لسلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 1 – 6 surah al-Waqi’ah :
إِذَا وَقَعَتِ الْوَاقِعَةُ لَيْسَ لِوَقْعَتِهَا كَاذِبَةٌ خَافِضَةٌ رَافِعَةٌ إِذَا رُجَّتِ الْأَرْضُ رَجًّا وَبُسَّتِ الْجِبَالُ بَسًّا فَكَانَتْ هَبَاءً مُنْبَثًّا
Maksudnya : Apabila berlaku hari kiamat itu, Tiada sesiapapun yang dapat mendustakan kejadiannya. Kejadian hari kiamat itu merendahkan (golongan yang ingkar), dan meninggikan (golongan yang taat). (Ia berlaku) semasa bumi bergoncang dengan sebebar-benar goncangan. Dan gunung-ganang dihancur leburkan dengan selebur-leburnya, Lalu menjadilah ia debu yang bertebaran
Dunia hari ini tidak pernah lekang dengan bencana seperti gempa bumi, ribut taufan, gunung berapi, tanah runtuh, peperangan dan sebagainya. Kita di Kelantan dan negeri pantai timur sedang berada di musim tengkujuh di mana telah beberapa kali berlakunya banjir yang memusnahkan banyak harta benda. Kita wajib membantu saudara mara kita yang terlibat dengan banjir ini setakat kemampuan yang ada pada kita. Jangan biarkan saudara kita bersedih dan menanggung kesukaran tanpa bantuan dan sokongan yang sepatutnya daripada kita. Begitu juga kita dikejutkan dengan banjir besar
yang mengorbankan banyak nyawa di Jeddah. Kejadian banjir besar di negara yang terkenal dengan padang pasir itu mengingatkan kita tentang amaran nabi yang membayangkan bumi kering kontang akan subur apabila dunia hampir qiamat
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَآَلِهِ وَسَلَّمَ : ” لا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى تَعُودَ أَرْضُ الْعَرَبِ مُرُوجًا وَأَنْهَارًا ” . هَذَا حَدِيثٌ صَحِيحٌ عَلَى شَرْطِ مُسْلِمٍ
Maksudnya :” Sesungguhnya hari kiamat tidak akan berlaku sehingga tanah Arab menjadi padang rumput dan mengalir sungai-sungai”
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 107 surah al-Anbiya’ :
وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ
Maksudnya : Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam
Sempena masih berada di bulan Zulhijjah yang juga dipanggil bulan haji maka tidak terlewat untuk kita sama-sama merenungi tentang beberapa isi kandungan penting yang pernah diungkap oleh nabi Muhammad s.a.w dalam Haji Wada’ atau haji perpisahan antara [1] pengharaman riba yang menindas manusia di mana Islam sentiasa menanamkan kasih sayang dalam setiap aspek kehidupan agar tidak wujudnya sikap suka mengambil kesempatan di atas kesusahan orang lain
[2] Islam sentiasa menjamin perlindungan jiwa manusia daripada diceroboh samada dengan pembunuhan langsung atau tidak langsung seperti keruntuhan bangunan akibat pecah amanah. Tuduhan liar terhadap Islam antara yang terbaru apabila Majlis Ikatan Islam Amerika (Cair) mendesak sebuah rangkaian siaran terbesar Amerika mendesak agar memohon maaf atas keceluparan juruhebahnya yang menuduh Islam sebagai pertubuhan pembunuh serta ganas dengan membangkitkan semangat bencikan agama lain. Al-Quran dituduh mengandungi 150 ayat yang membenarkan pembunuhan dan keganasan. Musuh Islam menutup mata dengan keganasan mereka terhadap umat Islam di Palestin, Iraq, Afghanistan dan sebagainya. Malah perancangan jahat Zionis yang bukan sahaja mahu menguasai bumi Palestin malah merancang untuk menakluk Iran, Arab Saudi, Syria dan Turki sebagaimana termaktub dalam kitab mereka sekian lama walau dengan cara keganasan di mana ini semua disembunyikan daripada pengetahuan dunia. Ini semua menjawab persoalan siapakah sebenarnya pengganas dan pembunuh
[3] Rasulullah s.a.w turut menekankan agar menghindari peperangan kerana Islam adalah agama yang sejahtera yang membenci perang kecuali setelah terpaksa bagi mempertahankan agama, negara dan diri. Islam dituduh sebagai agama pencetus keganasan sedangkan pa yang berlaku di depan mata sudah terlalu jelas bagaimana ramai umat Islam yang sebenarnya menjadi mangsa kezaliman dan penindasan. Malah umat Islam Switzerland yang melarang umat Islam daripada membina menara masjid hasil pungutan suara yang merupakan langkah awal ke arah memerangi Islam yang turut disokong oleh beberapa negara Eropah yang lain. Mula-mula larang bina kubah maka tidak mustahil musuh Islam akan melangkah untuk mengharamkan terus pembinaan masjid di bumi Eropah setelah merasa gerun dengan keadaan rakyat Eropah saban hari semakin ramai yang memeluk Islam terutama selepas serangan 11 September
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Renungilah sebuah hadis nabi daripada Abu Hurairah yang berbunyi :
قال االرسول :صِنْفَانِ مِنْ أَهْلِ النَّارِ لَمْ أَرَهُمَا قَوْمٌ مَعَهُمْ سِيَاطٌ كَأَذْنَابِ البَقَرِ يَضْرِبُوْنَ ِبَها النَّاسَ وَنِسَاءٌ كَاسِيَاتٌ عَارِيَاتٌ مُمِيْلاتٌ مَائِلاتٌ رُؤُوْسُهُنَّ كَأَسْنِمَةِ البُخْتِ المَائِلَةِ لايَدْخُلْنَ الجَنَّةَ وَلايَجِدْنَ رِيْْحَهَا وَاِنَّ رِيْْحَهَا لَيُوْجَدُ مِنْ مَسِيْرَةٍ كَذَا وَكَذَا – رواه مسلم
Maksudnya : Ada 2 golongan yang akan menjadi penghuni neraka yang belum lagi akau melihat mereka. Pertama, golongan penguasa yang mempunyai cemeti bagaikan ekor lembu yang digunakan untuk memukul orang. Kedua, golongan perempuan yang berpakaian tetapi bertelanjang, berlenggang-lenggok ketika berjalan, menghayun-hayunkan bahunya. Kepala mereka (sanggul di atas kepala mereka) bagaikan bonggol unta yang senget. Kedua-dua golongan ini tidak akan masuk syurga dan tidak akan dapat mencium bau wangi syurga sedangkan bau wangi syurga itu sudah tercium daripada perjalanan yang sangat jauh daripadanya.
[4] Khutbah wada’ turut menyentuh berkaitan kewajipan menjaga hak wanita sehingga Islam meletakkan wanita di tempat yang sewajarnya tetapi malangnya semakin ramai yang menzalimi wanita dan ramai pula wanita sendiri yang suka mendedah aurat dan bergaul bebas sehingga keadaan akhlak semakin parah. Suara pembebasan wanita yang dilaungkan oleh yahudi disahut pula oleh wanita Islam sehingga suasana semakin parah dan merbahaya. Kita bimbang dengan suatu laporan daripada sumber Jabatan Pendaftaran Negara dari tahun 2000 hingga 2008 di mana terdapat seramai 83,701 orang anak-anak yang dilahir tanpa nikah. Dalam tempoh yang sama juga seramai 72,043 orang anak-anak yang lahir itu diragui status perkahwinan ibubapa mereka samada mereka pernah berzina sebelum bernikah atau menikah tanpa wali yang sah
Perkara ke-[5] yang ditekankan dalam Khutbah wada’ ialah Islam menghalang penindasan melalui penyalah gunaan kuasa oleh golongan berkuasa ke atas rakyat jelata seperti hukum rimba ISA dan sebagainya. Pertembungan antara rakyat bawahan yang inginkan cara hidup Islam dengan golongan pemimpin yang lebih cintakan sekulerisme, kapitalisme dan sebagainya di kebanyakan Negara umat Islam telah menyebabkan betapa ramai yang menjadi mangsa kekejaman. Amalan pecah amanah dan rasuah yang semakin membarah di Negara umat Islam lebih teruk daripada Negara bukan Islam menyebabkan keadaan negara semakin tidak stabil dari sudut keselamatan dan keamanan serta menjejaskan system ekonomi.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
[6] Mesej Khutbah wada’ turut menekankan persamaan nilai kemanusiaan tanpa mengira bangsa dengan membuang semangat perkauman sempit sebagaimana yang diterapkan dalam program Biro Tatanegara (BTN). Sepatutnya wang Negara dihabiskan untuk melahirkan pegawai yang amanah dalam tugas, berpegang kepada agama dan sentiasa menjaga solat bukan menanamkan semangat perkauman sempit yang membahayakan perpaduan antara kaum dalam negara
[7] banteras sistem monopoli contohnya, pasar raya besar kini mengambil alih kedai-kedai runcit menyebabkan peniaga kecil sukar mencari makan. Monopoli akan menghakis rasa kasih sayang.
[8] al-Quran dan sunnah sebagai panduan di mana kejayaan umat Islam bergantung kepada sejauh mana mereka berpegang teguh kepada 2 sumber utama ini
Firman Allah dalam ayat 7 surah al-Hasyru :
ۚ وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانْتَهُوا ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Maksudnya : ……Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya).
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan