أهلا وسهلا ومرحبا بكم
Kandungan Blog
Jumaat, 15 Jun 2012
Isra' Mikraj DiHayati Sistem Islam DiJulang Tinggi
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Renungilah firman Allah dalam ayat 1 surah al-Isra’ :
سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلاً مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ البَصِيرُ
Maksudnya : Maha suci Allah yang memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari masjidil Haram ke masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.
Setiap kali berada pada bulan Rejab maka kita tidak lekang daripada memperkatakan tentang suatu peristiwa besar yang pernah berlaku pada tubuh nabi Muhammad s.a.w iaitu peristiwa Isra’ Mikraj yang menguji tahap keimanan manusia. Umat yang benar-benar beriman kepada Allah dan rasulNya sentiasa menerima apa sahaja yang berlaku sekalipun di luar jangkauan pemikiran manusia tanpa banyak soal dan pertikaian tetapi bagi manusia yang lebih banyak menggunakan akal yang lemah dan terbatas kemampuannya sentiasa mencari alasan untuk menolak kebenaran ini. Kita sebagai umat yang beriman kepada nabi Muhammad s.a.w sebagai nabi lagi rasul pilihan Allah yang memiliki mukjizat sepastinya dapat menerima sepenuh hati tanpa perasaan syak terhadap peristiwa hebat yang berlaku pada malam Isra’ Mikraj sedangkan manusia yang sentiasa melihat nabi Muhammad s.a.w tidak lebih sebagai manusia biasa dengan memisahkannya daripada mukjizat anugerah Allah sentiasa menolak sebarang yang berlaku ke atas tubuh nabi di luar jangkauan akal mereka. Keimanan terhadap peristiwa Isra’ Mikraj banyak mengajar kita tentang erti keimanan sebenar kepada Allah dan rasulNya yang bukan terhasil daripada akal yang mengikut hawa nafsu sebaliknya melalui ilmu yang disuluh dengan cahaya wahyu Allah. Budaya menerima dan menolak sesuatu perkara samada benar atau salah berdasarkan logik akal semata-mata semakin subur dalam masyarakat umat Islam sendiri sehingga pertikaian terhadap system al-Quran, hadis nabi dan ajaran agama berlaku silih berganti. Akhirnya timbul umat Islam yang mempertikaikan hukum Hudud, kewajipan menutup aurat, larangan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, pengharaman riba dan sebagainya. Perkara ini wajib diubati supaya ia tidak semakin membarah dalam merosakkan aqidah dan pengamalan syariat oleh umat Islam. Sesuai dengan tawaran antara susu dan arak kepada nabi pada malam Isra’ Mikraj di mana bila nabi memilih susu lalu dikatakan kepada baginda : “ Engkau telah dianugerahi fitrah. Jika engkau memilih arak nescaya engkau menyesatkan umatmu sendiri”. Pemilihan Islam yang suci berbanding kehidupan yang dimabukkan dengan hawa nafsu mengajar kita supaya sentiasa melawan sebarang pemikiran dan cara hidup yang bercanggah daripada Islam untuk Berjaya di dunia dan akhirat
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 45 surah al-‘Ankabut:
اتْلُ مَا أُوحِيَ إِلَيْكَ مِنَ الْكِتَابِ وَأَقِمِ الصَّلَاةَ ۖ إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ ۗ وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ ۗ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ
Maksudnya : Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.
Bulan Rejab dikenali sebagai bulan solat memandangkan kewajipan solat diterima oleh nabi Muhammad s.a.w dalam peristiwa Isra’ dan Mikraj secara langsung daripada Allah tanpa perantaraan malaikat Jibril. Melihat kepada kewajipan solat yang begitu istimewa maka kita yakin bahawa solat mempunyai banyak nilai dalam member kebaikan kepada umat Islam. Di antara nilai solat itu adalah [1] solat mendidik Muslim menyucikan dirinya dari sifat buruk. [2], solat mendidik kesatuan dan perpaduan ummah. Ini kerana setiap Muslim menunaikan solat akan menghadap ke arah satu qiblat yang sama, iaitu Baitullah al-Haram. Kesatuan dan perpaduan ini akan mewujudkan perasaan saling memahami dan saling melengkapi antara sesama Muslim. [3], solat mendidik Muslim supaya memiliki disiplin waktu. Setiap Muslim yang menunaikan solat akan selalu memerhati dan menunggu masuknya waktu solat, sekali gus akan berusaha menunaikannya tepat pada waktunya, di samping menundukkan nafsunya untuk tidak tenggelam dalam kesibukan duniawi. [4], solat mendidik setiap Muslim kepentingan tertib atau susunan organisasi. Solat berjemaah yang didirikan menuntut susunan jemaah yang berbaris lurus di belakang imam dengan memastikan tiadanya celah kosong antara setiap jemaah di kanan kirinya di samping menyedarkan umat Islam perlunya tertib organisasi di dalam segala lapangan hidup ummah. [5], solat mendidik Muslim terhadap ketaatan kepada pemimpin. Mengikuti imam dalam setiap gerakan rukun solat, dengan tidak mendahuluinya walau sesaat pun, menunjukkan adanya ketaatan dan komitmen yang tulus dari makmum, serta menjauhkan diri daripada keingkaran terhadap perintahnya, selama mana perintah itu tidak menjurus ke arah maksiat. [6], solat mendidik Muslim memiliki sifat keberanian menegur dan memperingatkan pemimpin. Jika imam terlupa dalam sesuatu rukun solat, maka makmum berkewajipan untuk memperingatkan dan menegur imamnya dengan membaca Subhanallah. Hal ini menunjukkan kewajipan rakyat untuk memperingatkan pemimpinnya jika melakukan kesalahan atau kesilapan dalam kepimpinannya atau tidak menunaikan hak kepada rakyatnya. [7], solat menyedarkan umat Islam persamaan hak antara sesama Muslim. Dalam solat berjemaah, pengisian saf atau barisan solat tidak didasarkan pada status sosial, pangkat kedudukan atau darjat seseorang, walau pun pada saf yang paling hadapan. Gambaran ini menunjukkan adanya persamaan hak tanpa mengambil kira kedudukan mahu pun tua umurnya, bukan saja di dalam solat jemaah, bahkan dalam arena kehidupan ummah. [8], solat mendidik umatnya mengamalkan gaya hidup yang sihat. Mendirikan solat secara istiqamah memberikan kesan kesihatan yang menyeluruh. Oleh itu tidak menjadi suatu perkara yang pelik apabila adanya kajian sains yang menunjukkan bagaimana solat yang sempurna mampu menajamkan otak, memperkuatkan sistem otot dan fizikal tubuh, gerakan jantung lebih teratur, orang yang bersolat jemaah mempunyai badan bertenaga dan lebih tenang, ubat mati pucuk kalangan lelaki dan masalah kelamin kaum wanita serta seribu macam lagi kebaikan.
Oleh itu pastikan diri, keluarga dan masyarakat kita sentiasa menjaga solat untuk kebaikan dan kebahagian hidup kita di dunia dan akhirat.
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 81 surah al-Isra’:
وَقُلْ جَاءَ الْحَقُّ وَزَهَقَ الْبَاطِلُ ۚ إِنَّ الْبَاطِلَ كَانَ زَهُوقًا
Maksudnya : Dan katakanlah:" Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap"
Melihat kepada kelebihan solat maka begitulah juga ibadat-ibadat khusus yang lain mempunyai kelebihan yang tersendiri. Oleh itu kita sebagai umat Islam wajib mencari kekuatan daripada ibadat khusus yang telah disyariatkan oleh Allah dan jangan mencari alasan untuk mengabaikannya. Kita tidak mahu suara sumbang yang mengatakan boleh meninggalkan solat untuk tujuan menaikkan nama Negara dengan bersukan tidak berulang kembali. Oleh itu kita mahu pemimpin kita dan Negara umat Islam yang lain yang bakal menyertai Sukan Olimpik 2012 di London bermula 27 Julai sehingga 12 Ogos ini yang jatuh pada bulan Ramadhan menjaga hak atlit beragama Islam untuk menjaga ibadat puasa. Musuh Islam telah tahu bahawa tarikh itu adalah musim puasa tetapi sukan itu tetap diteruskan maka menjadi tanggungjawab pemimpin samada menjaga ibadat atau membiarkan musuh menghina kita yang lebih mendewakan sukan dengan mengenepikan kewajipan agama. Jawapan pihak bertanggungjawab dalam sukan ini amat menyedihkan dengan mengatakan terpulang kepada atlet berkenaan sama ada mahu meneruskan puasa mereka apabila beraksi di pentas Olimpik nanti walaupun beliau secara peribadi menganggap bersukan juga satu perjuangan dan ada ketikanya ibadat itu dibolehkan untuk digantikan pada waktu lain
Jika umat Islam semacam ini semakin ramai maka lambat lagi saat kemenangan yang dijanjikan oleh Allah untuk datang. Kita pernah menyaksikan tentera Islam tetap berpuasa ketika peperangan Badar al-Kubra yang berlaku pada bulan Ramadhan sehingga datangnya kemenangan yang besar
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 74 surah an-Nisa’ :
فَلْيُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللهِ الَّذِينَ يَشْرُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا بِالآخِرَةِ وَمَن يُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللهِ فَيُقْتَلْ أَو يَغْلِبْ فَسَوْفَ نُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا
Maksudnya : Oleh itu (orang beriman) yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada kesenangan dunia hendaklah mereka berperang pada jalan Allah. Dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah lalu dia gugur syahid atau beroleh kemenangan maka Kami akan menganugerahkannya ganjaran pahala yang besar
Ketika membicarakan tentang peristiwa Isra’ Mikraj juga maka tidak ketinggalan untuk kita mendoakan kemerdekaan bumi Isra’ Palestin daripada cengkaman Yahudi. Dunia turut memberi perhatian penting terhadap pilihanraya Presiden Mesir pusingan kedua antara tokoh gerakan Islam dengan kebangsaan pada 16 dan 17 Jun nanti di mana keputusannya diramal dapat memberi kesan besar terhadap penjajahan zionis yahudi di Israel samada dapat dihenti atau diteruskan. Mimbar Jumaat hari ini turut mengutuk penerusan kepada pembunuhan kejam terhadap rakyat sendiri di Syria dan terbaru terhadap saudara seagama Ronghiya di Myanmar. Difahamkan sehingga kini lebih 1500 muslim Rohingya dibunuh dan lebih 3000 lagi cedera dalam perbalahan etnik di negara itu. Semoga semangat yang difahami daripada Isra’ Mikraj ini dapat kita laksanakan di bumi nyata dalam mengembalikan kehebatan dan keagungan Islam. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan