أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Ahad, 30 Jun 2019

Jati Diri Umat DiBina Negara Maju Jaya

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Firman Allah dalam ayat 30 surah Fussilat : إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّـهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ الْمَلَائِكَةُ أَلَّا تَخَافُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَبْشِرُوا بِالْجَنَّةِ الَّتِي كُنتُمْ تُوعَدُونَ ﴿٣٠﴾ Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: "Tuhan kami ialah Allah", kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): "Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu. Kini kita berada dipenghujung bulan Syawal 1440H yang bererti hampir sebulan kita telah meninggalkan bulan Ramadhan. Berlalunya Ramadhan bukan bermakna kita berhenti dalam mendidik diri kita untuk terus istiqamah dengan dengan segala amalan soleh pada 11 bulan yang lain termasuk terus bersemangat untuk membaca, memahami dan mengamalkan al-Quran. Kita terus jinak dengan solat berjemaah di masjid atau surau. Tidak lupa untuk kita hidupkan bulan lain dengan puasa sunat. Betapa beruntungnya orang-orang yang telah menyempurnakan puasa sunat 6 hari bulan Syawal, begitu juga yang sedang menunaikannya. Seterusnya suka bersedekah Terdapat 3 tahap istiqamah yang perlu ada dalam diri kita khususnya bagi membentuk jati diri menurut syariat Islam iaitu [1] istiqamah hati di mana ia diperlukan dalam mempertahankan kesucian hati daripada sifat syirik kepada Allah, menjauhi sifat riyak serta mempunyai keyakinan yang kukuh terhadap kebenaran. [2] istiqamah lidah dengan memelihara lidah dan tutur kata agar sentiasa berkata benar dan jujur, ia merupakan sifat orang beriman iaitu berani mempertahankan kebenaran dan hanya takut kepada Allah semata-mata. [3] Istiqamah dalam perbuatan atau amalan iaitu melakukan amalan untuk mencapai kejayaan yang diredhai Allah Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T, عَنْ أَبِي عَمْرٍو وَقِيلَ: أَبِي عَمْرَةَ سُفْيَانَ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ: "قُلْت: يَا رَسُولَ اللَّهِ! قُلْ لِي فِي الْإِسْلَامِ قَوْلًا لَا أَسْأَلُ عَنْهُ أَحَدًا غَيْرَك؛ قَالَ: قُلْ: آمَنْت بِاَللَّهِ ثُمَّ اسْتَقِمْ" . رَوَاهُ مُسْلِمٌ. Maksudnya : Wahai Rasulullah! Ajarkan untukku dalam lslam suatu ucapan yang aku tidak perlu lagi bertanya kepada orang lain selainmu. Baginda bersabda: Ucapkanlah: Aku beriman kepada Allah. Kemudian hendaklah engkau beristiqamah. Sifat Istiqamah membawa maksud tetap atau berpendirian teguh atas kebenaran. Secara umumnya, berpegang pada akidah Islam dan melaksanakan syariat dengan teguh, tidak berubah atau berpaling tadah walau apa jua keadaan. Istiqamah merupakan daya kekuatan yang diperlukan sepanjang hayat manusia dalam melaksanakan tuntutan Islam, mulai daripada amalan hati, amalan lisan dan anggota tubuh badan. Terdapat 3 syarat dalam Istiqamah. [1] Niat dengan memasukkan dalam hati untuk beristiqamah. Teguhkan dan ajarkan hati untuk berniat melakukan perkara-perkara baik setiap hari. Syarat ke-[2] mengurangkan pilihan dalam membuat amalan di mana lumrah manusia sekiranya berhadapan dengan banyak pilihan tugasan, dia akan membuat pilihan yang paling ringan atau mudah sahaja. Syarat ke-[3] memperbanyakkan Doa untuk tetap istiqamah dalam kebaikan Imam al-Ghazali merumuskan 4 perkara yang menghalang umat Islam daripada istiqamah dalam mengerjakan ibadat dan mentaati perintah Allah iaitu [1] Alasan sibuk dengan urusan dunia sama ada berkaitan kerja atau keluarga [2] Gangguan daripada pergaulan atau interaksi sesama manusia di mana ramai manusia yang rosak akibat terpengaruh dengan kawan atau masyarakat sekeliling yang rosak. [3] Gangguan syaitan. [4] Gangguan nafsu dalam diri di mana Imam al-Ghazali berkata: “Antara tanda kecintaan hamba kepada Allah ialah dia mengutamakan perkara yang disukai Allah daripada keinginan nafsunya sama ada dalam aspek zahir atau batin.” Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T, Firman Allah dalam ayat 22 surah al-Ahzab : وَلَمَّا رَأَى الْمُؤْمِنُونَ الْأَحْزَابَ قَالُوا هَـٰذَا مَا وَعَدَنَا اللَّـهُ وَرَسُولُهُ وَصَدَقَ اللَّـهُ وَرَسُولُهُ ۚ وَمَا زَادَهُمْ إِلَّا إِيمَانًا وَتَسْلِيمًا ﴿٢٢﴾ Maksudnya : Dan pada masa orang-orang yang beriman melihat tentera Al-Ahzaab, berkatalah mereka:" Inilah yang telah dijanjikan Allah dan RasulNya kepada kami dan benarlah (apa yang telah dijanjikan) Allah dan RasulNya". Dan (angkatan tentera musuh yang mereka lihat) itu tidak memberi sebarang kesan kepada mereka selain daripada menambahkan iman dan penyerahan diri mereka bulat-bulat kepada Allah Keberadaan kita pada bulan Syawal turut mengingatkan kita kepada peristiwa besar yang pernah berlaku dalam bulan ini seperti termasuk Peperangan Ahzab yang berlaku pada bulan Syawal berlarutan sehingga awal bulan Zulkaedah tahun 5 Hijrah. Setiap kali tibanya hari raya, kita sentiasa laungkan kalimah وأعز جنده وهزم الأحزاب وحده yang bermaksud : Dan Dialah (Allah) yang telah memenangkan tenteraNya serta mengalahkan tentera Ahzab. Laungan kemenangan ini bukan laungan kosong sebaliknya perlu kepada penghayatan termasuk sentiasa berwaspada dengan musuh Islam yang tidak pernah penat dan rehat dalam menghancurkan umat Islam dan menghalang perkembangan Islam samada secara keras melalui peperangan atau lembut melalui serangan pemikiran. Oleh itu usaha dalam memperkasakan jati diri umat Islam bermula daripada peringkat kana-kanak hingga dewasa mesti dipertingkatkan agar tidak terpesong dengan ajaran sesat dan pegangan yang bercanggah dengan Islam termasuk sekuler, liberal, plural agama yang meletakkan semua agama adalah setaraf hingga menghalalkan murtad, ateis yang menolak agama dan sebagainya. Antara matlamat pendidikan Islam bukan sahaja ingin melahirkan seorang warganegara yang baik, keturunan yang baik, seorang yang taat pada peraturan, mahir dalam bidang-bidang yang diceburinya. Malah matlamat pendidikan Islam adalah melahirkan seorang manusia yang mempunyai sifat kemanusiaan, beriman, mendatangkan manfaat terhadap diri sendiri, orang lain dan negara. Matlamat pendidikan Islam juga ingin melahirkan insan yang menabur bakti kepada bangsanya dan bangsa lainnya. Insan yang menabur jasa kepada negaranya dan negara yang lain. Insan yang lahir dari pendidikan Islam akan memberikan produk yang lumayan kepada negara. Mereka akan menabur jasa dan memberi sumbangan kepada masyarakat pada setiap tempat dan ketika. Melalui sistem pendidikan Islam juga, mendidik dan mengasuh manusia supaya menghias diri dengan akhlak dan nilai-nilai murni agar perhubungan sesama manusia berjalan dengan baik tanpa ada persengketaan atau penyelewengan. Islam mendidik manusia supaya bersifat takwa, ikhlas, amanah, menghormati orang lain, mengamalkan sifat tolong- menolong dan sebagainya Sidang Jumaat yang diberkati Allah S.W.T, Firman Allah dalam ayat 37 surah an-Nuur : رِجَالٌ لَّا تُلْهِيهِمْ تِجَارَةٌ وَلَا بَيْعٌ عَن ذِكْرِ اللَّـهِ وَإِقَامِ الصَّلَاةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ ۙ يَخَافُونَ يَوْمًا تَتَقَلَّبُ فِيهِ الْقُلُوبُ وَالْأَبْصَارُ ﴿٣٧﴾ Maksudnya : (Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan. Melihat kepada betapa pentingnya pendidikan Islam dalam melahirkan umat jati diri yang berkualiti maka ia mesti digarap oleh pakar yang berkelayakan dari kalangan cendikiawan Islam agar ia tidak terpesong daripada Islam. Kita pernah melihat bagaimana ketika negara dijajah maka banyak perkara yang telah dibuat oleh penjajah termasuk dalam system pendidikan sehingga melahirkan umat Islam yang gagal memahami dan menghayati Islam secara menyeluruh. Islam dihadkan pada masa dan tempat tertentu sahaja malah lulusan agama diletakkan ditahap yang rendah dari sudut pengiktirafan dan kerjaya Malah pada alaf baru ini turut menyaksikan bagaimana zionis Yahudi yang didokong oleh Amerika Syarikat pernah mengganggu sukatan pengajian di Mesir termasuk di Universiti Al-Azhar dan beberapa negara Arab yang lain termasuk Arab Saudi, Jordan dengan gesaan agar dibuang pengajian berkaitan jihad, dibuang sukatan ayat al-Quran dan hadis nabi berkaitan kejahatan zionis Yahudi sedangkan di negara pengganas zionis Yahudi Israel sendiri sukatan pengajian yang membenci agama lain terutama Islam terus subur tanpa gangguan. Maka kita jangan ulangi kesilapan yang sama di mana umat Islam tidak menganggu pengajian agama lain maka mereka yang tidak berkenaan dilarang mengganggu sukatan pendidikan Islam Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T, Firman Allah dalam ayat 256 surah al-Baqarah : لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ ۖ قَد تَّبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ ۚ فَمَن يَكْفُرْ بِالطَّاغُوتِ وَيُؤْمِن بِاللَّـهِ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَىٰ لَا انفِصَامَ لَهَا ۗوَاللَّـهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ ﴿٢٥٦﴾ Maksudnya : Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui Kewajipan untuk mengawal umat Islam daripada terpesong daripada Islam samada melalui iktikad, lidah dan perbuatan adalah suatu perkara yang mesti diambil perhatian terutama oleh pemimpin dan ibubapa. Begitu juga dalam menyampai dan menyebar luaskan lagi dakwah Islam kepada orang bukan Islam mesti dipergiatkan oleh kerajaan, jabatan berkenaan dan setiap diri kita mengikut kemampuan. Islam melarang kita daripada memaksa orang bukan Islam supaya memeluk Islam tetapi dalam masa yang sama mewajibkan umat Islam untuk berdakwah kepada orang bukan Islam. Oleh itu kita berasa pelik apabila Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (PROHAM) yang mengutuk tindakan pihak UKM dengan kerjasama Majlis Agama Islam Kelantan dan JAKIM dalam usaha menyampaikan dakwah kepada orang asli di Kelantan atas alasan bercanggah dengan kebebasan hak asasi manusia. Persoalan yang ditimbulkan oleh golongan liberal ini sangat menghairankan. Usaha dakwah kepada Orang Asli bukanlah baru dimulakan tahun ini malah dakwah kepada bukan Muslim bermula hampir 40 tahun yang lalu di mana pada tahun 1960, Tunku Abdul Rahman telah menubuhkan PERKIM manakala Cawangan Dakwah Orang Asli JAKIM pula telah ditubuhkan pada 22 April 1991. Ketika kumpulan liberal ini mempetikaikan dakwah Islam tetapi dalam masa yang sama mereka tidak pula mempertikaikan gerakan pendakyah Kristian yang melakukan gerak kerja Kristianisasi terhadap Orang Asli. Menurut Prof Dr. Nizam Sahad, melalui kajian yang dijalankan oleh beliau terhadap masyarakat Orang Asli Broga, usaha Kritistianisasi terhadap Orang Asli menampakkan kesan seawal tahun 1987 lagi. Adakah kita boleh berpeluk tubuh ketika agama lain bersungguh menyebarkan agama mereka sedangkan Islam yang merupakan agama negara dilarang daripada disebarkan. Berfikir dan bertindaklah secara waras berdasarkan wahyu bukannya nafsu….Firman Allah dalam ayat 125 surah an-Nahlu : ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ ۖ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ﴿١٢٥﴾ Maksudnya : Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ