أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Ahad, 15 Februari 2015

Islam DiNobat Negara Berkat Rakyat Selamat

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah !Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa.Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Firman Allah dalam ayat 185 surah Ali ‘Imran : كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ۖ فَمَن زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ ۗ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ ﴿١٨٥﴾ Maksudnya : Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya. Kehidupan dunia berkait rapat dengan akhirat di mana manusia yang memisahkan antara keduanya pasti melakukan sesuatu tindakan mengikut hawa nafsu kerana merasakan semua yang ada adalah miliknya secara mutlak samada kuasa, harta dan sebagainya. Mereka lupa bahawa setiap nikmat dan apa yang dimiliki pada hari ini hanyalah pinjaman sementara sahaja dan menunggu masa untuk diambil semula malah bakal berdepan dengan Mahkamah Allah di akhirat nanti untuk ditanya tentang apa yang dipinjam selama hidup di dunia iaitu tentang umurnya di manakah dihabiskan, tubuh badannya bagaimana dia menggunakannya, harta dari mana dia perolehi dan bagaimana dia membelanjakannya dan ilmunya, adakah dia telah beramal dengan ilmu itu. Menyedari bahawa kehidupan dunia kita tidak kekal malah pasti akan menemui saat kematian maka sepatutnya mengetuk hati kita supaya lebih bersungguh dalam menambah bekalan akhirat disamping menjauhi dosa maksiat terhadap Allah. Imam Al-Ghazali membahagikan manusia kepada 3 tingkatan dalam menghadapi mati iaitu [1] Al-Munhamik, iaitu orang yang tenggelam dalam tipu daya dan hawa nafsu dunia. Mereka tidak ingat kematian dan enggan diingatkan mengenai kematian. Golongan seperti itu tidak mempersiapkan bekalan untuk menghadapi kematian bahkan hidup mereka terus bergelumang dosa dan maksiat. [2] At-Taib, iaitu golongan yang bertaubat memohon keampunan daripada Allah dan mereka banyak mengingati kematian yang mendorongnya beramal dan mempersiapkan bekalan menuju akhirat. [3] Al ‘Arif, iaitu golongan yang mengetahui kedudukan dirinya di hadapan Allah. Mereka sentiasa mengingati kematian bahkan sentiasa menanti saat kematian kerana kematian baginya adalah pertemuan dengan Allah yang begitu dirindui. Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Malam tadi bumi Kelantan khususnya, Malaysia dan dunia Islam umumnya menerima suatu berita yang menyedihkan dengan pemergian Murabbi Ummah al-Marhum Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz b Nik Mat mantan Menteri Besar Kelantan. Ucapan takziah kita ucapkan kepada seluruh ahli keluarga beliau. Kita doakan semoga beliau ditempatkan bersama para solehin dengan dibalaskan segala amalan soleh dan diampuni segala dosanya. Kehilangan beliau sukar dicari ganti namun kita yang masih hidup wajib meneruskan perjuangan suci dalam menegakkan kalimah Allah yang mulia di atas muka bumi ini. Contohilah al-Marhum yang telah mengorbankan seluruh jiwa raga dan masa sehingga penghujung usia dalam mengubah cara hidup rakyat jelata berpaksikan syariat Islam yang lengkap. Beliau yang diuji dengan ujian berat iaitu memegang amanah sebagai ketua negeri selama 23 tahun yang merupakan suatu tanggungjawab yang besar dan sukar dihadapi kecuali oleh hamba Allah yang taqwa kepada Allah. Kita juga doakan semoga al-Marhum dijauhkan daripada azab kubur dan azab Neraka sesuai dengan kelebihan seorang muslim yang meninggal pada malam atau hari Jumaat yang diberikan keistimewaan disisi Allah عن عبد الله بن عمرو رضي الله عنهما قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ﴿مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَمُوتُ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أَوْ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ إِلا وَقَاهُ اللَّهُ فِتْنَةَ الْقَبْرِ﴾ - رواه أحمد والترمذي Maksudnya : Tidaklah seseorang Muslim itu meninggal dunia pada hari Jumaat atau pada malam Jumaat melainkan Allah menyelamatkannya dari fitnah kubur Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat 9-11 surah Hud : وَلَئِنْ أَذَقْنَا الْإِنسَانَ مِنَّا رَ‌حْمَةً ثُمَّ نَزَعْنَاهَا مِنْهُ إِنَّهُ لَيَئُوسٌ كَفُورٌ‌ ﴿٩﴾ وَلَئِنْ أَذَقْنَاهُ نَعْمَاءَ بَعْدَ ضَرَّ‌اءَ مَسَّتْهُ لَيَقُولَنَّ ذَهَبَ السَّيِّئَاتُ عَنِّي ۚ إِنَّهُ لَفَرِ‌حٌ فَخُورٌ‌ ﴿١٠﴾ إِلَّا الَّذِينَ صَبَرُ‌وا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ أُولَـٰئِكَ لَهُم مَّغْفِرَ‌ةٌ وَأَجْرٌ‌ كَبِيرٌ‌ ﴿١١ Maksudnya : Dan demi sesungguhnya! Jika Kami rasakan manusia sesuatu pemberian rahmat dari Kami kemudian Kami tarik balik pemberian itu daripadanya, mendapati dia amat berputus asa, lagi amat tidak bersyukur. Dan demi sesungguhnya! kalau Kami memberinya pula kesenangan sesudah ia menderita kesusahan, tentulah ia akan berkata: "Telah hilang lenyaplah dariku segala kesusahan yang menimpaku". Sesungguhnya ia (dengan kesenangannya itu) riang gembira, lagi bermegah-megah (kepada orang ramai). Kecuali orang-orang yang sabar dan mengerjakan amal soleh maka mereka itu akan beroleh keampunan dan pahala yang besar. Peringatan demi peringatan termasuk kematian yang berlaku disekeliling kita di mana kita sebagai calon kematian seterusnya hanya menunggu saat tibanya giliran malaikat Izrail menjalankan tugasnya untuk mencabut nyawa kita pula, ujian yang datang silih berganti termasuk banjir besar yang bukan datang untuk menarik segala nikmat yang dikecapi tetapi untuk menjadi pelajaran berharga untuk kita memulakan kehidupan yang lebih baik dalam mendekatkan diri kepada Allah dengan menambah amal ibadat serta bersungguh dalam menjauhi dosa maksiat. Menguruskan orang mati lebih senang daripada mengurus orang yang hatinya mati. Al-Quran banyak memberi peringatan kepada kita bagaimana ramainya umat manusia ketika ditimpa kesusahan, mereka putus asa dan lemah semangat tetapi bila sahaja musibah itu hilang lalu mereka kembali kepada cara hidup yang lama dengan tenggelam dalam hasutan hawa nafsu serta berseronok dengan maksiat. Kita yang beriman kepada Allah dan hari akhirat tidak mahu mengulangi kesalahan umat yang dimurkai Allah sebaliknya iktibar terutama daripada banjir besar yang lepas untuk kita bertambah semangat dalam melaksanakan seluruh system Islam dalam kehidupan. Kita doakan semoga ruh pelaksanaan hukum Hudud di Acheh selepas peristiwa menyayat hati dengan tsunami pada tahun 2004 yang lalu akan dapat berulang di bumi Kelantan yang baru dikejutkan dengan ‘Tsunami darat 2014’ iaitu jarak perbezaan 10 tahun untuk kita sama-sama melihat dan merasai sendiri bagaimana keadilan perundangan Islam dapat dilaksanakan dalam mengekang jenayah yang terus meningkat dan masalah sosial yang merosak maruah Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat 4 surah an-Nuur : وَالَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاءَ فَاجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً وَلَا تَقْبَلُوا لَهُمْ شَهَادَةً أَبَدًا ۚ وَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ ﴿٤﴾ Maksudnya : Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan 4 orang saksi, maka sebatlah mereka 80 kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasiq; Penerangan dan penjelasan secara menyeluruh bermula dari sekolah sehingga university serta umum dengan program berterusan tentang hukum Hudud mesti diteruskan agar umat Islam sendiri faham dan yakin tentang system al-Quran. Kita tidak mahu lagi terus mendengar ulasan akibat kejahilan tentang hukum Hudud seperti yang terbaru bahawa perogol akan berkumpul di Kelatan sekiranya dilaksanakan hukum Hudud kerana mereka akan terlepas daripada hukuman akibat tiada 4 saksi. Sebenarnya ia tidak akan berlaku seperti yang digambarkan kerana mangsa rogol pasti diberikan pembelaan sewajarnya oleh hukum Islam ketika banyak kes rogol mengikut hukum Sivil bukan sahaja gagal membendung masalah rogol malah mangsa dan keluarga mangsa gagal mendapat pembelaan yang sewajarnya. Malah bila kita ikuti hukuman liwat terhadap mantan pemimpin tertinggi Negara baru-baru ini maka datang keyakinan bahawa hanya hukum Islam yang akan berjaya menangani masalah ini terutama dalam menjaga maruah dan hak mangsa serta tertuduh dan ahli keluarga masing-masing Kita merasa pelik apabila masih ramai umat Islam yang memberi banyak dalih bila berkaitan pelaksanaan system Islam tetapi boleh menceduk 100 peratus undang-undang barat walau pun bercanggah dengan Islam seperti cadangan untuk menjadikan hukum rotan sebagai suatu jenayah sehingga banyak mendapat bantahan dan diminta supaya selaraskan dengan Islam kerana dibimbangi membantut proses pendidikan. Begitu juga cadangan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), mulai tahun 2016 akan diperkenalkan modul pendidikan seks bagi golongan lelaki lingkungan 16 tahun ke atas, di mana modul tersebut akan dilaksanakan bagi meningkatkan pengetahuan berkaitan kesihatan reproduktif dan seksual disamping membendung masalah sosial daripada terus membelenggu perkembangan sesebuah keluarga. Soal faktor utama yang mendesak modul pendidikan seks ini kembali diperkenalkan masih kabur sama ada ia disebabkan peningkatan angka kelahiran anak tidak sah taraf, atau bertambahnya jumlah penghidap HIV/AIDS atau atas alasan lain. Kita tidak mahu mengulangi kegagalan sebagaimana suatu kajian yang dijalankan di United Kingdom yang mendedahkan kehamilan dalam kalangan remaja adalah yang tertinggi di kawasan yang giat aktif dan agresif dalam mempromosi pendidikan seks. Oleh itu kita menyeru agar pendidikan seks mesti diselaraskan dengas Islam seperti modul yang dijelaskan oleh Abdullah Nasih Ulwan bahawa pendidikan seks bermaksud mengajar anak secara berterus-terang dan secara berperingkat sejak dia mula berakal. Misalnya, pada usia 7-10 tahun perlu diajar tentang adab meminta izin dan adab memandang. Pada usia 10-14 tahun berikutnya, dijauhkan dari perkara-perkara yang boleh menimbulkan nafsu berahi. Manakala pada usia sekitar 14-16 tahun, mereka perlu didedahkan kepada adab-adab perhubungan seks. Sehinggalah pada usia baligh atau dewasa mereka perlu diajar untuk memelihara diri terutamanya bagi anak-anak yang belum mampu berkahwin. Keutamaan-keutaman perkara yang perlu diajar kepada anak-anak ini perlulah diolah sesuai dengan penerimaan mereka dan adat tradisi dalam budaya masyarakat kita. Perinciannya boleh dilihat dalam tafsiran Surah an-Nur yang mengajar sebahagian modul pendidikan seks dalam Islam Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Firman Allah dalam ayat 36 surah al-Anfal : إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ لِيَصُدُّوا عَن سَبِيلِ اللَّـهِ ۚ فَسَيُنفِقُونَهَا ثُمَّ تَكُونُ عَلَيْهِمْ حَسْرَةً ثُمَّ يُغْلَبُونَ ۗ وَالَّذِينَ كَفَرُوا إِلَىٰ جَهَنَّمَ يُحْشَرُونَ ﴿٣٦﴾ Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang kafir yang selalu membelanjakan harta mereka untuk menghalangi (manusia) dari jalan Allah, maka mereka tetap membelanjakannya kemudian (harta yang dibelanjakan) itu menyebabkan penyesalan kepada mereka, tambahan pula mereka dikalahkan. Dan (ingatlah) orang-orang kafir itu (akhirnya) dihimpunkan dalam neraka jahanam Pada peringkat antarabangsa kita dapat lihat bagaimana musuh Islam berusaha mewujudkan Islamofobia kerana takut Islam akan menjadi agama pilihan rakyat mereka disamping kebimbangan zinonis Yahudi bahawa jika Islam terus berkembang akan menggugatkan cita-cita mereka untuk terus merajai dunia. Kita dapat saksikan bagaimana seribu macam penghinaan terhadap Islam, cacian terhadap nabi Muhammad s.a.w serta menggambarkan umat Islam sebagai pengganas namun rakyat terutama di bumi Eropah semakin berminat untuk mengkaji tentang Islam sehingga dilaporkan bagaimana mashaf al-Quran, tafsirannya dan buku berkaitan Islam paling laris di pasaran pada hari ini terutama di Perancis. Inilah janji Allah bahawa cahaya Islam terus bersinar walau pun cuba dipadamkan oleh musuh Islam. Oleh itu bangkitlah untuk kita melaksanakan seluruh system Islam dalam kehidupan agar kita berjaya dunia akhirat. Biarlah orang bukan Islam tertarik kepada Islam bukan sahaja kerana mengkaji hasil tulisan berkaitan Islam tetapi melalui penghayatan akhlak dan seluruh ajaran al-Quran dalam kehidupan seharian oleh umat Islam. Jangan biarkan diri kita menjadi pendinding yang menyebabkan orang bukan Islam memandang hodoh dan buruk terhadap Islam. Islamlah nescaya kita bahagia dan mulia dunia akhirat. بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Khamis, 5 Februari 2015

Islam DiLaksana Negara Sejahtera Rakyat Sentosa

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah !Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa.Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Firman Allah dalam ayat 107-108 surah an-Nahlu : ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمُ اسْتَحَبُّوا الْحَيَاةَ الدُّنْيَا عَلَى الْآخِرَةِ وَأَنَّ اللَّـهَ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْكَافِرِينَ﴿١٠٧﴾ أُولَـٰئِكَ الَّذِينَ طَبَعَ اللَّـهُ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ وَسَمْعِهِمْ وَأَبْصَارِهِمْ ۖوَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ ﴿١٠٨﴾ Maksudnya : (Kekufuran mereka) yang demikian, ialah kerana mereka lebih mengutamakan kehidupan dunia daripada hari akhirat, dan kerana Allah tidak memberi hidayah petunjuk yang menyampaikan kaum yang kufur ingkar (kepada kebahagiaan di akhirat). Mereka itulah orang-orang yang telah dimeterikan Allah hati mereka dan pendengaran mereka serta penglihatan mereka; dan merekalah orang-orang yang lalai. Pertembungan antara Islam dan jahiliah terus berlangsung. Perlawanan antara iman dan kufur terus berlaku. Pemisah antara ibadat dan maksiat sentiasa jelas. Perbezaan antara halal dan haram sentiasa terang. Percanggahan pahala dan dosa begitu ketara. Kesedaran yang tinggi dan perasaan ambil cakno berkenaan dengan perkara ini amat penting dalam melahirkan umat Islam yang mempunyai jatidiri yang tahan daripada pelbagai ujian keimanan yang sentiasa datang silih berganti. Umat Islam wajib diisi dengan ilmu agama yang mampu memastikan hati kita sentiasa hidup dan berhati-hati dalam menguruskan urusan dunia berdasarkan panduan agama. Hati mati menyebabkan umat Islam mudah terpedaya dengan tipuan dunia dan dijajah oleh musuh Islam di tanahair mereka sendiri. Sheikh Ibni Athoillah As-Sakandari dalam kalam hikmahnya menukilkan : Sebahagian daripada tanda mati hati itu ialah jika tidak merasa dukacita kerana tertinggal sesuatu amal perbuatan kebajikan disamping tidak menyesal jika terjadi berbuat sesuatu pelanggaran dosa. Antara sebab hati mati adalah kerana 3 perkara iaitu : [1] Hubbul dunia iaitu terlalu kasihkan dunia dan melupai akhirat. pahala dan dosa. [2] Lalai daripada zikirullah iaitu mengingati Allah sehingga nikmat yang diberi tidak disyukuri, musibah yang diuji tidak diambil pengajaran dalam menginsafkan diri. [3] Membanyakkan makan dan menjatuhkan anggota badan kepada maksiat kepada Allah. Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat 29 surah al-Fathu : مُّحَمَّدٌ رَّسُولُ اللَّـهِ ۚ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ ۖتَرَاهُمْ رُكَّعًا سُجَّدًا يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِّنَ اللَّـهِ وَرِضْوَانًا ۖ سِيمَاهُمْ فِي وُجُوهِهِم مِّنْ أَثَرِ السُّجُودِ ۚ ذَٰلِكَ مَثَلُهُمْ فِي التَّوْرَاةِ ۚ وَمَثَلُهُمْ فِي الْإِنجِيلِ كَزَرْعٍ أَخْرَجَ شَطْأَهُ فَآزَرَهُ فَاسْتَغْلَظَ فَاسْتَوَىٰ عَلَىٰ سُوقِهِ يُعْجِبُ الزُّرَّاعَ لِيَغِيظَ بِهِمُ الْكُفَّارَ ۗ وَعَدَ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ مِنْهُم مَّغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمًا ﴿٢٩﴾ Maksudnya : Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat muka mereka - dari kesan sujud. Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad, s.a.w dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Dia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki - dengan kembang biaknya umat Islam itu. (Dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala yang besar Penyakit hati mati akibat kurang ilmu dan pengamalan system Islam dalam kehidupan seharian, hanyut dalam hiburan melalaikan, kecelaruan budaya dan identity akibat memisahkan kehidupan dunia daripada agama menyebabkan umat Islam hidup dihimpit seribu macam penindasan, penghinaan daripada musuh Islam. Kita dapat saksikan bagaimana 3 kesan buruk yang utama akibat kejatuhan Khilafah Uthmaniah Turki pada tahun 1924 iaitu : [1] Mengecutnya pengaruh umat Islam termasuk penguasaan Islam di bumi Eropah hilang apabila satu demi satu Negara yang dikuasai oleh umat Islam dirampas kembali. [2] Orang Yahudi Berjaya mendapat Negara di Palestin manakala Kristian berjaya menjajah Negara Arab dan Negara umat Islam yang lain dengan dasar pecah perintah. [3] Hilangnya system Khilafah yang menyatu dan menjaga keselamatan umat Islam sehingga musuh Islam kini tanpa rasa takut dan gerun terus membunuh, menindas dan menghina umat Islam di tanahair kita sendiri tanpa ada kuasa yang kuat dalam mencegahnya. Antara penghinaan yang terbaru ialah sekali lagi majalah Charlie Hebdo yang berpusat di Paris, Perancis menghina nabi Muhammad s.a.w selepas 2 minggu syarikat mereka diserang. Negara penjenayah dan penyembelih umat Islam yang utama iaitu Amerika Syarikat dan Israel cuba menonjolkan kepada dunia bahawa mereka bencikan keganasan sedangkan merekalah yang rakus membaham dan meratah tubuh umat Islam di Afghanistan, Iraq, Palestin dan lain-lain. Malah tindakan biadap majalah Perancis tersebut tidak lebih dalam mewujudkan kebencian terhadap Islam dan umatnya bagi menyekat kemasukan rakyat Eropah ke dalam Islam yang terus meningkat dari hari ke hari. Oleh itu kita wajib bersatu atas dasar Islam dalam mengembalikan semula kekuatan dan kemuliaan umat Islam. Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Firman Allah dalam ayat 8 surah as-Soof : يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّـهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّـهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ ﴿٨﴾ Maksudnya : Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian) Kita turut merasa kecewa dengan sikap sebahagian umat Islam sendiri yang mudah terpengaruh dan menari mengikut rentak musuh Islam dalam menyerang umat Islam. Sebagai contohnya selepas serangan 11September, kuasa besar Barat melalui pelbagai agensi sekuritinya seperti CIA, MI 5 dan MOSSAD telah melihat madrasah, pondok dan pesanteran sebagai sebahgian daripada program “memerangi keganasan” dengan itu musuh Islam mendesak semua kerajaan negara Islam di seluruh dunia memantau madrasah tradisional. Pada hakikatnya madrasah dan pondok bukan sumber kepada kewujudan kumpulan radikal. Malah pemikiran yang mempengaruhi pelbagai kelompok untuk memisahkan masyarakat Islam kepada label ekstrimis, moderate dan terrrorist itulah yang sebenarnya punca kepada ketegangan. Malah ketidakseimbangan darjat sosio-ekonomi serta ketidakadilan sosial yang berlaku dalam proses pembangunan negara dan dunia turut menyemarakkan konflik dalam masyarakat. Begitu juga pendidikan arus perdana yang lebih diutamakan serta segala kemudahan yang diberi kepada institusi yang ditaja oleh kerajaan dan syarikat itulah yang telah menyisih institusi pondok dan madrasah dan akibatnya ini telah melahirkan rasa terpinggir oleh para pendidik dan pelajar madrasah dan pondok. Harus diingat sumbangan berdekad-dekad pondok dan madrasah yang wujud dinegara inilah yang telah dapat mempertahankan jati diri negara ini sebagai negara umat Islam. Sistem pendidikan arus perdana sehingga kini masih belum menjamin keutuhan aqidah dan penghayatan Islam di kalangan penuntut untuk melahirkan masyarakat Islam yang boleh dicontohi. Kita yakin musuh Islam begitu takut kepada pusat pengajian Islam yang mampu melahirkan umat yang cintakan Islam yang sanggup menentang sebarang penjajahan kerana ia mampu menggugat kuasa dan kezaliman musuh Islam. Oleh itu marilah kita bersama bermula daripada kerajaan sehingga rakyat jelata bukan sahaja mempertahankan pusat pengajian Islam malah memperkasakannya agar Islam berdaulat, system Islam mampu dinobat, penjajahan dapat disekat. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian, قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مُرُوا أَوْلَادَكُمْ بِالصَّلَاةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرٍ وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي الْمَضَاجِعِ- رَوَاهُ أَبُو دَاوُدبِإِسْنَادٍ حَسَنٍ Maksudnya : Perintahlah anak-anak kamu supaya mendirikan sembahyang ketika berusia 7 tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkan sembahyang ketika berumur 10 tahun dan asingkanlah tempat tidur di antara mereka (lelaki dan perempuan). Islam adalah agama yang lengkap dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan individu, keluarga dan masyarakat dengan memberi tunjuk ajar yang terbaik dalam menguruskan kehidupan manusia. Tidak terkecuali dalam mendidik anak-anak di mana ada cara yang khusus diajar oleh Islam termasuk cara merotan supaya ia tidak menyebabkan berlaku penderaan dan penganiayaan kepada anak-anak. Sebab itu apabila adanya cadangan untuk membentangkan di Dewan Rakyat selewatnya Julai nanti rang undang-undang baru termasuk menjadikan rotan anak sebagai suatu jenayah mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat. Kerajaan digesa meneliti kandungan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) sebelum menjatuhkan merotan sebagai suatu jenayah kerana terdapat kelonggaran di dalam CRC yang membolehkan hukuman dibuat berdasarkan budaya tempatan. Kita tidak mahu cetakan 100 peratus daripada undang-undang Barat akan menyebabkan kegagalan dalam melahirkan anak soleh disamping bakal menimbulkan masalah yang lain. Sebagai contoh di Sweden yang pernah menyaksikan pasangan Malaysia yang dipisahkan daripada anak-anak akibat undang-undang ini tahun lepas di mana ia turut mendapat bantahan oleh masyarakat Sweden sendiri. Hasil kajian di Sweden mendapati bahawa sejak undang-undang itu diperkenalkan pada 1979, sudah lebih 300 ribu kanak-kanak dipisahkan dengan ibubapa kandung mereka dan terpaksa hidup dengan keluarga angkat termasuk berlainan agama sehingga berusia 18 tahun. Undang-undang ini amatlah menyeksa jiwa anak-anak dan ibubapa kandung berkenaan. Beberapa pihak di Sweden juga mendedahkan betapa undang-undang ini dimanipulasi untuk mengaut keuntungan dengan wujudnya 'industri anak angkat', di mana pemberi maklumat dan ibubapa angkat diberi bayaran sehingga RM4,300 sebulan. Oleh itu kita mahu setiap undang-undang yang mahu diluluskan terutama yang melibatkan pendidikan mesti selaras dengan kehendak agama agar tidak mengorbankan masa depan anak-anak. Kita mahu pengajian berkaitan tarbiah anak-anak termasuk cara dan adab merotan dimasukkan dalam sukatan pengajian peringkat sekolah hingga Univerisiti serta dalam kursus nikah kahwin dan kursus lain yang sesuai. Islam mementingkan kasih sayang kerana itu rotan adalah jalan terakhir untuk mendidik bukan untuk mendera apatah lagi mencederakan. Oleh itu Islamkan cara merotan bukan mencegahnya. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ