أهلا وسهلا ومرحبا بكم
Kandungan Blog
Sabtu, 10 Februari 2018
Kepimpinan Islam Menjamin Keamanan
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 256 surah al-Baqarah:
لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ ۖ قَد تَّبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ ۚ فَمَن يَكْفُرْ بِالطَّاغُوتِ وَيُؤْمِن بِاللَّـهِ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَىٰ لَا انفِصَامَ لَهَا ۗوَاللَّـهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ ﴿٢٥٦﴾
Maksudnya: Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
Hakikat peperangan dan kemenangan dalam Islam adalah jauh berbeza dengan misi dan cara peperangan yang dilakukan oleh manusia yang melanggar agama. Islam tidak membenar peperangan dengan tujuan untuk memaksa orang lain masuk Islam secara paksa. Islam melarang berperang dengan tujuan agar suatu bangsa atau manusia kuat mahu menguasai bangsa atau manusia lemah yang lain. Allah mencipta manusia berbangsa-bangsa dan bersuku-suku untuk saling mengenal, bukan untuk saling berbunuhan, bukan untuk saling menguasai. Islam tidak menjadikan matlamat peperangan untuk mencari keuntungan material atau kebendaan. Oleh itu, Islam mengenepikan sebarang bentuk kemenangan yang di belakangnya tersembunyi kerakusan ekonomi seperti memperluas pasaran untuk memasarkan hasil pengeluaran pihak yang menang atau untuk mendapatkan bahan mentah Negara yang dijajah atau untuk menyedut hasil mahsul sumber alam, atau untuk mendapatkan tempat strategik untuk kepentingan pihak yang menang. Islam juga melarang peperangan untuk memperolehi kemegahan peribadi untuk raja dan para pemimpin atau untuk memuaskan nafsu untuk mencapai ketinggian pangkat dan kekuasaan.
Memahami matlamat peperangan dan kemenangan Islam adalah untuk menegakkan kalimat Allah atas muka bumi. Peperangan dan kemenangan itu didahului oleh dakwah Islam. Peperangan baru terjadi sekiranya terdapat 2 keadaan yang memaksa iaitu: [1] Jika ada kekuatan kebendaan terutama ketenteraan musuh yang menghalang dakwah yang bersifat damai. [2] Apabila terjadi serangan terhadap kebebasan beragama dan godaan agar kaum Muslimin keluar dari agamanya, baik secara perseorangan atau secara berkelompok.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 41 surah at-Taubah :
انفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالًا وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya : Berangkatlah kamu baik dalam keadaan ringan atau pun berasa berat dan berjihadlah dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui
Sempena kita berada di bulan Jamadil Awwal maka marilah kita sama-sama mengambil pengajaran yang berguna daripada kejayaan Sultan Muhammad al-Fateh memasuki bandar Constantinople atau Istanbul Turki untuk membukanya pada hari Selasa 20 Jamadilawal tahun 857 Hijrah bersamaan 29 Mei 1453 Masihi. Janji nabi s.a.w tentang kehebatan panglima tentera dan pasukan tentera yang bakal menawan kota Constantinople ini telah disahut sejak dari zaman sahabat nabi RH lagi termasuk Abu Ayyub Al-Anshari sehingga kuburannya yang ditemukan dekat kubu Constantinople. 800 tahun selepas itu barulah apa yang dijanjikan oleh nabi s.a.w dicapai
قال النبي : لَتُفْتَحَنَّ الْقُسْطَنْطِينِيَّةُ، وَلَنِعْمَ الْأَمِيرُ أَمِيرُهَا، وَلَنِعْمَ الْجَيْشُ ذَلِكَ الْجَيْشُ- رواه أحمد
Maksudnya : Sungguh Constantinople akan dibuka, maka sebaik – baik panglima tenteranya adalah panglimanya dan sebaik – baik pasukan tentera adalah pasukan tersebut (yang membukanya)
Kejayaan besar Sultan Muhammad al-Fateh membuka Constantinople yang diubah nama kepada Islambol yang bererti Bandaraya Islam yang kemudian diubah kepada nama Istanbul. Sebalik kebesaran namanya maka di sana ada nilai-nilai tarbiyah yang dapat menjadi pelajaran berharga bagi pendidikan kita saat ini antaranya : [1] Kurikulum Pendidikan di mana dalam usia yang masih muda, Muhammad Al-Fateh sudah menghafal Al-Quran 30 Juz, menguasai Ilmu Hadits, memahami Ilmu feqah, matematik, ilmu falak, strategi perang, menguasai 6 bahasa. Ini membuktikan bahawa dalam konsep kurikulum haruslah dibangun di atas landasan Al-Quran. Belajar dan menghafalnya merupakan pelajaran yang terbaik daripada semua pelajaran yang lain. Sangat sulit dibayangkan jika generasi Islam saat ini tidak mampu membaca al-Quran dan memahaminya maka bagaimana mahum mencapai kejayaan yang dijanjikan oleh Allah. [2] Peranan Guru di mana peringkat awalnya Muhammad Al-Fateh sulit untuk dikawal oleh ayahnya yang ketika itu menjadi khalifah ke 6. Kebiasaan hidup mewah di istana sehingga menjadi anak yang manja, dia selalu berlindung di balik kebesaran pangkat ayah sehingga menyulitkan para ulama yang didatangkan ke istana untuk mendidiknya. Hingga akhirnya kelembutan dan ketegasan 2 ulama besar berhasil menundukkannya iaitu Syeikh Aaq Samsuddin dan Muhammad Ismail Al-Qurani. Diusianya yang 14 Tahun Muhamad Al-Fateh menjadi pemuda yang cerdas dan taat beragama. Muhamad Al-Fateh berkata tentang gurunya: “Penghormatanku kepada Syeikh mulia ini tanpa aku sedari. Aku boleh menjadi emosional di hadapannya. Aku merasa gementar di hadapannya sedangkan para guru yang lain ketika mereka datang menghadapku maka mereka yang gementar dihadapanku.”
Hal yang lebih menarik adalah pada saat Muhammad Al-Fateh meminta agar gurunya turut ikut berperang bersamanya. Setelah beberapa kali percubaan perang melawan pasukan musuh belum membuahkan hasil. Akhirnya utusan Sultan datang 2 kali ke khemah gurunya lalu gurunya berpesan bahawa: “Allah akan memberi kemenangan.” Sebuah motivasi yang sangat luar biasa. Tidak berhenti di situ, kerana Muhammad Al Fateh yang tidak puas dengan jawapan gurunya akhirnya baginda sendiri pergi menjumpai gurunya di mana baginda mendapati gurunya sedang sujud cukup lama kemudian bangun dan berkata kepada Muhamad Al-Fateh : “Aku selalu mendoakanmu semoga Allah menganugerahkan dengan kemenangan yang dijanjikan”.
Begitulah seharusnya seorang guru terus mendoakan kebaikan bagi murid-muridnya. Mengajar dengan penuh keikhlasan dengan jiwa yang bersih, berwibawa dan terus memberikan motivasi untuk kejayaan dunia dan akhirat.
[3] Pendidikan Akhlak dan kerohanian di mana keunikan dan sifat peradaban Islam asasnya adalah tauhid. Muhammad Al-Fateh adalah seorang yang selalu mendekatkan diri kepada Allah, sentiasa puasa sunat, tidak pernah masbuq dalam solat berjema’ah, membaca al-Quran dan qiamullail. Ini merupakan pelajaran penting bagi dunia pendidikan kita saat ini yang begitu banyak borientasi duniawi semata-mata menyebabkan lupa mendidik dan membina rohani pelajar. Kekuatan rohani begitu perlu dalam melahirkan seorang yang menghargai ilmu, menghormati Guru, tidak sombong dan adil. Bahkan setelah selesai membuka Kota Constantinopel, Muhammad Al-Fateh menemui gurunya untuk ikut berkhalwat di khemah dengan tujuan agar terhindar dari kehidupan dunia, jawatan dan harta yang melenakan yang akan membuatkannya lupa kepada Allah. Namun gurunya menolak dan meminta agar baginda tetap memimpin rakyatnya. Gurunya menasihatinya : “Jika engkau ikut bersamaku lalu mendapatkan hasil tarbiah kerohanian yang hanya untuk dirimu sendiri. Namun jika engkau memimpin dengan adil dan amanah maka kebaikanmu bukan hanya untuk dirimu tapi turut bermanfaat untuk rakyat jelata”.
Apa yang lebih penting ialah setiap pembukaan Negara adalah mahu meruntuhkan jahiliah dan dibangunkan system Islam bukannya menukar jahiliah kepada jahiliah yang baru, bukan menukar system zalim kepada system zalim yang lain, bukan menukar pemimpin sahaja tanpa menukar system penjajah kepada Islam
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 109 surah al-Baqarah :
وَدَّ كَثِيرٌ مِّنْ أَهْلِ الْكِتَابِ لَوْ يَرُدُّونَكُم مِّن بَعْدِ إِيمَانِكُمْ كُفَّارًا حَسَدًا مِّنْ عِندِ أَنفُسِهِم مِّن بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمُ الْحَقُّ ۖ فَاعْفُوا وَاصْفَحُوا حَتَّىٰ يَأْتِيَ اللَّـهُ بِأَمْرِهِ ۗ إِنَّ اللَّـهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ ﴿١٠٩﴾
Maksudnya : Banyak di antara Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana dengki yang timbul dari diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad s.a.w). Oleh itu, maafkanlah dan biarkanlah oleh kamu (akan mereka), sehingga Allah datangkan perintahNya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Negara dihangatkan dengan keputusan Mahkamah tentang pembatalan status Islam 3 anak seorang muallaf 2 minggu lepas. Masalah seumpama ini sebenarnya telah menjadi perbincangan hangat di kalangan para ulama sejak zaman dahulu, kerana negara Islam sangat berpengalaman mentadbir masyarakat majmuk. Secara khusus apabila berlakunya perceraian dan masalah penjagaan oleh ibu yang bukan Islam. Para ulama Mazhab Syafie dan Hanbali dengan tegas mengamalkan konsep berkebajikan dengan mewajibkan pihak Islam hendaklah diberi hak menjaga anak kerana melihat pengawasan Islam terhadap kepentingan anak adalah menyeluruh. Bukan sahaja dalam aspek agama dan menyusu anak secara zahirnya, bahkan juga dalam aspek pemakanan yang halal kerana semua makanan yang haram adalah mendatangkan mudarat kepada jasad, roh dan akal kanak-kanak yang dijaga. Tanpa menafikan naluri kesayangan ibu terhadap anak secara zahirnya, tetapi tidak ada kawalan terhadap pemakanan yang halal, kerana agama lain tidak mengharamkannya. Di samping itu, aspek akhlak yang berbeza dalam menilai baik dan buruk secara fitrah juga diberi perhatian. Islam juga memberi jaminan wajibnya ke atas anak menunaikan kewajipan terhadap ibubapa yang tidak beragama Islam, walaupun anak itu tetap memilih agama Islam. Perkara ini tidak ada dalam kitab suci agama yang lain daripada Islam. Oleh itu, tidak boleh ada kebimbangan oleh kalangan bukan Islam terputusnya hubungan keluarga dengan sebab ahli keluarganya menganut Islam.
Adapun Mazhab Hanafi dan Maliki mengizinkan ibu bukan Islam menjaga anak, tetapi dengan syarat jaminan yang sebenar dapat memelihara kesucian akhlak dan fitrah anaknya serta tidak juga memberi makanan yang haram seperti daging babi, meminum arak dan sebagainya. Pandangan ini berdasarkan kepada negara dan masyarakat yang dilaksanakan Islam sepenuhnya sehingga dapat mengawasi anak tersebut dengan menjaga sensitiviti bapa dan masyarakat yang menganut Islam. Masalahnya, adakah aspek ini dapat dijaga dalam masyarakat yang telah meletakkan Islam tidak ada pengawasannya yang sempurna?. Sepatutnya badan kehakiman yang membuat keputusan hendaklah mengambil kira kedudukan agama Islam yang menjadi agama Persekutuan, serta bidang kuasa negeri terhadap urusan agama Islam dan peranan Raja-raja yang menjadi Ketua Agama Islam yang menjadi komponen penting dalam negara kita dengan nasihat para Mufti atau Majlis Fatwa masing-masing. Pada masa yang sama, hendaklah menjaga batas hak agama lain yang mensyaratkan menjaga batas keharmonian masyarakat majmuk. Benarlah kata al-Marhum Tuan Guru Hj Abdul Rahman pengasas Pondok Sungai Durian: “Harimau mati tinggalkan belang, penjajah pergi tinggalkan undang-undang”. Kini undang-undang penjajah digunakan dalam menafikan kuasa mahkamah Syariah. Oleh itu bersungguhlah kita dalam memperkasakan Mahkamah Syariah dan system Islam untuk Berjaya dunia akhirat. Jika orang bukan Islam bersungguh dalam usaha menghalalkan murtad dan budaya songsang maka kita sebagai umat Islam yang bermaruah mesti bangkit untuk menjaga aqidah dan maruah umat Islam. Islamlah nescaya kita selamat dan mulia dunia akhirat
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan