أهلا وسهلا ومرحبا بكم
Kandungan Blog
Rabu, 12 Oktober 2016
Hijrah Julang Islam Buang Jahiliah Raih Keberkatan
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 74 surah al-Anfal :
وَالَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَالَّذِينَ آوَوا وَّنَصَرُوا أُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُؤْمِنُونَ حَقًّا ۚ لَّهُم مَّغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ
Maksudnya : Dan mereka yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dan mereka yang memberi tempat kediaman dan pertolongan maka merekalah orang-orang yang benar-benar beriman. Mereka memperolehi keampunan dan kurniaan yang mulia
Kini hampir seminggu kita menyambut tahun baru 1438H di mana ia sepatutnya memberi makna yang besar dalam mengorak langkah kepada kehidupan yang lebih baik berasaskan Islam. Sempena berada pada bulan Muharram juga marilah kita sama-sama meningkat amalan soleh disamping memohon keampunan daripada Allah di mana kita digalakkan untuk banyak melakukan amalan puasa sunat pada bulan ini terutama pada hari Kesembilan-9 atau Tasua’ dan Ke-10 atau hari ‘Asyura’ daripada bulan Muharram
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” ….وَصِيَامُ يَوْمِ عَاشُورَاءَ ، أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ ” - رواه مسلم
Maksudnya : …..Adapun puasa hari Asyura, pahalanya di sisi Allah dapat menghapuskan dosa setahun sebelumnya
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 30 surah al-Anfal :
وَإِذْ يَمْكُرُ بِكَ الَّذِينَ كَفَرُوا لِيُثْبِتُوكَ أَوْ يَقْتُلُوكَ أَوْ يُخْرِجُوكَ ۚ وَيَمْكُرُونَ وَيَمْكُرُ اللَّـهُ ۖ وَاللَّـهُ خَيْرُ الْمَاكِرِينَ
Maksudnya : Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik (Mekah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya
Ketika menyoroti peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w yang dijadikan permulaan tahun baru umat Islam maka kita dapati ia suatu bukan peristiwa yang kecil sebaliknya mempunyai matlamat yang besar dalam perkembangan dakwah dan pemerkasaan system Islam yang menyeluruh. Antara matlamat Hijrah ialah [1] bertujuan untuk mencari satu `bumi subur' bagi menyemai dan menyuburkan benih dakwah, [2] mencari suatu pusat atau markas yang aman bagi melancarkan seruan dakwah, mengasaskan masyarakat Islam, menubuhkan sebuah kerajaan Islam serta merealisasikan kewujudan kaum muslimin sebagai satu entiti yang mampu berdiri dengan sendiri. [3] mewujudkan sebuah negara bagi agama Islam dan pengikut-pengikutnya sehingga dapat dikembangkan serta adanya golongan manusia yang menjaga dan melindunginya sehingga sanggup mempertaruhkan jiwa dan raga mereka. Sememangnya penghijrahan itu telah berjaya membawa kepada tertegaknya sebuah kerajaan dan masyarakat Islam serta melahirkan satu umat baru, iaitu sebaik-baik umat yang dikeluarkan untuk manusia.
Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,
Firman Allah dalam ayat 74 surah al-Anfal :
وَالَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَالَّذِينَ آوَوا وَّنَصَرُوا أُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُؤْمِنُونَ حَقًّا ۚ لَّهُم مَّغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ
Maksudnya : Dan mereka yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dan mereka yang memberi tempat kediaman dan pertolongan maka merekalah orang-orang yang benar-benar beriman. Mereka memperolehi keampunan dan kurniaan yang mulia
Memandangkan kepada matlamat Hijrah yang besar dalam mengubah dunia jahiliah yang zalim kepada system Islam yang adil, daripada kelam kufur kepada sinar iman maka sepastinya ia tidak berlaku secara spontan sebaliknya penuh perancangan yang rapi. Ia bermula dengan zaman pengasasan Islam selama 13 tahun di Mekah termasuk menjadikan Darul Arqam bin Abi al-Arqam sebagai markas dalam menyampaikan asas aqidah dan ajaran Islam kepada sekelompok sahabat baginda bagi membentuk generasi awal Islam yang akan memikul perutusan tersebut selepas baginda dan menyampaikan seruan dakwah ke seluruh alam disamping menyampaikan dakwah kepada orang-orang Quraisy dan masyarakat di sekelilingnya. Dakwah disampaikan kepada rombongan yang datang untuk mengerjakan haji pada setiap tahun dan juga kepada kaum Taif dalam satu pengembaraan yang menyedihkan. Dalam pada itu, baginda turut membenarkan para sahabatnya untuk berhijrah ke Habshah bagi menjaga keimanan mereka. Sementara baginda s.a.w sendiri terus menyampaikan dakwahnya kepada kabilah-kabilah Arab tanpa sedikit pun merasa putus asa daripada rahmat Allah. Sehinggalah Allah menyediakan bagi baginda satu kumpulan untuk membantu agamanya yang terdiri daripada penduduk Yathrib iaitu kaum Aus dan Khazraj. 2 kaum ini apabila `dibentangkan' Islam kepada mereka, dada mereka menjadi lapang serta terbuka hati mereka untuk memeluk agama tersebut malah bersedia mengorbankan harta dan jiwa dalam mempertahankan nabi s.a.w bila berlakunya hijrah ke Madinah.
Kita fahami daripada gerak kerja yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w iaitu perlu membina generasi yang mantap aqidahnya, indah akhlaknya dan mempunyai semangat juang yang tinggi dalam memperjuangkan system Islam barulah datangnya pertolongan dan kemenangan daripada Allah. Oleh itu usaha seumpama itu tidak hanya terhenti pada zaman nabi s.a.w dan zaman kegemilangan Islam sebelum ini sahaja sebaliknya ia wajib diteruskan pada zaman kita agar usaha dalam memastikan hijrah daripada system jahiliah kepada Islam dapat dilaksana. Pada tangan kita adanya 2 pilihan samada berhijrah kepada system Islam dalam politik, ekonomi, sosial untuk berjaya dunia akhirat atau terus berbangga berada bawah kezaliman system ciptaan manusia sehingga menghadapi satu demi satu bencana daripada Allah di dunia apatah lagi seksaan akhirat yang begitu dahsyat
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
قال الرسول : المُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ المُسْلِمُوْنَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ وَالمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللهُ عَنْهُ – رواه البخاري وأبو دأود والنسائي
Maksudnya: Seorang muslim ialah orang yang menyelamatkan saudaranya muslim yang lain melalui lidah dan tangannya. Dan seorang yang berhijrah ialah sesiapa yang berhijrah daripada perkara yang ditegah oleh Allah daripadanya
Semangat hijrah mesti bermula dalam diri kita sendiri melalui 4 perkara iaitu [1] Hijrah I’tiqadiyyah iaitu menjauhi diri daripada perkara yang boleh merosakkan iman samada dari segi pegangan, perbuatan mahu pun perbuatan [2] Hijrah Fikriyyah
iaitu pemikiran agar tidak terpesong dengan ajaran atau ideology sesat termasuk Islam Liberal sehingga merasakan agama hanya untuk amalan individu bukannya system yang boleh mengawal manusia daripada kerosakan aqidah, keruntuhan akhlak dan kezaliman jenayah. Golongan ini banyak menyokong tuntutan Comango antaranya menentang hukum murtad, menghalalkan kahwin sejenis dan budaya songsang serta minta dihapuskan hukuman syariat di mana tuntutan jahat ini boleh menyebabkan suburnya zina dan banyak perkara negatif yang lain. Ini suatu bencana yang bakal menambah masalah yang sedia ada termasuk dengan suatu laporan yang mendakwa Malaysia mencatat 52 pelacur bagi setiap 10,000 orang sehingga berada di tempat ke-8 tertinggi di dunia. Ini lebih teruk daripada Thailand yang menduduki tempat yang ke-10 dengan 45 pelacur bagi setiap 10,000 orang [3] Hijrah Syu’uriyyah atau cita rasa, kesenangan, kesukaan agar tidak terpengaruh dengan budaya hiburan melampau, pergaulan bebas, pakaian menjolok mata. [4] Hijrah Sulukiyyah iaitu tingkah laku atau keperibadian atau biasa disebut juga akhlak. Ibn Khaldun, telah menyatakan bahawa jatuh atau bangun, maju atau mundur sesebuah masyarakat dan ketamadunan itu sebenarnya dipacu oleh ketinggian nilai murni pemikiran yang dilihat dalam konteks moral dan akhlak yang berlaku di peringkat pemimpin dan masyarakat
Oleh itu hijrahlah diri kita untuk menjadi umat mulia dunia akhirat bukannya terus seronok dengan hawa nafsu sehingga tergelincir menjadi orang yang celaka di mana antara tanda orang yang akan mendapatkan kecelakaan di akhirat ialah:
1. Terlalu mudah melupakan dosa yang diperbuatnya, padahal dosa itu tercatat di sisi Allah. Orang yang mudah melupakan dosa ia akan malas bertaubat dan mudah mengerjakan dosa kembali.
2. Selalu mengingat dan membanggakan atas jasanya dan amal solehnya sedangkan dia sendiri tidak yakin apakah amal tersebut diterima Allah atau tidak. Orang yang selalu mengingat jasanya yang sudah lalu akan menimbulkan rasa ujub dan takabur seterusnya malas untuk berbuat kebajikan kembali di hari-hari berikutnya.
3. Selalu melihat orang yang lebih daripadanya dalam urusan dunia sehingga hidupnya selalu merasa kekurangan.
4. Selalu memandang ke bawah dalam urusan agama sehingga merasa puas dengan amalnya selama ini, sebab ia hanya membandingkan amalnya dengan amal orang lain yang lebih kurang amalan daripadanya sehingga semakin malas beribadat
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 96 surah al-A’araf :
وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آمَنُواْ وَاتَّقَواْ لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاء وَالأَرْضِ وَلَكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُواْ يَكْسِبُونَ
Maksudnya : Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.
Semangat Hijrah mesti dihayati dalam mewujudkan sebuah negara yang diberkati wajib berdiri atas dasar taqwa bermula daripada pemimpin, ulama’ dan seluruh rakyat jelatanya. Hijrah daripada sifat jahat kepada taqwa mampu menangani masalah pemimpin yang zalim dan pecah amanah, pegawai yang rasuah, ulama’ yang menjual agama, peniaga yang menipu, majikan yang menindas, pekerja yang pecah amanah, anak yang derhaka, pelajar yang melawan guru dan sebagainya
Imam al-Ghazali melalui kita-kitabnya banyak menegur tentang bahayanya zalim termasuk melalui banyak suratnya yang dihantar kepada pemimpin, ulama’, menteri, pegawai, hakim agar sentiasa selari dengan kehendak Allah. Antara suratnya ialah yang berbunyi : ” Bertafakkurlah selama satu atau dua jam dan berfikirlah secara mendalam mengenai golongan miskin yang darah dan keringatnya dihisap oleh pegawai kerajaan. Berapa saat setelah itu maka anda akan melihat betapa rahsia Allah semuanya akan terbuka bagi anda dan doa rakyat didengar dan dimakbul oleh Allah. Janganlah lupa bahawa orang yang tidak adil bererti dia tidak taqwa. Berfikirlah seperti mukmin sejati dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi dengan keluhuran sempurna dan sederhana serta kasih sayang dan keadilan. Kasihanilah rakyat dan berbuat baik kepada mereka kerana saya benar-benar belajar daripada pengalaman bahawa kezaliman yang dilakukan oleh yang kuat ke atas yang lemah tanpa batas. Tahanlah diri daripada menyiksa rakyat yang tidak berdosa kerana ia dimurkai Allah kepadamu. Jika tidak mahu murka Allah maka perangilah kekejaman dan ketidakadilan”.
Oleh itu hijrahlah kepada sistem Islam supaya kita mampu meraih keberkatan dan kejayaan daripada Allah dunia akhirat.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan