السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ ….
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 37 surah al-Ra’adu :
وكذلك أنزلناه حكما عربيا ولئن اتبعت أهواءهم بعد ما جاءك من العلم مالك من الله من ولي ولاواق
Maksudnya : Dan demikianlah Kami telah menurunkan al-Quran itu sebagai peraturan dalam bahasa Arab.Sekiranya kau mengikuti hawa nafsu mereka setelah datang pengetahuan kepadamu. Tiada sekali-kali pelindung dan pemelihara bagimu terhadap siksaan Allah
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Kini kita berada di awal bulan Sofar di mana pada akhir bulan inilah Rasulullah s.a.w selepas pulang daripada mengerjakan haji wida’ pada tahun 10 Hijrah telah mengatur tentera di bawah kepimpinan seorang pemuda yang bernama Usamah bin Zaid bagi menghancurkan kubu kerajaan Rom yang terletak di Balqa’, Jordan dan Palestin. Namun begitu ketika persiapan terakhir tentera Islam bagi menjalankan misi penting ini, tiba-tiba Rasulullah s.a.w telah ditimpa sakit tenat yang membawa kepada kewafatan baginda di keheningan pagi hari Isnin 12 Rabiul Awwal tahun 11 Hijrah. Kewafatan Rasulullah s.a.w setelah segala ajaran Islam yang meliputi ibadat, sosial, ekonomi, pentadbiran dan seluruh aspek kehidupan manusia telah sempurna. Ajaran dan sistem Islam yang sempurna ini ditinggal bersama dengan 2 sumber rujukan yang utama iaitu al-Quran dan Hadis bagi mengelakkan umat manusia daripada tersesat dan kembali kepada kehidupan jahiliah. Kewafatan Rasulullah s.a.w bukanlah bererti segala ajaran dan sistem Islam terhenti pelaksanaan dan penghayatannya tetapi ia diteruskan oleh para sahabat dan ulama’ yang dikatakan pewaris para nabi dalam menunaikan kewajipan dakwah dan mentadbir dunia berasaskan Islam Tanggungjawab ini ditunaikan dengan penuh cermat oleh pemimpin Islam dibantu oleh para ulama’ bagi memastikan kemurnian Islam terjaga dan keadilan sejagat terus terbela daripada dirosakkan oleh tangan-tangan ganas yang begitu dahagakan kemusnahan dan huru-hara.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Gabungan dan kesatuan antara pemimpin dan ulama’ dalam menjalankan amanah besar dengan melaksanakan segala ajaran dan sistem Islam bagi menjamin keadilan dan keamanan dalam negara telah berjalan dengan baik termasuk di Alam Melayu. Contoh yang dapat lihat ialah bagaimana yang berlangsung di Acheh di zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Islam Acheh apabila Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam telah melantik Syeikh Hamzah Fansuri dan Syeikh Syamsudin Sumetrani sebagai penasihatnya. Sultan selepas itu pula iaitu Sultan Iskandar Thani Mahkota Alam telah melantik Syeikh Nuruddin Raniri dan Syeikh Abdul Rauf Singkel sebagai penasihat dalam mentadbir negara dan menyebarkan Islam. Gabungan yang mantap antara pemimpin dan ulama’ telah membawa negara ke arah kegemilangan tamadun yang berasaskan material dan rohani secara serentak.
Selepas kejatuhan Khilafah Uthmaniah Turki ditangan penjenayah sekulerisme yang dipimpin oleh Mustafa Kamal at-Tartuk pada tahun 1924 maka gabungan antara pemimpin dan ulama’ menjadi renggang kerana biasanya pemimpin negara umat Islam dipilih daripada kalangan yang berfahaman penjajah hasil daripada strategi musuh Islam yang begitu teratur dalam memastikan Islam tidak mampu bangkit sebagai suatu kuasa besar sebagaimana sebelum ini. Kebanyakan ulama’ yang ikhlas berjuang dalam mengembalikan semula kekuasaan dan kegemilangan Islam telah mengambil jalan menegur dan menasihati pemimpin yang begitu terpengaruh dengan sistem kuffar melalui jalan luar dengan menolak untuk bersatu dengan pemimpin selagimana mereka tidak melaksanakan perintah dan amanah Allah. Kebanyakan ulama’ memilih jalan sebagaimana yang diambil oleh imam Ahmad bin Hambal yang tidak mahu menerima jawatan yang ditawarkan oleh khalifah Makmun dan Muktasim disebabkan khalifah pada masa itu dipengaruhi oleh aliran muktazilah yang terkeluar daripada golongan ahli Sunnah wal jamaah. Imam Ahmad bin Hambal terus bertegas dengan keputusannya walau pun dipenjara dan disiksa begitu lama sehinggalah Khalifah Mutawakkil yang dikenali sebagai penegak ahli sunnah wal jamaah naik menjadi khalifah barulah beliau dibebaskan. Tindakan ini disebabkan perlantikan mereka nanti bukanlah bertujuan untuk menasihat tetapi terpaksa mengikut segala kemahuan pemimpin yang kebanyakannya bertentangan dengan Islam yang sebenar.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Dalam menyedarkan kesesatan pemimpin yang berjaya mempengaruhi rakyat melalui ideologi sekularisme yang pernah disifatkan oleh Syeikh Mustafa Sobri iaitu Mufti terakhir Khilafah Uthmaniah Turki di mana beliau menyatakan bahawa sekuler merupakan jalan pintas ke arah kemurtadan. Disebabkan berfahaman sekuler iaitu pemisahan antara agama dan urusan dunia maka pemimpin berani menghina Islam serta menghalalkan apa yang diharamkan serta mengharam apa yang dihalalkan oleh Allah seperi arak dan riba. Para pemimpin sanggup berperang dengan Allah dan rasul dengan menghalalkan riba yang menyebabkan umat Islam menjadi hina dan melarat di negara sendiri. Rakyat yang dijahilkan terus terikut dengan rentak pemimpin mereka sehingga suasana dalam negara menjadi bercelaru apabila agama hanya dilaksanakan dalam urusan ibadat khusus dan nikah kahwin sahaja.
Melihat suasana penghayatan Islam mula hilang ditelan oleh keganasan serangan fahaman sekularisme menyebabkan ulama’ yang benar-benar ikhlas berjuang dalam memartabatkan Islam bangun menerangkan garisan antara Islam dan kufur. Tindakan berani mereka walau pun terpaksa menghadapi senapang pemerintah dan dipenjara namun demi Islam segala jiwa raga sanggup dikorbankan. Pengorbanan suci ini mestilah kita semua hargai dan sanjungi serta membantu para ulama’ yang meneruskan perjuangan dalam memastikan Islam berjaya ditegakkan kembali. Ulama’ bukanlah pengganas yang dahagakan darah manusia dan suka kepada perpecahan tetapi mereka adalah golongan yang cintakan kedamaian dengan memastikan semua hak umat manusia ditunaikan dan dikawal dengan sistem Islam yang sememangnya bersesuaian dengan fitrah kejadian manusia. Dengan usaha dan pengorbanan murni merekalah maka kita pada hari ini dapat mengenali apakah Islam yang sebenar dan kita tidak hanyut dengan laungan agama suku politik suku yang dibawa oleh pendakyah sekularisme. Disamping itu Allah tidak menurunkan bala yang terlalu berat untuk dipikul oleh kita sebagaimana yang berlaku di Palestin, Kashmir, Bosnia dan sebagainya. Ini disebabkan para ulama’ di negara kita telah memainkan peranan mereka setakat yang mampu walau pun dihalang dan disekat dengan pelbagai cara dalam mnghadapi kesesatan sistem dan kezaliman pemimpin sebagaimana difahami daripada firman Allah dalam ayat 117 surah Hud :
وما كان ربك ليهلك القرى بظلم وأهلها مصلحون
Maksudnya : Dan Tuhanmu tidak sekali-kali mahu membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman penduduknya selagimana mereka sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Keberanian pemimpin dalam menghina hukum Islam telah menyebabkan ramai umat Islam yang berani murtad dan tanpa segan silu datang ke pejabat pendaftaran negara untuk menukar nama dan agama mereka dalam kad pengenalan dengan nama bukan Islam. Kelantangan pemimpin dalam menghina ulama’ dan meminta agar al-Quran ditafsirkan semula menyebabkan bertambah cergasnya gerakan anti hadis dan orang yang sanggup menterjemahkan al-Quran walau pun tidak tahu bahasa arab yang menyebabkan dia membawa ajaran sesat bahawa sembahyang hanya 3 waktu sahaja sehari semalam bukannya 5 waktu. Ini ditambah lagi dengan keberanian sekumpulan remaja yang berani membakar ayat al-Quran bertujuan memanaskan badan mereka daripada kesejukan pagi dengan alasan mereka tidak tahu bahawa ayat al-Quran merupakan sesuatu yang mulia di dalam Islam. Keadaan bertambah berat apabila baru-baru ini pemimpin negara menyatakan bahawa beliau tidak pernah membaca al-Quran dalam bahasa arab sedangkan al-Quran hanya dalam bahasa arab sahaja dan tiada dalam bahasa lain.
Oleh itu usaha dalam menyekat penerangan mengenai garisan iman dan kufur amatlah merbahaya walaupun dengan alasan menggugat perpaduan sedangkan semangat kebangsaan yang bertentangan dengan Islamlah yang menjadi punca kepada perpecahan ditambah dengan kezaliman sistem dan penindasan yang dilakukan oleh pemimpin yang mula merasakan bahawa jawatan dan harta yang dimiliki mula tergugat apabila rakyat mula kembali dan bersatu kepada mendokong Islam yang sebenar
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan