أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Selasa, 29 April 2008

86. GUNA AKAL TANPA SULUHAN WAHYU PUNCA UMAT BUNTU

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 15 dan 16 surah Huud :
من كان يريد الحيــوة الدنيا وزينتها نوف إليهم أعمــلهم فيها وهم فيها لايبخسون . أولئك الذين ليس لهم فى الأخرة إلا النار وحبط ما صنعوا فيها وبــطل ما كانوا يعملون
Maksudnya : Sesiapa yang keadaan usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya (tanpa mengira halal dan haram), maka Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia dan mereka tidak dikurangkan sedikitpun padanya. Merekalah orang-orang yang tidak ada baginya pada hari akhirat kelak selain daripada azab Neraka dan pada hari itu gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia dan batallah apa yang mereka telah kerjakan.
Islam tidak pernah melarang umatnya daripada mencari kemewahan harta dunia tetapi ada batasnya yang tertentu agar umat Islam tidak melanggar hukum syariat yang berkaitan dengan halal dan haram bagi memastikan kemewahan yang dicapai di dunia mampu untuk membantu kita dalam mencapai kebahagiaan hidup di negeri akhirat nanti. Zuhud dengan dunia bukan bererti Islam menyuruh umatnya agar berhenti terus daripada mengejar kemewahan harta sebaliknya harta yang dikejar mestilah daripada sumber yang halal serta berbelanja pada jalan yang halal , tidak membazir, tidak hanyut dengan kemewahan itu daripada mengingati Allah serta sentiasa mengeluarkan zakat yang diwajibkan dan bersedekah. Islam bukan membenci atau memusuhi pembangunan tetapi ia mestilah dibina atas asas taqwa bukannya dibina untuk menunjuk-nunjuk sehingga berlakunya banyak pembaziran dan salah guna terhadap wang rakyat sedangkan rakyat yang teramai tidak dapat memperolehi manfaat yang sepatutnya daripadanya.
Seruan daripada pengerusi baru OIC agar umat Islam lebih banyak menggunakan akal dalam mengembalikan kekuatan Islam dengan alasan bahawa yahudi yang pernah dibunuh dan diperangi sekian lama oleh penduduk dunia kini mampu menguasai dunia hasil daripada penggunaan akal. Jika kita lihat kepada perpecahan umat Islam dan kemunduran tamadun kebendaan kita pada hari ini bukanlah disebabkan ramai umat Islam terutama pemimpin tidak menggunakan akal malah disebabkan mereka terlalu banyak menggunakan akal dengan mengenepikan wahyu telah menyebabkan umat Islam mula menghadapi keruntuhan tamadun kemanusiaan serta masih ketinggalan dari segi kemajuan tamadun kebendaan. Kebanyakan negara OIC sendiri hanya sepakat semasa mesyuarat sahaja tetapi berpecah semula apabila kembali ke negara masing-masing akibat menggunakan akal. Ada negara umat Islam yang mengikut ideologi ciptaan akal yahudi seperti kapitalis, sosialis, komunis dan selainnya dan dari sini lagi mereka sebenarnya mahukan perpecahan ini terus berlangsung. Jika pemimpin negara umat Islam mahu bersatu dan maju maka mereka bukan mesti kembali menggunakan akal semata-mata dengan mengenepikan wahyu sebaliknya mereka mesti meletakkan seluruh system Islam di tempat yang paling tinggi mengatasi akal yang kebanyakannya dikuasai nafsu. Akibat penggunaan akal semata-mata menyebabkan pemimpin boleh diam membisu malah merestui suatu konsert hiburan daripada kumpulan barat Linkin Park yang diadakan di tengah-tengah kerancakan Persidangan Negara Islam (OIC) di mana ianya menambahkan lagi masalah sosial yang sedia ada. Adakah ini merupakan salah suatu cara penggunaan akal yang bijak dalam memajukan tamadun kemanusiaan yang hampir runtuh sebagaimana yang disarankan.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Sepatutnya setelah banyak kali bersidang maka pemimpin negara umat Islam telah sedar bahawa Islam telah menunjukkan suatu system hidup yang terbaik berasaskan al-Quran dan sunnah nabi untuk diterima pakai tetapi malangnya akal juga menjadi pilihan mereka yang menyebabkan banyak hasil dalam negara yang diperolehi serta betapa ramai tenaga manusia yang ada tidak mampu digunakan sebaik mungkin dalam mengembalikan semula kegemilangan Islam dan umatnya. Kita tidak nafikan bagaimana umat Kristian telah meraih kemajuan tamadun kebendaan apabila memisahkan agama daripada urusan kehidupan. Ini disebabkan paderi Kristian yang terlalu menekan penganut Kristian daripada hidup bebas apabila paderi bertindak menggunakan kuasa yang ada pada mereka untuk terus menindas dan mendapat keuntungan daripadanya. Setelah berlakunya beberapa revolusi terutama Revolusi Perancis dan perindustrian telah menyebabkan tersebarnya fahaman sekulerisme yang memisahkan antara agama dan kehidupan yang telah membolehkan penganut Kristian menjalankan aktiviti dengan bebas tanpa dibelenggu oleh penindasan gereja. Di sebalik revolusi yang berlangsung ini, kita dapat melihat bagaimana peranan besar yang telah dimainkan oleh yahudi dalam menjayakannya. Setelah penganut Kristian memisahkan antara agama dan kehidupan telah membolehkan mereka maju dalam membina tamadun kebendaan tetapi terus gagal dalam membina tamadun kemanusiaan.
Mungkin melalui teori inilah telah menghasut kebanyakan pemimpin negara umat Islam yang berfahaman sekulerisme untuk memisahkan antara peranan agama dan urusan dunia. Pemimpin ini bukannya menolak terus ajaran agama sebaliknya menerima pakai agama dalam masalah ibadat khusus tetapi menolak Islam daripada berperanan secara lebih meluas termasuk dalam urusan ekonomi, perundangan, sosial dan sebagainya. Golongan ini turut menggunakan alasan sama sebagaimana penganut Kristian ketika menolak gereja iaitu ulama’ Islam yang muktabar telah menafsirkan al-Quran serta mengarang kitab berasaskan kepada pendapat sahaja yang menyebabkan pemahaman Islam menjadi sempit sehingga umat Islam terus mundur. Bermula daripada tuduhan melulu itu maka golongan ini tanpa rasa malu terus melaungkan agar al-Quran ditafsirkan semula tanpa syarat yang sepatutnya dijaga dan pendapat ulama’ muktabar yang tidak sehaluan dengan kehendak nafsu mereka ditolak. Jika penganut Kristian menolak paderi yang selama ini menindas mereka maka golongan sekuler yang beragama Islam turut berusaha habis-habisan dalam memburuk-burukkan ulama’ yang tidak mahu tunduk kepada kehendak nafsu serakah mereka atas alasan golongan ulama’ sebagai anti pembangunan. Golongan ini juga dengan menggunakan pelbagai helah, terus berusaha bukan sahaja mengurangkan sukatan pengajian agama malah berusaha menghapuskan terus pengajian agama terutama di peringkat sekolah bagi memastikan agenda dalam memisahkan agama dan urusan dunia dapat dijayakan atas alasan bahawa Kristian boleh maju apabila agama hanya digunakan ketika ibadat khusus dan nikah kahwin sahaja sedangkan dalam urusan dunia maka akal menjadi panduan tertinggi. Kita peringatkan kepada golongan sekuler ini bahawa Kristian boleh maju dalam tamadun kebendaan apabila memisahkan agama daripada urusan dunia kerana mereka tidak mempunyai sumber wahyu tentang perkara ini akibat penyelewengan paderi. Sedangkan umat Islam telah dianugerahkan panduan daripada sumber yang tulen iaitu al-Quran dan sunnah nabi. Oleh itu sebarang tindakan dalam memisahkan antara agama daripada urusan dunia tidak akan berjaya memajukan umat Islam malah mereka yang melakukan jenayah dalam menjadikan akal sebagai sumber tertinggi mengatasi wahyu akan mendapat kemurkaan Allah dan kekecewaan hidup di dunia dan akhirat. Sedarlah kita bahawa penggunaan akal ada had sempadannya di mana penggunaan akal mestilah disuluhi cahaya wahyu bukannya terus ditenggelam oleh kegelapan nafsu.
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Penderitaan dan penindasan yang dihadapi oleh umat Islam bukanlah disebabkan mereka meninggalkan penggunaan akal dalam bertindak sebaliknya akibat daripada penggunaan akal yang tidak dibataskan oleh garisan wahyu. Umat Islam tidak mampu membantu saudara seagama yang terus ditindas bukanlah disebabkan tidak menggunakan akal sebaliknya akibat terlalu mengikut kata akal bahawa periuk nasi akan terjejas jika membantu saudara seagama secara bersungguh kerana terlalu takut kepada tekanan musuh. Malah penindasan yang dilakukan oleh pemimpin umat Islam terhadap rakyatnya sendiri yang dituduh sebagai pengganas bukanlah disebabkan tidak menggunakan akal sebaliknya akal yang digunakan terlalu mengikut hasutan nafsu sehingga mengenepikan panduan wahyu.
Begitu juga dengan penyalahgunaan masalah jihad yang berlaku di kalangan umat Islam bukanlah disebabkan tidak menggunakan akal tetapi akibat kurangnya ilmu yang menyebabkan mereka menafsirkan masalah jihad berdasarkan nafsu bukannya wahyu. Oleh itu sebarang usaha dalam mengikut telunjuk Amerika untuk menghapuskan pengajian tentang masalah jihad bukanlah penyelesai masalah keganasan kerana apabila penindasan yang dilakukan oleh musuh terlalu kuat menyebabkan pihak yang tertindas yang kebanyakannya umat Islam akan bangun bertindak termasuk melalui perang. Jika masalah jihad dihapuskan daripada dipelajari menyebabkan masalah keganasan semakin meningkat sedangkan apabila masalah jihad diajar secara menyeluruh menurut ajaran Islam yang sebenar maka ia akan membolehkan umat Islam menggunakannya pada tempat dibenarkan oleh Islam sahaja bukannya secara melulu. Sebenarnya masalah jihad dalam Islam bukanlah penyebab utama kepada keganasan tetapi masalah utama kepada berlakunya keganasan adalah disebabkan pengganas sendiri yang menjadi ketua dunia dalam meluaskan keganasan dan penjajahan yang menyebabkan ia sukar dibendung.
Firman Allah dalam ayat 159 surah an-Nisaa’:
وإن من أهل الكتــب إلا ليؤمنن به قبل موته ويوم القيــمة يكون عليهم شهيدا
Maksudnya : Dan tidak ada seorang pun dari kalangan ahli Kitab melainkan dia akan beriman kepada Nabi Isa sebelum matinya dan pada hari kiamat kelak Nabi Isa akan menjadi saksi terhadap mereka.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: