أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Jumaat, 11 Mei 2012

Ulama' Berani Menegur Umat Makmur

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian, Firman Allah dalam ayat 1-2 surah al-Mulk : تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ ﴿١﴾الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ Maksudnya : Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat); dan memanglah Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu; Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat); Islam mengajar kita tentang hakikat dunia fana dan akhirat yang kekal selamanya supaya kita tidak lupa dan hanyut dengan tipuan dunia disamping sentiasa bersiap dengan bekalan akhirat yang sepastinya kita semua akan menuju ke sana. Semasa berada di alam dunia ini yang merupakan alam percubaan terhadap iman maka kita wajib menyemai sebanyak mungkin amalan soleh supaya kita dapat sama-sama menuai hasilnya dengan pahala untuk mendapatkan nikmat Syurga di akhirat nanti. Antara cara untuk kita tidak terpedaya dengan tipuan dunia ialah dengan sentiasa mendekati al-Quran dengan membaca dan memahami seterusnya menghayatinya dalam kehidupan seharian disamping mengingati mati. عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رضي الله عنه قَالَ: قَالَ رَسُولُ اَللَّهِ صلى الله عليه وسلم {أَكْثِرُوا ذِكْرَ هَاذِمِ اَللَّذَّاتِ: اَلْمَوْتِ} رَوَاهُ اَلتِّرْمِذِيُّ, وَالنَّسَائِيُّ, وَصَحَّحَهُ ابْنُ حِبَّانَ Maksudnya : Perbanyakkanlah dalam mengingati perkara yang menghapuskan kelazatan dunia iaitu mengingati mati Imam Al-Ghazali membahagikan manusia yang mengingati mati kepada 3 tingkatan iaitu [1] orang yang tenggelam dalam tipu daya dan hawa nafsu dunia. Mereka tidak ingat kematian dan enggan diingatkan mengenai kematian. Golongan seperti itu tidak mempersiapkan bekalan untuk menghadapi kematian bahkan hidup mereka terus bergelumang dosa dan maksiat. [2] Golongan yang bertaubat memohon keampunan daripada Allah dan mereka banyak mengingati kematian yang mendorongnya beramal dan mempersiapkan bekalan menuju akhirat. [3] Golongan yang mengetahui kedudukan dirinya di hadapan Allah. Mereka sentiasa mengingati kematian bahkan selalu menanti saat kematian kerana kematian baginya adalah pertemuan dengan Allah. Malah saintis barat seperti kajian yang dibuat oleh Matthew Gailliot dan pasukannya dalam Buletin Personaliti dan Psikologi Sosial pada tahun 2008 menunjukkan peningkatan kesedaran mengenai kematian akan memberi motivasi dalam meningkatkan memperbaiki kesihatan fizikal dan membantu orang ramai meletakkan semula keutamaan matlamat dan nilai hidup. Mengingati kematian juga mempromosikan kesihatan yang lebih baik seperti kurang merokok atau lebih banyak bersenam. Bilangan orang ramai yang suka membantu orang tidak dikenali 40 peratus lebih baik di kawasan perkuburan berbanding kawasan jauh daripada situ Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat 83 Surah al-Qasos: تِلْكَ الدَّارُ الْآخِرَةُ نَجْعَلُهَا لِلَّذِينَ لَا يُرِيدُونَ عُلُوًّا فِي الْأَرْضِ وَلَا فَسَادًا ۚ وَالْعَاقِبَةُ لِلْمُتَّقِينَ Maksudnya : Negeri akhirat (yang telah diterangkan nikmat-nikmatnya) itu, Kami sediakan bagi orang-orang yang tidak bertujuan hendak mendapat pengaruh atau kelebihan di muka bumi dan tidak ingat hendak melakukan kerosakan; dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa Takhta dan harta merupakan antara ujian dunia yang berkait rapat dan banyak merosakkan umat manusia akibat menguruskan keduanya berdasarkan kepada hawa nafsu dengan menolak panduan suluhan wahyu Allah. Al-Quran memberi contoh yang begitu banyak dan jelas antara kerosakan yang dilakukan oleh pemimpin yang mengikut hawa nafsu dalam mentadbir negara seterusnya mempertahankan kuasa yang ada daripada digugat sebagaimana Firaun yang dihancurkan oleh takhta sehingga begitu berani melawan Allah dan sanggup membunuh anak-anak lelaki daripada bani Israel kerana bimbang akan menggugat kerajaannya. Firaun juga dikelilingi oleh Menteri seperti Haman dan tukang-tukang sihir yang memburukkan lagi keadaan akibat menghasut Firaun kepada kejahatan bukan memperbetulkannya kepada kebenaran kerana terlalu mengejar kesenangan dunia dan menolak akhirat. Kisah al-Quran ini bukan setakat untuk dibaca dan didengar sahaja sebaliknya wajib diambil pengajaran agar ia tidak berulang kerana Firaun telah lama mati lemas namun pemimpin yang bersikap seumpama Firaun terus datang silih berganti. Begitu juga menteri seumpama Haman terus datang dan pergi. Kita dapat lihat bagaimana betapa ramai pemimpin yang merasakan takhta yang dipegang bukan suatu amanah yang akan dipertanggungjawab di mahkamah Allah di akhirat kelak sebaliknya takhta dijadikan batu loncatan untuk mengaut keuntungan sebanyak mungkin daripada harta rakyat jelata. Pemimpin jenis ini akan berusaha mempertahankan takhta yang dimiliki dengan apa jua cara sekali pun walau terpaksa membunuh rakyat sendiri. Kita dapat saksikan bagaimana keadaan di beberapa negara seperti Syria bila pemimpin sanggup menghalakan senjata kepada rakyat sendiri. Tidak ketinggalan di negara kita sendiri yang sanggup melanggar prinsip demokrasi apatah lagi Islam dalam mempertahankan kuasa yang ada. Pemimpin jenis ini begitu takut kehilangan kuasa kerana bimbang hartanya akan hilang dan penyelewengan akan terbongkar yang menyebabkan mereka akan di dakwa di mahkamah dunia sebelum dihisab di mahkamah Allah di akhirat nanti. Inilah juga antara kesan kepada golongan yang berpegang dengan fahaman sekulerisme yang memisahkan antara agama dan urusan dunia sehingga pecah amanah dianggap biasa, rasuah menjadi amalan harian, penyelewengan dijadikan sumber rezeki. Sedangkan Islam sentiasa memperingatkan supaya kita wajib menguruskan urusan dunia dengan agama. Rasulullah SAW pernah menyatakan bahawa pemimpin yang baik serta adil akan menjadi salah satu daripada tujuh golongan mendapat naungan dan perlindungan Allah pada hari kiamat kelak. Sebaliknya pemimpin yang kejam dan tidak amanah pula adalah salah satu daripada tiga kelompok yang dikategorikan sebagai penyakit kronik dalam agama yang hanya mengakibatkan kemudaratan serta kesengsaraan bagi agama, bangsa dan negara Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Firman Allah dalam ayat 47-48 Surah Taha : فَأْتِيَاهُ فَقُولَا إِنَّا رَسُولَا رَبِّكَ فَأَرْسِلْ مَعَنَا بَنِي إِسْرَائِيلَ وَلَا تُعَذِّبْهُمْ ۖ قَدْ جِئْنَاكَ بِآيَةٍ مِّن رَّبِّكَ ۖ وَالسَّلَامُ عَلَىٰ مَنِ اتَّبَعَ الْهُدَىٰ ﴿٤٧﴾إِنَّا قَدْ أُوحِيَ إِلَيْنَا أَنَّ الْعَذَابَ عَلَىٰ مَن كَذَّبَ وَتَوَلَّىٰ Maksudnya : "Oleh itu, pergilah kamu berdua (Musa dan Harun) kepadanya (Firaun), kemudian katakanlah: "Bahawa sesungguhnya kami ini Rasul-rasul dari Tuhanmu, maka bebaskanlah kaum Bani lsrail mengikut kami, dan janganlah engkau menyeksakan mereka. Sesungguhnya kami telah datang kepadamu membawa satu tanda (mukjizat) dari Tuhanmu! Dan selamat sejahtera itu adalah untuk orang-orang yang menurut petunjuk agama Allah. "Sesungguhnya telah diwahyukan kepada kami bahawa azab seksa di dunia dan di akhirat ditimpakan kepada orang yang mendustakan ayat-ayat Allah dan berpaling daripadanya". Kezaliman dan penindasan pemimpin wajib dihentikan melalui tugas menyuruh kepada kebaikan dan mencegah daripada kejahatan. Jika pada zaman adanya nabi dan rasul maka golongan yang mulia itu telah berada di saf hadapan dalam menegakkan kebenaran dan menyanggah kesesatan. Pada zaman kita pula maka ia dipikul oleh golongan ulama’ pewaris nabi yang mesti berada di saf hadapan dalam menyedarkan pemimpin tentang kesalahan yang dilakukan. Kita pernah menyaksikan bagaimana keberanian ulama’ dalam menjalankan tugas yang penting ini membolehkan pemimpin diperbetulkan dan kezaliman dapat disekat. Ramai ulama’ yang terpaksa merengkok dan diseksa dalam penjara dan tidak kurang yang mati dibunuh demi menegakkan kebenaran dan melawan kebatilan. Sebagai contoh Imam Ahmad Hanbal terpaksa berdepan dengan penjara bagi memastikan kesucian al-Quran dan ketinggian Islam terus terpelihara. Begitu Said bin Zubair iaitu anak kepada sahabat nabi Zubair bin Awwam di mana beliau ditangkap oleh Gabenor Hajjaj bin Yusuf al-Thaqafi dan dihukum penggal kepala atas keberaniannya dalam menegur kezaliman pemimpin. Sebelum dipenggal kepalanya, Said sempat berdoa: “Ya Allah! Semoga saya ini adalah orang terakhir yang dibunuh oleh Hajjaj. Selepas hari ini, janganlah dibuka lagi kesempatan bagi Hajjaz untuk berbuat begini terhadap hamba-Mu”. Mendengar doa Said itu, Hajjaj hanya tertawa. Selepas satu minggu kematian Said, Hajjaj ditimpa penyakit gila dan dia mati dalam keadaan yang mengerikan. Negara kita tidak ketinggalan mempunyai ulama’ yang berani berjuang dalam menegur kezaliman pemimpin sehingga ada yang gugur syahid, tidak kurang yang menderita dalam penjara dan sebagainya. Kita terus menuntut keberanian ulama’ disamping bijak pandai dalam pelbagai bidang yang diceburi seperti bidang ekonomi bagi menjelaskan kepada rakyat bahawa negara bankrap akibat penyelewengan wang rakyat bukan kerana beri pendidikan percuma kepada rakyat. Pakar sains pula boleh menjelaskan bagaimana rakyat bakal berdepan dengan kerasukan kapitalis yang mahu membunuh rakyat dengan kelulusan sebuah kilang Lynas dari Australia yang memproses nadir bumi (rare earth) atau logam lathanides yang mana sisanya boleh mengeluarkan radioaktif di Pahang. Akibat mahu keuntungan yang sedikit maka nyawa rakyat dipertaruhkan. Jangan menjadi bijak pandai yang hanya tahu mengipas dan mengampu pemimpin kerana tamakkan harta dunia Jadilah kita umat yang terbaik dengan menyuburkan amar makruf nahi mungkar dalam kehidupan agar kita kembali menjadi umat terbaik yang bahagia dunia akhirat. Firman Allah dalam ayat 110 Surah Ali ‘Imran: كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّـهِ ۗ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَّهُم ۚ مِّنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ Maksudnya : Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik. بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ