أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Selasa, 9 Ogos 2011

Ramadhan Dirai al-Quran DiSanjungi

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 183 surah al-Baqarah :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa
Kini kita berada pada bulan Ramadhan yang mempunyai banyak keistimewaan yang ditawarkan oleh Allah antaranya bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi daripada haruman kasturi di sisi Allah, para malaikat memohon keampunan untuk orang berpuasa sehingga berbuka, Syurga dihias setiap hari sepanjang Ramadhan, syaitan dibelenggu, pintu syurga terbuka luas, pintu neraka tertutup kemas, terdapat malam Lailatur Qadar yang lebih baik daripada seribu bulan, keampunan pada malam terakhir Ramadhan dan setiap malam Ramadhan tersenarai di sisi Allah nama-nama hambaNya yang bebas daripada api neraka. Betapa beruntungnya kita jika segala tawaran Allah ini dapat diraih hasil kesungguhan kita yang sentiasa menambahkan kualiti amal ibadat kita bukan setakat puasa adat sekadar menahan diri daripada lapar dahaga sahaja. Semoga kedatangan Ramadhan ini tahun ini lebih bermakna dalam melahirkan diri sebagai umat bertaqwa hasil daripada tarbiah Ramadhan. Kita berdoa kepada Allah agar dapat mencapai 4 ciri utama taqwa melalui tarbiah madrasah Ramadhan sebagaimana yang pernah disebut oleh Sayyidina Ali Karramallahu wajhah :
التَّقْوَى هُوَ الخَوْفُ مِنَ الجَلِيْلِ وَالرِّضَا بِالقَلِيْلِ وَالعَمَلُ بِالتَّنْزِيْلِ وَالاسْتِعْدَادِ لِيَوْمِ الرَّحِيْلِ
Maksudnya : Taqwa ialah : [1] takut kepada Allah dalam setiap perkara, [2] sentiasa redha dengan pemberian Allah walau pun sedikit, [3] sentiasa melaksanakan sistem Islam sebagaimana yang diturunkan dalam al-Quran [4] dan sentiasa bersedia dengan bekalan terbaik bagi menghadapi kehidupan akhirat yang kekal abadi

Sidang Jumaat yang dikasihi,
Renungilah firman Allah dalam ayat 185 surah al-Baqarah :
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ …….
Maksudnya: Bulan Ramadhan yang diturunkan di dalamnya al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza antara hak dan batil........
Beradanya kita pada bulan Ramadhan yang merupakan bulan turunnya al-Quran turut meminta kita agar mendekati al-Quran dengan membacanya, memahami isi kandungannya seterusnya mematuhi segala arahan dan larangan Allah yang tertera di dalamnya. Setelah seminggu berada pada bulan Ramadhan maka tanyalah diri kita samada kita sudah mampu membaca al-Quran. Jika sudah mampu maka sudah berapa juzu’ yang telah kita baca al-Quran. Takkan pada bulan lain susah untuk membaca al-Quran maka pada bulan Ramadhan pun kita lebih banyak membaca akhbar, majalah dan menonton tv sahaja. Nabi Muhamamd s.a.w menceritakan bagaimana malaikat Jibril membacakannya al-Quran setiap tahun sekali pada bulan Ramadhan dan pada tahun kewafatan baginda sebanyak 2 kali. Ramai ulama’ silam mengkhatamkan al-Quran samada dalam solat atau luarnya dalam masa 3 hari, satu minggu mahu pun 10 hari. Imam Syafie akan mengkhatamkan al-Quran sebanyak 60 kali sepanjang Ramadhan. Kita bagaimana pula. Jangan biarkan nafsu malas menguasai kita ketika syaitan telah digari sehingga gagal khatam al-Quran walau pun sekali sepanjang Ramadhan.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Sempena berada pada bulan Ramadhan, perbanyakkanlah amal soleh seperti solat terawih, qiamullail, sedekah dan menjamu orang berpuasa. Nabi Muhammad s.a.w pernah memberitahu tentang kelebihannya melalui suatu hadis riwayat Tirmizi :
إِنَّ فِى الجَنَّةِ غُرَفًا تُرَى ظُهُوْرُهَا مِنْ بُطُوْنِهَا وَبُطُوْنُهَا مِنْ ظُهُوْرِهَا فَقَامَ أَعْرَابِيٌّ فَقَالَ : لِمَنْ هِيَ يَارَسُوْلَ اللهِ؟ قَالَ : ِلمَنْ أَطَابَ الكَلاَمَ وَأَطْعَمَ الطَّعَامَ وَأَدَامَ الصِّيَامَ وَصَلَّى ِللهِ بِاللَّيْلِ وَالنَّاسُ نِيَامٌ
Maksudnya : Di dalam Syurga terdapat bilik-bilik, nampak dari dalam barang-barang di luarnya dan sebaliknya. Bangun seorang badwi bertanya : Untuk siapakan bilik-bilik itu wahai Rasulullah?. Sabda nabi : Bagi mereka yang baik percakapannya, menjamu makan, sentiasa berpuasa dan bersolat kerana Allah pada waktu malam ketika orang lain sedang tidur.
Bila kita membaca kisah ulama’ silam maka kita dapati bagaimana Hasan Basri dan Ibnu Mubarak memberi makan para sahabatnya sedangkan mereka sendiri berpuasa disamping melayani dan berkhidmat untuk tetamu. Hammad bin Sulaiman pula akan menghidangkan juadah berbuka puasa untuk 500 orang ketika Ramadhan dan memberikan 100 dirham setiap tetamu pada hari raya. Kita sendiri bagaimana. Berapa banyak wang yang telah kita gunakan untuk bersedekah dan berapa ramai tetamu yang kita telah jamu dengan jamuan berbuka puasa

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 30 surah al-Furqan:
وَقَالَ الرَّسُولُ يَا رَبِّ إِنَّ قَوْمِي اتَّخَذُوا هَٰذَا الْقُرْآنَ مَهْجُورًا
Maksudnya : Dan berkatalah rasul : “Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan al-Quran ini sebagai suatu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai”
Ramadhan dan al-Quran suatu yang berkait rapat terutama kewajipan berpuasa Ramadhan itu sendiri datang melalui al-Quran. Al-Quran merupakan pedoman yang berharga yang berkait dengan individu, masyarakat, negara, pemimpin, rakyat. Sistem Al-Quran merangkumi seluruh aspek kehidupan samada ibadat khusus, sosial, ekonomi, politik dan sebagainya. Sempena berada pada bulan Ramadhan bulan turunnya al-Quran marilah kita sama-sama bersatu ke arah memartabatkan semula seluruh system Islam dalam kehidupan agar lahirnya masyarakat bertaqwa. Kita tidak mahu terus lahirnya masyarakat hari ini hanya takut kepada penyakit seperti selsema babi bukannya takut kepada Allah yang mencipta penyakit tersebut. Bila tidak takut kepada Allah maka lahirlah masyarakat yang mempermainkan kuasa Allah seperti sambutan ambang merdeka tidak dibuat manakala sambutan kemerdekaan kali ke-52 tahun ini hanya dibuat sederhana kerana bimbang jangkitan selsema babi yang telah meragut 71 nyawa. Sebelum ini berapa kali sambutan tahun baru dan merdeka hanya dibuat sederhana kerana tsunami dan banjir besar bukannya kerana takut kepada Allah disamping kononnya hormati Ramadhan sedangkan jika tiada bala Allah ini sudah kerap kali sambutan tahun baru dan merdeka walaupun jatuh pada bulan Ramadhan dicemari dengan program maksiat. Adakah pada bulan Ramadhan sahaja takut kepada Allah tetapi pada bulan lain bebas menyembah nafsu dan syaitan. Adakah bila ada bala Allah sahaja takut buat maksiat tetapi bila tiada maka hukum Allah dilanggar sesuka hati

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Semoga Ramadhan kali ini akan melahirkan pemimpin bertaqwa agar tidak lagi berlaku pecah amanah, rasuah serta tindakan yang bercanggah dengan agama dalam mentadbir negara. Apabila peniaga bertaqwa maka tidak berlaku lagi sorok barang seperti gula bagi mengaut keuntungan berganda. Malah di tengah kekalutan selsema babi ada pihak yang mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan daripada penjualan penutup muka dan ubat virus sehingga timbul dakwaan bahawa selsema babi dicipta oleh golongan kapiltalis untuk mengaut keuntungan daripada ubat yang dijual. Namun kita yakin bahawa setiap apa yang berlaku adalah antara tanda kekuasaan Allah. Malah kita mendoakan agar kes sebat ke atas seorang model yang mengaku salah minum arak yang ditangguh dengan pelbagai alasan sebagai membuka ruang kepada terlaksananya hukum hudud yang jauh berbeza daripada hukum sivil termasuk cara, alat dan kesan sebat. Kita membantah hasrat Majlis Peguam yang menggesa kerajaan supaya menghapuskan hukuman sebat bagi apa jua kesalahan jenayah. Kita bimbang usaha untuk memastikan hukum sebat tidak dilaksanakan bertujuan supaya hukum hudud tidak dilaksanakan. Kita begitu bimbang melihat umat Islam yang ketagih dan terlibat dengan industri arak terutama jerung bukan setakat anak bilis semakin hari semakin bertambah akibat lesen yang terus diberi tanpa had disamping negara sendiri bergantung kepada cukai arak dan judi. Sejarah dunia yang membuktikan bagaimana hanya Islam sahaja mampu menangani masalah ketagihan arak sedangkan hukum manusia sebagaimana pernah dibuat di Amerika Syarikat tidak mampu menyelesaikan masalah arak. Sudah tibanya masanya Islam dijadikan ubat penawar dengan membuang undang-undang lapuk peninggalan penjajah. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat.
Firman Allah dalam ayat 36 surah ar-Ruum :
وَإِذَا أَذَقْنَا النَّاسَ رَحْمَةً فَرِحُوا بِهَا ۖ وَإِنْ تُصِبْهُمْ سَيِّئَةٌ بِمَا قَدَّمَتْ أَيْدِيهِمْ إِذَا هُمْ يَقْنَطُونَ
Maksudnya : Dan apabila Kami rasakan sesuatu rahmat kepada manusia, nescaya mereka gembira dengan rahmat itu. Dan apabila mereka ditimpa sesuatu musibah (bahaya) disebabkan kesalahan yang telah dikerjakan oleh tangan mereka sendiri, tiba-tiba mereka itu berputus asa
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: