أهلا وسهلا ومرحبا بكم
Kandungan Blog
Khamis, 2 Jun 2016
Islam DiMartabat, Fitnah DiSekat, Umat Selamat
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Renungilah firman Allah dalam ayat 7-8 surah al-Bayyinah:
إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ أُولَـٰئِكَ هُمْ خَيْرُ الْبَرِيَّةِ ﴿٧﴾ جَزَاؤُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ جَنَّاتُ عَدْنٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ۖ رَّضِيَ اللَّـهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ ۚ ذَٰلِكَ لِمَنْ خَشِيَ رَبَّهُ ﴿٨﴾
Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka itulah sebaik-baik makhluk. Balasan mereka di sisi Tuhannya ialah syurga Adn (tempat tinggal yang tetap), yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; kekallah mereka di dalamnya selama-lamanya; Allah reda akan mereka dan merekapun reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. Balasan yang demikian itu untuk orang-orang yang takut (melanggar perintah) Tuhannya.
Kini kita berada pada penghujung bulan Sya’aban yang turut mempunyai kelebihan dan catatan sejarah yang tersendiri. Nabi s.a.w bila ditanya tentang amalan baginda yang banyak berpuasa sunat pada bulan Sya’aban lalu baginda menjelaskan bahawa Sya’aban adalah bulan yang kebanyakan orang melalaikannya iaitu antara Rejab dan Ramadhan. Sya’aban merupakan bulan yang di dalamnya di angkat amalan-amalan kepada Allah. Maka nabi s.a.w ingin amalan diangkat sedangkan baginda dalam keadaan berpuasa.
Ibarat kata Ulama’ : "Bulan Rejab bulan menanam pokok. Bulan Syaaban bulan menyiram pokok. Dan bulan Ramadan bulan menuai buahnya." Begitu juga Hukama’ menyifatkan bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun daripada segala dosa, bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri daripada segala macam celaan manakala bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa. Marilah kita sama-sama menghidupkan bulan Sya’aban ini dengan pelbagai amalan soleh sebagai latihan awal dan persiapan dari segi rohani dan jasmani sebelum datangnya Ramadhan. Antara amalan sunat yang paling baik bulan Sya’aban ialah berpuasa sunat selain daripada memperbanyakkan doa, membaca al-Quran dan memohon keampunan kepada Allah
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,
Bulan Sya’aban yang sedang kita berada sekarang ini sarat dengan peristiwa yang besar yang pernah berlaku pada diri Rasulullah s.a.w dan para sahabat antaranya Peperangan Bani Mustaliq yang berlaku pada bulan Sya’aban tahun 6H . Peperangan ini meletus selepas Rasulullah s.a.w bertindak pantas menghantar tentera apabila mendengar bahawa Bani Mustaliq pimpinan al-Harith bin Abi Dirar sedang bersiap untuk menyerang umat Islam. Tindakan nabi s.a.w itu telah menyebabkan perancangan jahat Bani Mustaliq dapat dipatahkan dengan mudah sehingga ramai yang menjadi tawanan. Ini mengajar kita agar sentiasa bersiap sedia dengan kekuatan fizikal dan mental dari sudut ketenteraan dan keselamatan agar kedaulatan Negara terjamin dan perancangan jahat dapat dipatahkan dengan segera.
Apa yang lebih besar berlaku sepanjang peperangan ini ialah tersebarnya khabar ifk iaitu tuduhan zina terhadap Siti Aisyah RHA dengan Sofwan yang telah memberi kesan besar kepada Rasulullah s.a.w sendiri sehinggalah turunnya ayat al-Quran yang membersihkan Siti Aisyah RHA daripada tuduhan berat ini serta dijatuhkan hukuman qazaf terhadap mereka yang terlibat dalam menyebarkan tuduhan palsu ini. Ini semua mengajar kita bagaimana sekiranya zaman dahulu fitnah hanya disampaikan dari mulut ke mulut secara bisikan, namun sekarang ma¬nu¬sia tidak segan silu menjaja fitnah melalui kemudahan teknologi samada komputer mahupun telefon. Apatah lagi ia sangat mudah dilakukan. Dengan hanya menaip di papan kekunci, semua orang boleh membaca se¬baran fitnah yang disasarkan. Dan mereka yang menjadi ba¬han fitnah akan menanggung akibat yang mungkin me-ranapkan sebuah kehidupan. Fitnah juga merupakan tanda-tanda akhir zaman, di ma¬na pada zaman ini amat sukar untuk membezakan antara hak dan batil, sebagaimana ingatan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ibnu Majah :
عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : " سَيَأْتِي عَلَى النَّاسِ سَنَوَاتٌ خُدَّاعَاتٌ يُصَدَّقُ فِيهَا الْكَاذِبُ وَيُكَذَّبُ فِيهَا الصَّادِقُ , وَيُؤْتَمَنُ فِيهَا الْخَائِنُ , وَيُخَوَّنُ فِيهَا الأَمِينُ , وَيَنْطِقُ فِيهَا الرُّوَيْبِضَةُ " . قِيلَ : يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا الرُّوَيْبِضَةُ قَالَ : " الرَّجُلُ التَّافِهُ يَنْطِقُ فِي أَمْرِ الْعَامَةِ "
Maksudnya : Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan. Ketika itu pendusta dibenarkan sedangkan orang yang jujur malah didustakan, pengkhianat dipercaya sedangkan orang yang amanah justru dianggap sebagai pengkhianat. Pada saat itu Ruwaibidhah berbicara.” Ada yang bertanya, “Apa yang dimaksud Ruwaibidhah?”. Beliau menjawab, “Orang bodoh yang turut campur dalam urusan masyarakat luas.”
Sidang Jumaat yang diberkati Allah S.W.T,
Firman Allah dalam ayat 6 surah al-Hujurat :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِين
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.
Masyarakat negara kita dibentangkan dengan beberapa isu besar melalui media massa sama ada tv, radio, akhbar dan internet dengan menggunakan kaedah pemesongan pemikiran sehingga yang jahat dilihat baik, yang zalim dianggap adil, yang rosak didakwa berguna, yang hak dihukum batil, yang benar dipandang dusta. Oleh itu dalam menghadapi berita fitnah dan tidak jelas maka ikutilah nasihat ulama’ besar iaitu Abu Laith al-Samarqandiy melalui 6 cara. Pertama, jangan percaya kerana orang yang memfitnah itu tidak dapat diterima penyaksiannya. Kedua, kamu harus mencegah dari fitnah itu, sebab mencegah kemungkaran itu wajib. Ketiga, kamu harus membencinya, kerana ia adalah maksiat dan dosa. Keempat, kamu jangan bersangka jahat terhadap saudaramu yang difitnah itu, sebab berburuk sangka terhadap sesama Muslim itu hukumnya haram. Kelima, jangan kamu selidiki keadaan orang difitnah itu, sebab Allah melarang menyelidiki kejahatan orang. Keenam, jika kamu tidak menyukai perbuatan orang yang memfitnah itu, maka jangan mengikuti cakapnya, iaitu jangan memberitahu sesiapapun segala fitnah disebarkan itu
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 76 surah an-Nisa’:
الَّذِينَ آمَنُوا يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ۖ وَالَّذِينَ كَفَرُوا يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ الطَّاغُوتِ فَقَاتِلُوا أَوْلِيَاءَ الشَّيْطَانِ ۖ إِنَّ كَيْدَ الشَّيْطَانِ كَانَ ضَعِيفًا
Maksudnya : Orang-orang yang beriman berperang di jalan Allah dan orang-orang yang kafir berperang di jalan Toghut, oleh itu perangilah kawan-kawan syaitan itu kerana sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah
Kini kita berada dipenghujung bulan Mei yang meningatkan kita semua tentang sejarah hitam bagi umat Islam setiap kali tibanya 15 Mei yang digelar dengan NAKBAH- hari malapetaka dalam sejarah umat Islam terutamanya di Palestin, dengan penubuhan negara haram Israel pada 1948. Sehingga kini penderitaan saudara seagama kita di Palestin terus berlangsung. Malah usaha jahat zinonis Yahudi dalam membina Israel Raya yang memanjang Israel Raya sebagaimana dicita-citakan iaitu memanjang dari Syria hingga ke Iraq dan Mesir berpusat di Palestin terus berjalan dan apa yang lebih malang ia dilaksanakan pula melalui tangan umat Islam sendiri yang menjadi boneka kepada musuh Islam seperti tindakan kerajaan Mesir yang menghalau penduduk miskin sepanjang Sungai Nil atas alasan mahu membina pembangunan moden yang sebenarnya akan dijual kepada Yahudi. Ini akan memudahkan lagi perancangan Yahudi untuk menguasai Sungai Nil sebagaimana yang diidamkan dengan cara lebih mudah tanpa susah payah menyerang Mesir. Begitu juga kehancuran yang berlaku di Syria dan Iraq yang merupakan antara bumi idaman zionis Yahudi dalam merealisasikan Israel Raya. Oleh itu bangkitkan kita sebagai umat Islam yang bermaruah untuk menggagalkan segala perncangan jahat musuh Islam ini dalam meraih kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,
Renungilah firman Allah dalam ayat 208 surah al-Baqarah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ ﴿٢٠٨﴾
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Ugama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya keseluruhannya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.
Bulan Mei juga mengingatkan kita kepada suatu lagi peristiwa bersejarah dalam kamus umat Islam iaitu pembukaan Istanbul oleh Sultan Muhammad al-Fateh iaitu pada 29 Mei 1453. Rakyat Turki yang diasak dengan fahaman sekulerisme yang begitu lama kini dibebaskan sedikit demi sedikit untuk kembali kepada system kehidupan Islam yang sempurna. Perjuangan dalam memerdekakan pemikiran dan cara hidup jahiliah kepada Islam bukan suatu perkara yang senang dan mudah tetapi perlu kepada pengorbanan dan mujahadah. Begitulah juga kita di Malaysia di mana sama-sama kita berdoa kepada Allah semoga dengan kejayaan membawa cadangan agar pindaan kuasa bidang Mahkamah Syariah untuk lebih diperkasakan di Parlimen petang semalam akan menjadi pintu ke arah pelaksanaan perundangan Islam yang lebih menyeluruh pada masa akan datang. Walau pun kita tahu bahawa untuk keluar daripada tempurung sekulerisme sehingga lahirnya umat Islam sendiri yang bukan sahaja tidak yakin dengan perundangan Islam malah boleh menyokong murtad, hubungan sejenis malah mahu menguburkan badan agama Islam. Tanpa kesungguhan, istiqamah dalam memperjuangkan system Islam akan terus meletakkan umat Islam sendiri dalam kehinaan. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan