أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Jumaat, 12 Februari 2010

108. ISLAMKAN DASAR PENDIDIKAN

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 2 surah al-Jumaat :
هو الذي بعث فى الأميئن رسولا منهم يتلوا عليهم ءايــته ويزكيهم ويعلمهم الكتب والحكمة وإن كانوا من قبل لفى ضلــل مبين
Maksudnya : Dialah (Allah) yang telah mengutuskan kepada kalanganorang-orang arab yang buta huruf seorang rasul dari bangsa mereka sendiri yang membacakan ayat-ayat Allah yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya. Dan membersihkan mereka daripada aqidah yang sesat serta mengajarkan mereka kitab Allah dan hikmat pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syariat. Dan sesungguhnya mereka sebelum kedatangan nabi Muhammad s.a.w adalah dalam kesesatan yang nyata.
Islam dan ilmu tidak dapat dipisahkan kerana Islam itu sendiri tertegak di atas keyakinan yang pasti melalui ilmu yang disuluhi cahaya wahyu Allah. Kekuatan Islam yang berkembang dan mampu membina tamadun bersepadu antara kemanusiaan dan kebendaan adalah hasil daripada kekuatan ilmu bukannya berdasar kepada paksaan dan kejahilan. Islam yang merupakan agama fitrah adalah agama yang mampu dipeluk dan diamalkan oleh seluruh umat manusia tanpa mengira keadaan takhta dan harta, bangsa dan negara, usia dan budaya. Keadaan fitrah manusia yang mahukan kebaikan dan begitu benci kepada kejahatan telah menyebabkan hati mereka mudah tertarik kepada seluruh ajaran Islam yang sempurna.
Melalui ayat 2 surah al-Jumaat tadi maka dapat disimpulkan bagaimana dasar yang penting yang mesti ada dalam proses tarbiah atau pendidikan demi mencapai keredhaan Allah. Jika berlakunya sebarang pengabaian terhadap sebarang dasar pendidikan yang telah diberitahu oleh Allah dan rasulNya maka di sana akan berlakunya kegagalan dalam pendidikan dan pembinaan manusia dalam sesebuah negara.

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,
Dasar pendidikan pertama yang ditekankan oleh Allah melalui ayat tadi ialah sesuatu ilmu yang diajar tidak boleh bebas daripada berpegang kepada aqidah Islam iaitu mestilah disertakan dengan ayat al-Quran dan hadis nabi. Melalui catatan sejarah maka kita dapati dasar pendidikan negara kita terutama selepas merdeka masih tidak mampu keluar daripada dasar yang telah digubal oleh penjajah. Banyak ilmu moden dijauhkan daripada pegangan aqidah yang menyebabkan umat Islam di negara kita terus terikut-ikut dengan cara hidup barat dengan menjadikan Islam sebagai agama peribadatan khusus dan adat semata-mata sebagaimana agama Kristian, Budha dan Hindu dan mereka lebih suka ulama’ Islam hanya mengajar bab ibadat khusus sahaja tanpa menyentuh ajaran Islam yang lain terutama yang melibatkan ekonomi, kemasyarakatan dan pemerintahan.
Kejayaan barat dalam memisahkan ilmu moden daripada aqidah Islam turut dibantu dengan pengurangan serta penghapusan kepada penggunaan bahasa arab dengan mengantikannya dengan bahasa Inggeris. Negara kita pernah dikejutkan dengan penghapusan kepada penggunaan tulisan jawi yang menyebabkan ramai umat Islam yang tidak memahami agama disebabkan kebanyakan kitab agama yang dikarang oleh ulama’ ditulis dalam bahasa jawi dan juga bahasa arab. Cara ini turut dibuat oleh kerajaan Thailand yang menterjemahkan kitab jawi kepada bahasa Thai atas alasan untuk memudahkan rakyat belajar agama sedangkan pada hakikat yang sebenar ialah mereka mahu menghancurkan pengajian Islam kerana berapa banyakkah kitab yang mampu diterjemahkan dan adakah isi yang diterjemah itu tepat dengan kitab asal atau diselewengkan. Pada hari ini isu penggunaan bahasa Inggeris dalam pendidikan negara mula bergema kembali kerana ia didakwa sebagai lambang kemajuan sedangkan negara barat sendiri masih memerlukan tenaga penterjemah dari negara arab untuk menterjemahkan kitab-kitab karangan ulama’ Islam silam terutama dalam ilmu sains, ekonomi, falsafah dan lainnya kepada bahasa Inggeris dan bahasa negara Eropah yang lain. Mengapakah negara-negara umat Islam gagal bersatu untuk mengembalikan semula kitab-kitab yang telah dicuri oleh penjajah barat untuk membina kembali kekuatan Islam tanpa perlu menghinakan diri untuk tunduk kepada penjajah yang sememangnya mahu menghancurkan umat Islam. Penjajah barat begitu benci kepada bahasa arab kerana ia akan menyebabkan umat Islam mudah memahami al-Quran, hadis dan kitab-kitab ulama’ muktabar dan ia juga mampu menyatukan semula kesatuan umat Islam sedangkan apabila umat Islam dijauhkan daripada bahasa arab seterusnya tunduk kepada penggunaan bahasa Inggeris yang meluaskan maka ia membolehkan pemikiran umat Islam mudah untuk dijajah oleh ideologi barat melalui sebaran kepada hasil tulisan dan kajian orientalis barat yang banyak menyelewengkan ajaran dan sejarah Islam.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Dasar pendidikan kedua yang ditekankan oleh Allah ialah pembersihan umat manusia daripada aqidah sesat. Penekanan ini adalah penting dalam melahirkan umat Islam yang benar-benar berpegang kepada seluruh ajaran Islam yang sempurna. Melalui dasar ini maka umat Islam mampu melahirkan pakar-pakar yang akan membina tamadun yang tinggi tanpa memisahkan antara agama dan dunia. Apabila seluruh umat Islam didedahkan secara lebih mendalam mengenai ilmu sains, ekonomi, politik, sosial berasaskan Islam maka tiada lagi erti pemisahan ilmu –ilmu tersebut sebagaimana yang dilakukan oleh barat. Pada masa ini seluruh dunia terutama yang berkaitan dengan ilmu moden mengamalkan dualisme iaitu pemisahan antara ilmu agama dan ilmu moden sedangkan ia sepatutnya diajar secara bersepadu. Apabila berlakunya pemisahan antara ilmu moden dengan aqidah Islam yang menyebabkan umat Islam terlalu berpegang kepada falsafah sesat barat sehingga menolak kaitan agama dengan ilmu tersebut. Sebagai contohnya dalam masalah ilmu sains yang terlalu berpegang kepada falsafah yang menolak ketuhanan yang menyebabkan sebarang kajian hanya berbentuk keduniaan semata-mata bukannya ke arah mengkaji kejadian yang diciptakan oleh Allah untuk mengenali Pencipta alam ini. Oleh sebab itulah kita dapati ramai di kalangan ahli sains bukan Islam yang tekun mengkaji tentang kejadian alam ini dengan menolak falsafah anti ketuhanan akhirnya memeluk Islam apabila timbulnya dalam hati mereka bagaimana perjalanan kepada dunia ini mesti ada Pencipta dan PenjagaNya iaitu Allah sebagaimana yang diajar oleh Islam. Melihat kepada perkara ini maka perlunya untuk kita sama-sama kembali kepada ilmu yang menerapkan aqidah di dalamnya di mana pemimpin negara umat Islam perlu bersungguh dalam mengislamkan semula semua ilmu moden yang telah dibuang roh Islam oleh barat. Jika semua ilmu moden ini berjaya di Islamkan kembali maka lebih mudah usaha dakwah dan penerimaan Islam oleh orang bukan Islam disamping menyatukan kembali antara ulama’ dan profesional dalam membina tamadun Islam yang bersepadu
Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Setelah ilmu yang diajar telah diterapkan ayat al-Quran dan hadis nabi serta dibersihkan daripada unsur syirik yang sesat dengan memasukkan roh aqidah Islam maka selepas itu dasar pendidikan ketiga yang mesti diterapkan ialah pengajaran kepada seluruh ajaran Islam yang merangkumi semua aspek kehidupan. Kita perlu sedar bahawa kemunduran umat Islam di negara ini adalah disebabkan mereka meninggalkan Islam. Setelah pihak penjajah bertanggungjawab mengubah sistem ekonomi Islam kepada sistem kuffar dan diteruskan dengan sistem kapitalisme oleh pemimpin negara hari ini telah menyebabkan ekonomi di negara dipegang oleh orang bukan Islam kerana mereka lebih pakar tentang ekonomi kuffar itu. Umat Islam sendiri terbahagi dua iaitu golongan yang memahami sistem ekonomi Islam melalui pengajian tetapi tidak mampu bersaing kerana sistem yang digunakan dalam negara bukan sebagaimana yang dipelajari di dalam kitab. Golongan Islam kedua pula ialah mereka yang seratus peratus terlibat dengan sistem kuffar tetapi tidak mampu maju kerana berperang dengan Allah dan rasulNya apabila terlibat dengan riba dan rasuah. Ekonomi Islam sepatutnya mudah tetapi apabila ia tidak dilaksanakan maka ia dirasakan begitu payah dan dikatakan ketinggalan zaman sedangkan pada hakikatnya ia begitu mudah apabila djalankan sepenuhnya dalam negara dengan membuang terus sistem kapitalisme yang meletakkan manusia lemah menyembah manusia yang kuat. Orang bukan Islam dapat menerima sistem ekonomi Islam jika ia dilaksanakan dengan baik sebagaimana kita dapat lihat orang bukan Islam terutama yang berbangsa Cina lebih ramai yang menyimpan di dalam bank melalui sistem perbankan Islam sedangkan umat Islam sendiri lebih suka bergelumang dengan dosa riba dan rasuah serta skim cepat kaya. Malangnya pada hari ini disebabkan semua ilmu Islam yang berkaitan dengan ekonomi, perundangan, politik dipenjarakan oleh pemimpin sekularisme yang begitu takut jika Islam dilaksanakan secara menyeluruh di mana ini semua akan menyebabkan mereka akan kalah dan disingkirkan daripada jawatan yang dipegang selama ini. Jika semua ilmu Islam ini dapat dilaksanakan maka dakwah Islam lebih mudah tersebar tidak sebagaimana hari ini di mana umat bukan Islam lebih yakin menggunakan sistem kuffar dalam ekonomi dan perundangan kerana pemimpin yang mendakwa bahawa negara ini adalah negara Islam lebih suka menggunakan sistem kuffar daripada menerima sistem Islam. Golongan sekularisme sanggup mati dalam menentang pelaksanaan sistem Islam daripada mati dalam melaksanakan perundangan Islam. Oleh itu ingatlah kita bahwa di hadapan kita ada dua pilihan samada kita mahu mati sebagai pejuang yang memperjuangkan Islam atau lebih rela mati sebagai petualang yang melawan dan menentang Islam. Tepuklah dada tanyalah iman.
Firman Allah dalam ayat 45 surah al-Anfal
ياأيهاالذين ءامنوا إذا لقيتم فئة فاثبتوا واذكروا الله لعلكم تفلحون
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu memerangi pasukan musuh maka teguhkanlah hatimu dan banyakkanlah menyebut nama Allah agar kamu beroleh kejayaan
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: