaya kita selamat dan berjaya di dunia dan akhirat
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan